Tidak Masuk Akal 31 Disember Guling Kerajaan – @shamsuliskandar

Guling kerajaan 31 Disember, propaganda Umno tak masuk akal

(Basyar Abkadir)

Shamsul_AMKKUALA LUMPUR 27 DIS: Dakwaan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini adalah propaganda murahan Umno yang tak masuk akal dan cuba menakut-nakutkan rakyat.

Ahli parlimen KEADILAN Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tujuan sebenar perhimpunan tersebut adalah untuk menunjukkan kemarahan rakyat terhadap pelbagai kenaikan harga barang yang menyebabkan kos sara hidup rakyat semakin tinggi.

“Rakyat sekarang ditakut-takutkan dengan isu ‘gulingkan kerajaan’ dan sebagainya. Kerajaan cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

“Isu sebenar ialah rakyat semakin terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, berpunca daripada kelemahan urus tadbir kerajaan pusat,” katanya kepada Keadilandaily.

31-12Tegas Shamsul, rakyat bebas untuk berhimpun untuk menyatakan bantahan dan ia termaktuv di dalam perlembagaan Persekutuan.

“Himpunan terhadap sebarang isu banyak berlaku bagi negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kalau betul Malaysia mengamalkan konsep demokrasi, maka himpunan aman hendaklah dibenarkan,” katanya.

Himpunan 31 Disember 2013 di Dataran Merdeka bertujuan membantah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilakukan kerajaan minoriti Umno Barisan Nasional, bermula selepas Pilihan Raya Umum 13 yang lalu.

— Keadilan Daily

100 Hari: 3 Perkara Gagal – MP Bukit Katil

100 hari: Tiga perkara dianggap gagal

MELAKA – Tempoh seratus hari selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Kerajaan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya dianggap gagal terutama dalam menangani isu berkaitan kepentingan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohamad Akin berkata, antara perkara utama adalah soal perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

“Kerajaan dilihat seolah-olah bersetuju dan dibimbangi boleh mendatangkan kesan berkaitan kenaikan harga produk tertentu misalnya produk perubatan yang dilihat sebagai mendominasi dan penjajahan baru.

“Saya lihat ini tindakan terburu-buru BN sekaligus memperlihatkan dasar rakyat didahulukan itu tidak lagi menjadi suatu landasan,” katanya.

Perkara kedua menurut Shamsul adalah kegagalan kerajaan menangani isu harga barang apatah lagi selepas PRU13 masyarakat berdepan perayaan Aidilfitri dan beberapa perayaan lain.

“Masalah harga barang harian masih tidak mampu ditangani dengan baik. Misalnya harga ayam sendiri pun tidak ditangani dengan cermat dan teliti,” katanya.

Perkara ketiga katanya, kegagalan kerajaan menangani masalah jenayah yang mengakibatkan rakyat berhadapan dengan ketakutan.

“Kerajaan masih lagi menggunakan alasan seperti ketiadaan tahanan tanpa bicara menjadi sebab peningkatan kadar itu.
“Seolah-olah kerajaan BN yang tentunya meletakkan pasukan polis di bawah pengaruh mereka tidak mampu untuk menangani masalah jenayah ini sehingga terpaksa menggunakan alasan tiada undang-undang tahanan tanpa bicara maka jenayah tidak mampu diatasi.

“Ia tidak menunjukkan kerajaan bersedia dengan masa depan lebih baik, merencana pasukan polis supaya lebih berwibawa, supaya kepakaran dalam siasatan dan menangani jenayah dipertingkatkan. Tidak nampak keseriusan ke arah itu,” katanya.

Shamsul berkata, bagi pihak Pakatan Rakyat (PR), dilihat terdapat keterbukaan dalam merencana agenda bertindak yang lebih progresif sepanjang tempoh 100 hari selepas PRU13.

“Kita sentiasa konsisten dalam memperkukuhkan agenda reformasi dalam sistem pilihan raya.

“Dalam tempoh setahun ini saja kita fokus dan berhadapan dengan pelbagai petisyen, pilihan raya” katanya.

Tambahnya, ada juga keterbukaan dari segi kepimpinan seperti yang berlaku di Kelantan apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat melepaskan jawatan dan memberikan kepada kepimpinan baru.

“Kita lebih berani mengemukakan teguran kepada peringkat kepimpinan biarpun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Semua ini tidak berlaku di dalam BN,” katanya.

— Sinar Harian Online

Cubaan Penjarakan Semula Anwar Dengan Rayuan Fitnah 2

Fitnah II: Cubaan penjarakan semula Anwar

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 21 Julai: Rayuan terhadap keputusan kes Fitnah II adalah cubaan Umno BN untuk mengheret semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Menurut Surendran, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan tersebut pada Januari tahun lalu dan umum mengetahui ia merupakan konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Anwar.

Malah, katanya, konspirasi itu turut melibatkan institusi seperti polis dan pejabat peguam negara diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Rayuan ini tak sepatutnya difailkan. Semua orang tahu Gani Patail (peguam negara) orang suruhan Umno. Mahkamah dan polis hanya digunakan untuk menindas dan memenjarakan Anwar,” kata Surendran.

Beliau mengulas kes rayuan berkenaan yang akan berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok, ekoran rayuan kerajaan terhadap pembebasan Anwar, 9 Januari tahun lalu.

Kes tersebut, yang sebelum ini dilihat sebagai konspirasi kedua mengaibkan Anwar, dijangka sekali lagi menarik perhatian media dalam dan luar negara apabila ia dibicara di peringkat rayuan.

Menurut Surendran, Umno BN kini kehabisan modal untuk melakukan apa sahaja bagi menyekat kebangkitan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, termasuk memenjarakan semula Anwar.

“Itu cara terbaik Umno-BN mematahkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka fikir cara terbaik untuk terus berkuasa ialah memenjarakan Anwar,” kata N Surendran.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

— Keadilan Daily

Isu Fitnah Wikileaks: Perbahasan MP Bukit Katil

Perbahasan saya di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2013 berkenaan peraturan mesyuarat 36 (12) terhadap ahli parlimen Simpang Renggam yang memfitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu akaun bank Israel dan isu Wikileaks.

— Unit Komunikasi dan Media Baru Ahli Parlimen Bukit Katil

Dah Tahu, Tapi Tak Bertindak?

Pencerobohan Lahad Datu: Jika sudah tahu, mengapa tidak bertindak?

OLEH JAHABAR SADIQ,
PENGARANG

July 17, 2013

ANALISIS BERITA – Pendedahan seorang pegawai daerah mengenai polis sebenarnya sudah tahu mengenai rancangan pencerobohan Sulu di Sabah, dua minggu sebelum kejadian pada Februari lalu amat menggemparkan negara.

Ia menimbulkan banyak persoalan, terutama apabila memikirkan mengenai anggota keselamatan Malaysia terkorban dalam kejadian yang sepatutnya mungkin dapat dielakkan. Berapa lama pula agaknya keselamatan negara kita berada dalam keadaan bahaya berikutan kegagalan perisikan dan komunikasi antara Kuala Lumpur dengan Sabah.

Perkara ini terdedah apabila Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir yang memberitahu Suruhanjaya Diraja dan Inkuiri (RCI) berhubung pendatang tanpa izin di Sabah, semalam, bahawa beliau ada bertemu dengan Ketua Polis Daerah, Superintendan Shamsudin Mat pada Februari lalu dan memberitahunya mengenai rancangan pencerobohan darat oleh penceroboh bersenjata.

“Saya diberitahu bahawa Lahad Datu adalah sasaran utama penceroboh bersenjata itu dan isu itu adalah rahsia besar. Saya diberi amaran supaya tidak membocorkan berita mengenai isu itu,” katanya di hadapan lima panel RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Bagaimanapun, saksi ke-177 itu berkata:”Tindakan pantas polis mengepung pengganas Sulu yang bersenjata di Kampung Tanduo menghalang mereka daripada menyerang Lahad Datu.”

Sumber lain mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa polis sudah tahu mengenai kemungkinan pencerobohan berlaku selepas pedagang maritim yang berulang-alik di perairan antara Sabah dan Filipina tidak kelihatan beberapa hari sebelum serangan pertama.

Bagaimanapun, tiada siapa yang memberi amaran di luar Lahad Datu.

Selama ini, rakyat Malaysia percaya bahawa pencerobohan itu adalah secara mengejut dan tidak ada pasukan keselamatan yang mencukupi untuk melindungi sempadan kita, terutama di kawasan sempadan yang terlalu dekat antara Sabah dan Filipina.

Malah, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penceroboh adalah orang tua tanpa senjata dan rundingan itu adalah tindakan terbaik untuk hari itu berbanding meletakkan risiko berlakunya pertempuran kecil dan insiden diplomatik antarabangsa dengan pengikut Sultan Sulu Filipina.

Tetapi, seseorang sudah tahu yang penceroboh akan tiba sebelum sambutan Tahun Baru Cina dan memastikan tidak ada orang lain tahu mengenainya. Kenapa?

