Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar


Dari Keadilan Daily

17 Disember 2012

Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar

(Oleh Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 17 Dis: Menyingkap kembali keperitan dilaluinya semasa ditahan Umno BN di penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada beberapa polis memohon maaf dan menginsafi kekejaman yang dilakukan anggota pasukan itu ke atasnya.

“(Selepas) dipukul setengah mati, komandan kem jumpa saya pagi esoknya (dan) saya tengok dia menangis…Dia tunduk, pegang lutut saya dan mohon maaf.

“Saya tanya sebab apa, awak pukul (saya)? Dia jawab tidak (bukan dia yang pukul). Dia kata, semalam beliau dan isteri solat hajat minta saya selamat.

“(Kemudian) dia kata, ‘kalau saya ada wang (dan) boleh jaga keluarga, saya akan berhenti (menjadi polis). Saya tak boleh tahan dengan kerja macam ini’,” cerita Anwar kepada 50,000 hadirin pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Dungun, Jumaat lalu, mengenang kebaikan beberapa anggota polis terhadapnya ketika ditahan pada 1998.

Ekoran kejadian tersebut, Ketua Umum KEADILAN itu mengingatkan bahawa bukan semua polis menurutnya, ‘jahat’ seperti mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Ini terbukti apabila seorang anggota polis turut datang dan menyapu ubat pada lukanya, selepas polis peringkat atasan melarang doktor memberi rawatan.

“Seorang korporal polis ada bawa ‘Tiger Balm’ (ubat sapu), dia datang dan sapu (pada luka). Itu sahaja rawatan untuk beberapa hari,” kata Anwar.

Pada 29 September 1998, Anwar ke mahkamah dengan mata lebam. Imej itu menjadi simbol kezaliman Umno BN dan penentangan rakyat ketika era reformasi.

Rahim Noor kemudian didapati bersalah memukul Anwar. Pada 15 Mac 2000, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 terhadapnya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas mengenai penglibatan Umno BN dalam serangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada malam 20 September 1998 oleh Rahim Noor, KPN ketika itu.

“Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau merupakan peguam Anwar untuk kes perbicaraan insiden mata lebam yang sepatutnya berlangsung 16 Oktober lalu tetapi dibatal setelah Tan Sri Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Anwar berhubung pemalsuan keterangan laporan perubatan oleh beliau dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Surendran berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup mata, ditampar dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai.

“Dalam keadaan separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung, Anwar dinafikan hak mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani perintah tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.

Pada malam tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas polis yang menerima arahan kerajaan Umno BN diketuai Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Tangkapan dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN mensabitkan Anwar dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas beliau dipecat pada 2 September 1998.

Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.

Lebih teruk, kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat hari serangan dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.

“Pada 1 Oktober 1998, Dr Mahathir berbohong kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan bahawa kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri,” katanya.


— Keadilan Daily

About these ads

2 thoughts on “Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar

  1. Amat baik artikel seperti ini dibangkitkan dari masa ke semasa, kalau tidak kita lupa. Perbuatan durjana yang dilakukan oleh orang-orang yang diamanahkan menjaga keamanan seumpama ini, penggunaan C4, pembunuhan Jalil di Hongkong dulu dan lain-lain patut disemadikan sebagai satu sejarah sementara usaha gigih dijalankan bagi mencetuskan “civil society and good governance” supaya ia tidak berulang.

  2. bila lihat pic ini lain macam dan setelah dikaji dan diteliti meiihat ada konspirasi dilihat samaanda sandiwara ataupun 1 lakonan semata-mata,,,jelas dan nyata… allah maha megetahui ..wallahulam

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s