Menangani Fir’aunisme

Dari Islamic Renaissance Front

Oleh Marwan Bukhari (Abduh Study Group)

1 Disember 2011

Menangani Fir’aunisme

Ali Shari’ati (1933-1975), seorang intelektual Islam yang ulung yang juga merupakan pakar sosiologi pernah menegaskan betapa adanya “triniti sosial” yang selalu bergabung untuk melakukan penindasan dalam masyarakat. Fir’aun (kuasa), Bal’am (agamawan) dan Qarun (harta) merupakan tiga individu di dalam al-Qur’an yang telah dihuraikan oleh Shari’ati sebagai pewaris legasi Qabil dalam pergelutan antara haq dan batil, antara keadilan dan kezaliman. (Tugas Cendekiawan Muslim, diterjemahkan oleh Amien Rais daripada Man and Islam, Mashhad: University of Mashhad Press, 1982 – terjemahan daripada judul asal berbahasa Parsi)

Di antara ketiga-tiga simbol kezaliman tersebut, terdapat kecenderungan mengenali simbol kekuasan dan politik dengan lebih dekat, iaitu Fir’aun, kerana menerusi perbincangan ini akan juga terserlah penyalahgunaan agama dan pemonopolian harta.

Firaunism dan agama

Ramai yang seolah-olah tersilap faham mengenai hubungan antara Fir’aun dan agama, disebabkan Fir’aun sepertimana telah disebut dalam al-Qur’an dan juga Bible merupakan watak seorang raja yang menolak ajaran seorang Rasul.

Namun demikian, jangan kita lupa apa yang tersirat dalam pemerintahan dan pengamalan kasta pada zaman Fir’aun, sistem kasta piramid sosial sebagaimana bisa ditemui dalam banyak tulisan dan buku kajian mengenai tamadun purba Mesir menunjukkan bahawa kumpulan pendeta dan bangsawan (high priests and nobles) pada zaman itu merupakan penghuni kelas yang ketiga selepas Fir’aun dan penasihatnya (Vizier, Haman merupakan vizier kepada Fir’aun pada zaman Musa).

Vizier dipilih oleh Fir’aun untuk menjadi rujukan dan mendapat nasihat sebelum membuat keputusan. Para pengkaji menyebutkan bahawa dalam pelbagai zaman pendeta agama dilantik sebagai Vizier oleh Fir’aun. Selain itu vizier dan pendeta lebih utama untuk berada dalam barisan pentadbiran jika dibandingkan dengan kelompok bangsawan.

Melihat pada kelas-kelas pada piramid sosial tersebut menunjukkan bahawa peranan agama dalam administratif monarki di Mesir sangat tinggi pengaruhnya dan di sinilah timbul persoalan, apakah peranan terpenting agama dalam pemerintahan Fir’aun?

Apabila kita melihat kelompok terakhir dalam piramid sosial tersebut iaitu para hamba dan petani/buruh (slaves and farmers) yang merupakan peratus tertinggi dalam populasi masyarakat Mesir Purba, seakan-akan sebahagian daripada jawapan telah diperoleh untuk menjawab soalan di atas. Apakah rasionalnya sebuah agama jika penindasan dan kezaliman dihalalkan? Di manakah relevansi agama tatkala suara rakyat dihalang sementara kemuncak Fir’aunism pula ialah deklarasi wajibnya kepatuhan dan ketuhanan tanpa soal, tiadanya konsep semak imbang?

Agama yang dicandukan

Pengamalan agama secara tidak jujur dan berkepentingan sebegitu telah berleluasa dalam sejarah Barat dan Muslim, justeru tidak hairanlah Karl Marx (1818-1883) mengkritik peranan agama dengan menyatakan:

“Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions. It is the opium of the people. The abolition of religion as the illusory happiness of the people is the demand for their real happiness. To call on them to give up their illusions about their condition is to call on them to give up a condition that requires illusions. The criticism of religion is, therefore, in embryo, the criticism of that vale of tears of which religion is the halo.”

[Agama adalah keluhan mereka yang tertindas, nurani kepada dunia yang tiada bertiada bertimbang-rasa, dan jiwa kepada suasana yang nihil kejiwaannya. Ia adalah candu masyarakat. Penghapusan agama sebagai khayalan kebahagiaan masyarakat adalah deskan kepada kebahagiaan sebenarnya. Menyeru mereka agar melupakan segala khayalan tentang kehidupan mereka sebenarnya seruan yang mengajak meninggalkan keadaan yang memerlukan khayalan. Kritik ke atas agama adalah sebenarnya, dalam bentuk embrio, kritikan ke atas aliran air mata yang mana agama merupakan puncanya.]

Kritikan tersebut sewajarnya diterima secara kritikal oleh kita, bahawasanya telah berlaku dan sedang berlaku tindakan pembodohan atas nama agama. Tatkala rakyat menderita dengan inflasi yang diakibatkan salah guna kuasa, maka ketika itulah agamawan kerajaan berperanan menyeru kepada kepentingan bersyukur! Apabila penindasan dan pengamalan diktator semakin berleluasa, maka ketika itu televisyen menyiarkan forum agama tentang haramnya demonstrasi aman.

Pembodohan atas nama agama merupakan rukun utama Fir’aunism, sebagaimana ternukil dalam al-Qur’an:

“Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya, lalu mereka patuh kepadanya, sesungguhnya mereka (kaumnya) itu daripada kalangan orang-orang yang fasiq” [az-Zukhruf : 54]

Fir’aun memperolok dan memperendah akal kaumnya, lantas kaum yang tidak berfikir itu menuruti dan menyahut segala arahan, tanpa soal dan tanpa bantahan. Kebodohan rakyat dan sikap “redha” merupakan syarat asas dalam mengekalkan Fir’aun ditampuk kuasa, sementelah Firaun telah mendapat bantuan pendeta agama dan memutar belit falsafah agama. Malahan dalam strategi politik kolonial, sememangnya sesuatu bangsa itu akan dibiarkan terus dalam kitaran kebodohan dan pasif dalam isu-isu politik dan kebangsaan.

Lebih mendukacitakan apabila sentimen agama dan perkauman telah dimanipulasi demi mengekalkan kekuasaan, isu-isu agama diputar 180 darjah demi menutup segala amalan penyelewengan, rasuah dan ketidakadilan dalam pemerintahan. Institusi-institusi fatwa yang terang-terangan tidak bebas daripada pengaruh pemerintah pula akan mengeluarkan fatwa-fatwa dalam pelbagai isu kecil dan sudah diketahui hukumnya oleh majoriti umat Islam, sambil mendiamkan diri daripada laporan audit yang menyentuh soal penyelewengan wang dan “ghaibnya” harta rakyat.

Kepentingan mengekalkan pemerintah korup yang satu bangsa dan satu agama dengan rakyat majoriti telah didoktrin kononnya demi menegakkan keIslaman dan kebangsaan. Ia juga kononnya dapat megelak daripada bangsa lain meguasai tampuk pemerintahan dengan mengapikan politics of fear. Lantas sentimen keagamaan itu telah menghanyutkan sampah sarap kezaliman dan kediktatoran.

Pengalaman Ghannouchi dan gerakan Islah

Satu ketika dahulu, Rachid Ghannouchi (1941-masakini) merumuskan bahawa salah satu halangan untuk menentang rejim zalim di Tunisia (sekitar tahun 1970-an) ialah at-tadayyun at-taqlidi at-tunisi (the traditional Tunisian religiosity – faham keagamaan tradisi Tunisia) yang mengandungi tiga unsur iaitu mazhab fiqh Imam Malik, doktrin aqidah al-Ash ‘ariyah dan Sufisme. Dalam buku biografi pemikiran Ghannouchi, Azzam Tamimi menulis sebagaimana berikut:

“He sees the exclusive adoption of the Maliki school of fiqh (jurisprudence) as a sign of rigidity and intolerance, and consequently a restriction of ijtihad. The adoption of the al-Ash’ariyah doctrine of theology, in his analysis, compounded the crisis, because the doctrine tends toward al-jabariyah (fatalism).”

[Ghannouchi melihat pemilihan khusus Mazhab Fiqh Maliki sebagai suatu bentuk kefahaman yang beku dan tidak toleran yang akhirnya menyebabkan pengekangan terhadap fungsi ijtihad. Demikian pula berpegangnya pada aqidah aliran Ash’ariyah, menurutnya, menambahkan lagi krisis kefahaman kerana ia membawa kepada doktrin al-jabariah (fatalisme)].

Menurut beliau juga, Sufisme di Tunisia juga telah mengajarkan budaya penyerahan tanpa soal kepada guru (konsep murid dan shaykh dalam sesetengah tarekat). Ghannouchi berpendirian adalah menjadi kewajipan untuk menentang fatalisme dan fahaman taqlid dalam bermazhab. Beliau berpandangan, fatalism mesti diganti dengan “free will” (kebebasan ikhtiyar menurut doktrin taqdir Ibn Taimiyah).

Ghannouchi sendiri merupakan penulis dan pengkaji pertama dalam dunia kontemporari Tunisia yang menghasilkan tulisan tentang Ibn Taimiyah menerusi buku beliau bertajuk al-Qadar ‘inda Ibn Taimiyah (Destiny in the thought of Ibn Taimiyah/ al-Qadar menurut pandangan Ibn Taimiyah).

