DEBAT : HARI INI MEMBENTUK KERAJAAN, ESOK TURUN HARGA MINYAK !
Posted Julai 14, 2008 by Shamsul IskandarCategories: Aktiviti, KeADILan, Pakatan Pembangkang, Politik
Laporan dan gambar yang dipetik dari www.harakahdaily.net bertarikh 14 Julai 2008 -
Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Mon | Jul 14, 08 | 5:24:44 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai.
Menurutnya, pihak polis telah mengadakan kawalan ketat sekitar Pasar Seni atau Central Market sejak pagi tadi sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta orang ramai yang berkunjung di sana.
“Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.
“Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit,” katanya.
Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.
Bercakap kepada media di pekarangan Pasar Seni, beliau melahirkan kekesalan yang bertindak secara tidak profesional dengan menghalang beliau bercakap dengan pihak pemberita.
“Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik,” tegasnya.
Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.
“Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.
Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.
Beberapa trak polis, FRU, motosikal, van dan kereta peronda berbaris panjang di sepanjang jalan dan sisi pasar seni mengundang tanda tanya orang ramai yang lalu-lalang.
Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.
“Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.
“Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.
“Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.
“Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - mks.
Saya berada di Hotel Seri Malaysia, Temerloh pada 12/7/07 kerana menghadiri latihan kepimpinan Angkatan Muda KeADILan peringkat negeri Pahang. Program latihan ini merupakan inisiatif ketua AMK Pahang yang baru, Sdr Rizal yang turut memberikan pengisian di dalam latihan ini.
Saya telah memberikan pandangan tentang realiti-realiti baru parti dan juga ‘a way forward’. Penting untuk AMK muncul sebagai gerakan anak muda yang mempunyai asas ilmu dan idea yang kuat di samping memperkasa kegiatan dan aktiviti bersama rakyat.
Pada keesokan harinya, saya menghadiri mesyuarat AMK negeri. Ramai muka-muka baru yang hadir dan mereka didokong oleh kepimpinan awal. Syabas kepada pimpinan negeri yang memberikan komitmen tinggi untuk berpartisipasi secara aktif di dalam setiap pengisian program termasuk kuliah Subuh dan riadah.
Tahniah kepada sdr Rizal, Zulfikar dan rakan2 lain.
Pidato Pentas Pemuda AMK di Dewan MBSA Seksyen 19, 13 Julai, pada jam 8.30 malam.
Pemidato adalah:
Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin;
Naib Ketua AMK Malaysia merangkap ADUN Batu Caves, YB Amirudin Shari;
Naib Ketua AMK Malaysia, Khairul Annuar Ahmad Zainudin;
Ahli MPT KeADILan merangkap MP Kapar, YB Manickavasagam.
Sila datang beramai ramai untuk sesi menjawab FITNAH dan TOHMAH Ezam dan Khir Toyo.
10 Julai 2008
KENYATAAN AKHBAR KETUA PEMBANGKANG
Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2)
Sebentar tadi saya dengan diiringi wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membawa satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).
Usul tersebut berbunyi:
“Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.”
Pilihanraya Umum ke-12 menyaksikan ‘Tsunami Politik’ yang mengakibatkan 5 negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sekaligus menafikan penguasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional.
Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah. Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas PRU walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikkannya. Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme. Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung-jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara.
Perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap YAB Perdana Menteri dan kabinet beliau. Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi Polis, Peguam Negara dan Badan Kehakiman, Peningkatan kadar jenayah dan gejala Rasuah yang semakin membarah.
Kami yakin Dewan yang mulia ini wajar membincangkan Usul yang dikemukakan ini.
Sekian, terima kasih.
YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh

gambar ihsan daripada Harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuatnya di sini pada 4 Julai lepas.
Shamsul Iskandar yang ditemani Naib Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua AMK Kuala Lumpur Md Zaman Md Tasi serta beberapa exco, tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman pada pukul 11 pagi.
Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung satu laporan yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi yang menyebut bahawa beliau percaya wujud unsur paksaan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam menarik balik Akuan Bersumpah pertamanya dan membuat akuan bersumpah keduanya berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Shamsul Iskandar berkata beliau dimaklumkan polis bahawa siasatan terhadap laporan yang dibuatnya itu akan dimulakan justeru keterangan beliau diperlukan bagi membantu siasatan.
“Kini sudah ada dua akuan yang dibuat P.Balasubramaniam. Apabila sudah ada dua akuan, ia menjadi lebih penting untuk kita tahu mana satu yang benar, sama ada yang pertama atau yang kedua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pintu masuk JSJK di sini hari ini.
“Sesudah diambil keterangan saya nanti, saya minta agar keterangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula diambil. Ini perkara serius, ini bukan tuduhan biasa. Ini Akuan Bersumpah, siasatan segera dan menyeluruh harus dijalankan.
Ketika Balasubramaniam membuat akuan bersampah keduanya, penyiasat persendirian itu menjelaskan bahawa akuan bersumpah pertamanya adalah tidak tepat dan tidak benar serta dibuat dalam keadaan tertekan.
– BERNAMA
Saya di panggil ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, 10/7/2008, jam 10 pagi untuk direkodkan keterangan susulan daripada laporan polis terhadap Najib Tun Razak baru-baru ini.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Komentar Pengunjung