Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012 oleh YB Azmin Ali

Teks ucapan perbahasan Belanjawan 2012 Ketua Whip YB Azmin Ali.

11 Okt 2011

BAB PERTAMA: BELANJAWAN TANPA PELABURAN

Tan Sri Yang diPertua

1.Kualiti sesebuah belanjawan dan perencanaan ekonomi dinilai dari beberapa aspek utama; iaitu:

§ Kemampuan negara membiayai perbelanjaan dan pelaburan yang dirancang secara sihat dan berterusan;

§ Kesejahteraan ekonomi dan kemakmuran yang dicapai oleh negara dan diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira darjat dan latar belakang;

§ Keberkesanan pelaburan masa depan yang dibuat melalui perbelanjaan pembangunan untuk membina kapasiti dan kemampuan ekonomi yang menggunapakai semaksima mungkin potensi tenaga kerja, produktiviti dan kepandaian rakyat; dan

§ Nilai-nilai yang diperjuangkan melalui belanjawan dalam menegakkan yang benar dan membanteras yang salah; “amal maaruf nahi munkar” melalui pelbagai cukai dan langkah yang boleh diambil.

2.Umumnya, berdasarkan keempat-empat kriteria ini Belanjawan 2012 adalah hambar, tidak realistik, tidak bertanggungjawab dan mengundang masalah kewangan negara di masa akan datang.

3.Oleh kerana Ketua Pembangkang telah memfokuskan kepada perincian makro ekonomi dan membuktikan bagaimana Belanjawan 2012 tidak lebih dari angka-angka unjuran yang dimanipulasi, saya memohon izin untuk menyambung dengan memberi fokus kepada kegagalan Belanjawan 2012 membina pelaburan masa hadapan terutamanya di dalam sektor-sektor strategik.

4.Keseluruhan Belanjawan 2012 berkisar kepada gula-gula dan rasuah kepada rakyat sehinggakan perbelanjaan mengurus mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM181 bilion, berbanding RM51 bilion yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan masa hadapan dan pembangunan.

5.Oleh yang demikian, dengan jumlah agihan yang terlalu berat kepada perbelanjaan operasi dan meminggirkan pelaburan masa hadapan sebegini, Belanjawan 2012 tidak akan berupaya untuk mewujudkan kesan berganda (multiplier effects) yang diperlukan oleh ekonomi negara khasnya dalam sektor-sektor baru.

6.Sedang saya menerima hakikat bahawa perlu ada bantuan langsung yang diberikan kepada rakyat dalam masa yang sukar ini, ia perlu diimbangi dengan pelaburan yang tepat dalam sektor-sektor strategik; untuk membangunkan sektor-sektor masa hadapan yang bersesuaian dengan kelebihan kita sebagai sebuah negara.

7.Ada beberapa sektor dan pelaburan yang seharusnya diangkat mendepani senarai keutamaan negara.

8.Pertama, bidang pendidikan terutamanya pelaburan di dalam latihan kemahiran dan teknikal untuk menaiktaraf kemampuan tenaga kerja di masa hadapan serta pelaburan di dalam research and development (R&D) yang sangat-sangat diperlukan.

9.Kedua, sektor mendesak seperti bioteknologi dan industri hijau sebagai langkah proaktif menyediakan negara berhadapan dengan ketiadaan sumber minyak dan gas dalam sedekad akan datang.

10.Sewajarnya, Belanjawan 2012 menyenaraikan peruntukan-peruntukan bagi tujuan-tujuan ini serta mengangkat sasaran nasional untuk membangunkan sektor-sektor ini. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk mempercepatkan kadar pelaburan di dalam R&D misalnya, supaya ia sampai ke satu sasaran yang menyamai negara-negara maju? Angka-angka sebeginilah yang sewajarnya dihurai dengan mendalam.

11.Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada satu industri baru yang strategik yang wajib diberi tumpuan oleh negara, tetapi Perdana Menteri langsung terlepas pandang dan tidak menyebutnya langsung di dalam Malaysia.

