Penolakan Suruhanjaya Pilihan Kehakiman Bukti Kerajaan BN Korup!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merakamkan tahniah ke atas perlantikan Presiden Mahkamah Rayuan , Datuk Abdul Hamid Mohamad sebagai penjawat sah Ketua Hakim Negara yang berkuatkuasa 1 November lepas, tarikh beliau memangku jawatan Ketua Hakim Negara selepas tamatnya khidmat Tun Ahmad Fairuz.

Pun begitu AMK melihat perlantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan mencacatkan usaha pemulihan integriti kehakiman negara yang kian parah selepas terdedahkan klip video skandal pengaturan hakim oleh VK Lingam dan Tun Ahmad Fairuz sebelum ini.

Umum mengetahui Zaki mendadak dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang dibuat selepas tiga bulan beliau menjadi peguam yang pertama yang dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Lebih memelikkan, Zaki mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan Umno sebelum ini.

Melihat kepada perkembangan ini, AMK jelas telah hilang kepercayaan ke atas sebarang usaha dan inisiatif kerajaan untuk memulihkan integriti kehakiman, apatah lagi dalam keadaan sudah terang dan sahih, Zaki kelak akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara sebaik sahaja khidmat Abdul Hamid tamat.

Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen semalam bahawa kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan khas kehakiman adalah satu kenyataan yang begitu jelas menggambarkan kebodohan beliau dan ketidakseriusan kerajaan membersihkan institusi kehakiman daripada campurtangan politik pemerintah.

Ini membuktikan kerajaan tidak sensitif dengan keperluan membersihkan cabang kehakiman secara serius. Apatah lagi dalam keadaan institusi kehakiman begitu parah dicabul elit politik dan korporat, Suruhanjaya ini adalah amat perlu dan penting.

Dan kelihatan sekarang, sememangnya kehakiman Malaysia kelihatan sudah diatur untuk memastikan matlamat politik sempit BN tercapai dengan perlantikan Zaki sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Soalan juga timbul apakah perlantikan Zaki ini, mempunyai hubungkait dengan mana-mana kes yang membabitkan pimpinan Umno yang memerlukan ‘ihsan’ bidang kuasa Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara untuk melepaskan mereka daripada sabitan kesalahan mengikut undang-undang Malaysia.

Dengan kebiadapan Menteri yang kononnya menjaga undang-undang ini semakin terserlah dari hari ke hari, ditambah dengan ketidakseriusan kerajaan membersihkan institusi kehakiman, kerajaan Umno-BN semakin menyerlahkan kerakusan politik sempit mereka.

Rakyat wajib mengubah landskap politik Malaysia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Explore posts in the same categories: Angkatan Muda, KeADILan, Politik

Comment: