(Artikel Pilihan) Belanjawan: Antara Moral dan Ideologi

Oleh:Megat Rizuan bin Megat Abdul Hamid

10 Oktober 2011

Dari: http://jalantelawi.com/

”Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan perbelanjaan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). Al-Haysr: ayat 7

Belanjawan

Setiap Kerajaan sesebuah negara di dunia pasti akan membentangkan belanjawan mereka pada setiap tahun. Elemen penting dalam setiap Belanjawan Negara ialah Pendapatan dan Perbelanjaan kerajaan. Sumber pendapatan kebiasaannya datang daripada hasil cukai. Manakala perbelanjaan pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Belanjawan Negara juga sudah pastinya tidak dapat dipisahkan daripada ideologi politik serta ekonomi setiap kerajaan yang memerintah.

Belanjawan 2012 telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri. Namun begitu, sejauh manakah peranan ideologi mempengaruhi keberkesanan belanjawan tersebut? Apakah belanjawan tersebut dilihat Islamik apabila mukadimahnya dimulai dengan Surah Quraisy ayat 3-4? Apakah ianya kelihatan cukup Liberal apabila diumumkan bahawa 17 subsektor perkhidmatan akan diliberalisasikan dalam usaha ‘Meligat Pelaburan’? Atau apakah ianya dilihat sebagai mengutamakan Modal Insan apabila yuran sekolah dihapuskan dan banyak bantuan yang diumumkan dalam sektor pendidikan? Apakah belanjawan itu kelihatan cukup Berkebajikan dan Sosialis apabila bantuan RM500.00 diumumkan kepada isi rumah yang berpendapatan RM3000.00 dan ke bawah? Apakah ini satu bentuk belanjawan yang mengutamakan Ideologi Campuran untuk mencapai matlamat belanjawan terbaik?

Kepentingan Hak Rakyat dan Kerajaan

John Stuart Mill pernah mengungkapkan “the struggle between Liberty and Authority is the most conspicuous feature in the portions of history.” Mill menyatakan bahawa perjuangan antara Hak Rakyat dan Pihak Berkuasa adalah ciri yang paling mudah untuk dilihat di dalam setiap bahagian sejarah. Sudah pastinya dalam setiap Belanjawan Negara, pasti kelihatan ada perbezaan kepentingan di pihak rakyat dan kerajaan. Setiap belanjawan juga pasti tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Namun begitu, keperluan asas rakyat dan negara mestilah diutamakan oleh kerajaan. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan setiap perbezaan kepentingan yang timbul.

Pembahagian Kekayaan Negara

Pada pendapat saya, ayat 7 surah Al-Hasyr adalah amat penting untuk dijadikan rujukan asas bagi setiap belanjawan.

“supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”

Ayat tersebut mempunyai dua elemen yang sangat penting. Elemen pertama ialah pada perkataan ‘beredar’. Perkataan ‘beredar’ ini amat berkait rapat dengan ‘pergerakan’, dan setiap ‘pergerakan’ memerlukan ‘pemacuan’. Maksud sebenar perkataan ‘beredar’ ialah menuntut manusia terutamanya pihak berkuasa untuk ‘memacu’ ekonomi. Elemen kedua ialah maksud keseluruhan ayat itu sendiri yang menuntut supaya kekayaan Negara itu dapat dinikmati oleh setiap rakyat. Elemen yang kedua ini juga menuntut satu bentuk ekonomi atau belanjawan yang adil dan menekankan konsep akhlak dan moral.

Akhlak, Moral dan Ideologi

Persoalan ideologi dalam ekonomi atau politik adalah perkara kedua, inh adalah berdasarkan pemerhatian saya. Ianya bukan bermaksud bahawa sebarang ideologi itu tidak penting. Ideologi amat penting kerana ianya adalah jalan pemikiran yang akan menterjemahkan setiap keputusan yang akan kita ambil. Akan tetapi tidak berguna jika kita bicara soal Liberalisme, Sosialisme atau Kapitalisme jika semua pengamalan ideologi ini masih didasari oleh rasuah, penyelewengan, pemborosan serta kronisme dan nepotisme?

Setiap kerajaan, boleh mengumumkan apa sahaja bentuk Belanjawan dan Ideologi Ekonomi, akan tetapi apakah pula jaminan bahawa setiap perbelanjaan kerajaan itu adalah bersih dan tidak korup? Sebagai contoh, sesuatu kerajaan yang mengumamkan peruntukan 1 billion untuk sektor pendidikan, ini menunjukkan kerajaan yang mementingkan soal Modal Insan. Akan tetapi apakah jaminan bahawa 1 billion tidak akan diseleweng. Jika pembinaan bangunan baru di sekolah-sekolah serta pembekalan kemudahan buku latihan hanya diberikan kepada kroni serta terlalu banyak ketirisan, unsur-unsur korup dan penyelewengan, maka tidak berguna rakyat dan kerajaan bercakap tentang Modal Insan!

Tidak berguna juga kita bicara soal ideologi jika para pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri berbelanja secara boros. Masalah ini tidak tertakluk kepada mana-mana kerajaan yang wujud dunia ini. Cuma fenomena seperti ini secara umumnya kelihatan jelas di kalangan negara-negara membangun.

Di Negara-negara maju, sikap kerajaan yang korup dan boros ini kurang kelihatan. Keadaan ini wujud oleh kerana mereka sentiasa dikekang oleh undang-undang yang telus dan rakyat yang sentiasa memerhatikan sikap kerajaan. Oleh kerana kurangnya masalah korupsi dan pemborosan oleh kerajaan ini, maka pertembungan ideologi dan kecekapan tata urus belanjawan menjadi isu penting di negara-negara maju.

Defisit dan Keynes

Belanjawan defisit secara berterusan juga amat membimbangkan. Ini membuatkan beban hutang kerajaan semakin bertambah dan ianya juga boleh menjejaskan nilai matawang dan kekukuhan ekonomi sesebuah negara. Prinsip ekonomi John Maynard Keynes selalu diselewengkan dalam setiap bentuk ekonomi dan belanjawan yang tidak berakhlak.

Secara ringkasnya, Keynes mengatakan bahawa sedikit belanjawan defisit adalah baik untuk negara. Dengan syarat bahawa defisit itu berlaku kerana kepentingan Negara. Contohnya jika sesebuah negara itu mengalami belanjawan defisit oleh kerana mahu meningkatkan mutu sektor pendidikan dengan syarat perbelanjaannya mesti telus. Jika defisit itu berlaku oleh kerana pemborosan kerajaan atau kerajaan berbelanja terhadap perkara yang tidak produktif, maka ianya tidak dapat diterima sama sekali!

Ceteris Paribus

Kenaikan harga barangan dan perbelanjaan rakyat tidak boleh diukur secara Ceteris Paribus. Sebagai contoh, kerajaan tidak boleh secara mudah mengatakan bahawa sesuatu harga barangan itu naik oleh kerana permintaan terhadap barangan itu meningkat atau kos pembuatan yang meningkat. Itu hanyalah perbandingan mudah, Ceteris Paribus.

Peningkatan harga sesuatu barangan juga sebenarnya berlaku jika wujud unsur-unsur korupsi dan penyelewengan. Bayangkan, jika wujud unsur-unsur korupsi dan penyelewengan pada setiap peringkat pembinaan sesebuah projek perumahan, maka ini akan melibatkan kenaikan kos yang ditanggung oleh Pemaju dan beban kos itu akan dibebankan terhadap pembeli, iaitu rakyat. Ini yang mesti diperhatikan oleh kerajaan dan rakyat mesti sedar akan keadaan ini.

Kesedaran

Untuk berubah kepada ekonomi serta politik yang berakhlak, bermoral dan manusiawi perlu ada sikap yang serius terhadap usaha membanteras penyelewengan. Sikap Bebalisme dan tidak ambil endah pada aspek ini akan merosakkan sistem ekonomi dan politik negara. Kesedaran untuk berubah bermula dengan perlawanan terhadap segala bentuk kezaliman dan korupsi.

Megat Rizuan Bin Megat Abdul Hamid,
Alumnus Akademi Pak Sako,
“tulis.ubah.dunia”

Credit:
Jalan Telawi (http://jalantelawi.com/)

Nota:
Akademi Pak Sako merupakan projek penjenamaan semula program Bengkel Penulis Muda yang suatu ketika dahulu pernah dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD). Selain mengenalpasti bakat-bakat baru dari kalangan anak-anak muda, Akademi Pak Sako juga akan mengendalikan siri latihan secara serius untuk menggilap dan mengembangkan potensi penulis-penulis muda terutamanya dari aspek kewartawanan, propaganda politik, aplikasi media baru, satira, falsafah dan juga penterjemahan.

(Klik gambar untuk ke sesawang Akademi Pak Sako)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s