Kongres AMK 2011: Tingkat Sokongan Melayu Bagi Menghadapi PRU 13

Dari Malaysiakini

25 November 2011

AMK lulus usul tergempar tingkat undi Melayu

Kongres Angkatan Muda PKR hari ini meluluskan usul tergempar untuk mengadakan rancangan komprehensif bagi meningkatkan undi daripada pengundi Melayu.

Usul yang diluluskan tanpa bahas itu dikemukakan oleh ketua pergerakan berkenaan, Shamsul Iskandar Md Akin dalam ucapan penggulungannya petang ini.

Shamsul berkata, usaha itu perlu memandangkan Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

Di negeri Johor sendiri yang dipilih sebagai lokasi Kongres Nasional PKR Kelapan kali ini, PKR mempunyai peluang 40 peratus untuk menang di negeri itu, katanya.

“Kalau kita turun ceramah, gempur dan edar risalah boleh jadi 50-50,” katanya lagi.

Menurut kajian berkenaan, yang tidak didedahkannya, Pakatan Rakyat turut berpeluang sehingga 65 peratus di Selangor dan 51 peratus di Perak.

“(Bacaan untuk) Wilayah Persekutuan jauh lebih hebat dan kita hendak tawan Melaka, pertahan Kelantan, tawan Pahang, Perak nak tawan semula dan paling penting tawan Putrajaya,” katanya lagi.

Tambahnya, atas dasar itu jugalah PKR hadir ke negeri yang menjadi kubu kuat Umno itu dengan membawa dan membahaskan agenda Melayu.

“Sebab kita tahu bukan orang Cina dan orang India sahaja yang harus dapat keadilan.

“Sebab itu kita tidak apologetik, apa yang kita uar-uarkan adalah pengkhianatan Umno yang mendakwa menjaga kepentingan Melayu.

“Oleh itu saya usulkan supaya ada perbincangan khusus untuk rancang pelan komprehensif supaya undi Melayu pada masa akan datang kita boleh pertahan atau meningkat kepada kita,” katanya lagi.

Usul yang diluluskan itu akan dimasukkan sebagai usul untuk dibahaskan di kongres nasional PKR yang berlangsung esok.

Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Shamsul turut menuntut supaya kerajaan melakukan pindaan undang-undang untuk membolehkan hanya kaum Melayu sahaja dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau mengemukakan cadangan berkenaan sebagai cabaran kepada Umno yang sering ke hadapan sebagai pelindung golongan Melayu.

“Hakikatnya, Umno yang membahayakan kepentingan dan kedudukan orang Melayu.

“Maka demi menjamin benteng terakhir orang Melayu – yakni kuasa politik – tidak menjadi dagangan Umno,

“AMK mencabar Umno meminda perlembagaan bagi memasukkan syarat dan jaminan bahawa jawatan perdana menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu,” katanya.

Tambahnya, alasan bahawa undang-undang berkenaan tidak perlu dipinda kerana penguasaan Umno pada waktu ini akan menjamin jawatan berkenaan dipegang oleh Melayu, juga tidak dapat diterima.

Malah, katanya, pindaan perlembagaan itu juga akan memberi keadilan kepada golongan bukan Melayu.

Apatah lagi, perkara itu tidak asing di Malaysia kerana hampir semua negeri mensyaratkan supaya orang Melayu dilantik sebagai ketua kerajaan, tambahnya.

“Ketiadaan jaminan perlembagaan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi kerisauan orang Melayu terhadap masa depan mereka.

“Akibatnya wujud syak wasangka terhadap rakyat daripada etnik lain,” kata Shamsul lagi yang menambah keadaan itulah yang digunakan Umno untuk mewujudkan rasa tidak selamat dan suasana tegang.

Tambahnya, Umno akan berharap supaya orang Melayu sentiasa bergantung kepada mereka sebagai wira Melayu.

“Syak dan salah sangka inilah yang menyebabkan orang Melayu merasakan hak dan peluang mereka akan direbut oleh bangsa lain,” tambahnya.

Bagaimanapun, ketika ditanya dalam sidang media selepas itu, Shamsul tidak memberi komitmen jelas sama ada pergerakan itu akan turut meminda perlembagaan bagi usaha tersebut.

Beliau diminta menjelaskan perkara itu memandangkan PKR sendiri menganjurkan nilai meritokrasi.

Shamsul bagaimanapun sekadar mengulangi bahawa tindakan berkenaan merupakan satu cabaran kepada Umno dan AMK juga “selesa” dengan peruntukan perlembagaan sedia ada.


—Malaysiakini

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s