Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja Oleh MP Bukit Katil

9.08 mlm.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat di Dewan Rakyat yang dihormati. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di kawasan Bukit Katil yang telah memilih wakil rakyat yang baru.

Sudah lama cabar mencabar,
Adat resam dalam berjuang,
Sudah lama mereka bersabar,
Baru kini rakyat berpeluang.

Tuan Yang di-Pertua, minggu lalu sebaik persidangan dibuka saya dimaklumkan bahawa sebuah petisyen telah difailkan untuk mencabar keputusan pilihan raya di Parlimen Bukit Katil. Kita tahu selain daripada kerusi Parlimen ini terdapat lebih 50 petisyen yang telah difailkan oleh calon-calon dan parti-parti yang bertanding. Jumlah ini adalah rekod yang terbanyak petisyen pilihan raya yang difailkan dalam sejarah perjalanan pilihan raya dalam negara kita setakat ini. Berdasarkan fakta ini sahaja sudah cukup untuk kita sedar dan tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang lalu. Izinkan saya jelaskan di sini bahawa pertikaian terhadap perjalanan pilihan raya tidak terhad kepada keputusan pilihan raya semata-mata. Membantah keputusan pilihan raya adalah hak yang dijamin di dalam perlembagaan dan undang-undang pilihan raya terbuka kepada penambahbaikan serta ia mesti dibuat bersesuaian dengan falsafah dan semangat kedaulatan hukum dan demokrasi itu sendiri. Sekiranya mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen dianggap bercanggah dengan pertikaian yang dibuat apakah ertinya puluhan petisyen yang dibuat sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Selain daripada itu, saya ingin mengajak Ahli Dewan untuk menyemak sejauh mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan komitmen terhadap 22 cadangan penambahbaikan pilihan raya. Seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya pada April 2012. Bukan sekadar itu, dalam satu laporan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR sendiri, jelas menunjukkan bahawa PRU ke-13 itu tidak sepenuhnya bebas dan tidak adil. Partially free and not fair. Berdasarkan segala kekalutan dalam hal perjalanan PRU ke-13, saya fikir Ahli-ahli Dewan mesti tegas menggesa anggota-anggota SPR itu berundur dan reformasi menyeluruh dibuat bermula daripada sekarang selaras dengan cadangan yang telah dimajukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya. Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa BN kembali membentuk Kabinet Persekutuan dan sekali gus ini menyebabkan berlakunya hujah iaitu ada dua alasan yang diberikan. Pecahan tumpuan pengundi yang memberikan majoriti besar kepada calon atau parti dan sistem yang diguna pakai dalam pilihan raya di Malaysia iaitu first past the post berasaskan kawasan .

Saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan bahawa terdapat satu cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya dan kajian mesti dibuat untuk melakukan reformasi berkaitan dengan sistem ini dan ini bukan perkara baru. Di peringkat antarabangsa sebagai contoh, Institute for Public Policy Research (IPPR) di United Kingdom pernah menyediakan satu kertas kajian bertajuk Worst of Both Worlds: Why First Past the Post No Longer Works yang jelas menggariskan kelemahan-kelemahan sistem FPTP di United Kingdom yang juga boleh dilihat dalam kes Pilihan Raya Umum Ketiga Belas.

Pertamanya keputusan yang lebih dipengaruhi oleh kerusi marginal dan yang kedua merosakkan hubungan antara undi dan kerusi yang menyebabkan wakil rakyat tidak sebenarbenarnya diwakili oleh pihak yang lebih dimahukan. Justeru, saya yakin bahawa kalau kita bercakap tentang roh demokrasi dan juga masa depan Malaysia yang saya percaya bahawa kita bergerak daripada landasan demokrasi ini, tentunya kita mesti ada satu komitmen untuk melakukan reformasi bagi memastikan bahawa mekanisme yang dipakai pada waktu ini boleh ditambah baik dengan tujuan untuk memberikan maksud kepada hasrat pengundi-pengundi yang memberikan undi di luar sana. Jangan kita abaikan reformasi yang diambil melalui akta sistem dan kawasan-kawasan pengundian Parlimen tahun 2011 kerana di United Kingdom ada satu akta yang dipanggil Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011 untuk menegakkan prinsip iaitu satu orang, satu undi dan satu nilai. Bukannya satu orang, satu undi but two values.

Jadi dinyatakan di dalam akta tersebut bagaimana caranya untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan yang dihadkan sehingga 13 kilometer persegi dan bilangan pengundi mesti sekurang-kurangnya mencapai 5% daripada purata nasional. Oleh sebab itu saya yakin, jangan kita pejam mata terhadap proses demokrasi yang lebih luas di sana. Kedudukan semua wakil rakyat dan parti politik, ruang media, perhimpunan aman dan sebagainya. Saya yakin Tuan Yang di-Pertua, bahawa saya ingin cadangkan kepada kementerian khususnya Perdana Menteri untuk mengambil satu keberanian moral ataupun moral authority, dengan izin agar reformasi dalam sistem pilihan raya dapat kita laksanakan kerana ini memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak. Pada saya zaman kerajaan menang dua per tiga ini sudah berlalu kerana ia tidak baik untuk negara. Kita mesti ada kekuatan kerajaan dan juga pembangkang dan ini mesti dilakukan bermula daripada reformasi sistem pilihan raya. Kalau tidak, sampai bila pun kita tidak akan ada satu panduan yang baik untuk generasi akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sentuh tentang haluan pembangunan negara. Ini dalam kerangka cabaran untuk golongan muda. Saya punya waktu lagi?

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, ada tiga minit lagi.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Baik. Kita maklum bahawa hutang isi rumah rakyat Malaysia kini telah mencecah angka RM800 bilion atau 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar dan jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Sama ada suka ataupun tidak Tuan Yang di-Pertua, golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan misalnya, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan? 40% isi rumah terendah pada tahun 2009 dengan pendapatan purata hanya sebanyak RM1,400 berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu…

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, kita sebenarnya saya boleh menambahkan 15 minit sahaja. Jadi kita sudah pukul 9.15 malam. Jadi minta sambung esok.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi laluan lebih sikit untuk satu sekolah.

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Khamis, 4 Julai 2013.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, semalam saya telah ulas panjang lebar mengenai kecurangan pilihan raya dan cadangan-cadangan penambahbaikan. Kita maklum, isu yang ingin saya bawa ialah isu berkaitan dengan hutang isi rumah rakyat Malaysia yang media hari ini telah
mendedahkan bahawa telah mencecah angka RM800 bilion ataupun 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar. Jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)
mempengerusikan Mesyuarat]

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, malah nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu kita terdengar ada janji bahawa jumlah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bilangan penerimanya ditambah.

Saya percaya formula politik yang mengukur kejayaan ekonomi negara dengan angka penerima bantuan mesti dialih kepada formula ekonomi yang mengukur kejayaan dasar dengan mengangkat kedudukan penerima bantuan ke status di mana mereka tidak lagi bergantung pada bantuan. Dalam erti kata yang lain, jika apa yang ingin dibuat ialah menambah jumlah bantuan dan bilangan penerima, dasar yang dibuat sebenarnya tidak berkesan bahkan gagal. Saya mahu menekankan bahawa 40% isi rumah terendah ini paling tinggi tahap pendidikannya ialah Sijil Pelajaran Malaysia dan jumlah terbesar mencecah 52.3% tidak mempunyai sijil pelajaran. Separuh daripada mereka ini adalah golongan miskin bandar dan separuh lagi adalah penduduk desa. Jumlah 40% yang mewakili sembilan juta penduduk ini mesti dilihat melangkau angka pasif.

Misalnya penurunan kemiskinan kepada 1.7% tahun yang lalu. Saya bimbang keselesaan dengan petunjuk angka umum ini boleh mengabaikan realiti sebenar keperitan hidup dengan pendapatan sedemikian pada kadar isu rumah yang ada boleh membinasakan. Saya berharap tumpuan besar akan diberikan kepada sektor pendidikan di mana tidak wajar masih ada sekolah yang tidak lengkap kemudahan infrastruktur asas. Saya mohon Menteri Pendidikan membentangkan data terkini berkaitan kemudahan asas di sekolah-sekolah seluruh negara dan rancangan serta tindakan untuk ditangani.

Selain daripada itu, saya ingin mengambil perhatian Dewan kepada dasar-dasar sosial tentang golongan kurang upaya, warga emas dan pesakit kronik misalnya jantung. Mesti diperkemaskan agar akses bagi kemudahan perubatan dapat diberikan kepada yang paling memerlukannya. Khusus buat golongan orang kelainan upaya ini ataupun OKU. Di kawasan Bukit Katil ini misalnya, ada satu tempat namanya Kampungku Sayang. Di sana ada satu yang dipanggil sebagai Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk golongan kurang upaya. Bila kita teliti fasiliti ataupun tempat ini, amat daif dan malah kebajikan mereka yang menjaga tempat itu pun saya fikir dikesampingkan.

Misalnya, mereka yang berada di situ, yang bertugas di situ kebanyakan dianggap sukarelawan dan tidak tetap dari segi gaji dan sebagainya. Saya ingin mengusulkan kepada kerajaan agar satu blueprint kebajikan dibentuk, mengambil kira aspek aliran dan manfaat subsidi, fungsi zakat dan keselesaan sosial yang memberikan perhatian khusus untuk membantu golongan miskin, OKU, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim piatu.

Tuan Yang di-Pertua, di dalam Dewan ini, baru-baru ini Menteri Dalam Negeri menjawab tentang masalah kematian di dalam tahanan. Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada laporan kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan penahanan sembarangan 2010. United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010 dengan izin, yang melawat penjara dan pusat tahanan Malaysia, melaporkan pada tahun 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa. Saya ingin tegaskan bahawa kematian dalam tahanan tidak harus dilihat dalam perspektif angka. Satu kematian dalam tahanan wajar dianggap terlalu banyak kerana nyawa seorang manusia tidak boleh dikembalikan.

Selain soal kematian dalam tahanan, kita tahu ada sejumlah kes lain bersabit tingkah laku anggota polis yang menjadi perbualan umum. Sehubungan itu saya minta dan mencadangkan agar satu reformasi menyeluruh dapat dilakukan dan ini hanya boleh dilakukan dengan cadangan mewujudkan IPCMC dengan fakta bahawa IPCMC merupakan sebahagian daripada 125 cadangan penambahbaikan pasukan polis yang telah dilakukan melalui Suruhanjaya Diraja.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, sila gulung.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri untuk menganjurkan satu lawatan kerja, membawa Ahli-ahli Parlimen melihat dan menilai bagaimana kedudukan penjara dan juga lokap. Saya ingin cadangkan supaya satu reformasi lokap dapat dijalankan agar prinsip ‘a man is innocent until proven guilty’ dapat dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengulas sedikit tentang apa yang diungkapkan oleh Yang Amat Berhormat Pekan selaku Perdana Menteri mengenai pendamaian nasional. Saya ingin lihat bahawa pendamaian nasional ini wajar dilihat dalam kerangka negara. Justeru, yang perlu dikembangkan ialah selain daripada kita mengakui terdapat kecurangan pilihan raya yang mesti dibersihkan. Akan tetapi dalam masa yang sama kalau kita lihat daripada kerangka nasional, kekuatan negara kita ialah kekuatan budaya. Kekuatan budaya inilah yang menyebabkan bagaimana negara kita sekarang ini dilihat sebagai sebuah tempat pelancongan kerana mereka melihat soal keragaman budaya, bahasa dan juga agama.

Cuma masalah yang paling utama ialah saya ingin tanya dan cadangkan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, apakah kebudayaan dan kekuatan budaya di dalam negara kita ini hanya dilihat dalam bentuk program semata-mata? Program melawat, program pelancongan dan tidak tertumpu pada pemahaman tentang budaya sesuatu kaum kerana itulah kekuatan kita. Ini boleh sahaja dilakukan, misalnya di Amerika ada program Full… Collar, di Japan ada program Japan Foundation, malah di UK ada Britsih Council. Di Malaysia ini tidak ada satu brand kita walaupun kita sering diungkapkan dengan brand ‘Malaysia Truly Asia’ yang lebih besar tetapi tidak ada program-program upaya kebudayaan yang boleh dilakukan. Saya cadangkan supaya satu institut, boleh sahaja kita namakan sebagai Tun Perak Institut diwujudkan dan menggunakan kekuatan budaya ini, melakukan diplomasi agar negara kita ini terus berada di persada antarabangsa.

Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tutup bahawa saya berasa sedikit kesal kerana Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang baru terus menerus tidak menganggap dan meletakkan budaya ini pada tahap yang sepatutnya, misalnya Jonker Walk ditutup. Bukan sekadar itu, Jonker Walk ini kalau Ahli-ahli Yang Berhormat pergi, tahu, itu bukan sekadar tempat orang berniaga tetapi adalah tempat kebudayaan. Selain itu yang ditutup juga Bazar Taman Cempaka, ia hanya berlaku pada bulan Ramadhan dan Syawal kerana di situlah segala macam kebudayaan Melayu dapat dibeli ataupun dapat dilihat dan dinikmati oleh rakyat dan sebagainya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang
Berhormat Jasin bangun.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Sila, sila.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Selepas ini gulung, habis masa ya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat Bukit Katil, saya hanya hendak sentuh sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Apabila Yang Berhormat daripada Bukit Katil tadi sebut tentang Jonker Walk. Yang Berhormat, saya terlibat secara langsung, Jonker Walk tidak pernah wujud, yang ada Jonker Street. Jonker Walk ini kita wujudkan kerana satu ketika dulu Jonker Street ini adalah satu kawasan yang tertinggal, yang terbiar. Kawasan ini kotor kerana perumahan tersebut tidak diduduki dan didiami oleh penghuni-penghuninya, rumah tinggal.

Akan tetapi sekarang, tiba-tiba kawasan itu cukup vibrant dan harganya naik empat hingga sepuluh kali ganda kerana usaha daripada kerajaan negeri yang bukan sahaja mencantikkan, mempromosikan, mahu menjadikan tempat itu sebagai ikon pelancongan,
sebagai satu daripada produk pelancongan. Sebenarnya apa yang telah dipolitikkan oleh
sesetengah pihak, tidak ada apa pun. Jonker Walk ini sebenarnya telah dipolitikkan.

Matlamat kerajaan negeri yang telah bertanggungjawab untuk mempromosikan dan melonjakkan nama Jonker Street sebagai Jonker Walk ini yang memberikan keuntungan hanya kepada satu pihak sahaja. Kita sedar tetapi kerana itu produk pelancongan bukan ada niat kita untuk menutup terus. Bahkan apa yang kita buat sekarang, kita hendak buat kajian kerana Jonker Walk ini telah menyumbang kepada kesesakan yang cukup kronik dalam negeri Melaka. Janganlah hendaknya mana-mana pihak mempolitikkan tentang Jonker Walk ini kerana itu semuanya usaha kerajaan negeri…

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: [Bangun]

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: …Yang telah mempromosi, mengayakan satu pihak sahaja. Kita tidak pernah tutup bahkan kita buat kajian.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Okeylah, saya faham lah Yang Berhormat Jasin. Saya fahamlah.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Saya harap ini jangan ditimbulkan lagi lah kerana seolah-olah ada pihak yang menyalahkan kerajaan negeri tidak pernah pun
berterima kasih. Usaha yang telah dibuat oleh kerajaan yang selama ini bukan sahaja
menjadikan negeri Melaka sebagai pusat pelancongan bahkan mengayakan satu pihak. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya, baik. Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Jasin. Memang apa yang dibuat dahulu baik. Cuma sekarang dia tidak jadi Jonker Walk, dia jadi Jonker Drive sebab orang boleh drive thru.  Saya tidak timbulkan soal kecil seperti itu. Apa yang saya hendak bangkitkan ialah apabila kita telah wujudkan pusat-pusat kebudayaan ini, biarlah dikekalkan. Kenapa harus ditukar?
13 tahun yang lalu kerajaan negeri bangunkan Jonker Street kepada Jonker Walk.

Kemudian bangunkan juga pasar Ramadhan sehingga masuk dalam diari pelancongan tetapi kenapa ini harus ditutup? Itu persoalannya. Biarlah kalau hendak kembang, kembangkan supaya kita punya kebudayaan ini jangan tertumpu kepada soal-soal yang kecil. Sasterawan Negara kita ramai, kenapa tidak dikembangkan?

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat, betulkan sedikit.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Jasin, tidak apa Yang Berhormat Jasin. Masa sudah tidak cukup ini.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Kita tidak pernah berniat untuk tutup. Tidak pernah tutup pun.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil boleh berhenti sekarang.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Saya hendak ulas satu lagi. Akhirnya, saya hendak angkatkan …

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ini daripada petang semalam akhirnya ini.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya lah, ini betul-betul akhir Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak tutup dengan marilah kita hayati ayat al-Quran surah al-Hujurat [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Wahai manusia, kita menciptakan kamu lelaki, perempuan dan jadikan berbangsa, berpuak ini untuk kita berkenal-kenalan”. Itu kekuatan yang saya sebut soal budaya tadi. Ini sebenarnya menjadi asas kepada kekuatan kita. Jadi, saya mohon agar Kementerian Pelancongan dapat mengangkat tema budaya ini supaya ia dapat disemarakkan untuk kepentingan rakyat. Terima kasih.

— Unit Komunikasi dan Media Sosial Parlimen Bukit Katil

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s