Rakyat Akan Tanggung Kos Kenaikan Air Jika Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor Dilaksanakan


Kenyataan Akhbar
Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim

22 Februari 2012

PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG–SELANGOR ANCAMAN KENAIKAN KOS KEPADA RAKYAT

Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor akan membebankan rakyat Selangor dengan kenaikan kadar tariff air jika ia terus dilaksanakan.

Pertama, Kerajaan Selangor akan dipaksa membelanjakan sejumlah RM8 billion untuk membina Loji Langat 2. Kedua, Kerajaan Selangor akan dipaksa membayar kepada Kerajaan Pahang untuk air mentah yang disalurkan ke negeri ini..

Tiada sebab untuk kita meneruskan projek ini kerana sumber air mentah boleh didapati di negeri ini yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Selangor.

Dana RM8 billion itu boleh digunakan untuk memulihara Sungai Klang yang menjadi sumber air mentah tanpa had di Selangor. Ini bukan sahaja menyediakan sumber air mentah bersih malah menghasilkan impak positif kepada alam sekitar.

Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian bahawa projek Langat 2 bukan jalan penyelesaian kepada usaha membaiki mutu perkhdimatan industri air di Selangor dan Lembah Klang.

Malah, penyelesaian secara holistik adalah perlu bagi memulihkan kegagalan dan kerugian akibat penswastaan industri air di Selangor. Penswastaan ini telah menyebabkan perkhidmatan air dipecah-pecahkan di mana keuntungan kepada syarikat-syarikat swasta manakala beban kos terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah contoh klasik di mana syarikat swasta mendapat keuntungan manakala rakyat menanggung kerugian.

Walaupun Kerajaan Negeri masih terbuka mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi dan kerajaan Pusat, tetapi kita sedari rundingan ini melalui jalan yang sukar.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa kenyataan Kerajaan Negeri mengenai isu ini tidak diberi liputan yang adil oleh media arus perdana yang lebih banyak menyiarkan pandangan mereka-mereka yang berkepentingan dan mencurigakan.

Kenyataan terbaru yang dibuat oleh rakan EXCO, YB Xavier Jayakumar mengenai tadahan air hujan, air bawah tanah, bekas lombang dan sumber air mentah lain yang berpotensi telah terkeluar dari konteks, Beliau dengan jelas menyatakan bahawa banyak lagi sumber tanpa had yang boleh didapati di negeri ini.

Laporan itu tidak menyatakan bahawa usaha Kerajaan Negeri untuk menggunakan air bekas lombong dan mana-mana sumber air mentah untuk dijadikan air minuman perlu dirawat terlebih dahulu bagi memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan. Menjadi fitnah dan berniat jahat jika seseorang itu mendakwa Kerajaan Negeri mengalakkan penggunaan air mentah yang tidak selamat.

Selain Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), agensi di bawah kerajaan negeri yang mengawal air mentah, kita juga mempunyai agensi di bawah kerajaan pusat seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Kesihatan yang mengawal selia keselamatan makanan dan minuman pengguna di negara ini.

Apa yang lebih penting, sebarang perbahasan mengenai air bekas lombong dan mana-mana sumber air yang berpotensi sepatutnya difokuskan kepada kos dan kelebihannya. Adalah tidak matang untuk menyarankan cadangan-cadangan ini tidak menguntungkan sebelum dijalankan analisis terhadap kos dan manfaatnya.

Walaupun menghadapi kesukaran, Kerajaan Negeri mahu Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal Kerajaan Pusat dilaksanakan dan mengambil alih industri perkhidmatan air daripada syarikat konsesi yang secara jelas telah gagal meningkatkan perkhidmatan dan merugikan. Kerajaan Negeri mahu mengembalikan prinsip telus dan pengurusan berkesan dalam industri perkhidmatan air di negeri ini sejajar dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor.


TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s