12.Syarikat-syarikat milik anak Malaysia sekarang sedang giat menjalankan usaha R&D untuk mengkomersilkan penghasilan minyak pyrolisis. Untuk pengetahuan Dewan, minyak pyrolisis adalah minyak bio (biofuel) yang dihasilkan dari bahan bio kering (dried biomass) melalui proses kimia di dalam sebuah reaktor yang menyerupai proses penapisan minyak.

13.Ia boleh digunakan untuk menggantikan petroleum sebagai minyak jet dan beberapa jenis minyak yang lain.

14.Malaysia sangat berpotensi untuk menjadi jaguh dunia di dalam bidang ini memandangkan kedudukan kita sebagai sebuah pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia. Malaysia mengeluarkan kira-kira 70 juta ton biomass setiap tahun, kira-kira 28 juta ton adalah dalam bentuk tangkai kelapa sawit (empty fruit bunch) yang berpotensi diproses menjadi minyak bio.

15.Saya sebut perkara ini untuk memberi gambaran kepada Dewan bagaimana industri dan teknologi yang sepenting ini tidak pula disentuh di dalam Belanjawan 2012. Tidak ada sebarang insentif khusus dalam bentuk pelepasan cukai khas untuk mempercepatkan pembinaan loji pemprosesan, atau insentif untuk menggalakkan minyak pyrolisis. Atau Perdana Menteri boleh sahaja mengarahkan PETRONAS dan FELDA melalui anak-anak syarikatnya bekerjasama untuk mengkomersilkan teknologi ini.

16.Sebaliknya, Perdana Menteri mengumumkan pelepasan cukai terbesar pernah diberikan kepada pemaju hartanah bagi projek yang ada kaitan dengan kroni-kroninya iaitu Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang tidak menjamin kesan gandaan kepada ekonomi di dalam jangka masa panjang; atau membina sektor strategik yang mendesak akibat ketiadaan sumber minyak. Pelepasan cukai yang diumumkan kepada pemaju hartanah di KLIFD dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion.

BAB KEDUA: MASALAH DEFISIT TIDAK TERKAWAL

Tan Sri Yang diPertua

17.Saya kesal kerana ada yang berhujah di dalam Dewan bahawa Belanjwan defisit yang besar dan hutang negara yang tinggi adalah perkara biasa kerana ia disebabkan faktor luaran. Ini adalah jalan singkat untuk memberi justifikasi kegagalan pentadbiran ekonomi dunia dengan menyalahkan cuaca di negara lain atau masalah-masalah ekonomi dunia. Kalau begitulah keadaannya, maka tidak perlulah kita mempunyai dua orang Menteri Kewangan kerana prestasi ekonomi negara kononnya di luar kawalan mereka.

18.Saya mohon ruang untuk membidas kenyataan yang dangkal ini kerana ia bertujuan memberi gambaran yang salah kepada rakyat. Masalah defisit negara dan hutang negara yang tinggi adalah disebabkan kelemahan pentadbiran ekonomi Barisan Nasional dan tabiat berbelanja boros yang tidak terkawal. Mana-mana Menteri Kewangan yang bertanggungjawab boleh sahaja memberi fokus untuk mengurangkan masalah defisit ini.

19.Kalau ada yang menyalahkan cuaca di Thailand sehingga menyebabkan kos import beras negara meningkat, ini mendedahkan kegagalan kerajaan menghapuskan pergantungan kepada import makanan, sedangkan puluhan bilion ringgit telah dicurahkan sepanjang 10 tahun yang lepas untuk mengurangkan import makanan.

20.Misalnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kerajaan
telah memperuntukkan RM11.4 bilion untuk Dasar Jaminan Makanan (food security program) untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, melalui pelbagai program dan peruntukan yang mahal-mahal belaka.

21.Jika dicampur dengan peruntukan dari RMK8 bagi tujuan ini, sejumlah RM20 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun.

22.Malangnya, matlamat program ini untuk mengurangkan import telah gagal. Sebaliknya, import makanan telah meningkat hingga mencecah RM30 bilion dalam tahun 2010, sedangkan sasaran pengurangan adalah kepada RM14.3 bilion menjelang tahun 2010 seperti terkandung di dalam RMK9.

