Ucapan dasar Ketua AMK : Mewarisi Nilai Mempertegas Perjuangan

Sirih berlipat sirih pinang

Sirih dari Pulau Melaka

Pemanis bicara Selamat Datang

Awal Bismillah pembuka kata

Bagi pihak Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan, saya mengucapkan selamat datang kepada para tetamu, wakil-wakil Majlis Pimpinan Pusat Parti, para perwakilan dan pemerhati, teman-teman seperjuangan ke Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan kali keenam.

Kali ini tanggungjawab berkongres membawa kita ke negeri Kelantan Darul Naim. Sejak tahun 1990, rakyat Kelantan telah memberikan kepercayaan kepada PAS di bawah kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menerajui pentadbiran. Setelah lima kali pilihanraya dan 20 tahun berlalu, kepemimpinan ini terus mendapat dokongan rakyat di Kelantan. Syabas Angkatan Muda Keadilan ucapkan.

Kehadiran saudara amat kami alu-alukan ke Kongres yang saban tahun menjadi medan untuk anggota menyampaikan pandangan melalui perwakilan. Kongres adalah wahana untuk pimpinan menyelami rasa hati dan mendengar kehendak anggota.

Sebagaimana lazim, sebelum kita membicarakan tema ucapan dasar ini dengan lebih mendalam adalah menjadi tanggungjawab saya bagi pihak semua untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada tuan rumah, Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan, dan urusetia Kongres yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menjayakan acara penting kita ini. Kita juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan bantuan bagi menjayakan acara kita ini.

Kunang-kunang jauh di bukit

Berhenti hinggap hujung muara

Budi dikenang bukan sedikit

Ke akhir hayat tetap membara

Kongres ini adalah ruang untuk kita, sebagai sebuah gerakan massa, merasai denyut nadi rakyat dan menyusun gerak kerja kita dalam menyantuni kehendak dan memenuhi keperluan rakyat. Sesungguhnya hasrat dan aspirasi anggota adalah cerminan suara hati rakyat. Anggota dan pimpinan parti seharusnya mampu berperanan sebagai jurubicara rakyat.

Kongres ini adalah peluang untuk mempererat hubungan dan memperkukuh persahabatan antara sesama kita – teman-teman yang membina dan menegak perjuangan ini. Kita harus terus berusaha membentuk wehdatul fikr dan membina jambatan rasa yang kukuh antara kita, bagi memastikan kita mampu memimpin rakyat sebagai sebuah pasukan yang mantap. Meski ada perbezaan pandangan dan pendekatan antara kita, ia mesti diuruskan dengan adab dan akhlak yang sebaiknya.

Pun begitu, pematuhan kepada adab dan disiplin parti tidak seharusnya bermakna kita menjadi kelu dan kaku tatkala berhadapan kepincangan. Seandainya kita melihat kelemahan dan kekurangan, tetapi tidak berdaya mencari keberanian untuk menegur dan menyatakan kebenaran, bermakna kita gagal menjiwai perjuangan. Lebih malang sekiranya yang begini sifatnya ialah anggota Angkatan Muda. Padahal identiti kita, citra kita, adalah sebagai barisan hadapan parti yang memimpin rakyat tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Bagi memastikan proses nasihat menasihati ini dapat berfungsi dengan sebaiknya, perlu ada sikap yang terbuka dan berlapang dada. Perlu ada saluran dialog yang sihat antara pemimpin dan anggota, antara sesama pemimpin dan malah antara generasi di dalam struktur parti. Ini adalah amat penting demi menjamin kelangsungan parti.

Pada hari ini izinkan saya dengan rendah hati melaporkan kepada Kongres bahawa Angkatan Muda Keadilan Malaysia berada di dalam keadaan mantap. Kita panjatkan kesyukuran atas kejayaan bersama anggota dan pimpinan memastikan gerakan ini terus utuh. Kita ditimpakan pelbagai cabaran, kita hadapi asakan demi asakan, serangan demi serangan. Malah kita dikhianati oleh mereka yang dahulu bersama membina gerakan ini. Pembelotan mereka dirancang untuk memberikan impak paling negatif terhadap parti dan Angkatan Muda Keadilan.

Namun ternyata pengkhianatan mereka gagal merebahkan Angkatan Muda Keadilan.

Nafsu mendorong mereka untuk percaya bahawa gerakan ini akan tersungkur apabila pengasas dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan belot. Mereka lupa bahawa perjuangan kita ini berpaksikan nilai dan bukan bertuhankan manusia.

Secara bersama, kita harungi cabaran dan kesukaran untuk membina semula Angkatan Muda Keadilan yang lebih gagah. Ia bukan sesuatu yang mudah. Dengan tabah dan penuh gigih kita berusaha menjadi tangan-tangan yang berganding membina semula dan memperkasa Angkatan Muda Keadilan.

Hakikatnya pemimpin datang dan pergi. Tetapi perjuangan berpaksikan nilai akan kekal. Kita telusuri sejarah perkembangan Islam di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad salaLlahualaihiwassalam sebagai iktibar. Islam tidak terhenti dan terkubur apabila Rasulullah wafat. Malah jauh sebelum pemergian baginda, apakala khabar angin tersebar ketika Perang Uhud bahawa Rasulullah telah terbunuh, Allah menurunkan ayat 144, Surah Ali-Imran yang bermaksud:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian kalau beliau pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah)?…

Apabila tiba Rasulullah benar-benar wafat dan ada di kalangan para sahabat yang tidak dapat menerima hakikat tersebut, maka Saidina Abu Bakar as-Siddiq memberikan mereka peringatan daripada ayat tersebut.

Maka hari ini kita memberikan peringatan kepada diri kita dan seluruh anggota agar terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang berpaksikan nilai. Meski ada pemimpin yang berpaling, sekalipun ada yang berbalik, kita mesti kekal berpegang kepada janji perjuangan.

Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang hadir di sini hari ini untuk mempertegas janji perjuangan. Tidak semua ahli parti yang bersama dengan perjuangan ini kekal sehingga ke hari ini. Ada yang digoda harta dunia dan ada yang tertekan akibat beban sejarah, lantas memilih untuk menjadi pelacur politik.

Angkatan Muda Keadilan tidak akan melupakan mereka, tidak akan memaafkan mereka. Kita percaya rakyat juga akan menghukum mereka.

Antara rahsia kekuatan parti ini ialah sikap terbuka kita kepada perubahan. Ini bermakna kita sentiasa terbuka kepada pertandingan dan pewarisan kepemimpinan. Kita berlapang dada sekiranya ada anggota yang mahu menawarkan diri untuk memimpin atau mencabar pemimpin sedia ada. Ini adalah proses yang sihat di dalam parti, selagimana prinsip, adab dan akhlak diletakkan lebih tinggi. Selagimana kita jadikan nilai sebagai mizan, sebagai neraca kehidupan.

Sebagaimana rakyat Kelantan yakin dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memimpin negeri ini lebih 20 tahun kerana akhlak beliau yang terpuji; saya menggesa anggota parti ini untuk menjadikan akhlak sebagai pertimbangan utama di dalam membuat pemilihan.

Keberanian semberono tanpa hikmah sebenarnya bukan keberanian tetapi adalah kebodohan. Mereka yang menggunakan kedudukan dan kewangan untuk meraih pengaruh pula mesti ditolak kerana itulah penyakit yang telah merosakkan UMNO-BN sehingga menjadi bobrok dan bejat.

Kita harus membezakan perjuangan yang berpaksikan nilai ini daripada parti politik yang bertuhankan harta dan kuasa.

Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti perjuangan yang berpaksikan nilai. Parti kita terzahir atas gelombang besar Reformasi apabila rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda, mara ke hadapan menentang kezaliman dan menuntut keadilan.

Konspirasi jahat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi cubaan kepada negara. Ternyata rakyat Malaysia bangkit menyahut cabaran tersebut. Bermula dengan penentangan terhadap fitnah dan kezaliman, gerakan masyarakat bertukar menjadi parti politik yang memimpin perubahan. Setelah satu dekad, BN hampir-hampir menghadapi pukulan maut di dalam Pilihanraya Umum Kedua belas.

Kerana itu konspirasi kedua disusun untuk menganiaya Ketua Umum kita. Para pelakon yang menabur fitnah bertukar. Jika dahulu seorang pemandu, kali ini seorang bekas pelajar yang kecundang dalam pelajaran. Namun plot dan jalan cerita tetap sama.

Apabila BN gagal menundukkan suara rakyat di dalam pilihanraya, maka mahkamah diperkudakan untuk melaksanakan rancangan jahat mereka. Bukti dan keterangan saksi enggan diserahkan kepada pasukan pembelaan. Pendakwaraya berlagak bagaikan pengganas yang mengintai-intai untuk melakukan serangan hendap. Saksi utama pendakwaan pula memberikan keterangan kejadian berlaku tanpa rela, padahal pendakwaraya pula membuat pertuduhan bahawa kesalahan dilakukan dengan rela.

Sekali lagi perancangan Tuhan mengatasi perancangan jahat mereka. Jika dahulu tarikh kesalahan kononnya dilakukan terpaksa berulang kali dipinda. Kini pertuduhan itu sendiri bercanggah dengan bukti dan keterangan.

Kita percaya konspirasi ini akan gagal sebagaimana dahulu. Namun ini tidak bermakna tanggungjawab kita sebagai barisan hadapan perjuangan rakyat telah selesai. Konspirasi kedua ini harus menjadi pendorong untuk kita bertindak sebagaimana kita memimpin kebangkitan rakyat ketika tercetusnya Reformasi. Fitnah kedua ini seharusnya menggerakkan kita untuk mencari semula nilai yang memandu perjuangan kita ketika itu. Lalu kita genggam erat nilai tersebut bagi mempertegas kembali perjuangan kita. Kita cari semangat yang pernah wujud, dan saya percaya masih membara di dalam diri. Lalu kita semarakkan dan tuntut keadilan yang tuntas.

Kita gembling tenaga segenap lapisan rakyat, tanpa mengira usia atau keturunan, untuk menzahirkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman yang berlaku ini di bawah Sekretariat Keadilan Untuk Anwar. Setiap daripada kita mempunyai peranan ibarat kata bidalan lama: Yang buta meniup lesung, yang kurap memikul buluh, yang pekak membakar meriam, yang capek menghalau ayam.

Sejarah adalah guru yang agung. Sejarah mengajar kita bagaimana sesuatu bangsa menjadi hebat dan sejarah juga mendidik kita mengenai keruntuhan tamadun. Seringkali keruntuhan itu adalah akibat korupsi, kolusi dan nepotisme. Tema ini saban kali berulang apabila sahaja nafsu dan ketamakan cuba menjajah nilai.

Kerana itu kita mesti menelah sejarah. Mereka yang gagal atau enggan belajar daripada sejarah benar-benar malang. Manusia sebegini akan cenderung untuk mengulangi kesilapan yang sama.

Lebih satu dekad lalu kita menentang bukan sekadar fitnah dan kezaliman. Kita menentang amalan rasuah dan korupsi yang berleluasa di dalam kerajaan. Kita menentang amalan memberikan kuasa dan kekayaan kepada anak menantu dan para kroni sedangkan rakyat miskin menjadi papa kedana.

Sekarang kita mempunyai tanggungjawab kepada sejarah kita yang gemilang dan kepada hati nurani kita untuk terus berjuang memastikan parti yang kita cintai ini tidak dijangkiti penyakit KKN – Korupsi, Kronisme dan Nepotisme. KKN bukan sekadar menjadi budaya amalan mereka. Malah ia sudah sebati menjadi darah daging dan cara hidup. KKN juga menjadikan UMNO-BN bobrok dan ditolak rakyat. Satu-satunya cara untuk kita menyelamatkan parti dan perjuangan supaya tidak terbabas ke jurang korupsi ialah dengan memastikan setiap anggota dan pemimpin menggenggam erat perjuangan berpaksikan nilai.

Nilai adalah tetap. Konsisten. Nilai tidak berubah dengan kerana hawa nafsu manusia. Di dalam Islam, nilai baik dan buruk adalah seperti yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Di dalam semua agama samawi dan tradisi Asia, terdapat pegangan yang teguh kepada nilai-nilai murni. Tidak ada mana-mana sistem nilai yang meletakkan perkara jelek sebagai baik.

Nilai adalah mata air kehidupan. Hanya dengan menjadikan nilai sebagai paksi, sebagai tunjang kepada perjuangan; dengan menjadikan nilai sebagai panduan; kita akan meraih kejayaan. Nilai adalah suluh kehidupan. Nilai adalah suar cahaya, a beacon, di dalam kita mengharungi lautan perjuangan dan perubahan. Malaysia akan hanya mampu merdeka daripada cengkaman KKN UMNO-BN apabila nilai menjadi pasak perjuangan kita.

Kita mewarisi perjuangan berpaksikan nilai. Parti kita bukan sekadar mendakap sejarah kebangkitan rakyat yang hebat, penggabungan kita dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga menjadikan kita pewaris kepada perjuangan gigih golongan nasionalis progresif negara ini yang menuntut kemerdekaan. Perjuangan kita yang bertunjangkan nilai menjadi pewaris dan penerus kepada perjuangan para Rasul dan tokoh-tokoh besar Asia yang membawakan mesej tiga T iaitu Taghyiriy, Tahririy dan Tanwiriy – Perubahan, Pembebasan dan Pencerahan.

Kita mempunyai tanggungjawab besar kepada sejarah. Kita perlu mempunyai kesedaran mengenai tujuan sejarah. Tindakan kita harus peka kepada sejarah. We must have a sense of history. Hanya dengan kesedaran ini kita akan benar-benar layak mewarisi perjuangan berpaksikan nilai.

Pada masa yang sama kita tidak boleh memikul beban sejarah yang negatif dan menganggapnya tidak mengapa; hanya semata-mata kerana pemimpin UMNO melakukan perkara yang sama. Adalah amat malang sekiranya kita menjadikan amalan pemimpin UMNO sebagai kayu ukur, sebagai tanda aras; lalu ukuran nilai agama dan keimanan kita dikesampingkan.

Pada masa kita menjadikan nilai sebagai paksi, kiblat BN hanya kuasa dan harta. Dengan kuasa yang dipegang, mereka merebut kekayaan negara. Mereka merobek perbendaharaan negara untuk kepentingan sendiri. Kekayaan yang dimiliki pula dijadikan senjata untuk membeli sokongan bagi mengekalkan kuasa.

Kerana itu mereka membuat janji-janji di setiap pilihanraya untuk membeli undi secara terbuka. Tanpa segan dan silu, Pengerusi BN melakukan jenayah rasuah, menawarkan jutaan ringgit dengan syarat calon BN menang di dalam pilihanraya. Apabila rakyat menolak rasuah politik pembangunan ini, peruntukan segera disekat.

Pada fikiran pemimpin BN, rakyat boleh dirasuah dan dibeli. Mereka menganggap rakyat sebagai komoditi. Tergamak mereka mengambil mudah undi rakyat sebagai fixed deposit. Pemikiran ini yang mendorong pemimpin UMNO menganggap sesetengah kaum di negara ini sebagai pelacur. Di dalam kotak pemikiran mereka rakyat dianggap benar-benar murahan. Apabila sahaja rakyat marah, mereka akan menggunakan wang untuk cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Kiblat kuasa dan harta juga mendasari Model Ekonomi Baru yang digagaskan oleh Najib Razak. Meski ia menggariskan pencapaian ekonomi yang hebat, model tersebut sebenarnya lohong jiwa dan budaya. Tidak ada elemen nilai yang memandu dan mengawal kegiatan ekonomi tersebut.

Tema ini dibincangkan secara meluas oleh Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam tulisannya Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islami.

Seorang lagi tokoh pemikir Asia, Profesor Yoshihira di dalam bukunya Building A Prosperous Southeast Asia, mengingatkan bahawa untuk mencipta ekonomi yang dinamik, tidak cukup hanya dengan institusi dan infrastruktur. Ia memerlukan satu lagi tonggak kekuatan yakni the right culture atau budaya dan cara hidup yang tulus.

Untuk itu beliau menyarankan agenda reinventing culture atau merekabentuk semula budaya dengan matlamat pembinaan insan ekonomis yang seimbang, sedar dengan tanggungjawab moral kemanusiaan, di samping memiliki ghairah dan semangat merebut peluang ekonomi. Faktor kemanusiaan dan kebudayaan dalam pembangunan ekonomi memang cukup penting dan menentukan, tetapi tidak semua orang memahaminya secara memadai.

Sebuah kerajaan yang bergantung kepada harta dan kuasa akan bersikap represif dan menindas untuk mengawal rakyat. Sebarang bentuk seruan pembaharuan, idea yang kreatif dan inovatif akan cuba dibungkam. Kerajaan ini tidak akan bertolak ansur dengan perbezaan pandangan. Bukan sahaja tidak menggalakkan, malah tidak toleran dengan inovasi.

Sejarah Melayu memberi peringatan mengenai seorang anak muda yang bijak dan mempunyai hikmah memberikan buah fikiran bagi menyelamatkan Temasek daripada serangan todak. Idea bernas Hang Nadim ini, meski baik untuk negara dan rakyat, dilihat sebagai ancaman kepada penguasaan Sri Maharaja. Kerana itu Hang Nadim dibunuh setelah berjasa menyelamatkan Temasek.

Kerajaan yang tidak mengutamakan rakyat ini juga sudah tentu tidak dapat diharapkan untuk mengutamakan kelestarian alam sekitar. Tatkala dunia membuat loncatan kepada ekonomi hijau, Malaysia yang dianugerahkan dengan kepelbagaian bio dan sumber masih mengambil langkah-langkah kecil.

Usaha berterusan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan bumi dengan memberi penekanan kepada pengurangan penggunaan sumber, mengguna semula dan kitar semula (reduce, reuse and recycle). Keperluan tenaga yang semakin meningkat harus diredakan dengan menggalakkan penjimatan dan penggunaan berhemah. Pembinaan lebih banyak empangan hidroelektrik atau pembinaan loji nuklear bukan jawapan yang terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga negara. Kita mesti kreatif dan inovatif dalam mencari penyelesaiaan terbaik.

Penjimatan dan pada masa yang sama galakan untuk membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) adalah jawapan kepada permasalahan kita. Meski ia mungkin lebih sukar untuk dilaksanakan, ia adalah jawapan jangka masa panjang dan bukan langkah sementara.

Kerajaan yang represif dan menindas inovasi; kerajaan yang gagal memastikan alam sekitar yang lestari telah menyebabkan rakyat khususnya golongan muda tidak ada pilihan lain selain mengembangkan bakat dan kreativiti mereka di luar negara. Aliran keluar kebolehan atau brain drain ini memberi kesan yang amat negatif kepada masa depan negara.

Universiti-universiti kita yang pada satu masa dulu pernah menjadi antara sepuluh universiti terbaik Asia, kini terus-terusan merosot kedudukannya. Semua ini bukan berlaku dengan tidak sengaja, tetapi akibat tindakan BN memperalatkan kampus untuk mengawal siswa. Mereka tidak mahu siswa yang kreatif, berfikiran kritis dan terbuka. Mereka mahu penghuni kampus dengan minda kawanan (herd mentality) yang mudah dikawal dan diperalatkan untuk kepentingan politik mereka.

Kerana itu kita menolak Model Ekonomi Baru yang kosong jiwanya dan mengangkat Agenda Ekonomi Malaysia yang menjadikan nilai sebagai asas.

Agenda Ekonomi Malaysia menggariskan pengagihan semula kekayaan secara adil dan seimbang, memerangi rasuah dan KKN, melaksanakan dasar afirmatif kepada kumpulan miskin, menyalurkan kekayaan negara untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan yang lebih baik serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Mari kita kembali kepada nilai yang memandu perjuangan kita. Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu telah menyediakan garis-garis besar yang mampu memandu perjalanan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan sebaiknya. Kita telah mencapai kata sepakat mengenai dasar-dasar yang harus menjadi asas pentadbiran kita.

Angkatan Muda Keadilan mendesak agar dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang telah dicapai secara muafakat tidak dipandang sepi. Ia perlu segera digarap dan dilaksanakan dengan tekun oleh setiap kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sampai bila kita mahu terus berkempen kepada rakyat hanya dengan bermodalkan bekalan air percuma? Kita perlu merealisasikan wawasan bersama di dalam bidang ekonomi dan urustadbir kerajaan yang baik.

Kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh bersandar pada kelemahan BN selama ini. Benar, setelah lebih 50 tahun memerintah, masih terlalu banyak yang gagal dilakukan oleh BN. Benar, adalah tidak adil untuk mengharapkan kerajaan yang belum pun genap tiga tahun memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki semua kepincangan yang ditinggalkan BN.

Tetapi adalah penting untuk kita mengambil langkah-langkah aktif dan proaktif bagi memastikan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada di bawah pentadbiran BN. Kerana kita mengutamakan rakyat, kita perlu gigih berusaha memenuhi aspirasi dan harapan rakyat.

Penegasan ini dilakukan kerana empat negeri Pakatan Rakyat yang menang akan menjadi tanda aras atau benchmark untuk rakyat membuat pilihan samada memberikan mandat kepada kita ke Putrajaya atau sebaliknya.

Kelemahan-kelemahan seperti di dalam sistem penyampaian, kerenah birokrasi yang melampau dan kegagalan komunikasi dua hala, mesti segera diperbaiki. Angkatan Muda Keadilan kecewa kerana kelemahan-kelemahan ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya dan mendesak agar segala waktu dan ruang yang ada dimanfaatkan untuk memperbaiki kepincangan yang wujud di dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Di dalam menelah sejarah kita akan mendapati berkali-kali perubahan berlaku dengan sokongan dan komitmen generasi muda. Setiap episod elemen baik menentang kejahatan, akan sarat dengan watak anak muda yang punya keberanian dan hati nurani yang bersih. Mereka ini tidak alah kepada ancaman dan ugutan.

Malah kini menjadi trend dunia rakyat memberikan kepercayaan kepada pemimpin muda untuk membawa perubahan. Rakyat Amerika Syarikat memberikan keyakinan kepada seorang Presiden yang muda berbanding lawannya yang lebih berpengalaman daripada segi usia. Mesej pembaharuan dan harapan yang dibawanya menjadi pertimbangan utama, mengenepikan soal warna kulit. Pengundi di United Kingdom memberikan mandat kepada seorang Perdana Menteri baru yang paling muda dalam tempoh lebih 200 tahun.

Peranan generasi muda dalam menggerakkan agenda perubahan tidak mungkin dinafikan. Pengalaman kita di dalam gerakan Reformasi menjadi saksi. Malah sejak kali pertama kita menyertai pilihanraya sebagai Parti Keadilan, pengundi muda konsisten memberikan sokongan besar kepada kita. Sokongan ini yang telah memungkinkan kita menggegar BN sejak kali pertama menyertai pilihanraya pada tahun 1999 sehingga meraih kejayaan besar pada tahun 2008.

