PKR Bukti Kejujuran, Keikhlasan Terhadap Pakatan Rakyat

Oleh Khalid Samad

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PKR yang mempunyai keberanian dan ketegasan untuk mengambil tindakan terhadap Zul Nordin. Walaupun berhadapan dengan kemelut peristiwa MP yang melompat, PKR masih tetap sanggup melakukan apa yang diperlukan untuk menjamin kestabilan PR. Walaupun mereka sedar bahawa pemecatan Zul akan menyebabkan PKR kehilangan satu lagi kerusi parlimen dan DAP akan mempunyai satu kerusi lebih dari PKR, namun mereka terus bertindak tegas. Syabas!

Tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR terhadap PR. Sekiranya mereka mementingkan diri mereka semata-mata dan meletakkan PR sebagai perkara yang tidak begitu penting di mana PR di letak di bahu dan bukan di kepala, sudah pasti mereka akan mempertahankan Zul Nordin. Mungkin dengan amaran keras secara bertulis akan dianggap sudah memadai. Mengapa mereka perlu kehilangan satu kerusi demi menjaga PR? Seperti yang selalu disebut, “politics is as numbers game, the more seats you have, the stronger you are!” (Politik merupakan persoalan angka, lebih banyak kerusi maka akan lebih kuat kamu). Namun ketegasan mereka ini menyebabkan semua para penyokong PR merasa lega dan selesa. Termasuk juga ahli PAS yang kelihatan turut bersorak semasa persoalan ini disebut. Demi menjaga PR, PKR sanggup memecat beliau walaupun akan kekurangan bilangan kerusi, iaitu satu tindakan yang ‘melemahkan diri’ dari sudut angka. Tindakan ini juga secara zahirnya bercanggah dengan kepentingan parti sendiri.

Saya secara kebetulan pula terlibat secara terus. Ini adalah kerana di antara faktor utama Zul dipecat adalah kerana laporan polis yang beliau buat terhadap diri saya. DS Wan Azizah telah menyebut semasa konvensyen PR Selangor, “Zul menyerang kawan. Kita tidak boleh benarkannya. Kenapa dia perlu menyerang kawan”. (Au kama Qall – atau lebih kurang begitulah ucapan beliau). Kawan yang dimaksudkannya itu adalah saya dan saya berasa terharu dengan semangat setiakawan serta kejujuran persepakatan yang ditunjukkan. Saya tidak pernah meminta persoalan laporan polis terhadap saya itu diambil kira. Juga ingin saya tegaskan bahawa tidak pernah saya mengadu kepada Anwar ataupun mana-mana pimpinan PKR berhubung tindakan Zul terhadap diri saya itu. Namun ianya diambil kira oleh pimpinan PKR yang memahami, walaupun tidak meminta atau merayu, sudah pasti tindakan sebegitu tidak wajar dan akan menyulitkan PR.

Sebenarnya, sejurus sahaja laporan polis itu dibuat, saya telah dihubungi wartawan. Mereka bertanya pandangan saya terhadap tindakan Zul itu. Pada ketika itu, saya jawab, itu “hak dia”. Saya tidak mahu merumitkan lagi keadaan memandangkan dia masih lagi anggota PKR pada masa itu. Bagi saya hubungan PR perlu dijaga. Namun sekarang dia sudah tidak lagi dengan PKR ataupun PR. Maka jawapan ringkas saya terhadap tindakan beliau adalah: ianya satu tindakan hendak mencari publisiti murahan!

Sudah lebih 60 NGO UMNO buat laporan, tambah 1 lagi apa bezanya? Lagipun apa yang hendak sibuk-sibuk buat laporan Polis. Sediakan sahaja tempat serta waktunya dan panggil Astro Awani atau Hujjah TV9, kita berdebat secara siaran langsung demi mencari kebenaran. Kemudian lihat sahaja siapa yang berhujah di atas kekuatan nas dan siapa yang bertindak diatas dasar sentimen semata. Sekiranya ada diantara apa yang saya fahami tidak tepat, tersasar dan tidak berlandaskan syariat, maka saya sedia diperbetulkan dan demikian jugalah saya harapkan sebaliknya.

Hari itu pun di rumah DSAI, semasa berkumpulnya ramai para ilmuan yang mengutarakan hujah masing-masing, dia hanya diam seribu bahasa. Kalau menurut pujangga Melayu, diam itu tandanya setuju. Bila sudah selesai dan keluar dari sesi perbahasan, ada pula hajat untuk menunjuk kononnya dialah ‘pahlawan Melayu terakhir’.

Sekiranya setiap parti dalam PR menunjukkan komitmen terhadap pakatan sepertimana yang ditunjukkan oleh PKR, maka insyaAllah saya yakin bahawa PR akan mempunyai masa depan yang amat cerah. Namun sekiranya komitmen yang diberikan terhadap PR adalah hanya sekadar yang akan menguntungkan parti sendiri secara jangka masa pendek, maka PR akan sentiasa berhadapan dengan kebuntuan. Adalah perlu difahami bahawa masa depan setiap parti bergantung kepada kejayaan PR. Jika PR berjaya, maka setiap satu parti komponen yang bersama PR akan turut berjaya. Jika PR gagal, hasil dari keinginan untuk membela orang yang bermasalah dan suka menimbulkan masalah, seperti Zul, demi kononnya kepentingan parti sendiri, maka kita semua akan gagal!

Di sini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada pimpinan DAP. Mereka dengan secara ikhlas dan berjiwa besar menyatakan kesediaan mereka untuk terus membenarkan DSAI kekal sebagai Ketua Pembangkang. Ini telah mereka nyatakan walaupun mereka tahu bahawa mereka mempunyai kerusi Parlimen melebihi PKR. Ini yang dikatakan pengorbanan demi menjaga kepentingan pakatan dan PR itu sendiri. Kalau mereka pentingkan parti mereka sahaja dan meletakkan PR “di paras bahu dan tidak di kepala”, sudah pasti mereka akan menuntut jawatan tersebut. Tetapi mereka memahami adat berkawan dan mereka tidak mengambil kesempatan dari masalah kawan yang diserang bertubi-tubi oleh parti perasuah yang bernama UMNO. Mereka faham, serangan terhadap PKR adalah bertujuan melemahkan PR yang mereka merupakan anggota kepadanya. Mereka melawan usaha untuk menggagalkan PR dengan memberi sokongan bulat kepada DSAI sebagai Ketua Pembangkang.

Hakikatnya, ungkapan “meletakkan PR diparas bahu dan parti sendiri diparas kepala” menggambarkan sikap dan pemikiran yang amat meleset. Semangat setiakawan dan adab berpakat memerlukan pengorbanan dari setiap parti supaya pakatan itu boleh terus maju ke hadapan. Membelakangkan kepentingan PR dan mendahului kepentingan parti sendiri akan menyebabkan semua bertelagah demi mempertahankan kepentingan parti masing-masing. Sedangkan kepentingan semua yang berpakat sudah saling berkait diantara satu sama lain. Maka, letakkan parti sendiri di paras kepala dan PR turut sama disisinya.

Semangat yang seperti inilah yang diperlukan untuk menjamin usaha menjatuhkan BN/UMNO akan berjaya. Melalui semangat yang sebegini, saling berkorban demi mementingkan kejayaan PR, hubungan sesama parti akan bertambah kukuh. Perasaan saling percaya akan bertambah mendalam dan akhirnya BN akan tidak lagi mampu melakukan apa-apa kecuali menguburkan dirinya sendiri dengan bertindak lebih rakus, lebih ekstrim, lebih rasis dan yang paling penting sekali – lebih dibenci rakyat jelata.

PAS juga telah turut dipuji pada hari konvensyen berkenaan di atas keberaniannya menyatakan yang hak berhubung isu kalimah Allah. Walaupun telah diketahui akan diserang UMNO secara bertubi-tubi dan berkemungkinan pula kehilangan undi ‘Melayu yang tidak membaca’, namun Alhamdulillah PAS tetap tegas dengan pendiriannya. Pimpinan dan ahli PAS sendiri pun turut merasa bangga – walau apa pun pendirian mereka berkenaan isu ini. Turut bersorak bersama apabila mendengar PAS dipuji. Terbukti bahawa pendirian PAS Pusat adalah tepat, dari sudut nas dan juga dari sudut politik. Pendirian inilah yang akan menggagalkan usaha UMNO untuk melagakan PR demi melanjutkan jangka hayat politik mereka yang sudah hampir lupus.

Penulis adalah Ahli Parlimen Shah Alam.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s