AMK Selangor Gesa Semua MP Lompat Bertanding Semula

SUARAKEADILAN - SHAH ALAM 17 Mei – Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan ahli parlimen yang sebelum ini mengisytihar diri mereka keluar parti meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas .

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata sikap ahli parlimen terbabit adalah tidak bermaruah kerana mengkhianati amanah dan perjuangan rakyat.

“Tindakan keluar parti oleh Choo Keong ketika pilihan raya kecil Sibu berlangsung merupakan tindakan politik yang dirancang oleh pihak tertentu.

“AMK Selangor menggesa wakil rakyat yang keluar daripada KEADILAN mutakhir ini melepaskan jawatannya segera.

“Mereka ini sepatutnya malu kerana kemenangan tersebut bukan kemenangan individu tetapi keyakinan rakyat kepada perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Tambah Ezli, perjuangan KEADILAN dan Pakatan tidak akan lemah dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan bahkan semakin kuat dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh kepada Pakatan dalam PRK Sibu.

“Kemenangan ini adalah langkah bermakna Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“AMK Selangor mengucapkan tahniah atas kemenangan Pakatan di Sibu. “Ini akan menjadi pembakar semangat untuk Pakatan mengorak langkah ke Putrajaya mendepani arus perubahan dalam agenda “Selamatkan Malaysia”,” ujar Ezli dalam kenyataan media tersebut.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Syed Hussein: Umno Bukan PKR Bakal Karam

MALAYSIAKINI - Tindakan beberapa pemimpin, termasuk ahli parlimen, ADUN dan ahli PKR yang meninggalkan parti itu sengaja dibesar-besarkan oleh media yang dikuasai oleh kerajaan sedangkan hakikatnya ia tidak akan meruntuhkan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Syed Hussein Ali.

“Memang diakui imej PKR terjejas sedikit oleh tindakan beberapa orang ahli parlimen dan ADUN yang melompat katak. Akan tetapi mereka adalah anasir-anasir buruk dalam parti yang mempunyai banyak masalah diri dan tidak membuat kerja.

“Pasti mereka akan diganti kelak dengan calon-calon lebih berwibawa dalam pilihanraya akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Hussein tindakan mereka meninggalkan PKR dianggap terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peristiwa presiden Umno seperti Tunku Abdul Rahman Putra dan juga Tun Hussein Onn meninggal parti yang pernah mereka terajui dulu.

“Tentang apa yang didakwa ‘anggota-anggota’ yang konon keluar beramai-ramai, kami telah semak dan dapati kebanyakkan mereka bukan anggota.

“Walau apapun, bilangan anggota PKR yang keluar jauh lebih kecil daripada ribuan ahli Umno yang keluar setelah saudara Anwar Ibrahim tersingkir, dizalimi dan diaibkan,” katanya.

Mengenai tindakan Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda berserta 488 ahlinya yang meninggalkan parti itu, Syed Husin berkata Fauzi dan suku sakatnya sudah lama menjadi duri dalam daging dan tindakan berkenaan adalah sangat dialu-alukan.

“Sekarang cabang itu boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited. Fauzi tidak lama dulu telah membuat surat sumpah menuduh PM Najib yang ditemuinya berjanji hendak memberinya banyak wang,” katanya.

Tambahnya, PKR tidak akan runtuh sebaliknya Umno-BN yang sebenarnya sedang karam.

“Insya-Allah mereka akan karam lebih cepat lagi selepas Sibu,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

PAS Cadang Ahli PKR Ditarbiyyah Supaya Setia

MALAYSIAKINI - Lebih banyak pihak menyuarakan desakan menuntut Wee Choo Keong supaya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Wangsa Maju, selepas bertindak keluar parti, Jumaat lalu.

Antara yang berbuat demikian ialah dewan pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, Wee (kiri) telah hilang kepercayaan pengundi, ahli-ahli PKR serta Pakatan Rakyat apabila dia berpaling tadah.

“Jawatan sebagai ahli parlimen adalah amanah dari parti, pengundi serta petugas Pakatan Rakyat yang telah bertungkus lumus bekerja bagi memenangkan beliau dalam pilihan raya umum ke 12 yang lepas.

“Alangkah murahnya maruah serta harga diri seorang pemimpin seperti beliau. Dengan sedikit tawaran atau ugutan, beliau mudah berpaling tadah. Lupakah beliau siapakah yang berjuang bersungguh-sungguh menaikkan nama dan diri beliau sehingga mampu memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suhaimi berkata sebagai ahli parlimen, Wee sepatutnya menjaga kebajikan dan mengambil tahu hal rakyat dan pengundi beliau, bukan sibuk dengan kepentingan peribadi.

“Beliau seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik dengan menunjukkan kredibiliti serta maruah yang tinggi sebagai wakil rakyat. Dalam keadaan parti memerlukan beliau, Pakatan Rakyat yang sedang diperkukuhkan, tergamak beliau mengambil langkah dengan meninggalkan PR. Tindakan beliau ini telah menghilangkan rasa hormat rakyat kepada beliau serta mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya.

Justeru, menurut Suhaimi PAS merasakan tidak wajar Wee masih bergelar ahli parlimen Wangsa Maju.

“Kerusi beliau perlu diserahkan kembali mandatnya kepada rakyat supaya rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat.

“DPPWP dengan ini mencabar Wee Choo Keong meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Wangsa Maju dan bertanding semula sebagai calon bebas bagi menentukan benarkah beliau masih mempunyai pengaruh dan menang dengan kekuatan beliau sendiri atau kerana kerja keras semua petugas Pakatan Rakyat!” katanya.

Wee ‘pengkhianat’

Dalam pada itu, dewan pemuda PAS Wangsa Maju (DPPWM) pula menyifatkan tindakan , Wee yang mengistiharkan keluar daripada PKR sebagai ‘pengkhianat’.

“Beliau sepatutnya malu dengan para pengundi di Parlimen Wangsa Maju yang telah memilih beliau sebagai wakil kepada mereka ke parlimen bagi menyuarakan masalah mereka di peringkat pusat di dalam Pilihan Raya Umum yang ke 12 (PRU 12) yang lalu.

“DPPWM juga merasakan alasan yang diberikan oleh beliau yang mana ‘kononnya’ tidak berpuas hati dan kecewa dengan cara parti dan kerajaan Selangor menangani isu pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn.Bhd. (KSSB) boleh dianggap sebagai bohong,” kata ketua pemudanya, Rohizad Aznan dalam kenyataan media hari ini.

“Ini kerana jika dilihat akan tindakan yang diambil oleh kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah jauh lebih telus jika berbanding dengan cara Umno/BN memerintah Selangor sebelum in.,” katanya.

Menurut Rohizad desas-desus Wee meninggalkan PKR telah bertiup kencang pada hujung tahun 2009 lagi dan tindakannya juga diragui kerana mengumumkan perletakkan jawatan secara tergesa-gesa dan ketika kempen pilihan raya kecil parlimen Sibu sedang hangat berlangsung.

“Implikasi daripada kes ini, DPPWM menyarankan agar PKR patut lebih berhati-hati dalam memilih calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ahli PKR juga disarankan agar ditarbiyyah supaya setia kepada kepimpinan dan parti walau dalam apa jua keadaan. DPPWM juga sedia membantu dalam proses mentarbiyyah ahli jika ia memerlukan, “ katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia