Idris Harun Tidak Jujur dan Angkuh – Ahli Parlimen Bukit Katil

Kenyataan Media 8 Disember 2013

KENYATAAN MEMAAFKAN PENGUNDI CINA MELAKA: IDRIS HARON ANGKUH

Kami menyambut baik kesediaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron untuk meminta maaf daripada pengundi Cina atas kesalahan yang mungkin pernah berlaku terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, kami melihat kesediaan tersebut berbunyi janggal apabila beliau mengatakan memaafkan kesalahan masyarakat Cina kepada kerajaan. Kenyataan Idris ini jelas menunjukkan beliau setuju bahawa masyarakat Cina wajar dipersalahkan atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, serta kalah beberapa kerusi baru termasuk bekas Ketua Menteri Melaka yang menjadi calon di Bukit Katil dan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Kami berpendapat kenyataan kedua Idris ini menggambarkan kemaafan yang beliau pinta itu tidak jujur, bahkan angkuh.

Kami berpendirian bahawa tindakan menyalahkan masyarakat Cina menunjukkan Idris tidak menghormati hak demokratik rakyat untuk menyokong sesiapa yang mereka fikir sesuai diangkat mewakili suara mereka di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Kenyataan Idris juga nampaknya turut menempelak masyarakat Cina yang setia mendokong BN.

Kami yakin, sokongan sekitar 52% yang diperolehi Pakatan Rakyat berbanding sokongan hanya sekitar 47% yang diperolehi BN semasa PRU-13 adalah suara masyarakat pelbagai kaum yang sudah jemu, muak dan menolak budaya politik BN, khususnya dalam memastikan urustadbir kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Setelah memerintah sekian lama, BN beranggapan ia tidak mungkin tewas, seterusnya melahirkan pemimpin-pemimpin angkuh seperti Idris.

Kami menggesa Idris segera meminta maaf dan menyatakan apakah kesalahan-kesalahan BN yang beliau tahu. Jangan bermain kata dengan perkataan ‘kesalahan yang mungkin dilakukan’ kerana ia menunjukkan Idris sendiri tidak mahu mengaku ada kesalahan dan permintaan maaf yang dituturkan hanya kerana tujuan untuk mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Seluruh rakyat Malaysia wajar memiliki pemimpin yang lebih baik untuk memperjuangkan apa yang diperlukan oleh semua rakyat, berdasarkan prinsip keadilan.

Kami percaya Pakatan Rakyat kini semakin bersedia untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara, sekaligus menggantikan kepimpinan angkuh BN.

Shamsul Iskandar Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Pengerusi KEADILAN Melaka

Penstrukturan Kepimpinan AMK

Mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia memutuskan penstrukturan semula kepimpinan AMK Pusat:

Biro Latihan:
Sdr. Syed Mikael Rizal Aidid (Pengarah)

Biro Komunikasi:
1) Sdr. Fazly Faizal Razally (Pengarah)
2) Sdr. Muhammad Naqib Bin Nasaruddin (Timbalan Pengarah)

Biro Felda dan Orang Asal:
Sdr. Manolan Bin Mohamad (Pengarah)

Skuad AMK:
Sdr. Amir B. Md Ghazali (Pengarah)

Kepimpinan Negeri:

Melaka:
Sdri. Ginie Lim (Ketua AMK Negeri)

Perak:
Sdr. Zafril Eusoff (Ketua AMK Negeri)

Pulau Pinang:
YB Dr. Afif Bahardin (Ketua AMK Negeri)

Johor:
Sdr. Khairil Adanan (Ketua AMK Negeri)

Pahang:
Sdr. Aidil Haryman Mat Nor (Ketua AMK Negeri)

Sabah:
Sdr. Citra Masadi (Ketua AMK Negeri)

Selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan istiqamah.

Salam perjuangan

REFORMASI!

-Team Media Baru Ahli Parlimen Bukit Katil

#Blackout505: Bukit Katil MP, 2 Others Plead Not Guilty

Bkt Katil MP Shamsul Iskandar, 2 others plead not guilty to assembling at a restricted area

By QISHIN TARIQ

KUALA LUMPUR: Three PKR Youth leaders have claimed trial to participating in a gathering on the day of Blackout 505 rally on June 22.

PKR Youth chief Shamsul Iskandar Mohd Akin, its deputy head Khairul Anuar Ahmad Zainuddin and vice chief Mohd Nazree Mohd Yunus were charged with participating in a gathering at a restricted area, which is a place of worship.

The offence is alleged to have occurred at the compound of Masjid Ar-Rahman in University Malaya on Jalan Pantai Baharu, between 12pm and 1.15pm, on June 22.

Under Section 4(2)(b) of the Peaceful Assembly Act, the three politicians face a maximum RM20,000 fine.

If convicted, Shamsul Iskandar who is Bukit Katil MP could be disqualified from his position.

The three, who faced a summons charge, appeared calm as they stood outside the dock while being read their charges.

Shamsul Iskandar had even tweeted a picture of the trio in court while they were waiting for the proceedings to begin.

DPP Iznina Hanim Hashim suggested a personal bond of RM2,000 with no sureties to be imposed.

Counsel for Shamsul Iskandar, Yusmadi Yusoff urged the court to give a lower bond amount, saying that the nature of the charge was different from those accused of rallying at Padang Merbok, as his clients are alleged to have been in a mosque not at the rally.

“Given the time of the charge – between noon and 1.15pm – it is reasonable to assume my clients were praying. While their innocence is a matter for trial, at this stage to set too high a bond amount would send the wrong message,” submitted Shamsul.

Judge Mat Ghani Abdullah, however, chose to set the bond at RM2,000 with no sureties for each of the three.

He fixed Sept 23 for case management and Dec 11 to 13 to hear the trial.

Khairul Anuar and Mohd Nazree’s lawyer, A. Jeyaseelen told reporters the defence would be filing an application to the High Court to declare the Peaceful Assembly Act inconsistent with the right to assemble as per Article 10 of the Federal Constitution.

— The Star

MP Bukit Katil Didakwa Berkaitan #Blackout505

Blackout 505: MP Bukit Katil didakwa di mahkamah

Anggota Parlimen Bukit Katil, Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan dua lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung perhimpunan ‘Blackout 505’ pada Jun lalu.

Shamsul Iskandar, 39, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36, dan naib ketua Mohd Nazree Mohd Yunus, 29, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di tempat larangan iaitu dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan masing-masing dibebaskan dengan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran dan menetapkan 23 Sept untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Aini manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Yusmadi Yusoff manakala Khairul Anuar dan Mohd Nazree diwakili peguam A. Jeyaseelen.

— Bernama

Perutusan Aidilfitri

Perutusan Aidilfitri Ketua AMK KEADILAN

Perutusan Aidilfitri, Syawal 1434, 2013

Muhasabah Memperkukuh Perjuangan

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillah al-Hamd!

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di Malaysia.

Sementara Syawal wajar disambut dengan penuh kegembiraan, berlalunya Ramadhan perlu dihimbau dengan jiwa muhasabah demi memperkukuh perjuangan. Selaras dengan itu, AMK memikirkan beberapa persoalan penting mesti diberikan fokus, iaitu:

1. Aspek Politik: Perkukuh Amalan Demokrasi

Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi penggal baru telah bermula dan berterusan di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Ahli-Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah mempertahankan perlembagaan wajib sedar bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Adalah penting amalan demokrasi diperkukuh oleh semua pihak untuk memastikan keadilan dapat dilaksanakan dan ketidakadilan dapat dihapuskan.

AMK berpandangan adalah penting memastikan prinsip kedaulatan undang-undang, jaminan hak asasi dan sikap inklusif dalam penggubalan dasar. Usaha menangani isu-isu kritikal seperti penyelewangan dan jenayah mesti segera diambil, khususnya dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan tindakan pro-aktif oleh Suruhanjaya berkaitan.

2. Aspek Sosial: Menghidupkan Diplomasi Budaya

Beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini terakhir jelas menunjukkan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan interaksi positif dalam masyarakat majmuk. Ini penting diberi perhatian lebih mendalam demi memupuk persefahaman dan perpaduan, aset penting untuk negara bergerak ke hadapan.

Untuk itu, AMK berpendapat usaha merancakkan diplomasi budaya (cultural diplomacy) mesti dipertimbangkan segera untuk ditekuni dan diamalkan oleh semua pihak. Program dialog dan silang budaya mesti dihidupkan di peringkat akar umbi. Sebarang perbezaan atau masalah mesti ditangani dengan rasional, semangat kejiranan serta penghargaan terhadap batas individu dan masyarakat. Modul pendidikan di sekolah dan universiti perlu disemak untuk menyokong usaha ini, selaras dengan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Taib 1960.

