Rakyat Diseru Tolak Politik Perkauman, Kezaliman, Rasuah

SHAH ALAM 10 Sept – Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru rakyat Malaysia membulatkan tekad, menolak politik sempit perkauman, kezaliman yang berleluasa, rasuah dan penyelewengan sempena sambutan Eidul Fitri kali ini.

Beliau berkata negara juga dibelenggu dengan pelbagai masalah dan gejala sosial yang merosakkan masyarakat.

“Negara kita saban hari dihidangkan dengan gejala sosial yang amat parah. Baru baru ini kita dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang tidak berkesudahan. Nah! Di mana silapnya? Tidak dinafikan keluarga memainkan peranan penting dalam didikan agama dan moral, tetapi polisi dan sikap sang pemerintah yang penuh dengan penyelewengan dan rasuah juga turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak ini.

“Kebobrokan yang berleluasa di Malaysia kini ibarat zaman gelap yang memerlukan kepada suatu Pencerahan! Apa yang saya maksudkan sebagai Pencerahan di sini ialah setiap dari saudara dan saudari mempunyai tanggungjawab dan potensi diri bagi melakukan perubahan. Sebagai seorang insan adalah suatu yang fitrah untuk kita bergerak ke arah yang lebih baik. Adalah fitrah untuk kita menolak kezaliman, rasuah dan penyelewengan yang berleluasa! Ianya bermula dengan anda. Andalah penentu kepada segalanya.

“Kita dikurniakan akal fikiran yang murni untuk membuat pilihan bagi melakukan perubahan. Janganlah kerana kita merasa sedikit selesa, diberikan sedikit kekayaan tetapi kita lupa untuk menggunakan daya usaha kita itu untuk melakukan islah dalam masyarakat supaya negara kita menjadi lebih makmur,” tegas Shamsil dalam perutusan Eidul Fitri beliau.
Beliau menambah tanggungjawab untuk memakmurkan dunia ini sudah tentu tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada manusia, tetapi dipilih oleh Allah SWT kerana keistimewaan manusia.

“Allah berfirman “Sesungguhnya manusia itu adalah sebaik baik kejadian”. Manusia itu adalah sebaik baik kejadian kerana adanya elemen x, iaitu elemen yang saya kategorikan sebagai keupayaan manusia untuk merancang dan merencana melalui akal fikiran. Kelebihan ini tidak ada pada haiwan, tumbuhan dan mineral. Kesempurnaan manusia ialah kerana akal fikiran yang digunakan untuk merancang dan merencana.

“Alhamdulillah, umat Islam baru sahaja menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia. Ramadhan diibaratkan sebagai sebuah madrasah, tempat latihan rohani dan jasmani. Ianya bulan yang paling sesuai bagi penyucian hati dari segala kekotoran dosa. Sebagai hamba Allah kita dituntut supaya sentiasa memperbaiki diri dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keredhaan dari Allah SWT. Mudah-mudahan amalan, amal ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu akan diterima oleh Allah SWT.

“Perjuangan memperbaiki diri bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja, malah ianya perlu diteruskan dengan istiqamah setiap masa. Malah perjuangan ini perlu juga diperluaskan ke dalam masyarakat. Kita ingin melihat masyarakat kita bergerak ke arah masyarakat yang baik. Pembaikan atau islah sudah tentu berkait rapat dengan perjuangan dan dasar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Malaysia.

“Perjuangan KEADILAN adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia tentang peri pentingnya perubahan ke arah politik yang berprinsip, ekonomi yang mapan dan sosial yang harmonis yang kesemuanya berpaksikan prinsip keadilan,” ujarnya lagi.
Kata Shamsul melaksanakan keadilan di dalam masyarakat bukanlah mudah kerana ia memerlukan iltizam dan semangat politik yang tinggi.

“Keadilan di sini bukan hanya menyentuh undang-undang dan polisi untuk kebaikan dan kegembiraan majoriti sahaja mahupun sekadar mempromosi dan melindungi hak asasi manusia, tetapi ianya menjangkaui lebih daripada itu. Negara yang adil pada hemat saya ialah negara yang berupaya memahami nilai-nilai baik yang perlu dihayati dan diamalkan dalam setiap unsur pentadbirannya,” kata Shamsul.

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya menyuburkan usaha pendemokrasian dalam parti secara sihat.

“Seperti yang kita sedia maklum, pada bulan November hadapan Parti Keadilan Rakyat akan menghadapi pemilihan kepimpinan Parti. Proses pencalonan telahpun berlangsung pada Ramadhan yang lepas. Sesungguhnya, ini ialah titik penting dalam meneruskan kesinambungan Parti.

“Buat pertama kalinya setiap ahli Parti seramai lebih kurang 400,000 orang akan diberikan kuasa untuk membuat pilihan barisan kepimpinan Parti. Usaha ini ialah bagi menyuburkan demokrasi di dalam Parti. Ini adalah bukti bahawa kepimpinan Parti serius menegakkan demokrasi yang sebenarnya dan ianya bukanlah suatu slogan kosong semata-mata.

“Dengan semangat ini, saya menyeru ahli-ahli Parti mengunakan kebijaksanaan dalam memilih barisan kepimpinan yang baru. Gunakan peluang ini untuk kita merencana dan merancang pembangunan Parti supaya lebih kuat dan kukuh.

“Parti yang kuat dan kukuh akan terus mendapat kepercayaan dari rakyat. Jadikan pertandingan kali ini ialah pertandingan antara saudara dan adik beradik, yang menang kita nobatkan yang kalah jangan kita pinggirkan. Justeru, saya berharap hasrat dan cita-cita murni untuk memperkasa Parti sebagai natijah daripada pemilihan ini sepatutnya dipelihara,” jelasnya.
Beliau juga berkata peranan golongan muda di dalam mengangkat martabat perjuangan hendaklah sentiasa diiktiraf sejajar dengan tanggungjawab yang digalas oleh lapisan muda.

“Jangan dilupa juga sumbangan anak muda. Anak muda seharusnya diberi ruang dan peluang secara luas untuk melibatkan diri secara aktif di dalam kepimpinan Parti. Pemilihan Parti kali ini merupakan kesempatan yang terbaik untuk melaksanakan misi penting Parti.

“Kewujudan kuasa ketiga, iaitu kekuatan anak muda di dalam kepimpinan akan menjadikan Parti ini relevan dan menjadi ikutan anak-anak muda. Sesuai dengan ayat al-Quran: Innahum fityatun amanu birabbihim wa zidnahum huda yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka merupakan pemuda-pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan dikurniakan mereka petunjuk.

“Di dalam keghairahan kita berhari raya, jangan dilupa kepada rakan taulan, sahabat handai dan para reformis yang berkorban keringat dan air mata dalam menegakkan keadilan di negara kita. Jasa-jasa mereka perlu kita kenang, tanpa mereka perjuangan menegakkan keadilan ini mungkin akan terbantut dan tidak seghairah sekarang.

“Kepada pasukan keselamatan yang bertugas di hari raya ini kita doakan mereka sentiasa sihat dan ceria di hari raya. Walaupun tidak berada di samping keluarga, sesungguhnya sumbangan mereka menjaga ketenteraman dan keselamatan membolehkan kita berhari raya dengan aman dan damai.

“Akhir kalam, saya mewakili warga kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia menyusun jari sepuluh memohon maaf zahir dan batin jika ada khilaf kepada seluruh ahli Parti khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Mudahan-mudahan Syawal kali ini membawa sinar kebahagiaan di samping keluarga tersayang. Bagi yang memandu berhati-hatilah di jalan raya, moga kita selamat pulang dari kampung bagi meneruskan kehidupan seperti biasa. Wallahu’alam, Kembali Kepada Fitrah Perjuangan, Eid Mubarak” kata Shamsul lagi.

suara-keadilan.com

One thought on “Rakyat Diseru Tolak Politik Perkauman, Kezaliman, Rasuah

  1. Orang Melayu dlm PKR mungkin sedang bermimpi,mereka merasa mereka sudah terlalu kehadapan hingga rela menjadi kuda tungganngan gulungan tertentu yg mejoritinya memang sudah jauh mendahului mereka.Pemimpin PKR pula hanya tahu mendendangkan wadah politik yg muluk muluk untuk pengikut mereka,tak kesahlah kalau pun menang nanti kampung tergadai.

    Sdr Shamsul, lebih elok kalau di ajar ahli PKR supaya berkerja kuat untuk mencari masa depan,bukan sekadar berpolitik tapi hasilnya akan memberi menafaat yg lebih kepada gulungan lain nanti.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s