Halang Pendidik Berpolitik, Hishamuddin Jangan Bersikap Jumud
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussien yang kononnya ingin mengambil tindakan tegas ke atas guru-guru yang aktif berpolitik sebagaimana dilaporkan media hari ini.
Persoalan timbul apakah arahan ini spesifik kepada guru-guru yang menyokong pembangkang, ataupun mana-mana guru yang aktif di dalam politik kepartian pemerintah dan pembangkang.
Dalam keadaan kelompok guru yang aktif di dalam Umno dan parti komponen BN dibenarkan untuk berkhidmat di dalam kedua-dua bidang - pendidikan dan politik - AMK melihat ugutan ini sebagai satu tindakan yang amat tidak demokratik dan tidak bertamadun.
Ugutan ini jelas satu usaha berterusan pemerintah selain daripada pemaksaan berakujanji ingin menyekat dan memasung kebebasan berfikir di kalangan pendidik, dengan tujuan memaksa golongan pendidik agar tidak berfikir secara kritikal.
Ugutan Hishamuddin ini dilihat ada hubung kait dengan usaha untuk menyekat golongan guru daripada bangkit menyuarakan pendirian mereka, lantaran kebangkitan golongan pensyarah melalui penyerahan petisi kelompok akademia di Institut Pengajian Tinggi membantah Akujanji di
universiti yang dipimpin oleh Dr Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee, keduanya adalah tokoh ilmu tersohor tanah air.
Hishamuddin digesa untuk tidak menyekat kebebasan berfikir kelompok pendidik dalam mendidik generasi pasca-merdeka di Malaysia, kerana tindakan beliau ini hanya bersifat membunuh semangat demokrasi di kalangan pendidik.
Pendidik adalah rakyat Malaysia yang dijamin hak mereka melalui Perlembagaan Persekutuan untuk menganggotai mana-mana pertubuhan sah, termasuklah parti-parti politik.
Justeru, AMK ingin menegaskan bahawa Hishamuddin jangan bersikap jumud dengan menyekat para pendidik untuk menyatakan pendirian mereka ke atas mana-mana parti politik, sebaliknya perlu menerima hakikat bahawa golongan pendidik adalah golongan intelek yang perlu diberi ruang yang saksama untuk menyatakan pendirian dan prinsip mereka.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat