Apa Guna Menjadi Tuan Kalau Maruah Tergadai ?

Bukan sesuatu yang tidak terjangka apabila gesaan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai keperluan masyarakat Melayu menolak Ketuanan Melayu dan digantikan dengan Ketuanan Rakyat dan Bangsa Bermaruah menyebabkan adrenalin ahli-ahli Umno meruap-ruap.

Sehingga hari ini, bermacam jenis celaan, caci maki dan kritikan keras ditujah ke atas KEADILAN rentetan daripada gesaan itu. Kononnya KEADILAN terdesak mahukan undi masyarakat bukan Melayu dan menolak realiti Perlembagaan Persekutuan. Sebagai pengamal undang-undang, saya tidak tahu peruntukan mana yang dirujuk oleh mereka ini.

Perkasa dengan baculnya menunding jari melempar tuduhan yang biadap kepada Datuk Seri Presiden. Saya secara tegas menyatakan merekalah sebenarnya pelacur politik murah, yang ghairah memperjuang hak Melayu Umno semata-mata dan membiarkan Melayu peringkat sederhana dan bawahan terpinggir mati. Serangan terbaru ialah pandangan dangkal Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA diguna pakai terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dan seperti yang dijangkakan, berduyun-duyun ahli akademik yang kononnya ‘kesal’ dengan KEADILAN kerana menafikan sesuatu yang termaktub sekian lama dalam hasil lipatan sejarah.

Sebagaimana biasa, Utusan Malaysia dan TV3 terus menjadi batu api,berusaha memainkan peranan untuk memutarbelitkan ucapan Dr. Wan Azizah, yang realitinya meminta masyarakat Melayu menggantikan Ketuanan Melayu dengan slogan Bangsa atau Melayu Bermaruah.

Hakikatnya, gesaan KEADILAN ini konsisten sebermula tahun 1999 lagi. KEADILAN percaya bahawa slogan Ketuanan Melayu ini sama sekali tidak merujuk kepada kelompok masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Sebaliknya hanya merujuk kepada kelompok kecil dan elit Melayu yang bertanggungjawab memonopoli kekayaan negara di sebalik perit jerih masyarakat bawahan baik Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.

Yang dinafikan secara terus menerus oleh Umno dan kuncu-kuncunya ialah berlakunya masalah kemiskinan dan kesempitan hidup di kalangan masyarakat Melayu di luar bandar, malahan di kawasan bandar juga. Kos sara hidup makin menggila, malah ada masyarakat Melayu yang masih terpaksa menagih simpati demi mendapatkan sesuap nasi, sesuatu yang sewajarnya tidak berlaku jika benarlah Ketuanan Melayu ini slogan yang efektif.

53 tahun negara Malaysia ini mencapai kemerdekaan, tetapi masyarakat kita hanya mampu berbangga dengan projek mega seperti KLCC dan KLIA. Impaknya kepada kualiti hidup rakyat sangat mendukacitakan.

Pendapatan bulanan? Cukup-cukup makan.
Kos sara hidup? Tinggi.
Keterhutangan? Tinggi

Ini realiti masyarakat Melayu secara majoritinya disebalik slogan Ketuanan Melayu laungan Umno. Yang kekal mendapat projek dan tender kerajaan hanya mereka yang tidak perlukan sijil akademik. Cukup sekadar sijil keahlian Umno, kekayaan duniawi itu boleh dijamin tanpa kompromi.

Di bawah slogan Ketuanan Melayu, di sebalik pendapatan RM425,000.00 sebulan oleh Pengerusi Syabas, masih bersusun orang Melayu yang berpendapatan hanya RM500 sebulan.

Di bawah slogan Ketuanan Melayu, hampir 80% penjawat awam yang berbangsa Melayu terdesak dengan kos sara hidup yang tinggi sedangkan Umno terus ghairah dengan projek-projek mega dan program-program transformasi yang sampai ke hari ini hanya gah pada akronim tetapi lemah daripada aspek impak kepada masyarakat.

Di bawah slogan Ketuanan Melayu, hak rakyat Kelantan, Terengganu malah Sabah dan Sarawak yang majoriti penduduknya adalah Melayu dinafikan hak untuk mendapat royalti petroleum yang dikaut Umno melalui Petronas.

Di bawah slogan Ketuanan Melayu, hak peneroka Felda saban hari dinafikan untuk mendapatkan pulangan hasil yang lebih baik dari tiap titik peluh yang mereka titiskan untuk memajukan tanah-tanah rancangan kerajaan.

Di bawah slogan Ketuanan Melayu, masih wujud masyarakat Melayu yang terpaksa mengikat perut demi memastikan mereka terus hidup sebagaimana yang boleh ditonton di rancangan Bersamamu, TV3.

Ini realiti Ketuanan Melayu yang mereka laungkan!

Sebab itu KEADILAN berpendapat bahawa Ketuanan Melayu ini hanyalah satu retorik yang menjadi perisai kepada Umno untuk mereka terus mengaut hasil masyhul negara demi mengayakan diri sendiri dan para kroni.

Slogan Bangsa Bermaruah melalui Ketuanan Rakyat sewajarnya mengambil tempat. Malaysia bukan milik Umno. Malaysia adalah hak rakyat. Setiap inci dan setiap sen nilaian tanah air ini adalah menjadi hak rakyat dan wajar dirasai oleh semua pihak tanpa sebarang tarik tali.

Ketuanan Rakyat menjamin hak rakyat untuk mendapatkan akses kehidupan yang lebih baik dan positif di sebalik usaha Pakatan Rakyat untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan praktis yang lebih adil untuk semua. Tidak ada rakyat yang wajar hidup susah di bawah ketuanan rakyat, baik mereka itu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya.

Semua rakyat harus mempunyai ruang untuk dimanfaatkan agar taraf kehidupan mereka berada pada tahap yang memuaskan. Ini yang dijamin Ketuanan Rakyat. Ini yang diperjuangkan oleh KEADILAN, dan ini yang konsisten ditegaskan oleh Pakatan Rakyat.

Tidak timbul isu mengenepikan hak keistimewaan Masyarakat Melayu, kerana Pakatan Rakyat sendiri melalui Common Framework yang dimeterai bersama oleh pimpinan tertinggi KEADILAN – PAS – DAP untuk menghormati prinsip-prinsip asas yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan baik soal kedudukan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan juga Agama Islam.

Ini realiti yang ditakuti oleh Umno. KEADILAN, meskipun dikatakan sudah tidak relevan dan diibaratkan “Parti Kian Runtuh”, masih lagi relevan di muka-muka depan akhbar demi melariskan jualan akhbar-akhbar yang menjadi talian hayat Umno ini.

Rakyat bukan bodoh untuk sewenangnya diperdaya oleh Utusan Malaysia. Rakyat Malaysia semakin bijak, khususnya masyarakat Melayu.

Apalah guna bangga menjadi tuan, kalau maruah tergadai tanpa nisan !

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s