04042010: Selamat Ulangtahun ke 11, Parti Keadilan Nasional

Hari ini ialah hari ulangtahun ke 11, Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat) dan juga bermulanya wadah rasmi Reformasi. Bersempena dengan hari ulangtahun ini, disertakan ucapan Saudara Anwar Ibrahim, selepas dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, jam 9.15 malam

Allhamdulillahirrabil`alamin, wassalatuwassallamuala ashrafil anbia iwalmursalin Wa`ala alihi waasahbihi ajma`in …

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdullah kita mengucap syukur setinggi-tingginya kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya kita dapat berhimpun pada malam ini. Saya sebagai sahabat kepada rakan-rakan semua mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas semangat yang ditunjukkan, kasih sayang yang ditunjukkan dan persaudaraan yang tulen. Seperti mana yang kita maklum, saya telah menerima surat daripada Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohammad menyatakan bahawa semua jawatan saya digugurkan dalam kerajaan, berkuat kuasa 5.30 petang tadi. Maknanya saya DIPECAT dari semua jawatan kerajaan.

Allhamdulillah saya, Azizah dan keluarga terima ini sebagai satu perkembangan biasa dengan sabar dan oleh kerana jawatan adalah satu amanah maka kita tidak harus terlalu gusar. Tetapi cara tindakan itu saya pertikai. Saya memang dapat perkembangan, maklumat, sikap serta tindakan agak lama.

Sejak surat layang mula diterbitkan tahun lalu, satu tahun lebih yang lalu, ia berkembang dengan begitu meluas kerana didokong oleh tokoh-tokoh penting di dalam kerajaan termasuk satu dua tokoh yang cukup dekat dengan Perdana Menteri. Tetapi saya ambil sikap `husnuzzan’ baik sangka, tidak menuduh sesiapa selain daripada yang terbukti.

Pada masa itu Peguam Negara yang sama menggesa saya mengambil tindakan tegas kepada orang-orang yang terlibat menyebarkan. Perdana Menteri menasihatkan kes itu ditutup. Nyata di antara lain kerana nama-nama yang dikaitkan itu melibatkan VVIP dan wang yang dikeluarkan juga banyak dan saya juga menerima surat pengakuan daripada orang dikatakan menandatangani, menafikan dengan sekeras-kerasnya dan bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak terlibat.

Jadi dengan itu kes ditutup. Tetapi pada masa itu laporan polis mengesahkan tindakan-tindakan yang diambil itu mempunyai kaitan politik yang cukup hebat. Dan mereka juga memberi ingatan kepada saya tahun lalu bahawa kalau orang-orang berkenaan sanggup melakukan tindakan seperti ini mereka tidak diberhentikan, maka mudah untuk langkah-langkah berikutnya. Dan pada masa itu saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa mereka sedang mencari dua pelacur atau GRO yang akan diminta mengaku mengadakan hubungan seks dengan saya, untuk mengaibkan saya. Itu tahun lalu.

Kemudian saudara tahu perkembangan politik negara kita di mana saya menghadapi masalah, dengan beberapa keputusan yang melibatkan korporat-korporat besar tertentu, melibatkan keluarga dan saya terpaksa bertegas di dalam beberapa pekara; walaupun saya menunjukkan sikap yang cukup bertanggung-jawab sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri dan Menteri Kewangan. Di dalam kabinet saya tidak melepaskan kemarahan saya di luar daripada saluran tertutup, terutama berdepan dengan Perdana Menteri.

Tetapi pandangan-pandangan ini sudah tentulah tidak menimbulkan rasa senang. Ini melibatkan juga beberapa keputusan utama, projek-projek utama, PERWAJA umpamanya, pembelian MISC, KONSORTIUM PERKAPALAN dan beberapa yang lain yang diketahui umum.

Semasa Perdana Menteri bercuti saya memilih untuk membentangkan Akta Pencegahan Rasuah yang cukup ketat, dan yang cukup tegas, kerana rasuah ini bermaharajalela di negara kita. Orang-orang yang mempunyai kedudukan mengumpul kekayaan. Jadi saya menganggap sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dan kerajaan harus menunjukkan ketegasan. Jadi saya menghubungi Perdana Menteri yang pada masa itu bercuti di London.

UNDANG-UNDANG RASUAH CUKUP KETAT


Dia kata harus ada Rang Undang-Undang yang tegas. Rupa-rupanya ada segelintir tokoh-tokoh penting yang cukup takut dengan undang-undang yang ketat. Mengapa kita harus merasa gementar dengan udang-undang rasuah kalau kita tidak terlibat dengan rasuah. Dan mengapa harus kita gunakan kedudukan untuk memperkayakan suku sakat kita? Dan keluarga kita ? dan orang-orang yang terdekat dengan kita semata-mata?

Kalau orang-orang itu punyai cara dan kaedah yang betul, orang tidak pertikaikan. Tetapi beberapa langkah itu ternyata tidak sesuai. Itupun saya tidak umumkan secara terbuka melainkan mengambil langkah membentangkan di dalam Parlimen. Rupa-rupanya ahli peniaga dan politik beberapa kerat ini terus-menerus membuat, merencana konspirasi politik untuk mendapat sokongan Perdana Menteri untuk menjatuhkan saya.

Sebab itu apabila buku 50 Dalil dikeluarkan saya sudah agak dari awal, ia adalah satu rencana politik besar untuk mengaibkan dan menjatuhkan saya. Saudara bayangkan dalam sejarah negara kita pernah ada satu buku seperti itu yang disebarkan dengan begitu meluas tanpa ada satu tindakan sekalipun. Buku itu diedarkan di majlis-masjlis rasmi, di masjid-masjid dan diedarkan juga oleh jabatan-jabatan rasmi termasuk dari Jabatan Perdana Menteri sendiri. Jadi saya tentu mengambil tindakan. Jadi saya mengambil tindakan sivil/ mahkamah. Peguam Negara menasihatkan lebih baik kalau diserahkan sahaja melalui laporan polis.

Jadi saya buat laporan polis. Saudara Azmin buat laporan polis, dan beberapa yang lain. Bila kita membuat laporan polis, digunakan kesempatan itu bukan untuk menyiasat kandungan orang-orang yang merencana dan penjenayah dan pemfitnah itu tetapi digunakan untuk menyinggung, menghina dan mendera saya, ahli-ahli keluarga saya dan rakan-rakan saya.

Sehingga saudara Azmin sendiri dipanggil, dengan soal siasat dan lain-lain tindakan sampai tujuh kali. Dan orang-orang penjenayah itu tidakpun mendapat tindakan yang sama. Saudara-saudara saya masih pada masa itu terus bersabar, berbincang dengan Peguam Negara dengan Ketua Polis Negara, merayu kepada pertimbangan, peri kemanusiaan dan keadilan
Perdana Menteri, tapi nampak tidak banyak kesan.

Bila anggota keluarga saya diganggu, saya juga mendapat rayuan dari ibu bapa saya, saya maklumkan juga kepada Perdana Menteri..Cukuplah. Kalau saya, Timbalan Perdana Menteri Negara, dibuat begitu rupa, apa lagi nasib rakyat biasa. Telefon rumah saya memang dirakam. Bukan baru…bertahun. Saya maklum kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri memang mengesahkan. Saya masih sabar kerana alasannya sekuriti. Kemudian bila Datuk Nala ditangkap, saya rasa mestilah isterinya merayu.

Sebab Datuk Nala saya biasa bermain tenis dengan dia. Pada masa-masa lain saya main dengan Datuk Ghazi ataupun dengan Allahyarham Datuk Wan Adli. Jadi saya tanya dan dari jawapan pihak-pihak yang bertanggung jawab, saya anggap sudah satu sandiwara dan mainan kerana mahu dikaitkan dengan beberapa kegiatan yang kurang baik, yang kononnya dilakukan oleh Datuk Nala. Saya masih terima kerana saya tahu saya tidak bersalah. Saya tahu saya pergi dengan siapa dan saya keluar jam berapa. Rekod polis ada saya balik jam berapa. Tiap kali di luar tennis court memang ada kereta polis. Mengapa kali ini ditutup itu semua. Ada kes yang dilibatkan dengan saya, semasa saya pemangku Perdana Menteri. Bolehkah saya pada masa itu boleh bergerak kemana-mana tanpa ada kawalan polis? Tetapi ini semua dipadamkan.

Dan cerita dibuat kerana kalau mahu tuduh saya rasuah agar sukar orang terima kerana boleh semak berapa kekayaaan yang saya ada. Berapa rumah ada ? Berapa ekar tanah ada ? Berapa mobil ada ? Besok bila kereta rasmi saya diambil, yang saya ada hanya kereta Proton yang agak buruk mungkin sepuluh tahun umurnya dan Pajero. Itu sahaja yang hak saya dan rumah saya di Damansara. Jadi kalau untuk rasuah saya rasa sukar. Kemudian sekarang ini ditambah hal-hal lain.

TUDUHAN SKANDAL SEKS ADALAH FITNAH YANG MELAMPAU

Kalau dulunya cerita serbuan dan lelaki itu sukar, sekarang nampaknya pelacur boleh diambil apa sukarnya? Boleh dibayar. Saya tanya Perdana Menteri, apa Datuk Sri fikir susah untuk saya mencari dua pelacur dan mengupahnya mengaku ada hubungan seks dengan Datuk Sri? Dia faham maksud saya. Tapi kita orang beragama, kita ada perinsip akhlak dan moral, kita tidak lakukan begitu dan tidak bayangkan kemungkinan pekara begitu boleh berlaku. Tetapi hal ini berlaku..

Jadi Datuk Nala dikatakan keluarkan berita, ada perempuan India yang ada hubungan dengan saya, ada lelaki, ada wang yang saya punyai di rumah dia, ada video seks yang saya punya di rumah dia. Mobil dia yang baik itupun saya punya. Itu bangkrap politik namanya. Itulah sebabnya pada masa itupun saya cukup yakin konspirasi politik ini untuk menjatuhkan saya.

Saya masih menggunakan jalan yang baik, pendekatan yang bijaksana. Menasihatkan berulangkali dan merayu Perdana Menteri kerana saya anggap dia sebagai bapa. Dan saya katakan, saya tidak mungkin bayangkan bahawa dia juga merestui konspirasi seperti ini. Kalau mahu jatuhkan saya, tidaklah cara yang cukup menghina, mengaibkan ini. Rupa-rupanya rancangan ini sudah lama. Dengan terjadinya kejatuhan Suharto dan naiknya sahabat saya Habibie itu lebih membimbangkan kalangan-kalangan tertentu.

Sebab itu apabila Zahid (ketua Pemuda UMNO) bangkitkan soal kronisme, itu cukup menghantui mereka, luar biasa sekali.
Itupun saya tegur Zahid, saya kata ini disiplin parti..sudah, sudahlah, hormatlah keputusan parti. Sebenarnya keputusan parti itu, keputusan Presiden parti. Jadi saya katakan, dan memang Zahid ada dan saya nasihatkan Zahid sudah dan patuhlah, kerana dalam jemaah ini ada peraturan jadi sudah di situ juga.

SINGKIR KETUA PENGARANG AKHBAR

Bila disingkirkan editor-editor Utusan – Johan, dan Berita Harian – Nazri dan Yunus di TV3, rupanya itu juga satu perencanaan awal konspirasi agar media itu dikawal dan dibolot semua oleh mereka kerana mempersiapkan satu ketika di mana tindakan akan diambil ke atas saya. Saya sedar juga pekara ini semua. Itupun saya panggil Nazri, sabar…terima dengan baik. Panggil Johan, sabar…terima dengan baik, bicara dengan Yunus, tak apalah Yunus..Sabar…terima dengan baik.

Dan bila Datuk Nala mengemukakan afidavit itu menggemparkan saya kerana di situ dia terus terang menyatakan dia dipaksa oleh polis menanda tangani tiga fail yang tidak ada hubungan dengan keselamatan ataupun peluru tetapi semata-mata untuk mengaibkan keluarga dan sahabat-sahabatnya yang berkaitan dengan wanita atau wang ringgit dan lain-lain. Dia enggan menanda tangani itu dan mencabar polis dalam mahkamah atas tindakan tersebut.

Allah Maha Besar, orang boleh merancang, “Wa makaru, wa makaru-llah, wallahu khairun makirin” (surah Ali Imran, ayat 54 bermaksud: Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka it. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya) akhirnya yang menentukan ialah rancangan Allah S.W.T. Saya juga masih terus teliti tetapi bila siasatan
dibuat nyata siasatan itu menjurus ke arah mengaibkan saya yang tidak ada kena-mengena dengan buku sama sekali.

Saya katakan Allah Maha Besar, saya ada peristiharan bersumpah dengan saksi oleh Pesuruh Jaya Sumpah yang ditandatangani secara peribadi lansung dengan peguam oleh Umi Hafilda dan Azizan. Dan bila saya perolehi ditangan saya saya katakan Masya Allah…ini orang-orang cuba dikaitkan dan cuba mengaibkan tetapi mereka dengan sendiri pergi dan membuat
pengakuan bersumpah menafikan tuduhan-tuduhan jahat ini. Sebab itu siasatan itu tidak lagi menjurus kepada buku tetapi kepada yang lain.

HAKIM JUGA DISOAL SIASAT

Seorang hakim mahkamah dipanggil untuk ditemuduga dan disoal siasat. Dua soalan penting ditanya hakim kepada hakim wanita itu. Pertama : Apakah saudara ini orang Perdana Menteri atau orang Timbalan Perdana Menteri? Dia jawab : Saya orang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya hakim. Tapi nampaknya saudari lebih baik dengan Timbalan Perdana Menteri. Dia jawab: Ya saya dulu bekerja dengan ROC dan saya juga pernah berkeliling untuk promosi IOFC -Labuan.

Soalan kedua: Apakah ada hubungan sulit dengan Timbalan Perdana Menteri? Dia kata: Tak ada sulit , apa maksud sulit?
Ada dinner atau private lunch? Dia jawab: tidak. Ada hubungan yang dikaitkan dengan seks dengan Timbalan Perdana Menteri?

Apa muslihat soalan seperti itu?

Kalau tidak mahu diperangkap semua. Saya tidak hairan kalau seratus orang dipanggil dan mungkin sebahagiannya dibayar
dan diupah, untuk membuat pengakuan, saya beritahu kepada Perdana Menteri saudara boleh atur 100 pelacur, dan saya
akan katakan saya tidak bersalah dan ini bahkan ini adalah rencana politik yang cukup jahat !!!!

Jadi saudara-saudara ini agak melampau. Saya ada puluhan bukti lain tentang kenyataan-kenyataan ini dan tentang puluhan orang dipanggil dengan cara dan tindakan dibuat. Dan saya tidak menjelaskan, dan teman-teman sama sekali tidak tahu sebab saya fikir saya harus pertahankan kerajaan dan parti dan kita tidak harus sabar, dan biar saya yang tanggung. Biar saya sendiri
yang tanggung. Dan biar yang lain itu kita hadapi kemudian.

SAYA TIDAK MELAKUKAN HUBUNGAN SEJENIS! …

Kemudian bangkit lagi soal-soal lain. Ditanya umpamanya soal hubungan sejenis. Ada seorang dipanggil dan digertak. Jika
saudara tidak mengaku saya akan buka fail dan charge saudara atas kesalahan saudara, yang saudara lakukan lima tahun yang
lalu. Bahkan Azizan itu sendiri adalah pemandu saya 9 tahun yang lalu. Saudara boleh bayangkan macam mana kotornya
konspirasi ini berlaku.

Kemudian masalah lain pula. Masalah perbezaan pendapat dalam usul ekonomi. Dulu masa saya jadi Presiden ABIM, saya dituduh agen Libya. Sekarang sudah Timbalan Perdana Menteri saya dituduh agen Amerika Syarikat, kerana orang cemburu cara saya disambut di Amerika. Permaidani merah…ambiklah permaidani merah dari atas rumah sampai ke bawah…tidurlah dengan permaidani merah, nak heran apa? Akhir yang ada kain putih juga selimut…

Cuba istigfhar sama…kebetulan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat itu teman lama saya semasa dia senator lagi, jadi
bila saya sampai ke Pentagon, dia kata sebagai sahabat dia nak bagi penghormatan. Wah..dia baca ini adalah bukti dia agen facist(?) Dia ingat politik kita murahan begitu sekali. Sudah tahu bagaimana saya dihina dan dicerca melalui media,
seolah-olah saya ini tidak ada maruah dan terlibat dalam jenayah seks ala Clinton. Dia kata saya tak boleh jawab kerana
ini urusan mahkamah. Saya tak boleh jawab kerana saya Timbalan Perdana Menteri, kena jaga hati Perdana Menteri.

Yang akhir yang kemungkinan saya didakwa nanti , kalau tidak malam ini dia ambil, mungkin besok, atas membocorkan rahasia kerajaan , atas Akta Rahasia Kerajaan kerana kononnya kabinet fail ke fail apa ke , kontrak diperolehi di tangan orang lain. Mana tahu fail itu dicuri dan dijadikan alasan. Mana tahu orang lain yang terlibat . Mengapa saya ? kerana tidak ada
kes lain yang boleh digunakan. Kalau keadilan tidak dapat diberi kepada orang yang punya kedudukan seperti saya,
keadilan apa bagi rakyat ?

SAYA TIDAK ADA RUMAH RASMI DI PUTRA JAYA

Dan kita dituntut untuk menegakkan keadilan. Jadi saudara-saudara, saudari-saudari, keadaannya begini sekarang.
Saya bersyukur kepada Allah S.W.T, lebih-lebih lagi kerana saya dan Azizah nampak tidak sedikit pun rasa gusar atau
takut hilang jawatan atau rasa besok `traffic out rider’ sudah tidak ada, Mercedes pun hilang, dan rumah pun tak ada.
Nasib baik rumah saya sekarang kosong. Perdana Menteri beritahu saya “Tak apalah you boleh ambik one month”.
Saya kata “No, once I get a letter, give me one or two days I’ll get out from the house.”

Saya tidak rasa terlalu hebat, nak bina rumah ratusan juta untuk saya duduk. Sebab itu di Putra Jaya walaupun diserang oleh parti pembangkang, bahawa saya dah punya rumah rasmi, saya nak maklumkan kepada saudara-saudara, sampai hari inipun saya belum mengesahkan rumah rasmi saya di Putra Jaya. Belum ada. Tapi saya tak dapat jawab kerana kalau saya jawab,
saya menyinggung orang lain. Itu disebut harga rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri RM50 juta, harga rumah rasmi
Perdana Menteri RM200 juta, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak punyai dan belum luluskan apa-apa.

Begitu juga senarai yang diberikan kononnya keluarga saya terlibat. Saya tidak pernah luluskan satupun projek sepanjang saya menjadi Menteri Kewangan untuk mana-mana ahli keluarga saya. Boleh semak sepanjang saya jadi Menteri Kewangan mana-mana saham saya luluskan untuk ahli keluarga saya. Yang dikeluarkan atas nama ayah saya itu, atas nama IOI,
dan dia terlibat dalam projek IOI itu sebelum saya jadi Menteri lagi. Dan saya tidak terlibat dalam kelulusan itu. Satu projek kecil hospital Tampoi entah apa…Itu nak disamakan dengan projek berbiliun ringgit yang diberikan kepada orang-orang lain dan orang-orang tertentu?

Haa..ini orang boleh baca sekali gus…Dia fikir dia renung ada bedanya. Tapi saudara-saudara, saudari-saudari, apa yang
harus kita lakukan? Kita beristighfar kepada Allah S.W.T kita pohon ampun, kerana sebagai manusia kita ada kelemahan, kita
ada kesilapan, tetapi kita harus ada semangat untuk berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.

SAYA TIDAK LETAK JAWATAN, SAYA DIPECAT!

Saya yakin ahli-ahli UMNO dan rakyat, bahawa Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan akan tahu sebenarnya. Apa sebab
Suharto jatuh maka oleh kerana diganti oleh Habibie maka di sini orang nombor dua sebelum Habibie harus dibunuh sebelum jatuh orang nombor satu. Apakah ini muslihatnya? Apakah kita katakan kita tidak ada persamaan dengan politik Indonesia? Tetapi harus mengapa begitu? Sebelum jatuh yang pertama lebih baik bunuh yang nombor dua dulu?

Saudara-saudari..saya dah ambil keputusan, APABILA DISURUH LETAK JAWATAN, SAYA TIDAK LETAK JAWATAN , kerana saya tahu daripada awal ini konspirasi politik yang jahat terhadap saya. Dan sebab itu saya disingkir daripada jawatan – saya terima dan baik dan saya cukup bersyukur kerana disepanjang masa tuduhan itu, dan kes ini dia nampak tenang. Apabila saya katakan pada dia “Azizah, susah ni… belum tentu … you kena kerja balik dekat hospital.” Dia kata ” Masa I kahwin dengan you dulu tu pun, macam tulah juga.”

Jadi sekarang saya minta saudara-saudara gunakanlah kebijaksanaan. Orang menunggu kita lakukan kesilapan, langgar undang-undang, gopoh dalam tindakan, dan ini yang ditunggu dan dinanti oleh mereka.

(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan

Kita jangan lakukan apa-apa kesilapan, ikut peraturan dan ikut undang-undang. Kalau saya mahu diambil malam ini, jangan halang. SAYA AKAN PERGI SEBAGAI PAHLAWAN.

(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan

Jangan halang, jangan ganggu, kerana pasukan keselamatan jalankan kerja mereka. Saya yakin, sebahagian besar pasukan polis itu orang yang jalankan tugas dengan teratur dan professional. Sebahagian kecil memang diupah atau demi
keselamatan masa depan mereka. Belum tentu..

Dan saya nak ingatkan selepas kes ini, hakim mahkamah tinggi yang membuat keputusan dalam kes Sivil mengenai buku telah
ditukar. Hakim yang kononnya sahabat saya, Datuk Zainon juga ditukar, dipindah. Dan sekarang ini beberapa pegawai kanan
termasuk official assignee dipindahkan dalam masa yang singkat. Saya dituduh untuk mengambil sikap menggunakan BPR untuk menyiasat EPU, menyiasat Ketua Polis Negara, dan menyiasat Peguam Negara. Saya tidak mengarahkan BPR untuk menyiasat. Tapi kalau BPR mempunyai Prinsip dan tegas dan kalau ada bukti…silakan. Tetapi nyata khabar-khabar ini disebarkan untuk timbulkan kemarahan dan prejudis daripada kalangan cabang-cabang instrumen kerajaan termasuk polis, jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman.

Jadi saudara-saudara saya tidak mengarahkan BPR berbuat demikian. Dan bekas Ketua Pengarah BPR yang memang
dibersarakan, tidak diperbaharui, boleh disahkan hal ini. Jadi kalau diminta daripada saya siapa dalang-dalang yang terlibat ini, dalang-dalang ini kaya, punyai jawatan tinggi. Saya tidak bermaksud untuk berbuat demikian sekarang. Saya punyai dokumen, saya punyai tape dan sampaikan masanya kita akan dedahkan..

(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan

Jadi saudara kena gunakan kebijaksanaan sekali lagi, patuh pada peraturan. Saya tidak mahu apa-apa masalah. Kalau benar
saudara-saudara simpati kepada saya , pertahankan prinsip perjuangan supaya tidak dijadikan alasan. Namun berjuang mesti diteruskan. Patuh pada peraturan tidak bermakna menjadi bacul. Ada orang bacul kerana takut hilang jawatan.

Saya enggan kompromi tentang hal itu dan saya dihukum dan dipecat walaupun menjawat jawatan yang cukup tinggi, tunggu
saat dan ketika menggantikan Perdana Menteri yang kekal lama itu. Jadi saya ingin sekali lagi menyatakan perinsip
perjuangan ” Wal lazi jahada fina linahdiyannahum subulana wa innallah lama’al muhsinin.” (surah al-Ankabut, ayat 69,
bermaksud : Dan sesiapa yang berjuang dijalan Kami, maka Kami akan beri hidayat ke arah jalan kami dan sesuangguhnya
Allah bersama orang-orang yang baik)

Ada bezanya diantara orang yang melangkah dalam perjuangan. Kalau ditanya apakah hikmahnya dengan semua ujian-ujian ini. Ujian ini bukan untuk kita bebal, untuk kita marah , untuk kita gundah gulana. ” La takhzan innallaha ma’ana ”
(surah at-Taubah, ayat 40: Janganlah kamu berdukacita sesungguhnya Allah bersama dengan kita).

Tetapi untuk kita beristigfhar. Dan kalau tanya saya, saya kata saya lebih banyak beristighfar dan saya lebih banyak insaf dan
saya banyak belajar bahawa sebenarnya dalam perjuangan ini yang paling dekat dengan kita adalah orang-orang yang masih berpaut kepada cita-cita dan idealisme mereka. Yang pertama lari daripada kita adalah orang-orang yang berpaut kepada kontrak-kontrak besar.

Jadi saya ucapkan sekali lagi terima kasih kepada saudara-saudari dan doakanlah kepada Allah S.W.T mudah-mudahan diberikan kekuatan kepada kita untuk kita hadapi ujian dan cabaran. Dan percayalah kalau kita dilandasan yang benar, Allah akan merestui perjuangan kita. ” Fathun minallah wa fathun qareeb.”
(Kejayaan itu daripada Allah dan kejayaan itu sangat dekat)

Wassalamualaikum w.b.t

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s