Perubahan SPR Perlu Mencerminkan Reformasi Sistem, Bukan Sekadar Kosmetik Pilihanraya

Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) ingin menyatakan maklumbalas positif kami terhadap kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abd. Rahman yang menyatakan kesediaan SPR untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tidak boleh padamke atas jari pengundi seawal-awalnya di dalam pilihanraya yang akan datang.

Kesediaan ini menggambarkan SPR sudah sedar dan maklum mengenai keperluan asas pilihanraya ini demi menjaga integriti pilihanraya itu sendiri dan juga kredibiliti SPR di dalam menyelenggara sistem pilihanraya yang telus dan adil bagi semua pihak yang bertanding. AMK tidak melihat pendekatan ini adalah pendekatan yang ketinggalan zaman sebagaimana yang disebut oleh Tan Sri Rashid, tetapi pendekatan penggunaan dakwat ini telah terbukti berkesan di dalam menjamin kelicinan perjalanan pilihanraya di kebanyakan negara sebagaimana yang telah terbukti di India,Indonesia, Pakistan, Mesir dan Yemen di mana kaedah ini telah berjaya mengelakkan berleluasanya pengundi hantu untuk mengundi.

Dan kesediaan ini menggambarkan satu kemenangan rakyat untuk melihat satu proses pilihanraya yang adil dan telus dapat dilaksanakan di dalam sistem kenegaraan Malaysia yang sewajarnya bergerak ke hadapan.

Pun begitu AMK ingin menegaskan bahawa SPR seharusnya perlu mempertimbangkan beberapa cadangan lain yang pernah disuarakan oleh pakatan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan melalui Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) seperti mengemaskini senarai daftar pengundi yang tepat dan selaras dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan juga menghapuskan undi pos. AMK berpendapat undi pos ajar dihapuskan sama sekali kerana ia boleh menjamin sebarang salah laku daripada mana-mana pihak yang berupaya untuk memanipulasi undi pos.

Jangan kita sesekali lupa akan insiden di Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir di Kelantan Darul Naim, di mana jumlah undi pos yang dikira adalah jauh lebih banyak daripada pengundi pos yang berdaftar sebagaimana yang termaktub di dalam senarai daftar pemilih. Pendedahan ini adalah sesuatu yang memalukan yang jelas menggambarkan bahawa ketidakadilan sistem yang sedia ada boleh mengakibatkan kesucian mandat pemerintah yang sedia ada turut terkesan secara negatif.

Justeru AMK berharap agar kesediaan SPR untuk mengubah pendekatan menyelenggara pilihanraya ini adalah satu langkah ke arah reformasi sistem secara keseluruhan demi menjamin keadilan dan integriti sistem pilihanraya, bukan sekadar pendekatan bersifat kosmetik yang bertujuan hanya untuk mengaburi mata rakyat agar terus tunduk kepada sistem yang serba tidak tentu dan gagal menyediakan ‘padang permainan yang rata’ buat pasukan-pasukan yang bertarung.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Explore posts in the same categories: Angkatan Muda, KeADILan, Media, Politik

Comment: