Saat Mula-mula…Kenapa Perlu Sokong Anwar – Zunar & Ahmad Kassim

Oleh: Zunar

16 Disember 2011

Saat saya mula-mula menyokong Anwar dan kenapa dia perlu disokong

Pada 2 September 1998, media seperti Utusan Malaysia atau nama timangannya “Utusan Meloya” serta TV3 menyiarkan berita dan afidavit penuh dari beberapa individu bahawa Anwar Ibrahim terlibat dalam perlakuan liwat. Kebanyakan penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat pada ketika itu tidak mengenali Anwar, begitu juga dengan saya. Semua dalam kekeliruan.

Tetapi, saya mula menyoal kalau betul Anwar bersalah, pasti dia bukan begini peribadinya. Orang bersalah tidak akan berani berceramah di hadapan khalayak ramai, apatah lagi untuk bertentang mata dengan ribuan manusia. Sebagai manusia berakal, saya perlu mencari kepastian. Ketika itu, dari dua hingga ke 20 September, setiap malam di rumah Anwar diadakan ceramah.

Pada satu malam, saya berkesempatan untuk kali pertama mendengar ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya di Bukit Damansara. Siang itu, penulis ucapan beliau Dr. Munawar Anees ditangkap.

Ceramah beliau pada malam itu mematikan keraguan saya termasuk satu baris pidato yang sangat penting dan signifikan. Kata Anwar, merujuk penangkapan Dr.Munawar, lebih kurang begini, “Kenapa tangkap orang-orang saya? Tangkap saya. Saya pemimpin!!!”.

Hanya mereka yang “berani kerana benar” boleh berbicara seperti itu. Kata-kata seperti ini tidak mampu lahir dari mulut seorang yang bersalah. Atas kebenaran ini, dia berdiri tegak dan mencabar para rangkaian konspirator. Atas kebenaran ini, dia menerjang segala risiko demi membela orang yang dipimpin.

Saya percaya kalaulah situasi ini dihadapi oleh Dr.Mahathir, sejak awal beliau sudah lari ke kandang kuda di Argentina dan membiarkan pengikut-pengikutnya menghadapi segala risiko. Dan kalau Najib mungkin sudah lama lari ke Mongolia.

Sejak saat itu saya pasti semua tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar adalah fitnah dan hanya untuk membunuh karier politik beliau dan menyelamatkan perasuah. Betapa besarnya dosa pereka-pereka fitnah, penyebar, pentokong dan orang yang berdiam serta merelakannya.

Bagi saya Anwar layak membawa Malaysia keluar dari kemelut dan dia perlu disokong. Kepada dia, rakyat boleh sandarkan harapan. Di bawah ini beberapa insiden yang diberitahu kepada saya kemudiannya yang mengukuhkan menyerlahkan perwatakannya sebagai seorang pemimpin.

Dalam peristiwa demonstrasi membela petani miskin Baling pada tahun 1974, Anwar pada asalnya tidak ditangkap dan sudah berada di rumah bapanya (Datuk Ibrahim) di Petaling Jaya. Tapi apabila mendengar berita penangkapan teman-temannya (termasuk Fadzil Noor), beliau segera ke balai polis Jalan Stadium untuk membela, yang akhirnya menyebabkan dia terus ditangkap di bawah ISA selama dua tahun.

Insiden kedua, apabila menghadapi tuduhan, sehari sebelum dipecat, dia diberi kata oleh oleh Dr.Mahathir – “dipecat atau menghadapi tuduhan yang memalukan”. Dan ini diiringi tawaran lumayan untuk bertugas di Bank Dunia sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan. Jawab Anwar, “Kenapa saya harus meletak jawatan, saya tidak bersalah.” Kita percaya semua pemimpin UMNO/BN dalam situasi ini akan memlilih jawatan di Bank Dunia.

Satu kriteria penting bagi seseorang pemimpin berwibawa. “Apabila berhadapan dengan pilihan laba, beliau memilih untuk mempertahankan prinsip walaupun risikonya penjara.”

Malah prinsip beliau jelas dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh 2008 di mana dia bertanding. Dalam kempen, taktik bersumpah atas nama agama dilakukan oleh Najib Razak dan Saiful demi mendapat undi.

Kerana tingkah lalu para sesumpah ini disiarkan oleh Meloya dan TV3, sokongan pengundi Melayu merosot mendadak, maka ada teman-teman yang menasihati Anwar untuk ikut bersumpah. Beliau menolak kerana amalan sumpah dilarang dalam Islam. Persoalan jenayah wajib di bawa ke mahkamah adil.

Beliau berpendirian tidak akan mengorbankan prinsip agama untuk tujuan politik kalaupun sekiranya ditakdir beliau kalah dalam pilihanraya itu.