Memandangkan polis mempunyai maklumat risikan mengenai kemungkinan pencerobohan, mereka tidak sepatutnya tidak bersedia apabila kononnya Tentera Raja Sulu muncul di Lahad Datu pada Februari 2013 dan tidak mungkin dua anggota polis VAT 69 di Ulu Kinta Perak – Sarjan Sabarudin Daud, 46; dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, maut atau enam lagi terbunuh dalam kejadian di Semporna.

Anggota polis dan barisan tentera berhak untuk marah atas kehilangan rakan seperjuangan mereka. Begitu juga rakyat Malaysia kini apabila mereka tahu polis sudah tahu mengenai pencerobohan itu lebih awal.

Selepas apa yang didengar di RCI semalam, adalah sangat penting untuk kerajaan mengadakan RCI kejadian Lahad Datu. Bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan mengapa tidak ada seorang pun yang menjangkakan bahawa adalah lebih baik untuk mencegah pencerobohan itu daripada membiarkannya menjadi penutup yang berdarah.

Dijangkakan kira-kira 235 militan Filipina melakukan pencerobohan itu untuk menghancurkan kehidupan rakyat Sabah serta keluarga anggota polis dan tentera yang terbunuh, tetapi, tidak ada sesiapa menghentikannya sebelum mereka boleh melakukannya. Kenapa?

Kejadian itu menyebabkan pergeseran antara dua negara berjiran dan mengingatkan semula Filipina tuntutannya terhadap Sabah. Mengapa ada orang yang membenarkan perkara itu berlaku?

Terlalu banyak persoalan dibangkitkan mengenai berita yang menggemparkan beberapa bulan selepas pencerobohan itu. Rakyat Malaysia perlu tahu kisah sebenar perkara ini kerana ia membabitkan kepercayaan kepada polis dan keselamatan nasional. – 17 Julai, 2013.

— Malaysian Insider

Pinda Usul Perbahasan Titah Diraja

Pakatan Cadang Pinda Usul Perbahasaan Titah Diraja Dewan Rakyat

parlimen malaysia anwar grafik 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul bagi meminda perbahasan titah Yang Di Pertuan Agong berhubung gesaan baginda supaya semua parti politik menerima keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana gagasan Umno-BN dan Pakatan telah mengemukakan petisyen pilihanraya bagi mencabar keputusan pilihanraya di 51 kerusi.

“Soal petisyen Pilihanraya … dikemukakan maka kita kaji untuk kemukakan usul pindaan kerana tidak wajar titah itu dimasukkan ke soal petisyen.

“Petisyen itu merangkumi kedua-dua pihak iaitu Pakatan dan Umno-BN. Jadi kalau sokong (titah), petisyen itu tidak bermakna,” katanya dalam sidang media, di Bilik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Husam Musa.

Dalam titahnya pada majlis pembukaan sesi pertama Dewan Rakyat ke-13, Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menggesa semua parti politik untuk menerima keputusan PRU-13.

Pakatan dan Umno-BN telah masing-masing memfailkan 34 dan 21 petisyen.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR melahirkan kebimbangan terhadap perlantikan bekas-bekas menteri kabinet ke dalam jawatan-jawatan kerajaan.

“Perlantikan ini begitu terlebih termasuk Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Ng Yen Yen. Ia melibatkan upah yang terlalu besar.

“Kita sudah ada Menteri Pelancongan atau Kebudayaan. Kalau rasa mereka tidak layak gantikan dengan orangg lain. Tidak perlu ada penasihat kementerian.

“Berapa juta ringgit pula terpaksa dibayar? Ini akan membebankan rakyat,” katanya.

Menurut laporan media, Yen Yen dilantik sebagai pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia manakala Rais telah dilantik sebagai presiden presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

—Selangorku

Pendedahan Deepak: AMK (@AngkatanMuda) Desak Siasatan Dari Polis


Dari Malaysiakini

19 Disember 2012

AMK buat laporan desak polis siasat pendedahan Deepak

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan meminta polis menyiasat pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan berhubung penyediaan akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin di ibupejabat polis Petaling Jaya pada jam 12.07 pagi ini.

NONELaporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Deepak yang diterbitkan oleh portal Harakahdaily (edisi video) dan Keadilan Daily pada 12 Disember lalu.

Dalam laporan polis itu, Shamsul berkata, Deepak menceritakan latarbelakang penyediaan SD kedua itu secara terperinci yang didakwanya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan seorang peguam yang namanya tidak dinyatakan.

Dalam laporan polis itu juga, Shamsul juga berkata, Deepak mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berminat untuk menutup kes tersebut selepas pendedahan SD itu.

Sehubungan itu, kata Shamsul, hal demikian menimbulkan persoalan antaranya apakah kepentingan Najib dan Rosmah yang didakwa memanggil Deepak – sepertimana yang didakwa oleh peniaga permaidani itu – pada hari Balasubramaniam mendedahkan SD pertamanya.

Sehubungan itu, Shamsul mendesak supaya siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dibuka semula.


— Malaysiakini

______________________________________________________________________


Dari KeadilanDaily

19 Disember 2012

Pendedahan Deepak: AMK lapor polis mahu Rosmah disiasat

(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 19 Dis: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pendedahan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 11.30 pagi tadi oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditemani Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin serta beberapa anggota.

Ia ekoran pendedahan Deepak 12 Disember lalu yang menceritakan secara teliti latar belakang akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan siasatan terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Deepak sebelum ini diketahui rapat dengan Rosmah yang disifatkan sebagai seorang kakak menyatakan, Datuk Seri Najib Razak turut terlibat dalam proses penyediaan akuan tersebut, dan ia adalah atas permintaan Rosmah.

Shamsul berkata, pendedahan itu menimbulkan beberapa soalan yang memerlukan siasatan polis.

“Apakah kepentingan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya sehingga mengarahkan Deepak agar memastikan pengeluaran akuan bersumpah kedua tersebut berlaku? Apakah penglibatan mereka?” soal Shamsul pada sidang media sebelum membuat laporan.

Menurut Deepak, Balasubramaniam menyatakan beliau dan keluarga diugut untuk membolehkannya membuat akuan bersumpah kedua tersebut.

“Sekiranya perkara ini benar, apakah peranan Najib, Rosmah dan adik Perdana Menteri, Nazim Razak dalam ugutan itu? Apa yang mereka mahu selindungi?” soal Shamsul lagi.

Sedangkan, Balasubramaniam turut menegaskan, hanya akuan bersumpah pertamanya yang sah.

Justeru katanya, ia turut menimbulkan persoalan apakah Najib tidak memberitahu perkara sebenar apabila beliau bersumpah tidak pernah bertemu Altantuya.

Siapa pula yang mengarahkan Altantuya dibunuh oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Omara dan Cif Inspektor Azilah Hadri kerana ternyata mereka dijadikan ‘kambing hitam’, kata Shamsul.

“Deepak turut memberitahu, SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut sebelum ini, Jadi apakah benar SPRM menutup siasatan kes tersebut?” sambungnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, AMK akan melancarkan 50,000 keping poskad ‘Tanya Sama Rosmah’ di program Himpunan Suara Anak Muda dekat Dataran Anak Muda, Petaling Jaya Selatan, 9 malam esok.

“Kita akan edarkan poskad mengandungi tiga soalan yang hanya Rosmah mampu jawab. Poskad tersebut akan diedarkan ke seluruh negara dan dialamatkan kepada Rosmah.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak pun berpeluang mendapat penjelasan dari isteri Perdana Menteri itu,” jelas Shamsul.


— KeadilanDaily

‘Tulisan Zam tentang Habibie selayaknya dibakulsampah’ – @saifnasution


Dari Malaysiakini

Ulasan

19 Disember 2012

‘Tulisan Zam tentang Habibie selayaknya dibakulsampah’

Tulisan Zainudin bertajuk ‘Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim’ (UM 10 Disember 2012) selayaknya dibakulsampahkan jika Editor UM wartawan yang peka dan tajam pemikirannya.

Tulisan Zainudin yang merupakan bekas ketua pengarang Utusan dan mantan menteri penerangan, mengundang ribut taufan sehingga Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (parlien) membuat bantahan rasmi dan memohon Zainudin memohon maaf.

NONEKemesraan yang mahu diperelokkan lagi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tercalar dengan tulisan Zainudin.

Zainudin tidak sepatutnya cemburu dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin di Indonesia sejak zaman Pak Mohamad Natsir lagi. Pada era pemerintahan Soeharto, hampir separuh anggota kabinet Indonesia adalah sahabat Anwar.

Anwar menjalin hubungan rapat dengan cendikiawan dan pemimpin Indonesia termasuk Habibie sejak beliau memimpin Abim dan aktif dalam World Assembly of Muslim Youth (Wamy). Hubungan rapat Anwar dengan pemimpin Indonesia ini sebenarnya membantu merapatkan lagi hubungan Malaysia- Indonesia di zaman Mahathir.

Barangkali ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa Mahathir memecat Zainudin daripada Utusan Melayu pada 1992 kerana hendak menjaga hubungan baik Malaysia-Indonesia. Seorang wartawan kanan Utusan yang membuat liputan Persidangan Pergerakan Berkecuali (NAM) di Jakarta pada tahun itu telah menulis sebuah rencana menuduh Mahathir menghina media Indonesia apabila beliau bercakap bahasa Ingeris ketika ditemubual wartawan Indonesia.

Mustahil Zainudin Maidin sudah lupa peristiwa ini kerana beliau yang mengedit dan menerbitkan rencana itu. Mahathir amat marah dan meminta Anwar mencari pengarang yang lebih cerdik menggantikan Zainudin. Anwar kemudiannya menamakan Johan Jaafar sebagai pengganti Zainudin.

NONEHabibie menjadi presiden Indonesia pada Mac 1998 bukannya 20 Oktober 1999 seperti yang Zainudin tulis. Beliau menjadi presiden selama satu tahun enam bulan dan mengundur diri dengan rela hati selepas membina asas reformasi dan transformasi Indonesia daripada sistem autoritarian kepada demokrasi.

Beliau tidak pernah menjadi gunting dalam lipatan Soeharto, sebaliknya beliaulah pendukung utama yang memacu perkembangan teknologi, khususnya Industri Pesawat Terbang Indonesia (IPTN).

Kejayaan beliau ini menyebabkan negara Barat bimbang akan kemungkinan Indonesia di satu hari nanti bisa menghasilkan jet pejuang dan kelengkapan perang yang lain. Antara syarat yang dikenakan IMF kepada Indonesia ialah melarang IPTN membuat pinjaman untuk penyelidikan dan pembangunan.

Zainudin sebenarnya buta fakta bila menuduh Habibie dan Anwar sebagai anjing imperialis. Tuduhan ini adalah fitnah yang amat jahat. Sebagai bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Setar, Zainudin sudah lupa bahawa Rasulullah SAW melarang sama sekali umatnya mengelar sesiapa pun dengan panggilan nama binatang, sementelahan pula binatang itu seekor anjing.

NONEPendirian Habibie mengenai isu Timur Timor amat konsisten dengan sikapnya yang anti-imperialisme Barat. Di kala beliau menentang kolonialisme Barat dan penindasan ke atas rakyat Palestin, Bosnia, Chechnya dan sebagainya, apakah alasannya untuk menghantar tentera dan membunuh penduduk Timur Timor?

Justeru beliau menyarankan pungutan suara bagi menentukan masa depan pulau itu, walaupun pendekatan ini tidak digemari khususnya oleh angkatan tentera.

Zainudin mungkin terlupa, sebelum pilihan raya Presiden Indonesia pada Mac 1998, mantan perdana menteri Singapora, Lee Kuan Yew membuat kenyataan sinis kononnya jika Soeharto memilih Habibie sebagai timbalan presiden, matawang rupiah Indonesia akan menjunam turun.

Dalam temubual selepas menjadi presiden, Habibie ditanya mengenai komen Lee Kuan Yew. Beliau menjawab dengan menuding jari ke arah peta dunia di pejabat presiden sambil berkata ‘Singapore was just a red dot on the map’.

NONEPada 13 Oktober 1998, Habibie mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina Joseph Estrada di Batam. Kedua-dua mereka amat prihatin dengan pemecatan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad. Berikutnya Kementerian Luar Indonesia dan Filipina mengeluarkan kenyataan bersama meminta kerajaan Malaysia membebaskan Anwar daripada tahanan.

Seluruh dunia mengakui dan menghormati jasa Habibie sebagai pengasas demokrasi di Indonesia. Malah musuh politik Habibie di Indonesia sendiri mengakui bahawa Habibielah peneraju utama mengubah Order Baru Soeharto kepada demokrasi.

Selain membebaskan semua tahanan politik di hari pertama bergelar presiden, Habibie turut menghapuskan segala sekatan yang mencekam kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan berhimpun. Beliaulah pengasas Trias Politica Indonesia iaitu pembahagian kuasa di antara eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Dalam masa yang singkat Habibie berjaya mengurangkan keterbabitan militar dalam pemerintahan dan membina imej baru untuk pegawai kerajaan dan kakitangan sivil. Zainudin juga mungkin tidak sedar bahawa Habibielah yang menandatangani Law No 22 dan 25/1999 yang membolehkan kewujudan kerajaan autonomi di wilayah Indonesia.

Dalam masa 18 bulan Habibie berjaya melaksanakan perubahan struktural yang hebat bagi masa depan Indonesia yang lebih gemilang. Beliau mengundur diri secara terhormat tidak seperti yang ditohmahkan Zainudin. Beliau bukanlah pemimpin yang gila kuasa seperti sesetengah pemimpin di Malaysia yang mahu terus berkokok walaupun suaranya sumbang kerana sudah lama bersara.

Zainudin memalukan bukan sahaja Umno dan Najib malah seluruh warga Malaysia kerana menuduh Habibie sebagai ‘pengkhianat bangsa Indonesia’. Sedangkan seluruh bangsa Indonesia menyanjung tinggi sumbangan Habibie untuk negara dan bangsanya.

Memandangkan Zainuddin mantan menteri kanan Umno maka tentulah wajar kerajaan Indonesia menuntut Malaysia dan Zainuddin memohon maaf kepada rakyat Indonesia.

Sekali lagi Zainuddin buta fakta bila menuduh Mahathir memungut Anwar daripada Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) seolah-olah Anwar sampah yang tidak berguna. Fakta ini mesti diperbetulkan kerana generasi yang lahir dan besar di zaman Mahathir mudah diperdayakan dengan fitnah seperti ini. Sementelahan pula Zainudin kini menjadi Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia pada 1981 ketika seluruh dunia mendapat tempias kebangkitan Islam selepas Revolusi Islam Iran 1979. Pertama kalinya seluruh dunia menyaksikan kemunculan pelbagai NGO Islam.

Di Amerika dan Eropah, pelajar Islam dari Malaysia, Timur Tengah, India, Pakistan, Indonesia dan benua Afrika berganding bahu menubuhkan persatuan dan pertubuhan yang berorientasikan Islam.

Mahathir yang dibesarkan dalam keluarga bangsawan tidak memiliki imej Islam untuk berdepan dengan gelombang kebangkitan semula Islam. PAS mendapat manfaatnya apabila pelajar yang ditaja oleh kerajaan pulang menyertai PAS.

Penyertaan golongan profesional – peguam, jurutera, doktor, ahli ekonomi dan sebagainya dalam parti itu, telah melonjak naik pengaruh PAS sebagai parti yang dinamik untuk mencabar hegemoni politik Umno.

Mahathir sedar kekurangan beliau lantas memujuk Anwar yang ketika itu sebagai presiden Abim menyertai Umno. Anwar pada mulanya tidak berminat menyertai Umno kerana dirinya lebih rapat dengan PAS. Hubungan persahabatannya dengan Presiden PAS Ustaz Fadzil Noor amat intim sehinggalah ke akhir hayatnya.

Janji Mahathir untuk melaksanakan Islam dalam pentadbirannya berjaya memikat Anwar. Mahathir sedar sekiranya Anwar menyertai PAS, jangka hayat Umno mungkin tidak panjang.

Dengan kemasukan Anwar, pelbagai projek dan program Islam dilaksanakan. Dasar penerapan nilai-nilai Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Bank Islam, dan sebagainya berjaya menyekat golongan profesional daripada terus berhijrah ke PAS.

Sejarah akan merekodkan fakta kemasukan Anwar ke dalam Umno berjaya menyelamatkan Mahathir dan Umno daripada gelombang kebangkitan semula Islam. Kalau dulu Wanita Umno melangkah ke Perhimpunan Agung dengan sanggul bermacam jenis, kini majoriti sudah bertudung.

Penyertaan Anwar ke dalam Umno dibantah oleh ramai rakannya dari Abim. Mereka bimbang kalau-kalau Anwar akan ditelan oleh budaya dan sistem fikir sekular Umno dan mengorbankan asas dan manhaj Islam yang menjadi asas perjuangan mereka.

Kebimbangan rakan-rakan dalam Abim terbukti tidak benar. Anwar tetap dengan prinsip perjuangannya dan tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketegasan Anwar mempertahankan ketelusan dan keadilan dalam menangani krisis kewangan 1997 menyebabkan beliau akhirnya merengkok di penjara selama enam tahun.

Keengganan Anwar menuruti telunjuk Mahathir dalam mengurus ekonomi ketika dunia dilanda kemelesetan adalah punca sebenar mengapa beliau dipecat. Anwar tidak berganjak mempertahankan Tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni.

Anwar tidak mahu wang Petronas dibelanja sewenangnya untuk menyelamatkan syarikat kroni. Anwar menentang hasrat Mahathir hendak mengisytiharkan darurat ekonomi kerana langkah ini bermakna menggantikan demokrasi berparlimen dengan pentadbiran ala diktator.

Untuk membunuh karier politik seorang tokoh seperti Anwar bukanlah mudah. Menyedari betapa sukarnya Mahathir menangani krisis Umno 1987 sehingga Umno diharamkan, maka Mahathir perlu mengatur strategi yang lebih detail untuk membunuh karier politik Anwar.

Apakah kekuatan Anwar? Kekuatan Anwar terletak kepada imej dan maruah Islamnya. Beliau dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pemimpin dan tokoh Islam sedunia dengan Barat.

Latarbelakang Islamnya yang mantap diadun dengan pemikiran dan falsafah Barat yang dikuasainya, menjadikan Anwar seorang pemimpin Islam yang hebat. Justeru itu tidak hairanlah seluruh dunia Islam prihatin bila beliau dipenjarakan oleh Mahathir.

Kita akui Mahathir pemimpin yang cerdik dan bijak. Untuk membunuh karier politik Anwar, Mahathir mesti merobek imej Islam beliau bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadapnya.

Peringkat awalnya, Anwar ditahan di bawah ISA. Menyedari tekanan antarabangsa, Anwar kemudiannya didakwa atas salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa. Seluruh tenaga polis, kehakiman dan media masa dikerah habis-habisan untuk menghalalkan tindakan Mahathir menyingkir dan memenjarakan Anwar.

Dari 1998 hingga kini media arus perdana milik BN tidak pernah berasa letih menggodam, mencemar dan mengaibkan Anwar dan keluarganya. Alhamdulillah semakin Anwar digodam dan dicaci, beliau semakin popular dan diminati.

Kita memahami mengapa Zainuddin marah dan berdendam dengan Anwar. Selepas Anwar dipenjarakan Zainuddin kembali mendekati Mahathir melalui penulisan buku sehinggalah akhirnya beliau dilantik sebagai menteri penerangan.

Malangnya dalam pilihan raya 2008, Zainudin adalah satu-satunya menteri Umno yang dikalahkan oleh PKR. PM Abdullah Badawi terus mengenepikan Zainudin dan beliau menjadi mantan menteri yang semakin dilupai.

Mungkin dengan membelasah Habibie dan Anwar sedemikian rupa nama Zainudin Maidin kembali menjadi sebutan. Zainudin berharap penulisannya itu akan membantu Umno mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Zainudin lupa jutaan pengundi asal keturunan Indonesia terguris hati dan marah. Penjelasan Zainudin dalam blognya menyerlahkan lagi sikap sombongnya. Beliau berbangga kerana namanya kembali menjadi sebutan jutaan rakyat Indonesia.

Beliau menuduh rakyat Indonesia sedang mengalami euporia demokrasi sedangkan Malaysia sudah lama mengamalkan ‘Manchester democracy’. Ini bukan kesilapan ejaan. Mungkin kerana panik, bimbang atau sememangnya beliau tidak tahu asal usul istilah Westminster democracy.

Begitu naifnya Zainuddin sehinggakan beliau tidak sedar tulisannya menjadikan suatu beban buat Umno. Justru Umno tidak boleh berlepas tangan dalam isu ini.

Pertamanya Zainuddin adalah bekas ketua pengarang kumpulan Utusan yang semua orang tahu isu kandungan akhbar itu dikawal sepenuhnya oleh kepimpinan Umno, khususnya Najib sebagai presiden Umno.

Pada sisi lain episod ini menyerlahkan kelemahan Najib sehingga tidak bermaya sama sekali menegur Zainudin ketika terserlah kemarahan rakyat Indonesia akibat penghinaan Zainudin secara terang-terang dan berterusan terhadap pemimpin dan rakyat Indonesia.

Saya percaya rakan-rakan yang masih rasional dalam Umno turut kesal dengan tulisan Zainudin. Walaupun itu pendapat peribadi, sebagai mantan menteri Umno dan disiar pula oleh media milik Umno maka bantahan dan kemarahan Indonesia ada asasnya.

Rakan-rakan dalam Umno juga tertanya-tanya, apakah Zainudin sengaja mencari musuh baru ketika pucuk pimpinan Umno berhempas pulas mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke13?

Sementara reputasi Anwar sekelumit pun tidak terjejas dengan tulisan Zainuddin, isu ini lebih menyerlahkan politicking dalaman Umno sendiri. Anwar kekal sebagai pemimpin tahan uji. Bak kata pepatah arab “emas yang terbaik ialah emas yang terhasil apabila dibakar berulangkali”. Manakala Umno pula menhitung hari menanti rebah.


YB Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung KEADILAN Malaysia
Ahli Parlimen Machang

Tulisan Zam tak wajar dan tak beretika – Presiden Indonesia, Susilo


Dari Malaysiakini

18 Disember 2012

Tulisan Zam tak wajar dan tak beretika, kata Susilo

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata artikel yang ditulis oleh bekas Menteri Penerangan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin mengenai presiden ketiga Indonesia BJ Habibie, adalah tidak wajar dan tidak beretika.

Artikel itu, katanya boleh menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

“Kami telah bincangkannya, Menteri Luar akan mengambil nota diplomatik di sini dan juga di Kuala Lumpur,” kata Yudhoyono dipetik oleh agensi berita Antara sepertimana diterbitkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post hari ini.

Yudhoyono yang akan berlepas ke Malaysia hari ini untuk menghadiri Rundingan Tahunan, forum peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, berkata Indonesia akan membangkitkan isu saling hormat menghormati supaya insiden serupa tidak berulang yang boleh menjejaskan persahabatan antara kedua-dua negara.

Artikel Zainuddin disifatkan oleh banyak pihak di Indonesia sebagai “serangan” terhadap Habibie.

Sementara itu, jurucakap presiden, Teuku Faizasyah berkata presiden akan membangkitkan isu-isu penting termasuk perlindungan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, sempadan, perdagangan dan pelaburan pada mesyuarat itu.

Yudhoyono juga akan mengadakan pertemuan peribadi, secara empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengetuai delegasi Indonesia pada Rundingan Tahunan kesembilan itu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) dijadual menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan Keamanan kepada presiden Indonesia itu.

– Bernama


— Malaysiakini

Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar


Dari Keadilan Daily

17 Disember 2012

Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar

(Oleh Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 17 Dis: Menyingkap kembali keperitan dilaluinya semasa ditahan Umno BN di penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada beberapa polis memohon maaf dan menginsafi kekejaman yang dilakukan anggota pasukan itu ke atasnya.

“(Selepas) dipukul setengah mati, komandan kem jumpa saya pagi esoknya (dan) saya tengok dia menangis…Dia tunduk, pegang lutut saya dan mohon maaf.

“Saya tanya sebab apa, awak pukul (saya)? Dia jawab tidak (bukan dia yang pukul). Dia kata, semalam beliau dan isteri solat hajat minta saya selamat.

“(Kemudian) dia kata, ‘kalau saya ada wang (dan) boleh jaga keluarga, saya akan berhenti (menjadi polis). Saya tak boleh tahan dengan kerja macam ini’,” cerita Anwar kepada 50,000 hadirin pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Dungun, Jumaat lalu, mengenang kebaikan beberapa anggota polis terhadapnya ketika ditahan pada 1998.

Ekoran kejadian tersebut, Ketua Umum KEADILAN itu mengingatkan bahawa bukan semua polis menurutnya, ‘jahat’ seperti mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Ini terbukti apabila seorang anggota polis turut datang dan menyapu ubat pada lukanya, selepas polis peringkat atasan melarang doktor memberi rawatan.

“Seorang korporal polis ada bawa ‘Tiger Balm’ (ubat sapu), dia datang dan sapu (pada luka). Itu sahaja rawatan untuk beberapa hari,” kata Anwar.

Pada 29 September 1998, Anwar ke mahkamah dengan mata lebam. Imej itu menjadi simbol kezaliman Umno BN dan penentangan rakyat ketika era reformasi.

Rahim Noor kemudian didapati bersalah memukul Anwar. Pada 15 Mac 2000, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 terhadapnya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas mengenai penglibatan Umno BN dalam serangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada malam 20 September 1998 oleh Rahim Noor, KPN ketika itu.

“Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau merupakan peguam Anwar untuk kes perbicaraan insiden mata lebam yang sepatutnya berlangsung 16 Oktober lalu tetapi dibatal setelah Tan Sri Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Anwar berhubung pemalsuan keterangan laporan perubatan oleh beliau dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Surendran berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup mata, ditampar dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai.

“Dalam keadaan separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung, Anwar dinafikan hak mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani perintah tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.

Pada malam tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas polis yang menerima arahan kerajaan Umno BN diketuai Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Tangkapan dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN mensabitkan Anwar dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas beliau dipecat pada 2 September 1998.

Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.

Lebih teruk, kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat hari serangan dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.

“Pada 1 Oktober 1998, Dr Mahathir berbohong kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan bahawa kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri,” katanya.


— Keadilan Daily