3. Aspek Ekonomi: Berhemat Sebelum Terjerat

Kenyataan Agensi Penilaian Global, Fitch Rating yang mengunjur kedudukan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif perlu diberi perhatian besar oleh semua pihak. Peningkatan hutang negara ini kian memburuk dengan kejatuhan nilai ringgit. Pada masa yang sama, hutang isi rumah dan kebankrapan tidak memberikan sebab untuk kita berasa selesa dengan kedudukan ekonomi secara umum. Ternyata pemberian tunai dan juga bantuan kewangan yang dibuat untuk menyerap masalah ini dalam jangka masa pendek tidak memadai.

AMK percaya langkah-langkah yang lebih tersusun perlu digerakkan. Antara langkah awal yang perlu diambil ialah mengadakan siri latihan pengurusan kewangan (termasuk persoalan hutang) di peringkat akar umbi dan melalui siaran media massa, semakan dan penambahbaikan modul latihan keusahawanan serta meningkatkan kemudahan berniaga, khususnya kepada golongan muda dan keluarga yang berpendapatan rendah, untuk mengaktifkan pasaran.

Di peringkat kerajaan, langkah tegas dalam pemberian tender dan kontrak secara telus, mengurangkan belanja pengurusan yang melambung tinggi dan mengawal perbelanjaan yang tidak perlu adalah dituntut. AMK mahu mengusulkan satu pembaharuan dalam jawatankuasa pemberian tender dan kontrak di mana prosesnya tidak lagi hanya dibuat oleh penjawat awam semata-mata, tetapi juga melibatkan mana-mana profesional, akademik, aktivis atau pimpinan badan bukan kerajaan, pengguna, buruh atau pelajar, wakil rakyat pembangkang dan ahli majlis kerajaan tempatan sebagai elemen semak dan imbang.

Sesungguhnya semua persoalan ini memang tidak mudah untuk dilaksanakan. AMK percaya dengan kesediaan melaksanakannya secara bersama, ia mampu ditangani untuk kebaikan semua pihak.

Sempena Aidilfitri kali ini, AMK ingin menyeru kita semua mengambil kesempatan untuk mengerat hubungan silaturrahim, belajar keunikan hidup bermasyarakat di Malaysia, saling memaafkan dan bertekad untuk sedaya upaya menegakkan prinsip keadilan dan menghapuskan ketidakadilan.

Dalam aspek keselamatan, AMK berharap mereka yang pulang ke kampung halaman masing-masing sentiasa memastikan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan pandulah dengan berhati-hati.

Marilah kita bersama bermuhasabah demi memperkukuh perjuangan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillah al-Hamd!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
merangkap Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka

Pimpinan AMK dipanggil polis Jumaat ini.

Hebahan Segera:

Pimpinan utama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia; Ketua AMK, YB Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua AMK, Sdr Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Naib Ketua AMK, Sdr. Nazree Yunus dipanggil polis untuk hadir ke balai polis untuk siasatan.

Butiran:

Tarikh: 2 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa: 10.30 pagi
Tempat: IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur

— Team Komunikasi & Media Sosial Ahli Parlimen Bukit Katil

Ali Rustam Kalah Kerana gagal Urus Melaka – MP Bukit Katil

Ali Rustam kalah kerana gagal urus Melaka – Shamsul

Post Pic
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kejayaannya menewaskan Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Rmum ke-13 (PRU13) adalah disebabkan kegagalan bekas Ketua Menteri Melaka itu menguruskan kewangan kerajaan negeri dengan telus dan baik.
Selain itu beliau turut menyifatkan kejayaan itu sebagai mengejutkan dan adalah kemenangan bagi generasi muda yang inginkan perubahan.
“Terkejutkan? Saya fikir rakyat di Melaka khsusnya di Bukti Katil telah mebuat keputusan untuk melakukan perubahan sebab itu lawan saya Ketua Umno Bahagian Bukit Katil bahkan bukan itu sahaja beliau merupakan ketua menteri Melaka sejak 13 tahun lalu, pengerusi Umno negeri.
“Oleh kerana saya yakin rakyat melihat perlu ada perubahan di atas isu-isu yang sering kita bangkitkan seperti pembaziran yang berlaku dalam perbelanjaan yang membabitkan wang negeri.
“Selain itu prestasi beliau ketika menguruskan negeri Melaka itu menyebabkan pengundi Bukti Katil merasakan sudah tiba masa untuk berubah,” katanya dalam temubual bersama Antarapos baru-baru ini.
Shamsul Iskandar, 38, seorang peguam dari Kesang, Jasin memperoleh 46,167 undi menewaskan Mohd Ali, 63, yang mendapat 40,720 undi.
Ini adalah percubaan ketiga beliau pada pilihan raya umum selepas tewas  kepada dua calon Barisan Nasional (BN) iaitu Idris Haron pada 2004 di Parlimen Tangga Batu dan Matulidi Jusoh di Parlimen Dungun pada 2008.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata kemenangan bersejarah PKR di Bukit Katil adalah satu permulaan dalam misi pakatan pembangkang menawan Melaka pada pilihan raya umum akan datang
Tambah wakil rakyat baru ini, kerja-kerja awal di Parlimen Bukit Katil antara penyumbang kemenangan beliau di kawasan tersebut.
“Dan kebetulan saya telah membuat kerja-kerja awal di situ seja tiga tahun lalu jadi ini tentu menyumbang kepada faktor keyakinan
“…di mana rakyat itu yakin bahawa wakil rakyat baru itu boleh dipilih untuk memimpin, mengendalikan atau menjadi suara rakyat Bukit Katil,” katanya.