Akhir kalam, rencana ini tidak membicarakan soal politik kepartian, tetapi keperluan membawa Malaysia keluar dari kebobrokan rasuah, penjarahan harta negara, perompakan wang rakyat yang menghalang kemajuan negara. UMNO/BN terjebak dalam lubuk keji ini dan mereka sendiri tidak mampu mencari jalan keluar, apa lagi membawa rakyat keluar.

Sebagai alternatif, kita punya seorang pemimpin yang berani, bertanggungjawab, berprinsip dan mempunyai jiwa pembela rakyat. Hanya seorang pemimpin tanpa rasuah seperti Anwar dengan gagasan Pakatan Rakyat mampu mengemudi Malaysia kembali berdaulat dengan rakyat yang berjati diri.


—Zunar

*Nota Zunar: Rencana khusus kepada golongan muda, terutama generasi selepas September 1998.

**Zunar (nama asal: Zulkiflee Anwar Ulhaque, gambar kiri) ialah kartunis politik. Tulisan ini dipetik dari blognya.

______________________________________________

Oleh Ahmad Kassim

16 Disember 2011

SAAT SAYA MENGENALI ANWAR, DAN KENAPA DIA PERLU DI SOKONG – PART II.(Saya akui tajuk ni saya ciplak dari sdr Zunar)

Saya Ahmad bin Kasim, kini Ahli Parlimen bagi Kawasan Kuala Kedah mewakili Parti Keadilan Rayat (Keadilan) mula mengenali DSAI sejak zaman menuntut di UPM sekitar tahun 80an. Oleh kerana latar belakang saya yang terlibat secara langsung dengan ABIM, maka nama DSAI telah menjadi sinonim dengan gerakan ini. Seingat saya tidak pernah terlepas kami membincangkan isu yang berkaitan dengan DSAI samada dalam usrah, tamrin atau perbincangan tertutup mahupun terbuka. Membicarakan isu DSAI adalah sebahagian daripada tarbiyah siasah yang menjadi model “political experiment” dalam kerajaan pada ketika itu.

Kadang-kadang serangan dari sahabat-sahabat Islam (khususnya PAS) ketika DSAI dalam kerajaan, menjadikan tekanan minda yang sangat sukar untuk dipertahankan segala pendirian atau tindakan beliau semasa dalam kerajaan. Biasanya orang-orang ABIM yang menjadi ‘punching beg’ oleh sahabat PAS. Namum kami cuba mencari jawapan-jawapan yang ‘significant’ atau nas-nas yang ada untuk mempertahankan beliau. Ada kalanya amat memenatkan, namun terus bersangka baik, dengan harapan ijtihad yang beliau buat menyertai kerajaan adalah betul.

Beberapa bulan sebelum peristiwa hitam September 98, ketika belum ada pokok yang bergoyang dari tiupan angin yang belum nampak dari arah mana datangnya. Saya menerima panggilan dari pimpinan kanan ABIM pusat supaya bersiap siaga kerana DSAI akan di tangkap di bawah ISA. Saya binggung, amat binggung, kusut pemikiran, kaku pergerakan, mana mungkin seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri akan di tangkap di bawah ISA. Saya diminta untuk memaklumkan pada Dato’ Ust Fadzil Noor (Presiden PAS) yang berada di Alor Setar dan pimpinan kanan ABIM Kedah. Ini arahan ABIM Pusat, suara itu mengarahkan saya. Demikian watak ABIM dalam isu berkaitan insan yang bernama Anwar bin Ibrahim.

Tanpa melengah masa, saya yang dalam perjalanan satu urusan membuat pusingan U, untuk bertemu dengan Ust Nia’mat Yusof bersama dengan seorang rakan pimpinan ABIM. Hanya air mata sahaja yang membasai pipi Ust Niamat selepas kami menyampaikan maklumat tersebut. Kunjungan ke rumah Ust Fadzil Noor tidak berhasil kerana ia berada di Kuala Lumpur. Plan tindakan seterusnya adalah menunggu ketibaan Ust Fadzil Noor di Lapangan Terbang Kepala Batas. Saya yang menjadi pemandu dan Ust Niamat Yusof dan Ust Fadzil Noor menjadi penumbang mulia saya pada malam itu. Perbincangan hanya dalam kereta, arahan Ust Fadzil Noor saya akur, hampir sejam saya hanya memutar-mutar kereta saya sekitar Bandar Alor Setar, sambil membincangkan maklumat yang di terima siang tadi. Saya nampak Ust Fadzil membisu terlalu lama, saya tidak tahu samada itu ‘stye’ dia, atau dia memikirkan sesuatu untuk memberikan reaksi pada kami berdua. Saya tak berani menyampok walau sepatah, apatah lagi kedua-dua mereka adalah guru yang sering membimbing saya secara langsung.

Akhrnya dia bersuara “ Mat kita kena siap sedia, Dr Mahathir pasti akan menangkap Anwar”, kenyataan itu menyebabkan sendi lutut saya semakin longgar. Saya mengharapkan jawapan yang positif dari Ust Fadzil supaya boleh melegakan perasaan saya namun beliau memberikan jawapan sejujurnya. Perbincangan kami sekitar watak Dr Mahathir dan watak Anwar. Pesan Ust Fadzil pada kami berdua, kita mesti pertahankan Anwar dengan apa cara sekali pun. Selepas itu saya hanya mendengar perbincangan tertutup di buat banyak kali dengan Ust Fadzil dan Anwar dihadiri ramai kenalan ABIM pusat.

Segala-galanya berubah, menjelang 1998, saat gemilang nama beliau yang gah dipersada dunia, menjadi Menteri Kewangan terbaik buat Malaysia diakui seantaro dunia , kemahuan untuk melakukan islah (perubahan) dalam pentadbiran kerajaan, pelbagai dasar-dasar yang pro Islam khususnya dalam sistem perbankkan, dan dasar serta program yang mesra rakyat, selangkah menuju puncak kuasa, namun ketentuan Allah swt mengatasi segalanya. Dia dipecat dari jawatan dan disingkirkan dari tampok kuasa dan parti secara sadis dan amat memilukan.

Kami menjadikan rangkaian ABIM untuk meneruskan perjuangan yang dirintis oleh DSAI. Hajat DSAI untuk mengempur kubu kuat Dr Mahathir di Kedah disampaikan melalui Sdr Saufudin Nasution kepada saya untuk mencari tempat samada di Baling atau Kubang Pasu. Selepas berkubu lama di rumah beliau di Damansara Utama. tidak ada siapa yang berani memberikan tempat pada Anwar pada ketika itu. Namun saya tekad DSAI mesti dibawa ke Kedah. Hanya Pondok Ust Niamat di Derang, Pokok Sena yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan yang berani menawarkan premis buat beliau. Keputusan itu saya buat sendiri tanpa merujuk kepada Ust Niamat, kerana saya tahu Ust Niamat pasti akan setuju. Belum pernah saya mengendalikan majlis yang sebesar itu dalam sejarah umur saya. Kehadiran mencecah puluhan ribu orang dalam tempat yang sangat terhad.

Istiqamah memperjuangkan nasib DSAI oleh Ust Fadzil Noor pada saya amat luar biasa, walaupun pada saat awal beliau di kecam oleh pimpinan PAS di banyak peringkat, namun jawapan politik Ust Fadzil menyebabkan pandangan negatif pada Anwar Ibrahim berjaya di redakan, pada ketika itu. Saya tumpang bersyarah atas kapasiti sebagai Yang Dipertua ABIM Kedah , jawatan rasmi pada masa itu di pentas-pentas parti politik. Sifat ABIM yang ‘non-partisan’ sukar dibezakan bila bersyarah mengenai nasib rakyat dan apa yang menimpa DSAI.

Semasa DSAI dalam penjara, pelbagai versi yang kami terima, sumber-sumber dalaman dan luaran menyebabkan perjuangan kini semakin manis. Penjara bukan segala-galanya. DSAI mengajar kita untuk berjuang walau dari dalam tembok besi. Semasa beliau dalam penjara, sempat saya menghadiahkan sebuah buku yang telah saya khatam bacaannya ‘ Mencapai Maqam Siddiqun dan Rabbaniyyun’ oleh Sheikh Said Hawwa. Sebuah buku dari syarah kitab Hikam (Sheikh Ibnu Atil’llah As-Sakandari) yang saya tekuni membaca dan merasai kelazatan ilmunya. Saya hanya mampu menghantar pada DSAI yang berada di dalam penjara Sg. Buluh pada ketika itu dengan sedikit surat kiriman dari seorang adik kepada abangnya yang sedang menghadapi kesulitan di penjara. Hanya tawakal kepada Allah moga buku itu dapat sampai ketangan beliau.

Menghadiahkan buku itu adalah nazar saya, apabila saya habis membaca maka saya akan menghadiahkan kitab tersebut padanya. Alhamdulilllah, walaupun beliau tak mengenali saya dengan dekat, namun hajat dan hasrat saya termakbul juga akhirnya. Beliau membalas surat saya dengan mengungkapkan cacatan perjuangan bersama-sama rakan-rakan ABIM Kedah. Nama-nama Ust Niamat, Sheikh Azmi, Cikgu Ibrahim, Ust Azizan Hamid diungkapkan dengan sorotan perjuangan mesti diteruskan walau dimana kita ditempatkan.

Reformasi politik yang diketengahkan oleh Anwar sebelum beliau terhumban dalam penjara, digenggam kemas. Pilhanraya 1999 adalah cacatan manis apabila Ust Fadzil Noor Berjaya di bawa ke Parlimen sekaligus menjadi Ketua Pembangkang. Ramai pimpinan ABIM yang dihantar untuk bertanding atas tiket PAS termasuk Ust Nia’mat Yusof yang bertanding di DUN Tanjung Seri. Dato Sheikh Azmi Hj Ahmad bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu atas tiket Parti Keadilan Nasional pada masa itu. Saya terlibat secara langsung dalam rundingan , mencadangkan nama-nama ABIM bersama pimpinan ABIM Pusat di rumah Ust Fadzil Noor.

Ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional, oleh kerana Dato’ Sheikh Azmi menjadi pimpinan kanan di pusat dan Pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah , selepas meletakkan jawatan 24 jam dari jawatan Ketua Hakim Syare’ Malaysia, kerana tidak setuju dengan pentadbiran Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim. Saya menjadi ‘budak suruhan’ Sheikh Azmi. Beberapa penubuhan Bahagian Keadilan di Kedah , saya terlibat dengan aktif dan agresifnya. Meminta rakan-rakan ABIM memegang jawatan atau menganggotai Jawatankuasa penaja, atau menjadi ahli parti. Saya sendiri menjadi ahli di Bahagian Langkawi.

Tahun 2008, ketika DSAI akan memimpin pilihanraya yang beliau tidak boleh bertanding, beberapa nama sahabat, dan pimpinan ABIM di ketengahkan. Saya turut di pinang pada ketika itu, Namun jawatan saya dalam pertubuhan menyebabkan keputusan perlu dirujuk pada Majlis Syura Negeri. Walaupun telah ada rundingan yang telah berlaku dengan DSAI untuk bertanding pada ketika itu. Namun keputusan Majlis Syura Negeri menolak cadangan saya. Saya terpaksa membuat rayuan pada Pimpinan Pusat yang lebih atas (Macam mahkamah rayuan pula), Alhamdulillah permohonan saya diterima, Pimpinan pusat merestui hasrat saya dan akan memaklumkan pada pimpinan Kedah untuk membantu saya sedaya mungkin.

Kini setelah bergelar ahli parlimen dan ahli majlis pimpinan pusat parti, saya berkesempatan mendampingi DSAI secara lebih dekat. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada beliau. Jauh pemikiran beliau dalam semua bab termasuk agama, politik, pentadbiran, kewangan, falsafah, siasah syare’yah, hubungan antarabangsa, bahasa, komunikasi, kebudayaan dan lain-lain. Menjadikan saya insan kerdil disisinya. Apa yang saya milik hanyalah kudrat tulang empat kerat bagi membantu beliau sedaya mungkin. Kita masih berhutang pada Anwar Ibrahim, demikian kata-kata Dato’ Dr Siddiq Fadhil pada satu majis anjuran ABIM. Pada saya menjadi ahli parlimen pun belum terbayar hutangnya yang telah mengagaskan perjuangan dan fikrah murni Islam yang sedang kita nikmati ini.

Berhadapan dengan kes fitnah liwat siri I dan II, serta fitnah jahat video sex, sedikitpun tidak menggugat kepercayaan, penghormatan saya pada DSAI. Saya amat yakin berdasarkan tarbiyyah dalam perjuangan ABIM yang di asaskan oleh beliau bersama rakan-rakan pimpinan, bahawa hakikat perjuangan mesti menempuh mehnah, ujian dan cubaan. Kitab Ust Mustaffa Mashyur mengenai ‘Tribulasi Perjuangan’ yang dijadikan teks usrah dahulu masih relevan kini. Allah swt akan menempatkan kita pada posisi yang sesuai dengan tahap keimanan kita kepada Allah swt. Prinsip agama yang saya pegang menolak bulat-bulat fitnah jahat pada beliau.

Pada Allah juga saya berserah, padaNya juga saya mohon kekuatan, ketabahan, kesabaran untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku pada 9 Januari 2012 nanti. Di hadapan kita ada bahtera negara Malaysia yang perlu dikemudi dengan keperibadian unggul, pemikiran tinggi, akhlaq yang terpuji, kegigihan usaha, keyakinan diri dan memiliki integriti serta sejumlah ciri-ciri kepimpinan yang tiada tolok bandingnya untuk membawa Malaysia kemercu kejayaan. Siapa lagi yang perlu kita sokong dan kita tolong, kalau bukan insan itu bernama Anwar bin Ibrahim.


—YB Ahmad Kassim (Ahli Parlimen Kuala Kedah)

2 thoughts on “Saat Mula-mula…Kenapa Perlu Sokong Anwar – Zunar & Ahmad Kassim

  1. dari dulu dan selamanya bersama Datuk Sri Anuar…biarlah dengan fitnah yg dilemparkan….perjuanganmu memang kental Datu Sri,kaulah satu satunya pemimpin yg akan mngubah kedudukan Malaysia….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s