Dasar Pakatan Adalah Memansuhkan PPSMI – Nik Nazmi

Kenyataan Media

Oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarah Komunikasi PKR

3 November 2011

PPSMI OPSYENEL BUKAN DASAR PAKATAN

Minggu ini DAP mengumumkan bahawa mereka menyokong pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai opsyen bagi sekolah-sekolah yang mana majoriti ibu bapa memilihnya.

Kami memahami keperluan pelajar menguasai Bahasa Inggeris dan mendapat pendidikan yang bermutu. Tetapi PPSMI bukanlah dasar untuk mencapai kedua-dua objektif ini.

Tambahan lagi, PPSMI tidak disebut di dalam Dasar Bersama mahupun Buku Jingga yang mendasari muafakat antara KEADILAN, PAS dan DAP.

PPSMI diperkenalkan pada 2003, tidak sampai enam bulan selepas Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohammad memutuskan untuk berbuat demikian tanpa sebarang perundingan, penyelidikan mahupun kajian.

Dasar ini mendapat tentangan ibu bapa, pendidik dan sarjana daripada pelbagai latarbelakang dan kaum. Sementara PPSMI diperkenalkan sepenuhnya di sekolah-sekolah kebangsaan dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah Cina dibuat di dalam dwi-bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris berikutan tentangan keras Dong Jiao Zong.

Akhirnya kerajaan menerima kelemahan PPSMI pada 2009 dan memutuskan untuk memansuhkan dasar ini pada 2012.

Kami menentang PPSMI kerana:

1. Cara terbaik mendidik anak-anak kita ialah menerusi bahasa kebangsaan yang difahami semua. Mendidik pelajar dengan bahasa yang asing pada mereka kecuali segelintir kecil keluarga yang beruntung datang daripada keluarga yang fasih berbahasa Inggeris (yang merupakan minoriti kecil) hanya akan memberi manfaat kepada mereka yang fasih Bahasa Inggeris dan merugikan majoriti pelajar-pelajar lain, sekaligus melebarkan jurang pendidikan. Malaysia merosot secara mendadak di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study 2007, Amerika Syarikat selepas pelaksanaan PPSMI.

2. Kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan telahpun termaktub di dalam muafakat Perlembagaan kita yang dipersetujui bapa-bapa kemerdekaan kita. Pakatan Rakyat telah mengulangi komitmennya kepada muafakat ini.

3. Kami menyokong usaha menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris untuk semua rakyat Malaysia. Namun cara sebetulnya ialah dengan meningkatkan kualiti guru-guru dan kurikulum Bahasa Inggeris serta menambah masa pengajaran Bahasa Inggeris, bukannya menerusi PPSMI!

4. Pelaksanaan PPSMI yang dibuat serta-merta menyebabkan guru-guru sains dan matematik yang tidak menguasai Bahasa Inggeris dipaksa mengajar di dalam bahasa tersebut, sekaligus menjejaskan mutu pengajaran mereka. Mangsa paling besar dasar ini ialah pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga yang tidak berbahasa Inggeris yang menanggung beban tambahan menyesuaikan diri dengan guru-guru yang tidak dapat mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik.

5. Pada masa dunia berbahasa Inggeris menjadi semakin terbuka terhadap pengajaran bahasa-bahasa asing seperti Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Arab, keghairahan kita dengan Bahasa Inggeris adalah luarbiasa. Kita sepatutnya bersyukur dengan warisan masyarakat majmuk kita yang membolehkan semua diajar Bahasa Malaysia dan Inggeris dan diberi peluang untuk mempelajari bahasa-bahasa lain seperti Arab, Mandarin, Tamil dan lain-lain lagi.

Justeru, dasar Pakatan adalah jelas dalam isu PPSMI dan tidak patut dibangkitkan lagi sehingga dan sekiranya kepimpinan Pakatan mahu mengkajinya semula.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat

Bersambung…

PPSMI Bukan Penentu Kemajuan Negara

Dari HarakahDaily

1 November 2011

Azmin: PPSMI tidak jamin Malaysia jadi negara maju

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjamin negara ini maju.

“Dasar Kerajaan Umno ni bila ada menteri baru datang, ada saja dasar baru dan cara sedemikian akan merosakkan masa depan anak bangsa kita. Dari awal lagi kita sudah menegaskan bahawa dasar ini sebenarnya tidak akan menjamin Malaysia menjadi sebuah negara maju.

“Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman juga tidak mengajar teknikal subjek dalam inggeris malah mempertahankan bahasa ibunda mereka,” jelasnya yang ditemui di parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memberitahu terdapat satu kajian oleh Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang industri teknologi sains, maka mata pelajaran perlu diajar dalam bahasa ibunda.

Azmin turut membidas pimpinan Umno sekali lagi tidak langsung mahu buat sebarang rujukan bincang tentang perlaksanaan dasar PPSMI dan akhirnya tujuan untuk mewujudkan kontrak-kontrak bagi kroni-kroni mereka.

“Perlaksanaan dasar dalan negara sentiasa dibuat tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh terutamanya dengan pihak yang mempunyai kepakaran,” ujarnya.

Menurutnya dasar itu dibuat tanpa perancangan yang teratur sebagai contoh guru-guru masih lagi tidak cekap dan tidak dihantar utk melatih lebih awal serta buku-buku teks yang tidak disiapkan.

Mengulas tentang Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) yang tidak bersetuju dengan pemansuhan dasar tersebut, Azmin memberitahu kerajaan perlu berbincang dengan badan tersebut agar mereka lebih memahami dan menerima perlaksanaan tersebut.

“Saya kira kementerian mesti bertanggungjawab untuk bertemu dengan semua pihak dalam mencari jalan penyelesaiannya. Ini kerana sebarang perancangan dasar mestilah dibuat secara terperinci dan tidak tergesa dan bukan kerana kepentingan politik tetapi kepentingan anak bangsa,” sambungnya lagi

Azmin memberitahu setiap pihak mesti hormati pandangan mereka namun jika perancangan ini dibuat dari awal, supaya ada pertimbangan bagaimana dasar-dasar baru hendak dilaksanakan dan beliau pasti setiap pihak mesti akan bersetuju.

—Harakah Daily