Selain itu menurut beliau perubahan hanya akan dicapai sekiranya taqlid diganti dengan budaya ijtihad dan ketaatan buta terhadap guru tarekat diganti dengan sikap yang diasaskan pada kesamaan, kebebasan memilih dan menghilangkan sakral dan kesucian tokoh-tokoh sufi.

Syahdan, apa yang dilalui oleh Ghannouchi merupakan resam setiap agenda islah, bahkan itu juga yang pernah dilalui oleh Imam Muhammad Abduh dan diteruskan oleh murid-muridnya di banyak ceruk dunia dan tidtk terkecuali di Tanah Melayu.

Selain Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaludin, Zaaba (1895-1973) juga merupakan tokoh yang penting dalam berhadapan dengan konservatif agama. Bukunya, “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” sarat dengan pelbagai mesej mengkritik budaya taqlid buta, “redha” dengan pembodohan dan menyeru kepada budaya berfikir yang baru dalam beragama terutama dalam kalangan bangsa Melayu.

Pemikiran dan tulisan Zaaba telah ditentang oleh para konservatif agama di Perak pada satu masa dahulu, lalu tulisan-tulisan beliau dilarang daripada disebarkan, namun akhirnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil tanggungjawab menyebarkan khazanah bernilai tersebut kepada masyarakat.

Antara kata-kata Zaaba dalam buku “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” ialah: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.”

Secara umumnya, kita dapat melihat dalam merawat krisis umat, Abduh, al-Banna, Ghannouchi, Syed Syeikh al-Hadi, Zaaba dan lain-lain telah menawarkan pendidikan dan pencerahan akal dalam mengeluarkan umat daripada kelemahan menuju kekuatan.

How Islamic are Islamic Countries?

Tragedi pembodohan atas nama agama tidak berhenti setakat itu sahaja, malahan dalam berpolitik dan bernegara, masih banyak terdapat “self-declared Islamic State” (Negara yang mengaku dirinya sebagai Negara Islam) yang berdiri tegak dengan memutar belit hujah-hujah agama. Wacana kebebasan dimulakan dengan “kebebasan dalam Islam ada hadnya”, lantas diceritakan had-hadnya hingga ditinggalkan makna kebebasan daripada disebar dan diamal. Wacana hak asasi manusia dan demokrasi ditolak kerana katanya ia berasal daripada Barat, lantas dipraktikkan apa yang diakui mereka sebagai nilai-nilai Islam sambil menolak pandangan-pandangan sarjana lain. Dalam hal ini, rasionalnya persoalan yang dikemukakan oleh Scheherazade S. Rehman dan Hossein Askari dalam sebuah makalah yang lengkap dengan metodologi dan statistik Islamicity Index: “How Islamic are Islamic Countries?” [Rujuk: http://www.bepress.com/gej/vol10/iss2/2/%5D

Kajian yang menjadikan isu-isu ekonomi, keadilan, akauntabiliti, tata-kelola yang baik (good governance), isu pendidikan dan nilai-nilai utama yang lain (Sebelum mengemukakan hasil kajian, Rehman dan Askari telah menguraikan dengan agak terperinci mengenai nilai-nilai yang diambil kira, sila rujuk lanjut kajian tersebut) telah menobatkan anggota OIC (Organization of Islamic Conference) di tangga yang terkebelakang dan corot berbanding negara-negara bukan Islam yang lain. New Zealand, Luxembourg, Ireland, Iceland telah mendahului senarai Overall Islamicity Index Rank, sementara jaguh negara agama seperti Arab Saudi dan Iran masing-masing menduduki tangga ke-131 dan 163.

Sekali lagi diulang pertanyaan, sejauh manakah Islamnya Negara Islam? Asas-asas dan nilai yang disediakan Islam dalam konsep kenegaraan sangat jelas, bahkan menurut Rehman dan Askari, lebih teliti berbanding doktrin dalam agama Kristian. Namun mengapakah negara-negara yang mengistiharkan pemisahan antara negara dan gereja (agama) mendahului kategori negara yang mempraktikkan nilai-nilai Islam jika dibandingkan dengan self-declared Islamic States?

Dalam menjawab persoalan tersebut sambil merujuk kembali kepada perbincangan di atas iaitu bahawa budaya Fir’aunisme seperti memanipulasi peranan agama, pengsakralan pemerintah, menghalang hak asasi rakyat, pembodohan terhadap rakyat (menyekat maklumat-maklumat menerusi kawalan terhadap media) dan seumpamanya telah mendominasi sesetengah negara umat Islam.

Maka menjadi tanggungjawab umat yang sedar untuk merubah dan merawati masyarakat, selain menentang segala macam unsur-unsur Fir’aunism, atas apa nama sekalipun sama ada akta mahupun rang undang-undang. Menentang Fir’aunism ialah tanggungjawab utama manusia, selain merupakan bukti keluruhan keimanan manusia beragama. Bagaimana bisa diakui hidup berTuhan sekiranya dalam masa yang sama membiarkan peraturan dan manusia angkuh berlagak Tuhan?

Demokrasi dan kebebasan bersuara

Terbaru di tanah air kita, Rang Undang-undang Perhimpunan Aman telah diluluskan oleh Parlimen (khasnya menerusi pihak Kerajaan sementara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah sebulat suara membantah). Hal yang sungguh mendukacitakan ini berlaku setelah beberapa tragedi tragis menimpa demokrasi di tanah air seperti tindakan polis terhadap demonstran Bersih (9 Julai 2011) dan hak kebebasan akademik yang dicabul.

Kebebasan bersuara dan berhimpun merupakan salah satu rukun terpenting demokrasi. Tindakan menyekatnya atas apa jua nama mengingatkan kita dengan peristiwa Bani Israil dengan Fir’aun seperti yang dinaqalkan dalam ayat 28 dan 29 Surah al-Mu’min.

“Fir’aun berkata: Aku tidak kemukakan fikiranku melainkan apa yang aku pandang baik dan aku tidak tunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (al-Mu’min : 29)

Kita melihat, salah seorang yang beriman dengan ajaran Musa telah menasihati Fir’aun menerusi ruang yang ada, namun dijawab penuh kesombongan oleh Fir’aun: “Aku tidak kemukakan fikiranku melainkan apa yang aku pandang baik dan aku tidak tunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” Jawapan itu telah menutup pintu semak-imbang (check and balance), akauntabiliti dan bantahan daripada masyarakat. Jawapan itu jugalah yang akan menyebabkan kediktatoran berkekalan atas nama pemerintah sentiasa betul!

Pengamalan menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun petanda kepada malapetaka yang besar yang menimpa seluruh manusia dan tidak menghormati karamah insaniah (human dignity) kerana dalam dunia hari ini. Hak untuk bersuara merupakan antara hak paling asas yang dimiliki insan. Prof Tariq Ramadhan dalam bukunya The Quest For Meaning menyatakan:

“At the human and physiological level, the first freedom is the freedom we acquire once we have satisfied our elementary natural needs.” (Ditahap manusiawi dan fisiologi, kebebasan yang pertama ialah kebebasan yang dikecapi apabila kesemua kehendak asasi kita dipenuhi).

Kenyataan daripada Tariq Ramadan itu lebih menekankan bahawa apalah gunanya kehidupan sebagai seorang manusia sekiranya hak-hak asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal (keperluan terdesak/dharuri) masih tak terjamin, dan dalam konteks hari ini ketempangan pemerintahan dan salah guna kuasa antara yang menyumbang ke arah terbatasnya hak-hak asas tersebut.

Dari sudut yang lain, “elementary natural needs” selaku seorang warganegara pula mengajak kita merenung betapa status kita selaku warganegara mesti diragui lantaran hak asasi kita iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun telah dinafikan secara tidak rasional.

Khatimah

Seorang ulama Turki, Musa Topbas telah menukilkan kata-kata penuh inspirasi daripada Rumi dalam bukunya, The Secret in The Love for God (edisi asal bertajuk Muhabbetteki Sir, diterjemah daripada bahasa Turki):

“O traveller of truth! Do you want to know the truth? Neither Moses nor the Pharoah are dead. They are alive in you. They keep fighting each other in you! So look for them in yourself!”

(Wahai pemgembara kebenaran! Adakah anda ingin mengetahui akan hakikat kebenaran? Sesungguhnya kedua-dua Musa dan Fir’aun tidak mati. Akan tetapi merelka hidup di dalam dirimu. Pertarungan senantiasa berlaku di dalam dirimu diantara mereka. Maka carilah mereka di dalam dirimu”).

Puisi ini boleh dinilai dan dihayati daripada pelbagai sudut, namun temanya tetap sama iaitu menonjolkan pertarungan dan pergelutan antara haq dan bathil, antara adil dan zalim, antara dosa dan pahala.

Ya benar, Fir’aun dan Musa itu sedang mendiami diri kita, pertarungan itu berterusan dan sentiasa berlaku. Pergelutan antara Musa dan Fir’aun juga telah melatari sistem politik kita. Oleh itu di mana ada Fir’aunisme, maka di pada ketika itu kita semua adalah Musa!

Islah adalah jalan keluarnya, sementara pembodohan adalah halangan terbesar.


—Islamic Renaissance Front

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s