Akta Perlindungan Saksi: Nazri Pamer Kebodohan Sendiri
Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Aziz dalam cabaran beliau ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah kenyataan yang memalitkan kebodohan beliau sendiri.
Sebagai Menteri Undang-undang ‘de facto’ apakah beliau tidak tahu bahawa tidak ada sebarang Akta Perlindungan Saksi yang dikuatkuasakan di Malaysia?
nazriKegusaran Dato’ Seri Anwar adalah melambangkan kegusaran rakyat, dalam keadaan sudah ketara di Malaysia ini bahawa wujud campurtangan berleluasa eksekutif di dalam urusan kehakiman yang sepatutnya tidak berlaku di dalam sebuah negara yang mendaulatkan amalan demokrasi berparlimen di bawah doktrin pengasingan kuasa. Malah, Nazri sendiri sebelum ini menunjukkan campurtangan tersebut dengan ketara apabila beliau menjawab bagi pihak Ketua Hakim Negara di atas keterlibatan Ketua Hakim Negara di dalam skandal yang didedahkan melalui rakaman video membabitkan VK Lingham.
AMK dengan tegas mengulangi pendirian KeADILan untuk bekerjasama di dalam mencari penyelesaian dan menggeledah kebenaran di sebalik video tersebut. Tetapi AMK tegas mendesak kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat kandungan video ini.
Kecederaan Dato’ Seri Anwar sewaktu ditahan dahulu, kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja, demikian juga di dalam kes ketuk ketampi yang membabitkan seorang tahanan. Apakah pendedahan video ini dipandang enteng oleh kerajaan sehingga tidak melihat penubuhan Suruhanjaya DiRaja sebagai sebuah resolusi yang efektif? Pendedahan ini menggambarkan wujud kecelaruan di dalam sistem kehakiman negara, maka wajar sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasatnya.
Nazri juga perlu ingat bahawa Ketua Panel Siasatan Bebas, Haidar Mohd Nor sendiri mengakui bahawa Panel yang ditubuhkan di bawah seliaan kabinet itu tidak mempunyai kuasa untuk memanggil dan melindungi saksi. Justeru dimanakah kredibiliti yang boleh menjamin kesaksian mana-mana individu yang sedia bekerjasama di dalam kes ini?
AMK melihat, prinsip ‘berani kerana benar’ yang ditegaskan oleh Nazri ini perlu didahului oleh Kabinet melalui penubuhan Suruhanjaya Diraja, dan AMK juga berminat menyarankan Nazri untuk kembali belajar ilmu perundangan Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang kelak menggambarkan kerendahan nilai beliau dan kerajaan yang berterusan mencabul demokrasi di Malaysia.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat