Memimpin Harapan Rakyat

Berikut ialah ucapan Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia kali kelima di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 November lalu.

Memimpin Harapan Rakyat

Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Bagi pihak Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan Malaysia saya mengalu-alukan para tetamu, wakil-wakil Majlis Pimpinan Tertinggi, para perwakilan dan pemerhati, rakan-rakan seperjuangan, ke Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia kali kelima ini. Selamat datang!

Kita berkongres kali ini dalam suasana yang sangat berbeza berbanding kongres-kongres sebelum ini. Dahulu program-program kita, termasuk kongres, berhadapan dengan pelbagai hambatan dan halangan. Kali ini kita berkongres di negeri yang ditadbir oleh kita bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Ini natijah usaha keras para aktivis, pendokong dan penyokong keadilan yang berjuang dan berkorban sedari hari pertama kita turun ke kancah perjuangan membela rakyat melalui gerakan Reformasi. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih atas komitmen dan kerja keras saudara semua. Syabas!

Kita rakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Muda Keadilan Selangor dan Parti Keadilan Rakyat Selangor atas komitmen dan kesungguhan sebagai tuan rumah kongres tahun ini. Ucapan terima kasih juga kepada Urusetia Kongres yang telah bertungkus lumus menjadikan acara tahunan penting ini satu kejayaan.

Kita telah melalui sepuluh tahun yang panjang. Penuh cabaran dan dugaan. Melalui liku dan ranjau. Kita bersyukur atas kejayaan yang kita capai setakat ini, namun masih terlalu awal untuk kita rayakannya. Kita mesti sentiasa insaf bahawa kemenangan rakyat yang kita pimpin belum tuntas. Masih banyak yang perlu dilakukan. Jalan perjuangan yang harus kita tempuhi jauh terbentang. Harapan rakyat mesti terus kita pimpin.

Kemenangan terhad yang kita capai kini seharusnya dijadikan pemangkin dan landasan bertolak untuk kemenangan rakyat yang lebih besar. Tetapi hati-hati, jangan terlebih yakin. Bisa saja kita tergelincir dan rosot ke belakang.

Suasana kini berbeza. Namun semangat juang, rasa muhibbah dan persaudaraan antara kita terus hangat dan bertambah mantap. Ini dapat saya rasai. Ia dekat di hati saya. Semoga persaudaraan kita di dalam wadah perjuangan ini terus menjadi sumber kekuatan dan pembakar semangat yang mendorong aktivisme kita membela rakyat.

Di dalam kancah perjuangan, anak muda menjadi contoh keberanian dan ketegasan menggenggam prinsip perjuangan. Kita pastikan bersama agar orientasi berani dan tegas ini kekal menjadi identiti anak muda. Kita pastikan pergerakan kita ini kekal menjadi pendahulu zaman atau trend setter yang mampu menangkap imaginasi rakyat.

Pada tahun lalu kita ungkapkan Daripada Harapan Kepada Kemenangan. Meski ada beberapa khalayak yang memperlecehkan tema tersebut, kita beryukur kepemimpinan utama parti dapat menanggapi maksud yang kita bawa. Kempen parti pada Pilihanraya Umum ke-12 mengambil Harapan Baru untuk Malaysia sebagai tema utamanya. Tahun ini Kongres Parti Keadilan Rakyat mengangkat Harapan Baru sebagai tema.

Harapan ini ialah harapan rakyat, harapan setiap daripada kita. Rakyat telah memberikan kepercayaan kepada kita untuk menggerakkan perubahan. Memberi kepecayaan kepada kita untuk menjadi simbol dan teraju harapan mereka. Justeru sekarang kita memikul amanah untuk Memimpin Harapan Rakyat. Kongres kali ini adalah medan untuk menjiwai erti sebenar tanggungjawab tersebut, merencana gerakan kita dan mempersiapkan diri dan pergerakan ini ke arah kemenangan. Kemenangan sebenar rakyat.

Sebagaimana suasana kini berbeza, cabaran kita untuk hari-hari mendatang juga telah berubah. Kita bukan lagi parti pembangkang. Rakyat memberikan peluang kepada kita untuk memimpin lima negeri.

Ini adalah perubahan besar atau sea change yang telah dikuasakan oleh harapan rakyat.

Ketua Umum kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini menjadi ketua koalisi terbesar yang mencabar hegemoni Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Jika diurut kedudukan parti-parti di dalam Dewan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat adalah parti kedua terbesar selepas UMNO. Malah rakan kita, DAP dan PAS menduduki tangga ketiga dan keempat. Parti kedua terbesar di dalam Barisan Nasional hanya menduduki tangga kelima.

Sokongan besar kepada Parti Keadilan Rakyat benar-benar amat bermakna kepada kemajuan sosio-politik negara ini. Ini kerana komposisi keahlian parti kita mencerminkan komposisi sebenar rakyat negara ini. keADILan ialah parti berbilang kaum pertama yang mendapat sokongan meluas rakyat. Apabila Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan tidak lama lagi, buat pertama kalinya pentadbiran negara ini akan diterajui oleh parti berbilang kaum.

Sebagai kerajaan di lima negeri, kita kini bertanggungjawab untuk melaksanakan perubahan. Di negeri-negeri ini, peranan kita bukan lagi mengkritik dan memberi cadangan. Bukan lagi menyanggah kepincangan. Kita mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan dan komitmen kita memenuhi harapan rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia dengan ini menyatakan komitmen penuh kita di segenap lapisan untuk memberi bantuan dan sokongan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Kita akan memainkan peranan aktif. Pada masa yang sama kita juga akan kekal sebagai jurubicara rakyat. Tatkala kita tegas mengkritik Barisan Nasional, kita juga bersedia memberikan teguran dan nasihat kepada Pakatan Rakyat. Ini kita lakukan dengan berpegang kepada prinsip perjuangan, tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Harapan kita jangan pula usaha memperkemas dan memperkasa kerajaan Pakatan Rakyat ini menjadi bagai menabur biji di atas batu.

Kala Perubahan

Dunia kini berada di persimpangan. Perubahan-perubahan besar dan krisis ekonomi yang melanda, memaksa kita untuk membuat pilihan.

Di Amerika Syarikat, perubahan yang dianjurkan oleh calon Demokrat, Barack Obama, diterima oleh rakyat. Rakyat Amerika Syarikat telah membuat keputusan berani untuk mengenepikan prejudis terhadap ras dan warna kulit. Pertimbangan utama mereka ialah keyakinan bahawa calon itu mampu untuk memenuhi harapan mereka. Mereka menaruh kepercayaan kepada Obama untuk memimpin perubahan yang mereka perlukan.

Justeru, negara yang terkenal dengan perhambaan, diskriminasi warna kulit dan penindasan, satu masa dahulu, kini menerima seorang Presiden bukan kulit putih yang pertama.

Di dalam kehidupan, kita sering dihantui prasangka dan prejudis. Kerana itu kita kadangkala tidak mampu membuat keputusan terbaik. Kerana itu kita memberikan sokongan bukan kerana individu itu ialah pilihan yang terbaik. Bukan kerana falsafah perjuangan dan agenda yang dibawanya. Tanggapan ‘orang kita, orang mereka’ menjadi faktor yang merosakkan pertimbangan rasional dan adil.

Adalah menjadi lumrah, manusia lebih selesa berada di dalam kelompoknya sendiri. Persamaan ras, warna kulit, jantina dan sebagainya mudah menjadi faktor pemersatu yang membantu membina keakraban.

Malang sekali kecenderungan ini sering dimanipulasi untuk kepentingan peribadi individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Bagi meraih kedudukan kepemimpinan, mereka mengapi-apikan kebimbangan terhadap kaum lain. Perbezaan warna kulit menjadi sebab yang cukup untuk membenci.

Kaum dan kelompok diajak bersatu atas sentimen kebimbangan dan kebencian terhadap kaum lain. Justeru lahir parti-parti politik perkauman yang berpura-pura memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Walhal yang menjadi pertimbangan utama ialah bagaimana untuk mengaut kekayaan yang sebanyak-banyaknya, bagaimana untuk menaikkan kedudukan anak menantu, saudara mara dan kroni. Manakala kepentingan rakyat terbanyak diabaikan.

Setiap kali kepentingan mereka terancam, sentimen perkauman dibakar. Padahal mereka sentiasa intim dengan pemimpin-pemimpin bersifat perkauman daripada kaum-kaum lain. Mereka ini membentuk pakatan jahat orang perkauman.

Mana-mana kelompok yang enggan menyertai politik sempit perkauman mereka, dituduh sebagai belot dan pemecah belah. Hakikatnya pemimpin yang berpijak atas sentimen perkauman inilah pengkhianat.

Di Malaysia, setelah 51 tahun merdeka, bagaimana keadaan sebenar orang Melayu. Kita perlu menilai secara kritikal pencapaian orang Melayu dan tidak terbawa-bawa dengan mitos bahawa kemiskinan dan kemunduran adalah disebabkan oleh bangsa lain. Kita jangan lagi tertipu dengan dongengan bahawa untuk berjaya, kita mesti menyekat bangsa lain. Bahawa kemunduran kita disebabkan oleh bangsa lain.

Sudah lima dasawarsa, orang Melayu di puncak kuasa politik. Apakah kuasa itu tidak mampu digunakan untuk memajukan orang Melayu? Apakah kuasa politik itu tidak mampu menyanggah bangsa atau kelompok yang menghalang kemajuan orang Melayu? Kenapa mahu memegang kuasa jika sekadar menjadi itik tempang, tanpa mampu untuk bertindak.

Kita katakan kepada elit politik Melayu: Jangan mencari kambing hitam untuk mengalih perhatian daripada kesalahan kamu. Jangan persalahkan orang lain atas kegagalan kamu.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah orang Melayu kekal sebagai masyarakat feudal. Kini wujud kelompok bangsawan baru. Mereka ialah keluarga-keluarga yang mendominasi politik atas nama parti Melayu. Kedudukan dan kuasa dijadikan alat untuk mereka mengaut kekayaan jauh melebihi keperluan. Untuk mengukuhkan kedudukan mereka, diwujudkan satu sistem naungan, a patronage system yang tidak jauh berbeza daripada zaman feudal. Cuma alirannya songsang.

Dahulu sistem sosio-ekonomi orang Melayu menyaksikan pengaliran kekayaan ke puncak dan kuasa ke bawah.

Ketua kampung mengutip hasil dan menyerahkannya kepada penghulu dan seterusnya kepada pembesar dan akhirnya Sultan. Sebagai balasan, Sultan mengiktiraf hak dan kekuasaan pembesar dan pemimpin di pelbagai peringkat ini; untuk terus mengutip hasil bagi kegunaan mereka dan juga mengisi perbendaharaan negeri.

Kini pemimpin politik di peringkat nasional memberikan peluang ekonomi kepada pemimpin-pemimpin politik peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Kontrak, peluang dan bantuan kerajaan dimanipulasi untuk memberi habuan kepada mereka ini. Sebagai balasan mereka memberikan sokongan politik yang mengekalkan kuasa pemimpin atasan tersebut. Tidak mengapa andainya pemimpin itu tidak cekap, tidak mampu mentadbir. Malah andainya dia seorang pembunuh sekalipun tidak menjadi hal. Yang menjadi pertimbangan ialah apakah dia mampu terus memastikan habuan sampai kepada pemimpin-pemimpin politik peringkat bawah ini.

Sebagai pelengkap sistem ini, beberapa syarikat terpilih diberikan projek-projek besar. Mereka menjadi broker senjata dan mengaut kontrak berbilion ringgit. Komisen ratusan juta ringgit menjadi pelincir untuk menggerakkan jentera politik.

Bantuan dan peluang bernilai berbilion-bilion ringgit diberikan atas nama Melayu. Malangnya hampa. Amat sedikit sampai kepada orang Melayu yang benar-benar berhak dan perlu kepada bantuan.

Berbilion ringgit dibelanjakan untuk pertahanan. Tetapi malang, nyawa prajurit kita diperjudikan apabila pembelian dibuat hanya berdasarkan katalog, tidak diuji terlebih dahulu. Keselamatan negara dipertaruhkan dengan perbelanjaan yang tidak perlu. Harga dinaikkan melambung. Sedangkan jumlah perbelanjaan yang sama sepatutnya boleh membeli persenjataan yang lebih baik dan lebih banyak.

Angkatan Muda Keadilan telah menjadi pihak pertama yang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah agar siasatan dijalankan terhadap urusan pembelian helikopter daripada Eurocopter. Kita mahu siasatan mendalam dijalankan. Siapa yang mendapat manfaat dengan tidak sepatutnya mesti dikenakan tindakan.

Selama ini kita tidak pernah kompromi dengan rasuah. Kita terus mempertegaskan komitmen kita menentang rasuah.

Siapa sebenarnya khianat? Siapa pembelot?

Hakikatnya UMNO yang khianat kepada Melayu, MCA khianat kepada orang Cina dan MIC adalah pengkhianat kepada orang India.

Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan Pakatan Rakyat telah memberikan komitmen berulang kali untuk membela Melayu yang memerlukan, yang miskin dan layak mendapat bantuan negara. Namun kita tidak rela untuk menggunakan wang negara bagi terus mengkayakan seseorang hanya kerana dia saudara, anak, menantu atau proksi kepada orang tertentu.

Pada masa yang sama, apabila membentuk kerajaan, kita akan membantu setiap rakyat yang memerlukan. Malaysia cukup kaya untuk semua rakyatnya. Tetapi kekayaan negara tidak akan pernah cukup untuk memuaskan ketamakan walaupun seorang individu.

Sementelah pula semua parti rakan di dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan komitmen tidak berbelah bagi untuk menjamin Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Pada masa yang sama, peruntukan pertama di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas tanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan sah semua kaum.

Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Lantas sekarang apakah kita akan terus terpana dan terpukau dengan sentimen dan momokan perkauman? Apakah kita akan menolak seorang pemimpin yang cekap dan mampu hanya semata-mata kerana dia enggan mengatakan bahawa orang Cina atau India sebagai pendatang dan menumpang di negara ini?

Masanya telah tiba untuk kita menolak secara tuntas faham perkauman. Jangan kita tertipu dengan janji-janji kelompok perkauman bahawa yang mereka perjuangkan ialah kepentingan bangsa. Setelah lima puluh tahun mereka memerintah, kemiskinan masih merata, ada rakyat yang masih terpaksa minta-minta.

Kita dasarkan tindakan kita kepada keadilan. Siapa jua yang memerlukan dan layak kita bantu. Tanpa mengira warna kulit atau fahaman politik. Asas keadilan merentas bangsa ini yang dianjurkan oleh al-Quran kepada setiap orang beriman.

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Al-Maaidah: 8

Tidak ada gunanya kita mewujudkan permusuhan dan kebencian sesama kita. Tumpukan kebencian dan permusuhan kita terhadap amalan korupsi yang terus merebak dan membarah di negara kita. Benci kita ialah terhadap ketidakadilan, terhadap kezaliman, penahanan tanpa bicara dan perompakan kekayaan negara.

Cara hidup korup pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang menghalang kemajuan negara, menghalang kemajuan orang Melayu, Bumiputra, Cina dan India. Amalan rasuah dan penyelewengan yang memaksa orang Melayu terus hidup dalam kemiskinan. Betapa banyak sekalipun bantuan negara kepada orang Melayu, jika ia tidak sampai kepada mereka yang memerlukan sudah barang tentu tidak akan membantu keadaan mereka. Apabila yang merebut bantuan atas nama Melayu ialah elit politik, kemiskinan akan terus menjadi identiti orang Melayu.

Oleh kerana itu kita akan terus memimpin rakyat dalam menghadapi golongan elit politik ini. Kita tuntut bahagian yang seadilnya untuk rakyat miskin dan golongan menengah. Andai mereka enggan memberikan hak rakyat secara adil kita akan mengambil hak tersebut samada di dalam keadaan mereka suka ataupun tidak. Kerana mereka berlindung di sebalik penguasaan politik, maka kita akan runtuhkan perlindungan itu. Kita akan musnahkan politik perkauman yang mereka dokong.

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain daripada dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

Al-An’aam: 123

Kita berusaha melakukan perubahan kerana perubahan itu perlu. Kita mahu melakukan pembaikan, perubahan, reformasi untuk masa depan yang lebih baik. Kerana kita tahu jika dibiarkan, tidak diusahakan perubahan, keadaan akan semakin parah. Justeru kita mesti bertindak dan berusaha. Berjuang dan berkorban.

Jika kita enggan bertindak, sudah tentu kezaliman dan kejahatan akan bermaharajalela. Ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Edmund Burke, Ahli Parlimen Inggeris yang menyokong kemerdekaan koloni di Amerika: “Yang perlu untuk kemenangan pihak jahat ialah apabila orang yang baik tidak melakukan apa-apa”.

Pemimpin-pemimpin parti perkauman menjadikan kaum lain sebagai momokan untuk mewujudkan suasana tegang antara kaum. Ini untuk menutup pekung mereka yang saban hari membina kekayaan dengan menginjak golongan menengah dan bawahan. Apabila rakyat disibukkan dengan ancaman yang kononnya daripada kaum lain, operasi memunggah kekayaan negara yang mereka lakukan dapat berjalan lancar tanpa dicabar.

Kita mahu pembangunan dan peluang untuk semua. Kita mahu pembahagian kekayaan negara dengan adil. Justeru kita tidak akan dibisukan oleh dongengan perkauman. Kita akan menentang, mendedahkan rompakan yang mereka lakukan.

Masanya ialah sekarang. Masa untuk kita mewujudkan perpaduan tulen. Kita wujudkan suasana harmoni. Kenal-mengenal dengan sebaiknya. Secara jujur dan ikhlas. Kita hulurkan tangan untuk membina persefahaman yang tulen agar merungkai prasangka buruk.

Ini adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh al-Quran.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…

Al-Hujuraat: 13

Tidak ada alasan untuk kita bermusuhan atas perbezaan warna kulit. Setiap dan semua manusia adalah daripada keturunan yang sama. Malah setiap bahasa dan budaya, sebagaimana setiap bangsa, adalah diciptakan oleh Tuhan yang satu.

Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam)…

Al-An’aam: 98

Pun begitu, ini tidak bermakna kita akan lunak terhadap percubaan mana-mana kumpulan ekstrem, pelampau yang cuba mengambil kesempatan atas usaha kita membina keharmonian ini. Jangan fikir ini masanya untuk mereka membuat tuntutan yang bukan-bukan, mendesak itu dan ini. Hak dan kepentingan sah setiap kaum telah dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan. Hormati dan patuh.

Kita perlu mengasaskan persaudaraan dan kebencian kita kepada nilai. Nilai sifatnya konsisten, tidak berubah.

Andai sesiapa melanggar nilai dan undang-undang dengan mengamalkan korupsi misalnya, maka kita benci dan tentang perbuatan itu. Apakah patut seorang yang melanggar undang-undang dan nilai kehidupan kita dimaafkan hanya semata-mata kerana dia dari bangsa yang sama? Dan kita perlakukan sebaliknya kepada bangsa yang tidak sama dengan kita?

Di mana nilai keadilan yang kita imani?

Kita meminta sokongan rakyat bukan berasaskan kepada sentimen atau politik sempit perkauman. Andainya sokongan hanya mahu diberikan jika kita menindas dan merampas hak sah sesuatu kelompok, maka kita katakan tidak perlu diberi sokongan bersyarat sebegitu.

Kita minta mandat rakyat kerana kita punya keyakinan diri bahawa Pakatan Rakyat akan mampu melakukan yang lebih baik untuk rakyat dan negara Malaysia. Kita tidak perlu memainkan sentimen tetapi nilaikan prestasi kita berdasarkan kepada kerja buat kita dan kemampuan untuk memenuhi harapan rakyat.

Sebagaimana Al-Quran mengungkapkan kata-kata Nabi Yusuf alaihissalam kepada Raja Mesir:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

Yusuf: 55

Nabi Yusuf tidak meminta untuk menjadi menteri menjaga perbendaharaan Mesir kerana mahukan kuasa atau untuk kepentingan diri. Nabi Yusuf mempunyai keyakinan diri untuk melakukan yang terbaik tatkala Mesir di ambang kemelesatan ekonomi.

Andai kita mempunyai keyakinan bahawa kerajaan sedia ada mampu melakukan yang terbaik, untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan melebihi kepentingan peribadi, anak, menantu dan kroni, sudah tentu kita tidak perlu berjuang dan berusaha menukar kerajaan. Tetapi kerana kita telah melihat bagaimana Barisan Nasional ini dipimpin oleh mereka yang tidak kompeten, korup dan malah bongkak dengan kuasa; maka kita menawarkan alternatif.

Kita percaya Malaysia berhak ditadbir dengan lebih baik. Lantas kita menawarkan pemimpin yang telah membuktikan bahawa beliau mengetahui cara mentadbirnya dan mempunyai rekod menjaga negara ini dengan sebaik-baiknya. Kita tawarkan Anwar Ibrahim untuk Malaysia di kala dunia, dan semestinya negara kita juga, menghadapi kemelut ekonomi yang sangat mencabar.

Kemelut Ekonomi dan Iltizam Anak Muda

Dunia ketika ini menghadapi krisis ekonomi. Itu hakikat. Pemimpin-pemimpin utama dunia, pakar-pakar ekonomi mengakui bahawa kemelut ini sedang menyaksikan ekonomi global menghadapi apa yang dinamakan kehilangan bentuk (meltdown).

Di peringkat domestik, kita bakal berhadapan kehilangan peluang pekerjaan dan keperitan hidup yang bukan kepalang. Ini antara lain diakibatkan kejatuhan harga komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit di pasaran dunia. Kejatuhan harga petroleum di pasaran dunia juga akan menjejaskan keuntungan Petronas. Pada masa yang sama telah dan akan berlaku penurunan ketara pelaburan terus asing.

Rakyat biasa yang tanpa pengetahun ekonomi yang mendalam juga tahu hakikat risiko dan kesan krisis ekonomi ini.

Malah kini wujud ramalan pakar ekonomi bahawa Amerika Syarikat akan menghadapi krisis kredit yang lebih besar, sehingga mencecah US$3 trillion. Ini akan menjadikan, secara perbandingan, krisis semasa kerdil sifatnya dan kesan gelombang baru krisis ini akan melanda ke seluruh dunia. Malaysia tidak ada apa-apa peluang untuk mengelakkan bahana krisis ini. Kita mesti hadapinya dengan tabah.

Namun Angkatan Muda Keadilan amat kesal dengan usaha terdesak Menteri Kewangan cuba meyakinkan rakyat bahawa Malaysia akan terlepas daripada kemelut ini dengan hanya bersandarkan alasan bahawa asas atau fundamentals Malaysia kukuh.

Justeru yang dipertahankan ialah beberapa kerat pelabur, beberapa syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur. Wang rakyat, hasil simpanan pekerja di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, sekali lagi diperjudikan.

KWSP, yang ketika penubuhan Valuecap Sdn. Bhd. pada tahun 2002 menafikan penyertaannya di dalam syarikat pengurusan aset tersebut dan menegaskan bahawa dana amanah pekerja tersebut hanya “melabur di dalam syarikat-syarikat yang mempunyai asas yang kukuh, potensi pertumbuhan jangka panjang dan pengurusan yang baik”, kini diheret sama menyuntik RM5 billion ke dalam Valuecap.

Kemasukan dana KWSP sebanyak RM5 bilion ke dalam Valuecap Sdn. Bhd. tidak ada jaminan. Malah belum tentu pulangan atas dana tersebut akan lebih tinggi atau sekurang-kurangnya menyamai pulangan semasa yang diperolehi KWSP. Hakikatnya ialah wang simpanan pekerja sebanyak itu akan diperjudikan di Bursa Malaysia.

Penyertaan KWSP meningkatkan dana Valuecap sekali ganda. Sebelum ini wang rakyat – untuk pencen kakitangan awam daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen, pelaburan rakyat di Permodalan Nasional Berhad dan kekayaan negara yang diamanahkan di Khazanah Nasional – telah dipertaruhkan sebanyak RM5 bilion di Valuecap.

Apakah sebenarnya kejayaan Valuecap selama ini sehingga kerajaan yakin bahawa di kala krisis yang lebih parah ini, pertambahan RM5 bilion akan memberi kesan ketara. Apakah ekonomi Malayia dan kualiti hidup rakyat akan mendapat manfaat hasil peranan Valuecap?

Persoalan-persoalan timbul kerana Valuecap tidak mengamalkan ketelusan. Tidak ada maklumat didedahkan mengenai pelaburan-pelaburannya dan prestasi sebenar syarikat tersebut.

Dengan ini Angkatan Muda Keadilan Malaysia mendesak agar laporan penuh operasi Valuecap dibentangkan kepada Parlimen dan sebarang tindakan menggunakan dana rakyat yang besar seperti ini, tanpa mengira samada ia daripada KWSP, KWAP, PNB, Tabung Haji dan sebagainya, perlu dibentang, dibahas dan diluluskan Parlimen sebelum ia dilaksanakan.

Menggunakan secara sewenang-wenangnya dana rakyat, yang disimpan sebagai jaminan keselesaan di hari tua, tidak boleh diterima sama sekali. Perlu ada ketelusan dan akauntabiliti.

Cabaran ekonomi yang kita hadapi getir. Kelemahan pentadbiran kewangan dan ekonomi negara beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan Belanjawan Defisit dibentangkan secara berterusan. Kerajaan tidak punya iltizam untuk mengurangkan perbelanjaan, mengamalkan sikap berhemah. Perbelanjaan terus dilakukan di luar kemampuan dengan membebankan generasi mendatang dengan hutang yang semakin bertambah.

Walhal dalam stratergi belanjawan 2009, Paktan Rakyat telah membentangkan satu rancangan belanjawan yang berhemah, mengurangkan perbelanjaan dan mencari sumber-sumber hasil baru bagi mengecilkan defisit. Ini iltizam dan janji Pakatan Rakyat kepada Malaysia.

Kegagalan Barisan Nasional, dengan Menteri Kewangan yang tidak berpengalaman, telah menyebabkan prestasi ekonomi Malaysia terus merosot. Manakala negara-negara tetangga, khususnya Indonesia, menunjukkan peningkatan, Malaysia semakin ke belakang.

Terkini laporan United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008 menyatakan bahawa sepanjang tahun 2007 berlaku pengaliran keluar FDI daripada Malaysia secara besar-besaran sehingga mencecah RM38 bilion. Walhal pada 2007 kemasukan pelaburan terus asing hanya RM29 bilion. Meskipun meningkat daripada RM21 bilion sepanjang tahun 2006, perbezaan aliran bersih keluar FDI pada tahun 2007 ini sangat-sangat membimbangkan.

Dalam tempoh yang sama, negara-negara ASEAN lain telah menerima FDI yang meningkat ketara. Malaysia yang pada tahun 1995 berada pada tangga keenam di dunia daripada segi penerimaan FDI, kini hanya berada sekitar tangga ke enam puluh.

Ia adalah cerminan iklim pelaburan yang kurang menarik di Malaysia. Malah ia adalah kayu ukur keyakinan rendah pelabur asing terhadap kerajaan. Peraturan yang ketat dan leceh, rasuah, kegagalan menyediakan tenaga kerja mahir dan kadar jenayah yang meningkat menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pelabur asing.

Kesan pengaliran keluar pelaburan asing ini akan dirasi oleh rakyat. Pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terencat. Malah peluang pekerjaan akan terhad dan wujud risiko meningkatnya pemberhentian kerja.

Meski elit politik kebal daripada keperitan masalah ekonomi, mereka wajib prihatin dengan derita rakyat.

Kerajaan mesti sedar daripada khayalan kononnya negara tidak akan menghadapi masalah. Penggunaan strategi dan pendekatan lama sudah tentu tidak akan mampu mengatasi cabaran baru yang sedang kita hadapi.

Jawapan kepada kemelut ekonomi dunia ini ialah inovasi. Kerajaan perlu bersikap terbuka dan bersedia untuk mengaplikasikan pendekatan-pendekatan baru bagi meminimumkan impak kegawatan ekonomi dunia. Namun pendekatan-pendekatan ini mesti patuh sepenuhnya kepada prinsip-prinsip urustadbir yang baik.

Tumpuan kini seharusnya dialihkan daripada usaha sia-sia menyelamatkan beberapa syarikat di pasaran saham dan kroni yang mempunyai kepentingan di dalamnya. Tumpuan perlu diberikan kepada usaha memastikan rakyat mampu menghadapi kemelesetan ekonomi. Rakyat termiskin perlu terus diberikan bantuan. Rakyat kelas menengah, yang akan paling merasai keperitan, perlu diberikan sokongan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa agar satu Kongres Ekonomi Kebangsaan dipanggil untuk membincangkan strategi-strategi terbaik bagi menghadapi kemelut ekonomi. Pergantungan kepada Menteri Kewangan yang tidak berpengalaman dan Menteri Kewangan Kedua, yang pernah menyebabkan kerugian RM15 bilion dana Bank Negara selain mencetuskan idea Valuecap yang hanya memberi gambaran palsu bahawa pasaran saham kukuh, sama sekali tidak memadai.

Kongres ekonomi ini perlu melibatkan semua pihak tanpa mengira latarbelakang atau fahaman. Ia perlu bersifat inklusif dan konsultatif. Tidak ada sesiapa, apatah lagi yang mempunyai pengalaman ekonomi dan kewangan, patut diketepikan hanya kerana berbeza platform politik. Ini bukan masanya untuk meraih keuntungan politik, tetapi masa untuk menumpukan usaha dan tenaga kita. Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyatakan komitmen untuk bersama dalam usaha mencari konsensus pendekatan nasional terbaik bagi menghadapi dan seterusnya mengatasi masalah ekonomi.

Masalah yang kita hadapi ini serius. Justeru kita perlu serius menyatukan minda dan tenaga menghadapinya. Cuma kita harap jangan pula kerajaan bersikap telinga bagai telinga rawah – enggan mendengar hanya semata-mata kerana ia datangnya bukan daripada kelompok mereka – terhadap saranan, cadangan dan pandangan yang dikemukakan.

Saya kemukakan kepada kongres ini cadangan-cadangan strategi untuk menghadapi krisis ekonomi. Dokumen yang dilampirkan bersama ini menghuraikan pendekatan-pendekatan yang kita percaya akan dapat mencergaskan ekonomi dan mengurangkan kesan negatif kemelesetan kepada rakyat, khususnya golongan muda. Usaha-usaha serius ini mesti kita laksanakan sebagai ikhtiar nasional dengan bersungguh-sungguh.

Saya tidak berhasrat menjadi pembawa berita suram. Namun hakikatnya keadaan ekonomi adalah sukar dan saya benar-benar percaya ia akan menjadi lebih sukar. Lebih baik kita bersiap siaga menghadapi keadaan terburuk. Sekalipun jika nanti keadaan tidak seteruk itu, kita menjadi lebih bersedia. Jika kita sambil lewa, tertipu dengan cakap-cakap bahawa semuanya ‘tidak apa, semua baik-baik saja’; akibatnya mungkin kita tidak mampu menghadapi keperitan hidup yang mendatang.

Perubahan, pembaikan dan reformasi mesti kita laksanakan. Mesti kita lalui. Krisis ekonomi ini akan memaksa kita untuk melakukan reformasi di dalam sektor ekonomi dan terhadap urustadbir negara. Semoga daripada krisis ini, Malaysia sebagai sebuah negara akan muncul lebih kukuh dan perkasa.

Menegakkan Malaysia di atas paksi nilai

Telah sering kita ungkapkan keperluan untuk memastikan negara ini bersendikan nilai. Nilai adalah konsisten, tidak relatif. Pematuhan kepada nilai akan menjadikan kita sebagai sebuah negara lebih perkasa. Kita mahu Malaysia sebagai sinar yang menjadi pedoman dan ikutan negara-negara lain.

Semua agama dan peradaban mengajarkan nilai-nilai murni yang dasarnya sama. Tidak ada mana-mana agama yang menyuruh melakukan kezaliman, melakukan rasuah, membunuh atau menahan rakyat tanpa bicara.

Kita tegas menyatakan komitmen kita kepada pembentukan negara berpaksikan nilai. Membiarkan negara ini diperintah mengikut wewenang pemerintah akan terus menjerumuskan Malaysia ke kancah kemusnahan.

Justeru ayuh kita suburkan penghayatan nilai murni di dalam kehidupan peribadi, keluarga dan juga bernegara.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan dan pihak polis menyerang dan menahan rakyat yang berhimpun secara aman membantah kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri. Rakyat punya hak yang tidak boleh dicabuli untuk berhimpun secara aman.

Rakyat hanya melaksanakan hak asasi mereka menuntut perubahan di dalam negara tercinta. Penerusan akta zalim, drakonian warisan penjajah, yang menahan rakyat tanpa diberi peluang membela diri, malah tanpa dijelaskan sebab penahanan atau disokong oleh bukti, tidak boleh diterima sama sekali.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan tindakan golongan oportunis dan reaksioner yang terus mempertahankan akta zalim tersebut. Mereka memakai nama Islam tetapi mereka menolak prinsip Islam yang mengharamkan penahanan tanpa bicara.

Kepada mereka ini kita berikan peringatan daripada peringatan al-Quran.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian) api neraka akan membakar kamu…

Hud: 113

Islam amat mengutamakan keadilan. Islam memberikan penekanan khusus terhadap prosedur perbicaraan, tatacara pembuktian dan hak tertuduh untuk membela diri.

Fungsi mahkamah ialah untuk mencari keadilan dan kebenaran, bukan untuk mengabsahkan tindakan pemerintah menyumbat mereka ke penjara tanpa bicara.

Kita menyokong negara hukum dan kedaulatan undang-undang. Justeru sesiapa jua yang melanggar undang-undang perlu dihadapkan kepada mahkamah untuk diadili. Setiap mereka mesti mempunyai peluang untuk mendengar tuduhan dan bukti terhadap mereka dan membela diri.

Prinsip rukunegara, Kedaulatan Undang-Undang, kita dokong tanpa kompromi. Kita juga menjunjung prinsip rukunegara yang lebih tinggi yakni Kepecayaan Kepada Tuhan dan Keluhuran Perlembagaan.

Sebagai seorang Muslim saya percaya bahawa penahanan tanpa bicara adalah haram. Jika seorang muslim menyokong ISA ia adalah berlawanan dengan perintah agama. Justeru sekaligus bertentangan dengan perkara pertama Rukunegara. ISA juga mencabuli Keluhuhan Perlembagaan yang menjamin hak setiap rakyat.

Pemusatan kuasa mehanan dan menghukum di tangan pihak eksekutif adalah berlawanan dengan doktrin pemisahan kuasa yang diamalkan di Malaysia. Pihak eksekutif, melalui polis, hanya mempunyai kuasa untuk menahan. Mereka tidak ada kuasa menjatuhkan hukum. Ini adalah fungsi badan kehakiman.

Fungsi-fungsi ini tidak boleh sama sekali dicampur adukkan. Perundangan, kehakiman dan eksekutif mesti terus dipisahkan.

Meski akta zalim ISA, yang diwarisi daripada penjajah, ialah sebuah akta yang diperakukan oleh Parlimen; ia bertentangan dengan nilai. Ia mencabuli hak rakyat. Malah berlawanan dengan Perlembagaan. Ia melanggar doktrin pemisahan kuasa yang memandu pentadbiran negara Malaysia.

Secara moralnya ia salah. Secara prinsipnya ia salah. Kerana itu rakyat menuntut pemansuhan segera ISA.

Kita akan tegas menyuarakan tuntutan ini tanpa rasa gentar.

Barisan Nasional kini semakin terdesak. Kesedaran rakyat yang semakin tinggi memuncakkan penentangan terhadap mereka. Lantas individu dan kelompok sedar di kalangan rakyat cuba dibisukan dengan ancaman penahanan tanpa bicara dan pelbagai akta drakonian lain.

Hari ini kita katakan kepada BN: Mansuhkan ISA!

Rakyat tidak akan berkompromi lagi dengan kezaliman kamu. Tidak ada gunanya menggunakan beberapa budak suruhan untuk membela akta zalim. Masanya sudah tiba. Kezaliman akan dihentikan. ISA akan dimansuhkan.

Harapan baru akan menjadi realiti. Harapan rakyat akan menang.

Harapan Baru lwn. Harapan Palsu

Kita menjulang panji-panji harapan rakyat. Harapan baru Malaysia. Teraju kita ialah Anwar Ibrahim. Tanpa sebarang sifat apologetik kita telah war-warkan beliau sebagai calon Perdana Menteri. Ini konsensus, kata sepakat semua parti Pakatan Rakyat.

Untuk menzahirkan harapan tersebut, kita berterusan mengusahakan perubahan kerajaan. Kita mengungkapkan 16 September, Hari Malaysia, sebagai sasaran untuk berlaku pertukaran kerajaan.

Meski kini kita sudah melepasi tarikh sasaran tersebut akibat beberapa halangan, akibat budaya ketakutan (culture of fear) yang disemai di kalang Ahli Parlimen BN; kita konsisten dalam usaha menukar kerajaan.

Kita terpaksa mengubah pendekatan dan strategi. Namun perubahan akan pasti berlaku. Kehendak rakyat yang mahukan perubahan tidak boleh dinafikan. Tidak boleh ditahan lagi.

Manakala kita membicarakan mengenai harapan baru untuk menggantikan teraju kepemimpinan negara dengan Anwar Ibrahim, UMNO pula disibukkan dengan proses penukaran pemimpin utama mereka. Abdullah Badawi terpaksa melepaskan jawatan Presiden. Malang sekali pengganti yang ditawarkan ialah Najib Razak.

Tatkala negara berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sukar, UMNO menampilkan Najib yang tidak ada pengalaman mengendalikan kewangan negara sebagai teraju. Selaku Menteri Kewangan beberapa bulan ini, Najib telah menunjukkan bahawa beliau tidak tahu proses Parlimen. Angkuh dengan kuasa, beliau cuba memaksakan pindaan Belanjawan ke atas Parlimen. Ini ditolak kerana melanggar prosedur.

Pada masa negara-negara seluruh dunia mengumumkan langkah-langkah konkrit menghadapi krisis ekonomi, Najib hanya sekadar memberi jaminan kosong fundamentals Malaysia kukuh. Langkah awal yang diumumkan beliau hanya memberi manfaat kepada pemain-pemain saham. Malah pakej ransangan RM7 bilion seterusnya masih tidak menampakkan manfaat kepada rakyat atau membina keyakinan komuniti perniagaan.

Ketika bertugas sebagai Menteri Kewangan, skandal komisen pembelian senjata berlaku. Ratusan juta ringgit wang rakyat dibayar sebagai komisen pembelian senjata. Antara nama yang dikaitkan menerima habuan ialah Abdul Razak Baginda yang dikenali sebagai pembantu rapat kepada Najib.

Terkini, sebelum sahaja beliau meninggalkan Kementerian Pertahanan, berbilion ringgit wang negara hendak dibelanjakan bagi membeli helikopter Angkatan Tentera Malaysia. Kita akur dengan keperluan untuk membeli helikopter baru memandangkan yang sedia ada sudah usang dan memakan korban anggota tentera kita. Namun kenapa pembelian dibuat hanya berasaskan katalog? Tidak ada pemeriksaan fizikal apatah lagi percubaan. Malah pembelian dilakukan pada harga yang tidak munasabah. Jauh melebihi harga pembelian helikopter yang sama oleh negara-negara asing.

Apakah harapan yang ditawarkan kepada rakyat oleh seorang pemimpin seperti Najib ini? Harapan palsu.

Padahal kita menawarkan Anwar Ibrahim yang tatkala menjadi Menteri Kewangan mengungkapkan ingatan Nabi Yusuf alaihissalam dalam pembentangan belanjawan beliau. Kisah Nabi Yusuf yang mengendalikan perbendaharaan kerajaan Mesir itu menganjurkan strategi agar berjimat dan berhemah bagi menghadapi kemelesetan ekonomi.

Kerana itu sepanjang menjadi Menteri Kewangan, Anwar telah membentangkan belanjawan berimbang untuk tujuh tahun berturut-turut.

Menteri-menteri kewangan selepas beliau masih gagal untuk membentangkan belanjawan berimbang sehingga ke hari ini. Ketika ekonomi dunia relatifnya sekitar tahun-tahun 2002-2005, BN mengambil kesempatan untuk berbelanja besar, menyebabkan defisit. Hutang ini yang akan terpaksa ditanggung oleh kita dan generasi mendatang.

Calon Perdana Menteri BN, Najib kelihatan terpalit dengan urusan pembelian senjata yang ada elemen rasuah dan merugikan negara dan malah wujud tanggapan rakyat bahawa beliau terlibat dalam kes pembunuhan.

Calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim telah melalui ujian dan cabaran yang getir. Sepanjang enam tahun perbicaraan beliau, segala usaha dan juga tipu daya telah dilakukan oleh pemerintah untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang korup dan rosak moral. Namun sehingga kini tidak ada sebarang bukti kukuh dikemukakan. Saksi dan fakta yang dibentangkan tidak konsisten.

Sekiranya wujud sebarang bukti yang boleh menjejaskan nama baik dan kredibilit Anwar, apakah pemerintah masih mahu menyimpannya? Pemerintah mempunyai akses kepada segala kemudahan penyiasatan, risikan dan rekod. Sudah tentu mereka akan mendedahkan bukti yang ada terhadap Anwar Ibrahim sekiranya ia benar-benar wujud. Hakikatnya yang dikemukakan hanya saksi yang dipaksa dan tuduhan-tuduhan liar. Tidak ada bukti yang kredibel.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia tidak bersikap segan silu dalam menampilkan kredibiliti dan kemampuan Anwar Ibrahim. Kepentingannya bukan untuk beliau. Kepentingannya ialah kepada Malaysia. Sudah sampai masanya kita menobatkan putera terbaik Malaysia sebagai Perdana Menteri. Beliau memimpin harapan rakyat Malaysia.

Kita punya keyakinan penuh bahawa beliau akan mampu melakukan yang lebih baik untuk Malaysia. Krisis ekonomi yang melanda kini akan menjadi medan untuk Malaysia melonjak ke tahap yang lebih hebat.

Pilihan kini di tangan rakyat. Pasrah menerima seorang yang terlibat dalam rasuah pembelian senjata dan dilihat umum terlibat dalam pembunuhan; atau berjuang untuk menzahirkan Harapan Baru dan menerima seorang pemimpin yang terbukti berjaya sebagai Menteri Kewangan menjadi Perdana Menteri.

Apa pilihan saudara – pasrah atau terus berjuang?

Memperkasa kerajaan rakyat

Kejayaan Pakatan Rakyat memperolehi majoriti di lima negeri dan pertambahan besar kehadiran kita di Dewan Rakyat tidak seharusnya dianggap sebagai penghujung perjuangan untuk dirayakan.

Kita belum mencapai kemenangan yang hakiki selagimana harapan rakyat agar negara Malaysia yang aman, demokratik dan adil; bebas daripada penindasan, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa; di mana hak setiap rakyat dijamin dan dilindungi; dengan peluang yang adil terbuka untuk semua; setiap warganya hidup dalam harmoni dan merdeka daripada perseteruan ras dan warna kulit; dan setiap rakyat yang mahu berusaha mampu untuk hidup selesa dan bebas daripada kemiskinan; menjadi realiti.

Matlamat perjuangan kita bukan sekadar untuk menguasai majoriti di Dewan-dewan Undangan Negeri mahupun di Dewan Rakyat.

Matlamat kita ialah untuk melakukan perubahan, reformasi, dalam erti kata yang sebenar dengan sedaya upaya kita.

Iltizam ini yang kita jiwai daripada al-Quran, lewat kata-kata Nabi Syuib alaihissalam:

…aku hanya bertujuan hendak melakukan pembaikan (islah) sedaya upayaku…

Hud: 88

Justeru kesempatan dan peluang yang diberikan rakyat, amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk mentadbir lima negeri ini jangan kita khianati. Harapan rakyat kita pimpin dengan sebaiknya, amanah rakyat kita junjung untuk menzahirkan kemenangan hakiki.

Amanah mentadbir negeri-negeri bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Bukan perkara enteng. Maka kita mesti faham dan terima dengan sangkaan yang baik dan hati terbuka akan segala kepincangan dan masalah yang dihadapi oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada peringkat awal. Begitulah lumrah perubahan.

Pada awalnya bergelombang sebelum stabil dan menjadi lebih baik. Tidak mudah untuk merobah kepincangan, cara hidup rasuah dan penyelewengan akibat 50 tahun pemerintahan quasi-diktator Barisan Nasional.

Pengalaman negara tetangga, Indonesia, dalam menangani dan memimpin perubahan harus kita tinjau dan pelajari. Tamatnya Orde Baru Indonesia menjerumuskan negara tersebut ke kancah kegawatan, baik ekonomi, politik mahupun keselamatan. Namun kini Indonesia sebanding dengan gergasi Asia, India. Tahun lalu ekonominya berkembang pada kadar 6.3 peratus, pasaran saham utamanya adalah antara yang mencatatkan prestasi terbaik di seluruh dunia sejak tahun 2003. Empat tahun lalu, hutang kerajaan Indonesia adalah 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, tetapi kini ia hanya 33% daripada KDNK, antara yang paling rendah di kalangan negara-negara Asia.

Indonesia mencapai kejayaan hari ini bukan semata-mata dengan membuat beberapa perubahan kecil dan kosmetik. Perubahan paling asasi ialah Perubahan Hukum atau undang-undang. Urustadbir yang baik (good governance) dan usaha memerangi rasuah menjadi keutamaan.

Daripada sebuah negara yang memusatkan kuasa di Jakarta, kini kuasa di Indonesia terpencar (decentralised) ke pelbagai peringkat. Meski ini memaksa Jakarta untuk mengadakan perundingan meluas dan mendapatkan konsensus sebelum keputusan dibuat, ia adalah langkah yang tepat ke arah menjadikan republik tersebut benar-benar demokratik.

Perubahan hukum dan struktur ini ternyata memberikan kesan positif kepada ekonomi dan ikhtiar pembangunan negara tersebut. Rakyat kini menjadi keutamaan. Menurut Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhiyono, membasmi kemiskinan dan pengangguran terus menjadi agenda penting.

Sebaliknya Malaysia, yang suatu masa dahulu ialah antara negara membangun yang paling cemerlang prestasinya, kini terus-terusan merosot. Ini kerana pemimpin-pemimpin rejim memerintah di Malaysia terus-terusan menolak perubahan, menolak inovasi dan kreativiti. Mereka berpegang kepada cara lama yang telah memungkinkan mereka memegang kuasa sebegitu lama.

Mereka takut kepada perubahan dan reformasi. Sedangkan rakyat menuntut perubahan kerana pemerintah sudah hilang kompas kehidupan. Kini kepentingan peribadi, anak menantu dan keluarga menjadi keutamaan. Agenda membasmi kemiskinan, membela rakyat kini terabai. Segala teguran dan kritikan rakyat ditolak ke tepi sebagai ‘usaha jahat’ untuk menjatuhkan mereka.

Sebagaimana kemajuan ekonomi berkait rapat dengan perubahan hukum, keengganan pemimpin BN untuk patuh kepada undang-undang dan hukum menjadi petanda kepada masa depan ekonomi yang lebih parah.

Sepuluh tahun yang lalu kita menyatakan ikrar. Kita berjanji untuk setia kepada perjuangan membela rakyat. Kerana kita pejuang, kerana kita telah menjanjikan alternatif yang lebih baik berbanding BN, maka tidak dapat tidak kita mesti berusaha keras untuk melakukan yang lebih baik. Kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Justeru kita menyeru kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat untuk membuka minda. Bersedia menerima cadangan dan kritikan rakyat. Aktivis parti adalah jurubicara rakyat. Justeru kita utarakan pandangan dan rintihan rakyat. Di kala yang sukar akibat perubahan politik dan cabaran ekonomi, pandangan semua pihak perlu disatukan dan digembling bersama.

Pergantungan kepada birokrasi semata-mata, atau lebih malang kepada aparat-aparat BN, sudah tentu tidak memadai. Sudah barang tentu menjadi lelucon untuk kita terus membiarkan anasir-anasir BN berleluasa dan mengakar di dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Selama ini kita mengkritik mereka sebagai rasuah, khianat kepada amanah rakyat dan sebagainya. Kita mengambil risiko, bermati-matian menentang mereka di dalam pilihanraya kerana kita mahu menggantikan mereka dengan pemimpin yang berintegriti di semua peringkat.

Sekarang rakyat telah memilih kita. Rakyat mahu kita melakukan perubahan. Salah satu perubahan yang telah kita janjikan ialah untuk membersihkan kerajaan daripada kebobrokan UMNO-Barisan Nasional.

Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?

Rakyat mahu kita mencabut dan membersihkan pengaruh dan amalan korup UMNO-BN daripada pentadbiran kerajaan sehingga ke akar-akarnya.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh. Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dokong.

Perubahan besar sebegini sudah tentu sukar. Begitulah sifatnya reformasi.

Angkatan Muda Keadilan mahu ahli-ahli parti, termasuk daripada Angkatan Muda, diberikan peluang yang adil dan tidak diketepikan dengan alasan yang bukan-bukan. Buat keputusan dengan objektif. Sekiranya layak, berikan peluang. Sekiranya perlu kepada latihan, berikan latihan. Jangan berselindung di sebalik alasan mudah ‘tiada pengalaman’.

Kita tidak ada pengalaman kerana selama ini UMNO-BN menghalang pendokong-pendokong reformasi dan keadilan daripada mendapat peluang. Sepuluh tahun kita dinafikan peluang semata-mata kerana kita menentang BN. Apakah kini selepas tsunami politik, setelah berlaku perubahan, kita terus dipinggirkan? Kini atas alasan tiada pengalaman pula.

Benar kita tidak ada pengalaman. Kita tidak ada pengalaman untuk menghalalkan amalan rasuah dan penyelewengan harta rakyat.

Sekiranya pengalaman rasuah yang menjadi prasyarat utama, sekiranya struktur dan watak lama terus memainkan peranan di dalam kerajaan Pakatan Rakyat, maka tunggu sahaja rakyat membuat perubahan sekali lagi. Perubahan yang sudah tentu memeritkan.

Tidak ada alasan untuk rakyat memilih kita andainya kita sama sahaja dengan BN. Rakyat mahukan perubahan lalu menolak mereka yang cuba menyekat arus perubahan. Rakyat mahukan kepemimpinan yang segar. Itu yang kita tawarkan. Kita mempunyai kerangka pemikiran yang betul dan pegangan prinsip yang jitu. Kemahiran dan kepakaran kita semai dan pupuk bersama.

Pemimpin-pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan yang sangat cemerlang. Profesor dan pakar di dalam pelbagai bidang. Kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak diangkat memainkan peranan utama memberi sumbangan dalam perencanaan dan operasi kerajaan-kerajaan negeri?

Angkatan Muda Keadilan tidak bersedia untuk membiarkan amanah kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri-negeri disia-siakan. Kita komited kepada perjuangan membela rakyat. Maka kita akan pertahankan amanah kuasa ini kerana ia adalah instrumen utama untuk membela rakyat.

Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan. Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus.

Kita kutip pengalaman sebuah kerajaan negeri di India yang mempunyai seorang Ketua Menteri yang cemerlang pemerintahannya, cekap pentadbirannya, meningkat ekonomi negeri di bawa pengurusannya. Tetapi beliau akhirnya tewas di peti undi. Kalahnya juga cemerlang. Ternyata ilmu memimpin beliau tidak sehebat ilmu mengurus. Beliau gagal membina keyakinan rakyat, kesetiaan para petugas parti untuk terus memberikan sokongan kepada beliau.

Bagi kita, menyelamatkan kerajaan negeri sudah tentu jauh lebih penting daripada karier politik seseorang.

Di kala kita menuntut peranan yang lebih luas untuk aktivis parti, kita juga tidak akan berkompromi dengan perilaku yang menyeleweng daripada prinsip atau khianat kepada amanah rakyat. Rasuah akan terus kita perangi sebagaimana sebermula pergerakan kita. Dengan nafas yang sama, kita menolak sebarang percubaan untuk menjadi penjaga pintu (gatekeeper) kepada peluang-peluang di negeri-negeri, mahupun di peringkat persekutuan nanti.

Kerana itu kita mahu sistem yang telus di dalam pengurusan projek kerajaan negeri. Pakatan Rakyat mesti ke hadapan dengan mengamalkan tender terbuka yang adil. Pengurusan sumber negeri mesti dilakukan dengan bijaksana. Matlamat kita ialah kesejahteraan menyeluruh untuk semua rakyat, bukan semata-mata pertimbangan ringgit dan sen.

Justeru kita menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk mengkaji semula pendirian menjual tanah-tanah kerajaan negeri secara terus dan menolak amalan perkongsian pintar kerajaan dan pemaju. Benar, jualan terus akan memberi keuntungan wang ringgit yang lebih kepada kerajaan negeri. Tetapi kita meminta dipertimbangkan kaedah bersesuaian untuk membantu usahawan yang mempunyai kepakaran dan kemampuan tetapi tidak mempunyai kekuatan kewangan. Kerajaan di lima negeri Pakatan Rakyat mesti menjadi kerajaan yang benar-benar mesra rakyat. Kita tidak boleh hanya intim dengan perniagaan besar dan pemodal kaya.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memberikan pandangan-pandangan ini dengan penuh kesedaran bahawa keadaannya seperti anak dengan bapa. Akibat didesak kecintaan yang mendalam terhadap kesejahteraan keluarga, anak terpaksa menyuarakan pandangan. Meski ia mungkin bukan kelaziman bagi bapa. Meski ia sesuatu yang payah dilakukan dan sukar pula untuk diterima. Anak terpaksa melakukannya.

Kerana kita cintakan parti ini. Kerana kita cintakan rakyat. Kita perteguhkan keyakinan untuk menyuarakan pandangan dan menyampaikan harapan.

Angkatan Muda Perkasa

Saya menerima amanah sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan di kala gerakan kita hampir-hampir runtuh. Tindakan bekas Ketua bersama-sama sebahagian generasi pengasas Pemuda Keadilan keluar daripada parti menjadi cabaran yang getir kepada gerakan kita.

Kita berhadapan dengan cabaran samada untuk meneruskan satu gerakan anak muda yang lemah dan sekadar wujud; atau satu gerakan yang cergas dan perkasa. Kita memilih untuk mewujudkan satu gerakan anak muda yang perkasa dan mampu memberikan impak. Cerdas dan cergas. Terus menjadi pendahulu dan ikutan rakyat.

Meski orientasi kita kekal tegas dan berani, pendekatan telah kita sesuaikan dengan perubahan. Kita bukan sahaja hanya bertindak menyerang dan menyanggah kepincangan BN. Kita memberi fokus kepada usaha membina institusi, memperkemas latihan dan memperkukuhkan kualiti kepemimpinan di setiap peringkat.

Berkat keyakinan kita terhadap parti ini dan misi perjuangan; hasil iltizam dan komitmen; usaha keras dan pengorbanan; dengan dipandu kesatuan hati dan persaudaraan antara kita; Angkatan Muda Keadilan Malaysia telah kita bina semula.

Kita kumpul tenaga dan kekuatan untuk merungkai segala permasalahan yang terdapat di dalam gerakan kita. Natijahnya hari ini sebelas orang anak muda daripada parti kita menjadi wakil rakyat. Syabas dan tahniah.

Angkatan Muda Keadilan adalah berbeza dan akan terus membezakan diri daripada organisasi-organisasi pemuda parti-parti politik lain. Kita menawarkan asas perjuangan dan pendekatan yang segar, yang dapat menangkap imaginasi generasi muda. Sebagai satu-satunya gerakan anak muda yang komposisi ahlinya mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia, kita mampu mengutarakan secara tulen kepentingan semua pihak secara adil.

Orientasi politik bukan perkauman atau non-racial politics ini ialah politik masa depan negara kita. Sebuah negara majmuk seperti Malaysia memerlukan politik yang juga jamak sifatnya.

Di kala perubahan besar dewasa ini, kita harus bersedia melonjakkan Angkatan Muda Keadilan Malaysia ke lapangan yang lebih tinggi. Kita perlu susun semula strategi dan pendekatan. Ini penting untuk memastikan kita akan kekal relevan dan mampu memainkan peranan utama dalam memimpin harapan rakyat, khususnya di ambang pertukaran kerajaan ini.

Golongan muda yang merupakan lebih dua juta daripada pengundi berdaftar di Malaysia adalah satu kuasa politik yang dinamik. Mereka bebas untuk memberikan sokongan kepada sesiapa jua yang dilihat sebagai mampu memenuhi harapan mereka. Cocok dengan semangat dan pemikiran mereka.

Justeru kita mesti sentiasa dekat dengan mereka. Sentiasa mampu menjiwai semangat sezaman generasi muda.

Di dalam pilihanraya umum yang lalu, pengundi muda telah memberikan sokongan meluas kepada Pakatan Rakyat. Mereka menzahirkan kehendak mereka terhadap perubahan melalui peti undi.

Oleh itu kita perlu merangka pendekatan yang segar dan dinamik lewat Pilihanraya Umum Keduabelas yang baru lalu agar kita mampu memainkan peranan utama memimpin harapan generasi muda.

Kita gariskan di sini tigas teras utama yang akan menjadi fokus usaha kita dalam setahun yang akan datang. Saya percaya fokus-fokus ini akan membantu meningkatkan kualiti Angkatan Muda Keadilan dan memperkasakan gerakan kita.

Pembudayaan Ilmu

Bagi memastikan kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan di semua peringkat mampu dan bersedia, kita akan mengarus perdanakan Budaya Ilmu. Adalah menjadi kewajipan, khususnya pemimpin di semua peringkat, untuk menjadikan membaca sebagai amalan. Tidak memadai untuk bertukar-tukar pandangan di kedai-kedai kopi semata-mata. Buku yang membicarakan topik-topik serius perlu dibaca, dibincangkan dan dihadam.

Dengan cara ini kualiti kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan akan meningkat. Kita tidak mahu lagi ada yang memperlecehkan pemimpin Angkatan Muda Keadilan kerana tidak mampu membicarakan dengan baik perkembangan-perkembangan dunia dan negara.

Namun ini tidak bermakna kita mahu pemimpin Angkatan Muda Keadilan secara tiba-tiba menjadi ahli akademik. Menghayati budaya ilmu ialah dengan menjadikan proses mendapatkan ilmu itu sebagai amalan, sebagai rutin. Pada peringkat mana sekalipun kita bermula adalah tidak penting. Asalkan kita tekun dan bersungguh-sungguh menambahkan ilmu dan mempraktikkannya.

Kerana itu Ucapan Dasar kali ini membicarakan dengan mendalam isu-isu utama yang kita hadapi, khususnya ekonomi. Sepanjang setahun yang mendatang, Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan berusaha menerbitkan bukut-buku berkualiti yang membincangkan antara lain sudut pandangan anak muda terhadap isu-isu semasa, cadangan-cadangan kita untuk menanganinya dan masa depan yang mahu kita bina.

Kita juga sedang dalam usaha menubuhkan satu pasukan petugas khsusus untuk mengendalikan penerbitan berkala Angkatan Muda Keadilan. Makalah ini akan berbeza daripada akhbar kerana ia akan memuatkan perbincangan yang relatifnya lebih mendalam termasuk perkembangan di peringkat dunia, analisa ucapan dan penulisan penting pemimpin-pemimpin, ulasan buku dan sebagainya.

Tatkala kita meminta rakyat untuk melakukan perubahan, Angkatan Muda Keadilan juga mesti sedia berubah. Kita harus terus-terusan meningkatkan kualiti individu dan sekaligus menambahkan kualiti gerakan secara kolektif.

Penstrukturan Semula Skema Latihan

Biro Latihan akan mengkaji semula dan menyegarkan skema latihan kita. Oreintasi kita bukan lagi sekadar memimpin penentangan. Kini kita memikul tanggungjawab membantu pentadbiran negeri dan pelaksanaan dasar.

Justeru latihan kita akan memberikan tumpuan kepada pemahaman bagaimana untuk kita berperanan di setiap peringkat bagi merealisasikan misi kerajaan negeri.

Bagi negeri yang masih di bawah pemerintahan BN, skil untuk menyusun masyarakat dan menubuhkan operasi sokongan kepada rakyat akan diterapkan. Pewujudan operasi sokongan rakyat yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat ini diharap akan meningkatkan keyakinan kepada parti dan calon kita di masa hadapan.

Tambahan pula mungkin pada bila-bila masa sahaja berlaku pertukaran kerajaan. Justeru jentera Angkatan Muda Keadilan di seluruh negara perlu digerakkan untuk bersedia melaksanakan tugas sokongan kepada Kerajaan Rakyat yang baru.

Dalam kerangka persiapan pilihanraya, kita juga akan memulakan awal usaha mengenalpasti dan melatih pemimpin-pemimpin berpotensi untuk menjadi calon. Mereka yang berhasrat dan berpotensi untuk menjadi calon perlu bersedia untuk memulakan gerak kerja daripada awal.

Gerak kerja perlu bermula sekarang dan bukan tatkala Parlimen dibubarkan. Kali ini, insyaALlah, kita akan menghadapi pilihanraya dalam keadaan yang lebih tersusun dan bersedia.

Tahun ini akan meyaksikan pelaksanaan skim latihan yang agresif. Tahun lalu kita disibukkan dengan persiapan menghadapi pilihanraya. Kali ini kita akan memberikan fokus mempersiapkan pemimpin dan ahli Angkatan Muda Keadilan dengan latihan. Saya menggesa saudara semua agar bersedia memberikan komitmen kepada program-program latihan kita.

Memperkasakan keahlian

Kita akan meneruskan dengan usaha menambah keahlian termasuk ahli seumur hidup. Tumpuan juga akan diberikan kepada meningkatkan dan memberdayakan penyertaan wanita muda.

Sebagai sebahagian daripada strategi ke arah tersebut, kita akan memberikan ruang yang lebih luas kepada wanita muda di dalam kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Negeri dan Bahagian. Kajian terhadap Peraturan Tetap dan peruntukan Perlembagaan Parti akan dilakukan bagi merumuskan perubahan peraturan yang akan dapat menggalakkan partisipasi wanita muda.

Kita juga menggesa parti untuk membuat keputusan yang jelas mengenai status penyertaan wanita muda di dalam parti. Apakah wanita yang berada di bawah umur 35 tahun boleh terus menyertai sayap Wanita atau mereka akan berada di dalam Angkatan Muda. Sekiranya kebijaksanaan pemimpin utama parti menetapkan bahawa wanita muda perlu semuanya berada di dalam sayap Wanita, kita akur. Jika mahu mereka berada di dalam Angkatan Muda, kita percaya itu tindakan progresif yang lebih baik.

Puteri Reformasi Yang Berhormat Puan Nurul Izzah Anwar telah mula memainkan peranan aktif dalam Angkatan Muda Keadilan Malaysia dengan mempengerusikan sekratariat Ahli Parlimen dan ADUN daripada Angkatan Muda Keadilan. Sekretariat ini berperanan memberi sokongan kepada wakil-wakil rakyat kita. Ia juga berfungsi menyelaraskan usaha kita menyalurkan suara hati generasi muda ke Parlimen dan Dewan-dewan Undang Negeri.

Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang, saya percaya Sekretariat ini juga akan dapat melaksanakan program-program membina inspirasi dan semangat di kalangan ahli-ahli baru atau bakal ahli.

Selain strategi meningkatkan kualiti ahli sedia ada melalui Budaya Ilmu dan pengukuhan skim latihan, sepanjang tahun yang akan datang juga kita akan berusaha mendapatkan lebih ramai anak-anak muda yang berkebolehan tinggi dan berjaya di dalam kehidupan – tidak kira daripada aspek akademik, karier, sukan, seni atau sebagainya, untuk menjadi kader Angkatan Muda Keadilan.

Testamen Politik Angkatan Muda Keadilan

Masanya telah tiba. Sepuluh tahun lalu kita percaya kepada perubahan yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim. Kita berusaha meyakinkan rakyat yang pada suatu masa dulu ragu-ragu, takut untuk menghadapi perubahan. Akibat terpedaya dengan propaganda dan tipu daya yang dibuat BN dan konco-konconya, rakyat menjadi serba salah.

Kita angkat suara rakyat dan pimpin harapan mereka. Kini kita benar-benar menyaksikan perubahan.

Kita telah menyaksikan bagaimana jutaan pengundi mengalih sokongan daripada rejim lama kepada Harapan Baru. Generasi muda memperlihatkan keberanian mereka untuk berubah. Berubah daripada dogma perkauman sempit kepada agenda perubahan yang dinamis.

Perubahan ini bukan secara tiba-tiba. Sebagaimana perubahan di seluruh dunia dimulai dengan perubahan-perubahan kecil, sikap rakyat biasa dan tindakan-tindakan berani secara sembunyi-sembunyi; begitu juga sifatnya perubahan di negara kita. Usaha keras para pendokong keadilan memungkinkan perubahan itu mengakar luas dan membuahkan hasil.

Justeru kini kita berada di persimpangan. Apakah kita mahu terus leka dan alpa tanpa langkah diorak, atau memperkemas usaha mengatur pencak.

Harapan rakyat bukan mainan, harapan rakyat bukan gadaian. Harapan rakyat satu azimat, harapan rakyat menyerlahkan tekad.

Maka;

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menanam tekad dan iltizam memimpin generasi muda Malaysia untuk:

1. Menggarap agenda perubahan dengan menyatukan generasi muda Malaysia dalam satu barisan;
2. Memperkasa gerakan anak muda dengan elemen pengukuhan jatidiri dan pembudayaan ilmu agar bersiap siaga menjadi pemimpin tatkala diperlukan;
3. Memecahkan tembok perkauman untuk memartabatkan hak rakyat dan nilai insani;
4. Menyebar luas faham demokrasi yang utuh dan tulen demi menjunjung ketuanan rakyat; dan
5. Mendepani arus perjuangan untuk memimpin harapan rakyat dan merealisasikan Harapan Baru untuk Malaysia.

Ayuh generasi muda! Kita pupuk jiwa merdeka, kita pugar semangat juang nusa, kita pimpin harapan rakyat!

7 thoughts on “Memimpin Harapan Rakyat

  1. Tahniah… Ucapan yang bernas… Berilah peluang kepada Parti keADILan Rakyat bersama2 rakan didalam Pakatan Rakyat memerintah dahulu dan lepas tu baru berikan komen anda. Syabas teruskan perjuangan.

  2. Salam perjuangan Abg SAM.

    Tahniah2…. Benar kata Azmi… Kita patut memberi peluang yg seluas-luasnya kpd Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat memerintah… Saya yakin PKR & PR berkemampuan…. Hanya org yg tidak faham dgn perjuangan PKR sahaja akan mengecam PKR…… Saya rasa Abg SAM perlu memberi penerangan kpd golongan sebegini terutamanya di Melaka ini, tentang Apa itu PKR?… Anda semua dijemput utk melawat blog saya yg telah dikemaskini ^_^

  3. syaabass…pidato emangnya ampuh dan jitu, perjuangan dgn iltizam pr kini temui taek n ampeh tinggalan BN umeno di negeri-negeri pr. glumang baunya busuk teramat, namun pr sangat mampu untuk menyamak najis keparat 2, jom bersama kembalikan hak dan keadilan milik rakyat jelata.

  4. Pingback: Memimpin Harapan Rakyat « Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s