Negeri Kaya, Rakyat Terus Ditindas dan Dizalimi – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

16 November 2012

Hasil negeri Sabah berbilion ringgit tapi rakyat terus ditindas

(Oleh Aliff Fikri)

KOTA BELUD 16 November: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) gesa rakyat Sabah melakukan perubahan supaya tidak terus ditindas Umno BN dan dapat menikmati kemudahan yang dinafi kerajaan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, statistik menunjukkan Sabah memperoleh sumber pendapatan berbilion ringgit namun rakyat terus derita.

“Selagi tak berlakunya perubahan, selama itulah nasib rakyat Sabah tidak akan terbela.

“Kalau di Selangor, kita berjaya berikan pelbagai kemudahan contohnya seperti air percuma, tapi di Sabah usahkan air percuma, paip air pun tak ada, yang ada hanya tong air pemberian Umno, tapi tak guna sebab tak ada paip,” katanya depan penduduk Kampung Payas Payas, Kota Belut sempena Jelajah Kempen Sumpah Rakyat Tuntut Hak, semalam.

Shamsul berkata, kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor perlu dijadikan inspirasi rakyat Sabah untuk keluar dari kepompong Umno BN dan turut serta melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Selangor diangkat sebagai negeri contoh bila kita (Pakatan) ambil alih, ini kerana jiwa kepimpinan kita yang mengutamakan soal kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Ia terbukti sepanjang empat tahun ini, tidak pernah ada mana-mana pemimpin Pakatan yang terlibat dengan kes rasuah atau skandal penyelewengan.

“Ini beza kita dengan mereka (BN) yang lebih mengutamakan keuntungan peribadi berbanding hak rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh hampir 100 hadirin.

Turut hadir Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin; Naib Ketua AMK, Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip; Exco AMK Pusat, Ginie Lim; Ketua AMK Sabah, Mohd Serman Hassnar dan beberapa pimpinan lain.

Kempen tersebut dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Rabu lalu dan Sabah merupakan negeri pertama jelajah itu.

Tuntutan RM40 juta hak rakyat Sabah anjuran AMK ini akan menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan Isnin ini.

Ia merupakan skandal penyelewengan wang terbesar di negeri itu membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.


— Keadilandaily

Menang Pakatan, Musa Aman Akan Diheret Ke Mahkamah! – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan

(Aliff Fikri)

SABAH 18 Nov: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan penyelewengan sebaik saja Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir Sabah, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, ia bukan mustahil kerana pernah berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Khir Toyo telah kita heret ke mahkamah walaupun hanya menjatuhi hukuman ringan iaitu penjara setahun tapi ia membuktikan penglibatannya dalam rasuah.

“Musa Aman yang bolot hasil kekayaan bersama kroninya, Michael Chia juga akan kita heret,” katanya depan lebih 400 penduduk di kampung Sungai Pukul, Pulau Batik, Tawau.

Musa Aman sebelum ini didakwa terlibat membersihkan wang haram berjumlah US$90 juta bersamaan RM275 juta, selain dikait dengan skandal wang haram RM40 juta apabila Michael Chia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Lapangan Terbang Hong Kong.

Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK itu dijadual menjelajah ke seluruh pelusuk Negeri Di Bawah Bayu bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan muda yang ikut serta ialah Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Shamsul bimbang rakyat Sabah akan terus menderita jika Umno BN terus dibiar berkuasa dan Musa Aman terus membolat kekayaan negeri.

“Ini hanya dapat diatasi jika Pakatan menang untuk angkat martabat rakyat dari terus dihina penyamun bernama Musa Aman,” katanya.


— Keadilandaily

Sudah 49 Tahun Bersama Malaysia, Tapi Masih Cerita Tentang Keperluan Asas – Timb. Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

49 tahun merdeka tapi Sabah masih cerita pasal tiang lampu

SABAH 18 Nov: Sekalipun merdeka sejak 49 tahun lalu tetapi Sabah masih berdepan masalah kekurangan intrastruktur asas, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Zainuddin.

“Saya sedih. Hampir setengah abad merdeka tapi Sabah masih bercakap soal tiang lampu, jalan raya, air, tanah dan kemiskinan. Patutnya, kita bincangkan soal kualiti hidup.

“Inilah akibatnya apabila kerajaan Umno BN korup,” katanya depan 300 rakyat di Kampung Pelantong, Beluran semalam.

Beliau antara pimpinan yang menyertai Siri Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan AMK yang ikut serta ialah Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin; Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Beliau turut menempelak kerajaan Umno BN yang gagal mengatasi kemiskinan rakyat.

“Statistik menunjukkan 40 peratus rakyat cuma berpendapatan bawah RM1,500 manakala di Sabah masih ada yang diberi gaji hari.

“Ini kerja gila, kerja zalim. Gaji dan sumber pendapatan isi rumah terlalu rendah sedangkan kos sara hidup makin naik,” katanya.


— Keadilandaily