Ternyata UMNO-BN kebelakangan ini sudah belajar mengenai peranan kritikal generasi muda ini. Kerana itu UMNO menolak Timbalan Presiden MIC sebagai calon di dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor. Mereka menuntut seorang calon muda yang tidak memikul beban sejarah.

Justeru parti ini harus ingat. Jangan sampai nanti teraju perubahan bertukar tangan. Dahulu kita menjadi teraju aspirasi baru dan harapan. Dahulu kita tampilkan citra kreatif dan inovatif. Kita ketengahkan pilihan baru yang cerdas dan segar. Jangan pula tatkala BN memilih untuk memberi ruang yang luas kepada pemimpin muda, kita pula kembali kepada cara lama UMNO-BN.

Dua tahun lalu, kongres kita memperingatkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan peri pentingnya partisipasi meluas generasi muda di dalam pentadbiran negeri.

Malang sekali saranan kita ini ditanggap dengan negatif dan pihak terlibat berselindung di sebalik minda berkubu, lalu menolak perubahan. Angkatan Muda Keadilan dituduh gilakan pangkat dan laparkan jawatan, padahal telah kita tegaskan bahawa apa yang kita mahu ialah islah, perubahan dengan sedaya upaya.

Agenda perubahan yang kita anjurkan tidak dilaksanakan dengan menyeluruh. Sebaliknya muka-muka lama yang mendokong amalan KKN UMNO-BN terus dikekalkan. Mereka ini yang bergelumang dengan korupsi dibiarkan terus memegang kuasa di dalam pentadbiran kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Justeru kenapa hairan jika kerajaan negeri masih dilihat tidak mampu bertindak dengan sebaiknya untuk kepentingan rakyat?

Pada Kongres yang lalu, kita sudah memberi ingatan terbuka agar anasir-anasir UMNO-BN yang sebati dengan amalan korup ini dibersihkan daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat. Selagi mana mereka ini tidak disingkirkan, mereka akan terus-terusan menjalankan usaha sabotaj daripada dalam. Mereka ini berusaha secara aktif memburukkan imej kerajaan Pakatan Rakyat dan menggagalkan usaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Kehadiran secara pasif mereka yang menjadikan rasuah sebagai cara hidup sekalipun, memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Harapan mereka hanya satu. Untuk rakyat melihat kerajaan Pakatan Rakyat gagal dan akhirnya UMNO-BN akan dapat kembali berkuasa.

Kenapa kita terus membiarkan anasir korup sebegini terus melakukan sabotaj? Padahal mandat rakyat kepada kita bukan sekadar untuk memanaskan kerusi Menteri Besar atau semata-mata mentadbir negeri dengan cara lama. Rakyat memberi kita mandat untuk menyingkirkan anasir korup UMNO-BN ini daripada kerajaan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia hari ini mempertegaskan kembali perjuangan kita menentang KKN. Sekiranya kita terpaksa membersihkan parti ini daripada unsur-unsur anti-Reformasi yang mesra dengan pengamal korupsi, Angkatan Muda Keadilan bersedia.

Kita tidak takut dengan risiko. Kita bersedia menghadapinya, sebagaimana kita tidak pernah gentar memerangi rasuah di dalam kerajaan selama ini. Kita bertanya kepada elemen-elemen anti-Reformasi, apakah mereka mempunyai keberanian menghadapi kita?

Perubahan adalah perlu. Perubahan tidak pernah mudah. Seringkali perubahan adalah perit. Itu sunnah perubahan. Tetapi kita tidak punya pilihan. Kita tidak boleh menuruti cara lama UMNO-BN. Kita mesti punya keberanian, courage, untuk mencetuskan perubahan dan terus berjuang memastikan perubahan itu berjaya.

Tanya diri kita apa yang sudah diberikan kepada perjuangan ini; kerana perjuangan ini akan memberikan kepada kita manfaat yang tidak terperi. Perjuangan ini yang akan memerdekakan negara Malaysia tercinta ini daripada penjajahan minda oleh BN. Natijahnya nanti kemakmuran akan dapat dikecapi secara adil oleh seluruh rakyat.

Kita impikan negara Malaysia yang gagah di persada dunia. Gagah bukan sekadar dengan pencapaian individu menakluk puncak tertinggi dunia atau dengan tertegaknya di Malaysia bangunan paling tinggi. Kita mahu negara Malaysia yang gagah bersaing di dalam ekonomi dunia. Kita mahu negara Malaysia yang menerobos sempadan sains dan teknologi. Kita dambakan negara Malaysia yang menjadi contoh negara demokratik yang bebas dan adil.

Yakinlah Malaysia mampu mencapai semua itu. Namun kita sebagai rakyat negara ini perlu terlebih dahulu bersedia berjuang dan berkorban.

Ayuh kita jadikan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat sebagai negeri yang aman, ‘al-baladil amin’. Kita jadikan empat negeri ini sebagai negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan. Sebagaimana Kelantan telah menjadi contoh kepada kerajaan alternatif sejak dari tahun 1990; Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mempunyai tanggungjawab bersama-sama Darul Naim untuk menjadi model kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan dan semua 13 negeri.

Dua tahun terakhir sebelum pilihanraya umum ketiga belas ini adalah peluang terakhir kepada kita untuk membuktikan kepada rakyat; untuk membina keyakinan rakyat bahawa kita mempunyai kemampuan, kita mempunyai kebolehan dan kapasiti untuk mentadbir negeri dan negara.

Kita akan meminta rakyat untuk memberikan mandat kepada kita. Tetapi undi dan mandat tidak akan diberi rakyat sekiranya mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap kita. Sekiranya kita masih teragak-agak; masih takut kepada risiko dan enggan melakukan perubahan; maka masa depan kita suram. Jika begitu keadaannya, kita sendiri yang akan menjadikan ramalan jahat BN sebagai kenyataan.

Kerana itu jalan di hadapan adalah sukar. Kita mesti berusaha dengan gigih tetapi bukan lagi sebagai pembangkang. Tidak memadai untuk kita dedahkan kelemahan BN. Kita mesti menampilkan kebolehan kita.

Justeru pada hari ini, saya mengajak pemimpin dan anggota Angkatan Muda Keadilan untuk bersama-sama saya memperbaharui ikrar dan tekad kita, mempertegaskan kembali perjuangan berpandukan kepada Deklarasi Permatang Pauh dan Testamen Politik Angkatan Muda Keadilan.

Sebagai anak muda, kita yang akan mewarisi masa depan Malaysia. Kita yang akan mewarisi jenama Malaysia yang sudah cukup rosak dengan rasuah, penodaan institusi keadilan, kematian di dalam tahanan, keselamatan negara yang tergadai, institusi keluarga dan masyarakat yang dirosakkan dan ekonomi yang pincang.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan Malaysia. Negara kita adalah maruah kita. Kita tidak boleh menerima dengan pasrah sahaja negara yang gagal dan seolah-olah ditakdirkan menjadi negara yang korup dengan begitu kronik.

Percayalah, Malaysia boleh diselamatkan.

Kita kembali kepada nilai yang menjadi panduan kita dan bersama kita pastikan pilihanraya yang akan datang menjadi penamat kepada tradisi menindas rakyat BN dan permulaan kepada tertegaknya nilai untuk mentadbir Malaysia.

Ayuh anak muda Malaysia! Marilah kita menjadi anak jantan pewaris martabat dan daulat negara. Dalam ungkapan tradisional Melayu:

Apa tanda (si) anak jantan?

Matinya di tengah gelanggang

Tidurnya di puncak gelombang

Makannya di tebing panjang

Langkahnya menghentam bumi

Lenggangnya mengipas semak

Tangisnya terbang ke langit

Esaknya ditelan bumi

Yang tak kenal (kan) air mata

Yang tak kenal (kan) tunduk kulai

Reformasi!

One thought on “Ucapan dasar Ketua AMK : Mewarisi Nilai Mempertegas Perjuangan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s