Kerajaan Wajib Turunkan Harga Minyak Tanpa Kompromi!
Media cetak arus perdana hari ini (29 Januari 2007) telah menyiarkan berita mengenai kejayaan Petronas yang terus mengekalkan rekod keputusan kewangan cemerlangnya dengan meraih keuntungan sebelum cukai RM76.3 billion dan hasil keuntungan tersebut, Petronas menyumbang balik sejumlah RM48.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan eksport duti.
Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) ingin menyatakan tahniah di atas kejayaan tersebut, dan kesempatan ini diambil untuk menyatakan ketegasan AMK bahawa wujud keperluan yang mendesak dan munasabah agar harga minyak diturunkan pada kadar yang segera.
AMK berpendapat bahawa tidak ada sebab untuk Petronas dan Kerajaan Pusat mengambil satu keputusan untuk menurunkan kadar harga minyak yang sekian lama membebankan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian.
Harga minyak yang dinaikkan pada kadar 30 sen pada 28 Februari 2006, yang dianggarkan kenaikan tertinggi di dalam sejarah aliran ekonomi negara dilakukan oleh kerajaan dengan alasan pengurangan subsidi ini boleh mengurangkan bebanan kerajaan sebanyak RM4.4 billion setahun. Pada ketika itu harga minyak antarabangsa dianggarkan bernilai AS$69 setong.
Dan tanpa boleh dinafikan oleh kerajaan, kenaikan harga minyak ini telah menjadi punca kepada merosotnya kualiti kehidupan rakyat kebanyakan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup yang tidak terkawal oleh kerajaan sekalipun.
Tidak ada sebab untuk Kerajaan terus berdolak dalih dengan alasan tanggungan subsidi yang dianggarkan sebanyak RM12.7 billion dengan keuntungan yang jelas boleh mengimbangi kadar subsidi yang ditanggung demi keselesaan hidup rakyat.
Dengan keuntungan sebanyak RM76.3 billion ini, penjimatan RM4.4 billion tersebut adalah nilai yang kecil jika dibandingkan dengan keselesaan hidup rakyat untuk menjalani kehidupan. Apatah lagi kini, harga minyak antarabangsa dianggarkan sekitar US$60 ke US$65 setong sahaja. Penurunan harga minyak tidak akan mengesani keuntungan Petronas sedikitpun.
AMK melihat bahawa sudah sampai masanya Petronas, atas tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia, untuk mengajukan gesaan mereka kepada Kerajaan Pusat untuk menurunkan harga minyak pada kadar yang berpatutan dan munasabah.
Justeru Pimpinan AMK akan mengambil inisiatif untuk menemui Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican untuk mengemukakan gesaan ini untuk dibawa kepada Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri agar harga minyak diturunkan pada kadar yang segera.
Sesungguhnya rakyat telah lama terseksa dan menderita dengan kenaikan harga minyak ini, maka tidak ada sebab pengorbanan rakyat ini dibayar dan dianugerahkan dengan penurunan harga minyak yang jelas mampu menjadi kunci kepada kawalan inflasi yang begitu teruk melanda negara akhir-akhir ini.
Atas nama kesaksamaan dan tanggungjawab sosial kepada rakyat, Petronas dan Kerajaan perlu menggalas tanggungjawab ini tanpa kompromi.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Pautan Berita Keuntungan Petronas:
Utusan Malaysia - Petronas untung RM76b — * Tertinggi dalam sejarah * Sumbang RM48.3b kepada kerajaan
Berita Harian - Laba Petronas Rm76b
Malaysiakini - Petronas untung besar RM76.3 bilion sebelum cukai
Jun 29, 2007 at 1:02 pm
dengan segala hormatnya saudara, saya berpendapat bhw menurukan harga minyak tidak wajar demi keteguhan makroekonomik negara. ketagihan rakyat malaysia kepada minyak, yang tercetus daripada polisi dangkal kerajaan BN untuk jual lebih banyak kerata proton, membawa mudarat yang dasyat kepada negara memandangkan tidak lama lagi import minyak kita akan melebihi eksport minyak kita, maka ekonomi kami akan bergantung kepada OPEC dan pasaran minyak antarabangsa.
profit petronas seharusnya disalurkan kepada program-program yang menolong rakyat tapi pada masa yang sama menurunkan keperluan minyak rakyat. Contohnya:
1) memajukan lagi infrastruktur pengangkutan awam dan mulakan satu program untuk tukarkan enjin bas kepada jenis yang makan etanol, umpamanya. Etanol (atau behan mentahnya gula) juga ada naik-turun harganya, tetapi sekurang-kurangya risiko pasaran antarabangsa dikurangkan dengan dibanyakkan lagi sumber bahan “minyak” untuk sistem pengangkutan kita.
2) menggalakkan industri-industri “high value chain” seperti dalam bidang ICT DESIGN (bukan sekadar “support” sahaja) yang boleh menggalakkan “flexible hours” untuk mengurangkan beban pengangkutan awam masa kemuncak, dan juga “telecomuting” (bekerja dari rumah).
3) membanyakkan jumlah sekolah (dan IPT) dan insentif untuk menyamakan kualiti sekolah (dan IPT) supaya keperluan keluarga untuk hantar anak ke sini ke sana demi pembelajaran anak boleh dikurangkan. Motivasi yang sama mengenai tadika dan pusat penjagaan anak.
4) menggalakkan dan membiayai (SECARA TELUS) penyelidikan dalam bidang kereta elektrik yang mampu sekaligus mencetuskan industri kereta elektrik tempatan dan pada masa yang sama majukan kelayakan antarabangsa industri pembuatan kerata nasional di satu “niche market”, dan juga mengurangkan pencemaran udara di sekitar bandaraya seperti KL
5) saya sedar untuk penduduk luar bandar usul-usul di atas kurang membawakan faedah, tetapi dengan duit Petronas tu ada kebaikan lain yang boleh diwujudkan… saya mengakui bhw saya (budak bandar) kurang celik kepada keperluan penduduk luar bandar, ttp saya yakin satu penyelesaian boleh dicari. Mungkin elaun ke apa, saya tak pasti.
tetapi pada pendapat saya, janganlah kurangkan harga minyak. penggunaan minyak tidak harus digalakkan.
Julai 12, 2007 at 10:54 am
kawan, ada banyak lagi bidang lain yang boleh menambahkan aset negara selain daripada menaikkan harga minyak.
ok. saya terima pendapat kawan jangan kurangkan harga minyak. tapi penggunaan minyak tidak harus digalakkan.
bagaimana dengan pendapat saya, kurangkan harga minyak dan naikkan taraf pengangkutan. pendapat saya untuk mewakili rakyat kebanyakan. bukan semua rakyat malaysia mempunyai pendapatan besar. minyak tidak patut dinaikkan.