Lembaga peguam siasat aduan AG ketua Pemuda PKR pertikai kes MB Perak

www.themalaysianinsider.com
Oleh G Manimaran
August 13, 2010

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Shamsul Iskandar Mohd Akin diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Tatatertib undang-undang ekoran aduan Jabatan Peguam Negara mendakwa Ketua Angkatan Muda Keadilan itu menghina sistem kehakiman ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Penanti, Mei 2009.

Shamsul Iskandar menerima surat meminta daripada lembaga tersebut minggu lalu, meminta penjelasan berhubung kandungan ceramah pada 30 Mei 2009 ketika kempen pilihan raya kecil Penanti.

“Surat daripada lembaga itu meminta saya memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa saya telah mengkritik hakim dan mahkamah berhubung keputusan mahkamah dalam isu krisis Perak tahun lalu,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau diberikan tempoh 14 untuk menjawab surat tersebut.

Shamsul Iskandar berkata, aduan dibuat oleh Mohamed Hanafiah Zakaria, yang merupakan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara pada 12 April 2010, kira-kira setahun selepas mengeluarkan kenyataan ketika kempen pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil itu ditandingi wakil PKR dan diadakan kira-kira tiga bulan selepas krisis politik Perak yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Shamsul Iskandar dipercayai menyentuh sistem kehakiman dalam kes melibatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Aduan yang dibuat oleh Hanafiah atas arahan Peguam Negara, mendakwa kononnya saya telah mempersoalkan kredibiliti hakim Mahkamah Rayuan khususnya berkaitan dengan kes krisis Perak melibatkan Datuk Seri Nizar dan Datuk Seri Zambry,” katanya.

Aduan itu dibuat di bawah Seksyen 99(a)(2) Akta Profesion Undang-undang 1976. Seksyen itu menyebut, “mana-mana mahkamah termasuk Mahkamah Perindustrian dan Mahkamah Syariah, Hakim, Hakim

Mahkamah Sesyen atau Majistret atau Peguam Negara boleh pada bila-bila masa merujuk kepada Lembaga Tatatertib apa-apa aduan terhadap seseorang peguam bela dan peguam cara atau seseorang pelatih.”

Seksyen 100 pula meminta peguam bela dan peguam cara itu memberikan penjelasan bertulisnya dalam empat salinan bersama-sama dengan dokumen sokongan, jika ada, dalam masa 14 hari dari tarikh permintaan itu atau dalam apa-apa masa yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Lembaga Tatatertib.

Lembaga Tatatertib dijangka akan membuat pertimbangan sama ada merujuk kepada jawatankuasa tatatertib ataupun sebaliknya berdasarkan merit penjelasan.

Shamsul Iskandar mengesahkan beliau akan menjawab surat itu dalam waktu terdekat.

“Pada masa yang sama saya akan membawa perkara ini ke peringkat atasan,” kata beliau dengan mengatakan bahawa “pihak atasan” merujuk kepada badan peguam antarabangsa.

“Ini kerana pada saya, aduan dan tuduhan yang dibuat bercanggah dengan kerjaya peguam, bukannya saya melakukan kesalahan seperti menipu atau tidak mewakili anak guaman tetapi soal kebebasan bersuara dan pandangan yang diberikan dalam forum politik, situasi yang jauh berbeza,” katanya.

Sambil mempersoalkan tempoh yang diambil untuk membuat aduan itu oleh Jabatan Peguam Negara, Shamsul Iskandar mendakwa ia menunjukkan adanya usaha berterusan pihak kerajaan menggunakan Jabatan Peguam Negara untuk mengawal kebebasan bersuara dan mengenakan tekanan politik.

“Saya memang terkejut dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila mendapati aduan dibuat selepas lebih setahun ucapan diberikan ketika kempen politik,” kata beliau.

Pilihan raya kecil Penanti diadakan pada 31 Mei 2009 setelah Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri pada 8 April.

Fairus meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 selepas beliau disiasat berhubung dakwaan rasuah membabitkan operasi kuari di Pulau Pinang dan diumumkan bebas tahun ini.

Calon PKR Dr Mansor Othman yang mewakili Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya kecil itu.

One thought on “Lembaga peguam siasat aduan AG ketua Pemuda PKR pertikai kes MB Perak

  1. saudara Shamsul,
    Penilaian dari langit adalah satu kepastian. Kita peganglah kepada prinsip, ‘Berani Kerana Benar’. God bless you!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s