[Harakahdaily]: BA Jasin Bertambah Mantap Menjelang Pilihanraya Umum
JASIN, 22 Mei (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) Jasin telah berjaya mencapai persetujuan dalam banyak perkara termasuk pembahagian kerusi bagi Pilihan raya Umum yang dijangka diadakan pada masa terdekat ini.
Menurut Yang DiPertua Kawasan Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang, kita memperhebatkan lagi kerjasama BA selepas 2004 lalu dan bagi menghadapi Pilihan raya Umum ini pelbagai gerak-kerja bersama telah dilaksanakan.
“Antaranya pembahagian kerusi di antara PAS dan KeADILan dalam parlimen Jasin, program ceramah BA dan sebagainya hasil dari perbincangan serta persefahaman yang telah dicapai melalui beberapa pertemuan,” kata beliau lagi.
Pemangku Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Md Akin yang turut berucap pada malam itu turut mempersoalkan apakah kebaikan atau keuntungan yang diperolehi oleh penduduk Jasin selepas dinaiktarafkan sebagai Majlis Perbandaran Jasin.
“Selain mengutip bayaran meletak kenderaan dan kalau tidak akan dikenakan saman, saya tidak nampak ada usaha perancangan dari pihak kerajaan bagi membantu rakyat khususnya di Jasin,” kata beliau.
Beliau turut mendedahkan penipuan di dalam Pilihan raya Kecil Ijok baru- baru ini di mana terdapat 1,111 nama pemilih yang pernah mengundi pada 2004 telah dihilangkan dari daftar pemilih baru.
Tambahnya, senarai nama pengundi baru seramai 1,200 orang terus diwartakan tanpa dipamerkan terlebih dahulu,ini menyebabkan tiada bantahan boleh dibuat atau dicabar di mahkamah.
Beliau juga mempersoalkan, bagaimana boleh terdapat 50 orang nama pemilih yang sudah meninggal dunia, termasuk 12 orang itu datang mengundi semula pada hari tersebut. - mks.