ETP Gagal?

Oleh: Datuk Seri Anwar Ibrahim

26 Disember 2011

K’jaan elak isu ETP yang dibangkitkan

Saya meneliti jawapan kerajaan Datuk Seri Najib Razak terhadap kritikan saya yang terkandung dalam satu ucapan di ibu kota bertarikh 15 Disember 2011.

Ucapan tersebut yang berjudul “Debunking ETP: Widening Income Gap” menegaskan kaedah yang sedang dilaksanakan kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.

Jawapan tersebut tidak menjawab persoalan utama yang saya lontarkan, iaitu menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar.

Jumlah ini merangkumi sehingga 51 peratus tenaga kerja negara ini dalam tahun 2020, berbanding 56 peratus bagi tahun 2009. Angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa.

Makanya, sebuah program ekonomi yang tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak, malah menambah bilangan rakyat termiskin adalah perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat.

Persoalan utama ini wajar dijawab dengan berkesan oleh perdana menteri sendiri. Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP meragukan.

Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6 peratus setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 – yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6 peratus setiap tahun.

Inflasi

Manakala kos sara hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah.

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja. Laporan tersebut menyatakan 33.8 peratus dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM700 sebulan.

Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34 peratus dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan.

Justeru berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6 peratus adalah tidak tepat.

Manakala itu unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8 peratus setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3 peratus.

Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan per kapita sebanyak RM48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi dari 2.8 peratus untuk tahun mendatang.

Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4 peratus setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

Jurang miskin-kaya

Keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6 peratus setiap tahun bila mana jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang.

Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat terbanyak dipinggirkan.

Perdana menteri langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40 peratus (tahun 2009) kepada 33 peratus sahaja (tahun 2020).

Walhal, ini merupakan permasalahan utama di negara kita, manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.

Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.

Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti.


Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Malaysia, Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat(PKR), Ahli Parlimen Permatang Pauh

Keadilan Untuk Anwar! Ayuh turun 9 Januari 2012!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s