Rakyat Terus Ditekan Dengan Kenaikan Tarif Letrik! – Ketua AMK

Pakatan bantah kenaikan tarif elektrik

Post Pic

KUALA LUMPUR: Perlaksanaan kadar tarif elektrik baharu sebanyak 15 peratus atau 4.99 sen per kilowatt jam seperti diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam, terus mendapat kritikan Pakatan Rakyat.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membantah kenaikan kadar itu, yang termasuk Sabah dan Labuan, dengan mendakwa ia akan terus menekan rakyat golongan bawahan yang kini terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pelaksanaan tariff baharu itu mulai 1 Januari 2014 tidak selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang sering dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional.
“Kita memandang serius kenaikan 14.9 peratus tarif elektrik yang diumumkan kerajaan. Ini satu tamparan besar kepada rakyat selepas PRU-13. Ternyata slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang gah dicanangkan adalah pisau bermata dua.
“Kita persoal apakah pengurangan subsidi dalam banyak sektor tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak berhemah oleh kerajaan? Jika jawapannya ya, maka pihak kerajaan perlu bertanggungjawab. Jangan salahkan rakyat jika mereka mengelak cukai walhal pengkhianat sebenar boros berbelanja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Shamsul yang juga Ahli Parlimen PKR Bukit Katil turut mempersoal hasil kajian kenaikan tarif elektrik yang pernah diuar-uarkan oleh kerajaan suatu masa dahulu dengan mengambil kira kemampuan rakyat di negara ini.
Sedangkan, katanya, melalui sesi soal jawab di Parlimen minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memberi gambaran bahawa kadar tarif elektrik tidak akan dinaikkan memandangkan harga bahan api di pasaran dunia adalah stabil.
Ia jelas bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili semalam bahawa kadarnya dinaikkan sebagai rasionalisasi subsidi untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara, selain kesan penyelarasan harga gas domestik, gas asli cecair, arang batu dan semakan tarif asas Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Menggambarkan bahawa kerajaan seolah-olah tertekan dan terdesak dalam satu keadaan, pada saya tiada asasnya, jika asasnya adalah harga minyak dunia, Timbalan Menteri Kewangan menyebut, kestabilan harga minyak dunia dinikmati oleh negara ini dan tidak ada sebab untuk tarif dinaikkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Petronas dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dan bukan lagi di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam sidang media berlainan, Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming menyelar tindakan tergesa-gesa kerajaan itu yang sepatutnya terdahulu menyediakan pelan tindakan kepada rakyat bagaimana mengatasi masalah pembaziran.
“Pertama, sebelum kerajaan mengumumkan kenaikan kadar elektrik, apakah tindakan mereka mengatasi pembaziran akibat daripada pengeluaran tenaga elektrik yang berlebihan?
“Kedua, umumkan kepada rakyat apakah terma-terma perjanjian bersama YTL, Malakoff, Genting Sanyeng dan lain-lain. Ini penting. Kita dah sebut lebih lima tahun. Tapi selepas berganti menteri, kerajaan tak umumkan apakah terma-terma perjanjian,” jelasnya.
Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Idris Ahmad pula meminta kerajaan mengkaji semula pencapaian penstrukturan semula TNB.
“Tujuan penswastaan adalah untuk mengurangkan bebanan kerajaan, selain pengurusan kecekapan. Tapi apa yang berlaku adalah, kerajaan dan TNB mengambil untung, sepatutnya apabila perkara ini menjadi untung, TNB atau kerajaan mencari jalan keluar bukan menaikkan lagi, tetapi perlu turunkan tarif elektrik ini,” katanya.
Kadar tarif elektrik di Semenanjung dinaikkan 15 peratus atau 4.99 sen/kWj mulai 1 Januari ini, menjadikan kadar baru yang perlu dibayar oleh pengguna 38.53 sen.
Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan 5 sen/kWj atau 16.9 peratus daripada kadar semasa 29.52 sen.

— AntaraPos

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s