Perutusan Eidulfitri 1428 Hijrah
Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..walillahilhamd.
Saya bagi pihak seluruh gerak kerja Angkatan Muda Keadilan Malaysia di seluruh peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan penggerak lainnya ingin mengucapkan salam Eidulfitri 1428 Hijrah bersamaan 2007 Masihi.
Alhamdulillah Eidulfitri kali ini dapat disambut dengan riang,selepas berjaya kita menahan hawa nafsu tatkala Ramadhan mengisi ruang.
Eidulfitri adalah bulan kemenangan, bukan sahaja kemenangan selepas menunaikan ibadat puasa, tetapi kemenangan untuk kita segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam untuk menggarap kemenangan menumpaskan kezaliman dan penindasan, samada penindasan diri oleh hawa nafsu yang tidak terkawal mahupun penindasan sang penguasa kepada rakyat.
Allah SWT menggesa di dalam Al Quran agar perubahan dimulakan oleh hambaNya,dalam keadaan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sekiranya tidak ada elemen perubahan yang dimulakan oleh kaum itu sendiri.
Justeru Eidulfitri ini wajar dijadikan penyuntik semangat untuk kita terus memperkasakan diri melawan hawa nafsu,melawan kezaliman, menentang penindasan demi menjamin kesyumulan Islam pastinya, dan kesentosaan Malaysia buat rakyatnya yang tercinta.
Segala salah dan silap mohon dimaafkan andai ada kekhilafan yang mungkin tidak disedari berlaku. Sesungguhnya kebaikan itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu pastinya daripada kalangan kami, manusia yang lemah.
Akhirul kalam, Salam Eidulfitri daripada kami warga AMK buat segenap lapisan umat Islam di Malaysia.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat