Kongres Terbaik Petanda Masa Depan Cerah Ke Putrajaya

SK - KOTA BHARU 30 Mei – Kongres Nasional KEADILAN kali ini disulami dengan perbahasan dan displin yang baik memberi petanda harapan cerah kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat melangkah menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden, Azmin Ali semasa mengulung perbahasan menyifatkan perjalanan kongres petang tadi oleh perwakilan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama sebagai yang terbaik di antara kongres pernah diadakan sebelum ini.

“Kita lihat kali ini, penyertaan Ramli Logan yang mewakili Orang Asal telah menyampaikan hujah yang cukup baik dan bernas dan ini sama sekali tidak berlaku dalam persidangan yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional umumnya.

“Kita juga bangga dengan sayap baru KEADILAN, Srikandi yang dibarisi wanita muda yang berani tampil ke depan menghidangkan perwakilan dengan perbahasan yang hangat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Azmin turut menyokong usul yang dikemukakan oleh Wanita dan mahukan tindakan susulan berhubung usul tersebut.

Beliau juga meminta supaya keempat-empat kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat menghantar ketua-ketua jabatan mendengar dan mencatit segala usul perwakilan tanpa mengharapkan Menteri Besar dan barisan exco yang merekodkan maklumat itu.

“Kita merayu kepada perwakilan yang hadir ini memastikan KEADILAN sentiasa kuat namun pada masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat membantu anggota parti.

“Bila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim difitnah, bukan pengarah anak syarikat kerajaan negeri yang tampil membela tetapi anggota KEADILAN yang ke depan membela pemimpin mereka,” tegasnya.

Azmin turut memberi cadangan supaya anggota parti melakukan perubahan dengan menggantikan ketua-ketua di peringkat cabang yang tidak aktif.

“Mana-mana ketua cabang yang tidak berfungsi, saya minta anggota parti melakukan perubahan.

“Perkemaskan ‘delivery system’ negeri masing-masing dan jika ini dapat dibuat dengan cepat dan pantas, rakyat akan hantar kita ke Putrajaya,” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau turut meminta supaya tanggungjawab itu tidak hanya digalas kepada pegawai kerajaan negeri sahaja tetapi juga diagihkan kepada anggota KEADILAN untuk melaksanakan sistem tersebut.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Anwar: KEADILAN Parti Masa Depan, Demokratik Yang Hebat

SK - KOTA BHARU 30 Mei – Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat perubahan pimpinan dalam beberapa jawatankuasa dengan tujuan memantap serta mengukuhkan perjalanan parti.

Kata beliau penyusunan tersebut akan dibuat dalam kadar segera sebagai respons kepada isu yang dibangkitkan oleh perwakilan pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN yang berakhir petang tadi.

“Penyusunan semula ini akan dibuat dalam kadar segera yang akan mengadunkan tenaga lama dengan yang baru. saya lihat penyertaan Angkatan Muda dan Wanita lebih terserlah pada Kongres kali ini dan penyertaan kedua komponen ini akan diterapkan dalam barisan pimpinan pusat,” kata Anwar semasa ucapan pengulungan beliau petang tadi.

Beliau berkata permerhatiannya terhadap Kongres sejak 2004 telah memperlihatkan kematangan dalam mutu perbahasan dan peningkatan pemikiran perwakilan dalam membahaskan usul dan isu yang dibangkitkan semasa Kongres.Tanggungjawab Pemimpin

“Saya mahu semua barisan pimpinan yang duduk di atas pentas ini supaya turun padang ke setiap cabang dan bertemu dengan ahli-ahli”.

Selangor

“Semua cadangan dan kritikan terhadap Menteri Besar dan pentadbiran kita dengar dengan sikap terbuka. Bandingkan Selangor di bawah Umno-Barisan Nasional dan bezakan dengan banyak perubahan yang dilakukan dalam tempoh dua tahun pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Di bawah BN, negeri rosak kerana Menteri Besar rampas hasil mahsul negeri, rasuah dan rakus mengambil hak rakyat. Apabila kita ambil alih sumpah dan janji kita kepada rakyat ialah pentadbiran yang bersih daripada rasuah dan penyelewengan. Ini yang berjaya dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Saya menaruh kepercayaan kepada kepimpinan samada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah atau Kelantan”.

Unisel

“Saya beri tempoh dua minggu kepada Rektor supaya hormati suara pelajar. Berikan sedikit ruang dan perbezaan pendapat kepada pelajar untuk menegur universiti. Kalau dia tidak menukar sikap sata akan pastikan di keluar dari Unisel”.

Projek

“Antara isu yang dibangkitkan ialah kelembapan dalam kelulusan projek untuk manfaat rakyat di Selangor. Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor supaya dipercepatkan kelulusan projek tetapi dengan syarat ia mesti mengikut peraturan”.

GLC

“Calon yang dikemukakan untuk menyertai atau menerajui anak syarikat kerajaan negeri mestilah layak, profesional dan punyai ‘track record’ dan hanya mengambil elaunnya sahaja dan tidak rasuah. Calon itu juga mesti ikrar ketaatan kepada parti dan kerajaan negeri dan mesti dibenarkan dipantau dan dihukum jika sedikit menyeleweng”.

KEADILAN

“Umno-BN boleh cakap apa saja, nak runtuh, nak reban, nak karam, ‘wahtever’ tetapi satu yang mesti saya nyatakan di sini KEADILAN telah berjaya mentransformasikan budaya politik negara ini. Mana pernah kita terfikir pemimpin Cina memetik hadis dan Al-Quran dan menerima pelbagai budaya dengan cara terhormat”.

“We are a great party with a great future. We are a democratic party. Oleh kerana itu Umno-BN lanyak Anwar dan media mereka serang kita tidak henti-henti. Kita adalah sebuah parti bersikap terbuka. Bandingkan dengan Umno dan BN pemimpin samada Menteri Besar, Ahli Parlimen, ADUN dan pimpinan parti boleh dikritik hebat dan kita menerima segala kritikan dengan sikap terbuka dan dada yang lapang.

“Bagi pemimpin yang berkiblatkan wang roinggit dan kebendaan biarlah mereka lacurkan diri kepada Umno-BN”.

Subsidi

“Dari dahuku kita sudah nyatakan bahaya apabila melihat keadaan defisit yang semakin membengkak. Yang biasa ialah defisit 1, 2 tahun tetapi apabila masuk lima tahun mula ada ‘orange effect’ dan tujuh tahun ‘red effect’ dan kita punyai 12 tahun berturut-turut maka ia kekal sebagai red effect’. Ekonomi negara rosak di bawah Umno-BN sebab pemimpinya rakus dan rasuah.

“Kita cadangakn tiga perkara asas untuk perbaiki ekonomi negara – tarik subsidi orang kaya, banteras rasuah dan jangan boros, selepas itu barulah kita minta rakyat semua supaya berkorban. Ini tidak pemimpin Umno-BN mahu rakyat berkorban sekarang sebab mereka mahu terus ‘enjoy'”.

Khianat

“Kepada Tian Chua dan Gobalakrishnan saya beri jaminan parti akan tetap mempertahankan anda daripada konspirasi Umno-BN. Kita akan pertahankan hak anda. kita beri amaran kepada Najib, biarlah mereka buang, guling sebagai ahli parlimen atau buat pilihan raya baru, kita akan tetap lawan tindakan zalim mereka”.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Persediaan Awal, Disiplin Resipi Kejayaan Pada PRU- 13

SK - KOTA BHARU 30 Mei – KEADILAN akan menyediakan ‘roadmap’ atau peta perjuangan parti menuju ke Putrajaya untuk rujukan ahli dan dijadikan asas kepada pembentukan strategi dan perancangan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan pusat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JKPR), Fuziah Salleh berkata sehubungan itu KEADILAN akan melancarkan dalam masa terdekat e-sismep atau sistem menang pilihan raya.

“Sistem ini adalah ‘web-based’ dan untuk pertama kalinya dalam sejarah politik negara ini KEADILAN menjadi parti perintis kepada sistem yang boleh dimuat turun terus dari JKPR oleh mana-mana cabang diseluruh negara,” kata beliau semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2009 hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menggesa setiap cabang parti supaya membuat persiapan awal dan memperkemaskan jentera pilihan raya masing-masing bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Dalam keadaan padang tidak rata semasa pilihan raya kita mestilah menggerakkan jentera parti dan memperbaiki semua kelemahan yang ada. Jentera pilihan raya sudah tentu ada semasa pilihah raya tetapi yang lebih utama segala persediaan hendaklah dibuat lebih awal lagi supaya kita tidak bergerak pada saat akhir,” nasihat beliau.

Beliau berkata JKPR akan juga membuat beberapa tuntutan segera kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan pilihan raya yang diurus SPR sentiasa telus, adil dan profesional.

“Kita menuntut reformasi pilihan raya dan kita mahu padang yang sama rata dengan pihak lawan. Kita tuntut pendaftaran pengundi dijalankan secara ‘online’. Kalau SPR boleh mengeluarkan nama pengundi yang sudah meninggal daripada daftar pemilih dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara seperti yang kita lihat di beberapa pilihan raya kecil mengapa pula pendaftaran pengundi bari tidak boleh dibuat secara ‘online’?” soal Fuziah.

Selain itu KEADILAN juga menuntut supaya SPR diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen bagi menjamin kebebasan tersebut dan bebas rasuah.

“Kita juga menuntut supaya SPR melaksana dakwat kekal semasa proses mengundi. Kita juga tuntut reformasi dalam isu undi pos. Kita bersetuju dengan keputusan SPR baru-baru ini yang membenarkan pengundi pos untuk keluar mengundi lebih awal. Ini membolehkan pengiraan undi dijalankan pada hari yang sama,” jelas Fuziah.

Berdasarkan kepada sentimen sokongan rakyat yang meningkat semasa PRK Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini, beliau menggesa agar sentimen ini terus diperkukuhkan bagi menjamin kemenangan pada PRU akan datang.

“Jika diadakan PRU hari ini saya yakin kita akan menang tapi sentimen sahaja tidak cukup menjamin kemenangan. Mesti juga diiringi dengan komitmen dan disiplin yang tinggi dan persediaan yang mantap,” kata beliau lagi.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

MB Selangor Teliti Wujud Pegawai Pembangunan DUN

MALAYSIAKINI - Dalam berdepan kritikan ke atasnya, Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kini sedang meneliti beberapa pelantikan dalam kerajaan tempatan dan juga pewujudan jawatan pegawai pembangunan DUN.
Berucap ketika menggulung perbahasan di kongres PKR hari ini, Khalid dengan sebak berkata, pelantikan itu perlu mendapat persetujuan bersama oleh anggota parti.

“Ini perkara sangat sensitif, saya minta kerjasama semua (untuk) tunjukkan kematangan kita bagaimana kita memilih pemimpin kita di masa depan,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga telah menyiapkan cadangan untuk mengadakan indeks integriti bagi kerajaan bawah Pakatan Rakyat.

“Hari Rabu (2 Jun) saya akan luluskan dalam mesyuarat exco sebagai satu hala tuju, bagaimana (untuk capai) pentadbiran bersih,” katanya.

Pengumumannya dalam ucapan penggulungan itu timbul berikutan tuntutan yang dikemukakan perwakilan berhubung penjawatan dalam struktur kerajaan negeri itu yang tidak memihak kepada anggota parti.

Khalid juga berkata, beliau terharu dengan saranan yang dikemukakan khususnya daripada perwakilan muda dalam kongres parti itu.

“Saya kena sediakan tapak untuk angkatan muda ambil alih sebab kita mahu PKR punyai tapak yang kukuh dan dengan itu terus dapat kembangkan kepimpinan,” katanya lagi.

Dengan sebak, Khalid sebelum itu berkata beliau rela ditegur sekiranya melakukan apa-apa kesilapan dan bersyukur apabila berjaya menjadi wakil rakyat.

Katanya lagi, sepanjang dua tahun sebagai menteri besar, beliau juga telah menjalankan sebanyak 105 mesyuarat exco negeri.

“Setiap kali mesyuarat exco negeri juga saya akan bacakan doa,” katanya lagi yang turut menjelaskan doa itu adalah untuk menghindari dirnya dan pemimpin kerajaan negeri daripada sifat rasuah.

“Kami tak mampu menghadapi azab neraka di akhirat nanti,”

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Pasukan Khas PKR Raih Sokongan Melayu

MALAYSIAKINI - Dalam rangka meraih sokongan lebih ramai masyarakat Melayu, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata parti itu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji isu yang melibatkan mereka.

Isu yang dikenalpasi itu termasuk melibatkan Felda, usaha menaiktaraf kemahiran kakitangan awam dan soal pengurusan harta Islam.

Berucap di kongres parti itu di Kota Bharu hari ini, Wan Azizah berkata, pasukan tersebut akan dianggotai wakil pelbagai kaum kerana isu Bumiputera bukanlah isu eksklusif golongan itu sahaja.

“Tanggungjawab itu akan dipikul bersama oleh pimpinan pelbagai kaum – seperti mana isu yang rapat dengan kaum-kaum lain.

“Kita akan angkat isu bumiputera, Cina dan India terutama yang berpendapatan rendah dan miskin sebagai isu rakyat Malaysia, manakala hak masyarakat juga akan kita angkat sebagai isu rakyat Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya.

Tambahnya, soal pembinaan jati diri dan daya saing itu juga merupakan persoalan kaedah.

“Sebab itu PKR telah menyediakan kaedah baru untuk membina jati diri dan daya saing orang Melayu dan Bumiputera – melalui Agenda Ekonomi Malaysia.

“(Oleh itu) menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk membawa hujah bahawa kaedah melalui agenda ekonomi ini adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Usaha itu, katanya lagi, adalah untuk menghadapi cengkaman Umno ke atas orang Melayu, contohnya melalui rancangan Felda.

Jelasnya, rancangan tersebut, yang dimulakan oleh bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak, bertujuan untuk memberikan tanah kepada golongan miskin.

“Tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi.

“Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan.

“40 puluh tahun berlalu apa yang telah berlaku? Peneroka Felda (sekarang) tidak lebih dari pekerja ladang yang makan gaji dengan Felda, sebuah syarikat korporat milik kerajaan.

“Pelbagai sekatan dikenakan, penuh dengan putar belit hingga peneroka Felda terpaksa ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka. Harapkan pagar, pagar pula yang makan padi,” katanya lagi.

Selain Felda, katanya, jawatankuasa yang akan dibentuk itu juga akan menyiasat isu melibatkan pengurusan tanah rizab Melayu, tanah wakaf dan juga institusi seperti Tabung Haji dan Bank Islam.

Pejabat Ketua AMK Malaysia