23.Lebih membimbangkan apabila import makanan ini meningkat pada kadar 10.2% setiap tahun iaitu RM17.7 bilion (2005), RM26.7 bilion (2009) dan RM30 bilion (2010).

24.Malaysia mempunyai tanah yang subur, cuaca yang baik, pengairan yang mencukupi dan seharusnya dengan peruntukan RM20 bilion itu, kita tidak mempunyai masalah untuk mengurangkan import makanan.

25.Tetapi akibat penyelewengan apabila peruntukan ini diagihkan kepada kaum kerabat menteri sehingga meninggalkan projek-projek terbengkalai, akibat tiadanya tata kelola baik sehingga ketirisan berleluasan, negara kehilangan RM20 bilion wang rakyat tanpa ada hasil yang munasabah.

26.Jadi jika ada yang ingin menyalahkan cuaca di Thailand atau banjir di India, saya mohon beliau menyemak kembali kesemua dokumen kerajaan kerana jelas kebergantungan negara kepada import makanan adalah berpunca dari kegagalan Barisan Nasional menjaga wang amanah rakyat.

27.Kalau ada pula yang lain ingin menyalahkan ketidaktentuan ekonomi global sebagai punca masalah defisit negara, mereka perlu insaf bahawa masalah defisit negara telah berlanjutan selama 14 tahun berturut-turut. Sejak tahun 1998 hingga 2011, ekonomi dunia turun naik. Ada ketika ekonomi dunia berkembang baik, tetapi Malaysia masih lagi mengalami belanjawan defisit. Pada kala ekonomi dunia surut sedikit, Malaysia tetap mengalami belanjawan defisit.

28.Maknanya, faktor ekonomi global ini bukanlah faktor yang dominan yang mengikat tangan kita untuk menangani masalah defisit, apatah lagi apabila sumber pendapatan kita bergantung kepada hasil minyak yang melindungi pendapatan negara daripada ketidaktentuan ekonomi global.

29.Saya mohon Dewan merujuk kepada statistik pendapatan negara bagi tahun 2008, 2009, 2010 dan unjuran pendapatan negara bagi tahun 2011. Jelas bahawa sumber dari hasil petroleum – baik dari cukai pendapatan petroleum, dividen PETRONAS, duti import dan eksport adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara.

30.Pendapatan dari sumber petroleum dan peratusan dari keseluruhan pendapatan negara bagi tahun-tahun tersebut adalah seperti berikut:

§ 2008 – RM65 bilion (41% dari keseluruhan pendapatan)

§ 2009 – RM74 bilion (46% dari keseluruhan pendapatan)

§ 2010 – RM67 bilion (41% dari keseluruhan pendapatan)

§ 2011 – anggaran RM64 bilion (39% dari keseluruhan pendapatan)

31.Harga minyak mentah sepanjang tahun 2011 adalah antara yang terbaik dalam sejarah. Minyak mentah gred Tapis yang dikeluarkan negara berada pada harga purata sekitar USD$119 setong dalam tempoh Januari hingga September 2011 yang menjamin keuntungan besar PETRONAS dan syarikat-syarikat minyak dalam tahun 2011 dan 2012; bermakna pendapatan negara yang akan terus stabil dalam tahun 2012 dan 2013 dari hasil minyak walaupun ada ketidaktentuan ekonomi dunia.

32.Ini menyanggah alasan mudah yang cuba diberikan oleh Barisan Nasional bahawa masalah defisit negara adalah diluar kawalan kita kerana faktor luaran. Malaysia mempunyai sumber kewangan yang stabil dari hasil minyak.

33.Punca sebenar masalah defisit adalah kegagalan urus tadbir ekonomi Barisan Nasional yang boros, keterlaluan, menyelewengkan wang rakyat dan tidak berhemah.

34.Sebab itu rakyat menuntut disiplin fiskal yang baik, pengurusan harta negara yang lebih bertanggungjawab dan pengurusan perbelanjaan yang berhemah dengan memberi nilai tambah kepada wang rakyat. Kalau kerajaan beli komputer riba, pastikan harganya seperti harga pasaran – satu komputer riba bukannya RM40,000 seperti yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, satu komputer riba sepatutnya hanyalah RM3,000.

35.Dalam konteks ini juga, Dewan perlu memberi perhatian kepada keruncingan sumber kewangan negara jika pentadbiran wang negara tidak berdisiplin dan telus seperti sekarang.

36.Walaupun sumber pendapatan negara adalah stabil dalam masa terdekat kerana hasil petroleum, ia tidak akan kekal selama-lamanya. Rizab minyak negara adalah terhad dan dalam masa sedekad rizab ini akan turun mendadak.

37.Daripada RM186 bilion pendapatan negara yang diunjurkan di dalam Belanjawan 2012, sumbangan dari sektor petroleum mencecah purata 40% iaitu RM74.4 bilion. Maka hipothesisnya, jika negara tidak mempunyai hasil petroleum, pendapatan sebenar negara dari semua aktiviti ekonomi yang lain hanyalah RM112 bilion, sedangkan perbelanjaan mengurus kerajaan adalah RM181 bilion.

38.Daripada RM181 bilion ini, RM52 bilion diperuntukkan untuk gaji dan RM129 bilion bagi tujuan kos operasi kerajaan.

39.Tanpa sumber petroleum, dengan pendapatan sekitar RM112 bilion sahaja, kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji kakitangan awam, mahupun menjalankan operasi kerajaan.

40.Oleh yang demikian, tuntutan kita supaya amalan berbelanja boros dihentikan, proses perolehan kerajaan dijalankan secara adil dan hentikan rasuah dan penyelewengan – bukanlah cakap-cakap politik sahaja. Ia berasaskan kepada keadaan ekonomi negara yang runcing dan kucar kacir yang bakal diwariskan oleh Barisan Nasional kepada rakyat, sekiranya tabiat defisit dan berhutang ini berterusan dalam keadaan sumber pendapatan dari petroleum akan mula berkurangan di masa akan datang.


BAB KETIGA: GAJI MINIMA

Tan Sri Yang diPertua

41.Mewakili golongan pekerja yang banyak menghubungi saya selepas Belanjawan 2011 diumumkan, saya ingin melahirkan rasa kesal kerana sekali lagi Barisan Nasional membelakangkan kepentingan pekerja apabila tidak memperkenalkan gaji minima.

42.Perjuangan menuntut gaji minima ini telah berlangsung sejak 4 dekad yang lalu di dewan yang mulia ini. Pelbagai janji telah ditaburkan oleh kerajaan kononnya untuk akur dengan tuntutan pekerja, tetapi setiap kali belanjawan diumumkan, perkataan “gaji minima” tidak pernah dimasukkan. Tidak pernah ada komitmen untuk melaksanakan gaji minima.

43.Saya juga ingin menegur ahli Dewan yang salah faham tentang konsep gaji minima. Ada suara-suara sumbang yang menuntut kononnya gaji minima perlulah dilaksanakan dengan jaminan peningkatan produktiviti oleh pekerja, seolah-olah selama ini pekerja Malaysia curi tulang dan tidak membantu perkembangan ekonomi negara.

44.Konsep gaji minima bukanlah dibina berasaskan pertimbangan produktiviti. Gaji minima mengambil kira kos sara hidup di dalam sesebuah negara dan menetapkan gaji paling rendah untuk menjalani kehidupan secara bermaruah dan adil. Oleh itu, perkiraan gaji minima mengambil kira faktor kos sara hidup dan kemampuan majikan untuk membayarnya. Misalnya berapakah kos rumah sebulan, berapa kos makanan, berapa kos pendidikan anak, berapa kos perubatan dan lain-lain.

45.Berdasarkan konsep yang betul inilah, Pakatan Rakyat mencadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 bahawa gaji minima boleh dilaksanakan pada aras RM1,100 kerana jumlah ini adalah jumlah purata yang munasabah untuk semua pekerja di seluruh negara hidup dalam keadaan bermaruah dan adil.

46.Ada perbezaan yang ketara di antara pengenalan gaji minima yang akan melonjakkan gaji pekerja di semua sektor, termasuklah swasta dan awam berbanding dengan pengumuman kenaikan gaji yang hanya melibatkan sektor awam. Belanjawan 2012 menidakkan hak 10 juta pekerja rakyat Malaysia untuk turut sama menikmati kemakmuran ekonomi hasil dari usaha mereka sebelum ini, apabila kerajaan tidak berani melaksanakan gaji minima.

47.Data-data sedia ada jelas menunjukkan bahawa golongan pekerja di negara ini telah ditindas bila mana peningkatan produktiviti yang diusahakan mereka tidak berpadanan dengan kenaikan gaji.

48.Saya telah meneliti laporan Bank Dunia bertarikh 19 Julai 2011 yang dipersembahkan kepada kerajaan Malaysia mengenai impak pelaksanaan gaji minima di negara ini.

49.Rujuk mukasurat 11 dalam ringkasan laporan, mengenai produktiviti yang diukur melalui nilai tambah setiap pekerja, berbanding dengan kadar gaji sejam. Geraf menunjukkan bahawa tidak ada korelasi (correlation) atau perkadaran langsung di antara produktiviti pekerja dan gaji yang dibayar kepada mereka.

50.Contohnya bagi pekerja di restoran dan kantin – purata gaji sejam hanyalah RM3 tetapi produktiviti mencecah RM20,000 setahun. Begitu juga dengan sektor perkilangan IT, purata gaji sejam adalah RM4 sejam sedangkan produktiviti adalah RM35,000 setahun.

51.Ini menyangkal dakwaan sesetengah ahli Dewan yang seolah-olah menghina golongan pekerja apabila mengaitkan tuntutan gaji minima dengan kenaikan produktiviti.

52.Selama ini pun, golongan pekerja telah menunjukkan peningkatan produktiviti yang tidak diberi pampasan berpadanan dari segi kenaikan gaji. Oleh sebab itulah, kerajaan sewajarnya campur tangan dengan melaksanakan gaji minima untuk membela golongan pekerja dan memperbetulkan mekanisme penetapan gaji di negara ini.

BAB KEEMPAT: HAD HUTANG NEGARA

Tan Sri Yang diPertua

53.Dewan seharusnya memberi perhatian serius kepada masalah beban hutang negara yang semakin meruncing. Dewan ini bertanggungjawab menggubal beberapa rang undang-undang yang bertujuan mengawal paras hutang negara agar tidak membebankan rakyat. Tanggungjawab wakil-wakil rakyat pula adalah untuk sentiasa berwaspada dan memantau tabiat berbelanja negara agar paras hutang negara kekal di bawah had yang ditentukan undang-undang.

54.Saya merujuk kepada Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 yang menghadkan gabungan jumlah hutang dalam negeri terkumpul kepada 55% daripada KDNK, khusus untuk perbelanjaan pembangunan. Akta Pinjaman Luar Negeri 1953 pula menghadkan hutang luar negara kepada RM35 bilion sahaja.

55.Dalam keadaan hutang negara telah mencecah kadar RM437 bilion pada akhir Jun 2011 seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia, ini bersamaan dengan 53% dari KDNK negara dan sudah hampir mencecah paras 55% dari KDNK bagi had hutang terkumpul dalam negara seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

56.Dengan defisit yang berterusan bagi tahun 2012 sehinggalah 2015, sudah tentu hutang terkumpul negara melangkaui paras 60% menjelang tahun 2015.

57.Mana-mana ahli parlimen yang bertanggungjawab akan menyokong usaha-usaha untuk mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah drastik untuk mengurangkan hutang dan berterus-terang dengan rakyat.

58.Oleh yang demikian, saya memohon Dewan mendesak Menteri Kewangan memperincikan perkara-perkara berikut:

§ Daripada jumlah RM437 bilion hutang negara sehingga Jun 2011, berapakah jumlah yang digunakan bagi tujuan pembangunan dan peratusannya berbanding dengan had 55% dari KDNK yang ditetapkan?

§ Dengan perbelanjaan defisit yang berterusan, apakah unjuran bila had 55% jumlah hutan berbanding KDNK akan dilepasi, supaya negara mengambil langkah drastik mengatasinya dari sekarang.

59.Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius oleh dewan dan seluruh negara. Janganlah kita umpama pepatah “sudah terhantuk baru terngadah”, seperti negara-negara di Eropah yang kini bergelut dengan krisis hutang negara akibat sikap pemerintah yang alpa dan cuai dengan hutang negara.

BAB KELIMA: MONOPOLI HARGA

Tan Sri Yang diPertua

60.Kenaikan harga barang adalah isu nasional yang mempunyai kesan kepada setiap rakyat Malaysia. Saban hari harga barang terus naik dan bakal menjadi warisan kerajaan BN yang akan diingati oleh rakyat selama-lamanya.

61.Belanjawan 2012 tidak mempunyai sebarang cadangan yang akan mengubah struktur harga barang dan berupaya mengekang kenaikan harga barang dalam jangka panjang. Ia dipenuhi dengan pelbagai janji manis dan gula-gula yang bakal menggalakkan lagi kenaikan harga barang.

62.Pakatan Rakyat konsisten bahawa salah satu sebab utama kenaikan harga barang ini adalah sistem ekonomi naungan yang didokong Barisan Nasional memberi laluan kepada beberapa monopoli utama mengherot harga barang.

63.Dalam konteks ini jugalah, saya ingin menyentuh mengenai perjanjian kerjasama yang dinamakan Comprehensive Collaboration Framework (CCF) di antara MAS and AirAsia, yang menjadi isu nasional kebelakangan ini.

64.Kebimbangan rakyat dan kakitangan MAS adalah bertempat. Pertama, MAS adalah sebuah institusi nasional yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kerajaan telah melakukan pelbagai rombakan sejak penglibatan Tan Sri Tajuddin Ramli, kemudian diikuti oleh penstrukturan wide asset unbundling (WAU) yang diterajui oleh Tan Sri Azman Mokhtar, dan diikuti pula oleh kempen perang harga dengan AirAsia oleh Dato’ Seri Idris Jala.

65.Sepanjang tempoh 15 tahun ini, pelbagai janji ditabur oleh rakyat dan pelbagai pengorbanan dibuat oleh kakitangan MAS, namun keadaannya tetap sama. Oleh itu, kita harus faham kenapa seluruh rakyat Malaysia menyambut pengumuman CCF ini dengan sinis.

66.Sementara saya ingin memberi peluang kepada pengurusan baru MAS melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan melalui CCF, saya juga ingin mempersoalkan kenapa perlunya Dato’ Seri Tony Fernandez diberi permaidani merah untuk memiliki MAS melalui pertukaran saham ini?

67.Banyak syarikat-syarikat gergasi dunia memeterai perjanjian kerjasama dengan saingan mereka tetapi ia tidak melibatkan perpindahan hak milik seperti mana yang berlaku di antara MAS dan AirAsia.

68.Sebab itu, sentimen kakitangan MAS dan rakyat Malaysia yang mahukan integriti dan warisan MAS sebagai tonggak penerbangan Malaysia dikekalkan wajib dihormati oleh kerajaan.

69.Mengambil kira perkara-perkara ini, saya menuntut supaya Menteri memberi jaminan berikut:

§ Penstrukturan MAS di bawah CCF ini tidak boleh mengambil jalan pintas membuang pekerja sementara rompakan-rompakan lain melibatkan kroni tidak dihentikan;

§ Untuk mengelakkan wujudnya monopoli penerbangan domestik yang dikawal oleh AirAsia, kerajaan mesti memberi hak kepada MAS untuk menentukan harga tiketnya mengikut kesesuian kepentingan komersilnya, termasuklah untuk terus menawarkan harga-harga tiket rendah yang mampu ditanggung oleh rakyat walaupun MAS beroperasi sebagai sebuah penerbangan premium; dan

§ Pengurusan baru MAS diberikan sepenuh kebebasan untuk melakukan semua reformasi pentadbiran dan perniagaan untuk menghentikan semua kontrak atau campur tangan politik yang tidak menguntungkan MAS.

70.Saya yakin jika ketiga-tiga jaminan ini dilaksanakan, ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan MAS khususnya.

*YB Azmin Bin Ali merupakan Ahli Parlimen Gombak, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Timbalan Presiden PKR dan Ketua Whip PKR di Dewan Rakyat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s