SPRM dicabar dedah peruntukan yang perlu diperbaiki di Parlimen

SPRM dicabar dedah peruntukan yang perlu diperbaiki di Parlimen

sprm

Oleh : SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 7 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicabar untuk mendedahkan peruntukan yang perlu diperbaiki di Parlimen supaya badan itu tidak mengeluarkan alasan dangkal khususnya bagi menyiasat kes membabitkan rasuah berprofil tinggi.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata SPRM perlu berhenti mengeluarkan alasan dangkal yang menyatakan badan itu tidak mempunyai kuasa menyiasat pembelian kontroversi kondominium mewah bernilai RM110 juta milik anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor di New York.

“Saya ingin cabar SPRM untuk mendedahkan secara terperinci kepada Ahli Parlimen, peruntukan mana yang mereka (SPRM) rasa perlu diperkasakan di Parlimen bagi memberi peluang kepada SPRM untuk menyiasat kerana yakin ada peruntukan.

Shamsul-Iskandar-103“Tidak munasabah kalau alasannya beli aset luar kemampuan, SPRM tiada kuasa menyiasat. Kalau itu berlaku, orang yang mengamalkan rasuah besar akan bebas melakukan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM berkata badan itu tidak boleh menyiasat pembelian kondominium Riza Shahriz di New York kerana tidak ada undang-undang untuk menyiasat individu yang membeli aset di luar kemampuan mereka.

SPRM juga menyatakan sudah mencadangkan peruntukan itu dimasukkan ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, namun Putrajaya masih belum membentangkannya di Parlimen.

Pada masa sama, Shamsul berkata, SPRM tidak wajar diwujudkan di Malaysia dan perlu ditutup kerana hanya menghabiskan wang pembayar cukai dengan alasan tidak munasabah setiap kali didesak melakukan siasatan terhadap kes rasuah besar.

“Ini menjadikan SPRM sebagai badan yang sekadar ‘menunjuk-nunjuk’ kepada rakyat kerana hanya menangkap pengamal rasuah diperingkat kecil tetapi tidak berupaya menunjukkan keazaman membanteras rasuah membabitkan ratusan juta ringgit.

“Maka, SPRM tidak wajar dikekalkan di Malaysia dan wajar ditutup kerana menghabiskan wang pembayar cukai ekoran alasan tidak munasbah yang diberikan,” katanya.

Katanya, beliau yakin masih ada akta di bawah SPRM yang boleh mendakwa sesiapa sahaja dan perkara itu perlu diperjelaskan secara lebih terperinci kepada umum.

— Selangorku.com

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

Tinggalkan komen