Gugurkan Tuduhan Ke Atas Suwandi & Azman!
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) merakamkan ucapan ‘tahniah’ kepada Peguam Negara kerana sekali lagi bersikap selektif di dalam tindakan terbaru beliau menggugurkan tuduhan cubaan membunuh ke atas 31 individu yang terlibat dalam perhimpunan anjuran Hindraf 25 November lalu.
Menyifatkan pengguguran ini memperlihatkan campurtangan politik yang melampau, AMK mempertikaikan mengapakah pengguguran dilakukan hanya selepas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf atas alasan ‘mereka diperdaya pimpinan Hindraf dan sudah insaf.’
AMK tidak menolak tindakan ini kemudiannya akan dijadikan sebagai pusingan u-turn pemerintah Umno-BN untuk mengalihkan perhatian rakyat agar terus tunduk kepada kehendak politik mereka, meskipun mereka sanggup meletakkan nawaitu politik mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
suwandiAtas prinsip-prinsip kemanusiaan, AMK ingin menggesa agar Peguam Negara turut menggugurkan tuduhan yang dilakukan ke atas dua ahli PAS, Suwandi Abdul Ghani dan Muhammad Azman Aziz yang ditembak seorang anggota polis dengan menggunakan peluru hidup dalam tragedi berdarah Batu Burok, Terengganu pada 8 September lepas.
Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa kononnya menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, dan dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar.
Sehingga kini rakyat terus tertanya-tanya, apakah hasil siasatan polis ke atas pegawai polis berkenaan yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan Suwandi dan Azman cedera parah. Dan amat menjelekkan, mangsa tembakan ditahan dan didakwa, sebaliknya si penembak terus bebas berkeliaran di luar!
AMK menggesa tuduhan ke atas mereka digugurkan dengan segera dan dibebaskan tanpa sebarang alasan.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat