SKANDAL YBK AKAN DIDEDAH KEPADA UMUM PADA 12 APRIL

Shah Alam: Kerajaan Selangor akan mengedarkan kertas putih mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada umum pada 12 April ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kertas putih yang disediakan berdasarkan maklumat hasil laporan bahagian audit dalaman kerajaan negeri.

Beliau berkata, kertas putih yang mengandungi maklumat lengkap mengenai YBK termasuk tanah dan aset yang dimiliki YBK akan diedarkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan bersidang pada isnin, 12 April 2010.

“Bahagian audit dalaman sudah menyiapkan laporan mengenai YBK dan kita akan edarkan kepada umum sempena sidang Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Daerah Hulu Selangor, hari ini.

Menteri Besar berkata, MMKN hari ini meluluskan pemberian tanah tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, Hulu Selangor, yang telah tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, tanah itu memang sudah digazetkan untuk sekolah berkenaan dan sekolah hanya perlu membayar premium tanah sebanyak RM1, yang menjadi polisi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid juga berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu petani yang menjalankan aktiviti pertanian di tapak tanah yang menggunakan status pendudukan sementara (TOL)
.
“Kita akan cari jalan supaya mereka boleh menyewa atau sewa beli untuk jangka panjang,” katanya.

Menteri Besar juga berkata, semenjak tahun lalu kerajaan negeri telah berusaha memberi peluang kepada setinggan di negeri itu untuk menduduki tanah secara sah.

Katanya, peluang itu diberikan kepada setinggan dan mereka yang tidak memiliki tapak tanah dengan syarat telah menduduki tanah itu melebihi 15 tahun.

Katanya, mereka boleh memohon untuk pajakan antara 60 hingga 99 tahun bergantung kepada bayaran premium yang dibayar pemohon.

Pejabat Ketua AMK

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

One thought on “SKANDAL YBK AKAN DIDEDAH KEPADA UMUM PADA 12 APRIL”

Tinggalkan komen