—Antarapos

Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja Oleh MP Bukit Katil

9.08 mlm.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat di Dewan Rakyat yang dihormati. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di kawasan Bukit Katil yang telah memilih wakil rakyat yang baru.

Sudah lama cabar mencabar,
Adat resam dalam berjuang,
Sudah lama mereka bersabar,
Baru kini rakyat berpeluang.

Tuan Yang di-Pertua, minggu lalu sebaik persidangan dibuka saya dimaklumkan bahawa sebuah petisyen telah difailkan untuk mencabar keputusan pilihan raya di Parlimen Bukit Katil. Kita tahu selain daripada kerusi Parlimen ini terdapat lebih 50 petisyen yang telah difailkan oleh calon-calon dan parti-parti yang bertanding. Jumlah ini adalah rekod yang terbanyak petisyen pilihan raya yang difailkan dalam sejarah perjalanan pilihan raya dalam negara kita setakat ini. Berdasarkan fakta ini sahaja sudah cukup untuk kita sedar dan tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang lalu. Izinkan saya jelaskan di sini bahawa pertikaian terhadap perjalanan pilihan raya tidak terhad kepada keputusan pilihan raya semata-mata. Membantah keputusan pilihan raya adalah hak yang dijamin di dalam perlembagaan dan undang-undang pilihan raya terbuka kepada penambahbaikan serta ia mesti dibuat bersesuaian dengan falsafah dan semangat kedaulatan hukum dan demokrasi itu sendiri. Sekiranya mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen dianggap bercanggah dengan pertikaian yang dibuat apakah ertinya puluhan petisyen yang dibuat sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Selain daripada itu, saya ingin mengajak Ahli Dewan untuk menyemak sejauh mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan komitmen terhadap 22 cadangan penambahbaikan pilihan raya. Seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya pada April 2012. Bukan sekadar itu, dalam satu laporan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR sendiri, jelas menunjukkan bahawa PRU ke-13 itu tidak sepenuhnya bebas dan tidak adil. Partially free and not fair. Berdasarkan segala kekalutan dalam hal perjalanan PRU ke-13, saya fikir Ahli-ahli Dewan mesti tegas menggesa anggota-anggota SPR itu berundur dan reformasi menyeluruh dibuat bermula daripada sekarang selaras dengan cadangan yang telah dimajukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya. Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa BN kembali membentuk Kabinet Persekutuan dan sekali gus ini menyebabkan berlakunya hujah iaitu ada dua alasan yang diberikan. Pecahan tumpuan pengundi yang memberikan majoriti besar kepada calon atau parti dan sistem yang diguna pakai dalam pilihan raya di Malaysia iaitu first past the post berasaskan kawasan .

Saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan bahawa terdapat satu cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya dan kajian mesti dibuat untuk melakukan reformasi berkaitan dengan sistem ini dan ini bukan perkara baru. Di peringkat antarabangsa sebagai contoh, Institute for Public Policy Research (IPPR) di United Kingdom pernah menyediakan satu kertas kajian bertajuk Worst of Both Worlds: Why First Past the Post No Longer Works yang jelas menggariskan kelemahan-kelemahan sistem FPTP di United Kingdom yang juga boleh dilihat dalam kes Pilihan Raya Umum Ketiga Belas.

Pertamanya keputusan yang lebih dipengaruhi oleh kerusi marginal dan yang kedua merosakkan hubungan antara undi dan kerusi yang menyebabkan wakil rakyat tidak sebenarbenarnya diwakili oleh pihak yang lebih dimahukan. Justeru, saya yakin bahawa kalau kita bercakap tentang roh demokrasi dan juga masa depan Malaysia yang saya percaya bahawa kita bergerak daripada landasan demokrasi ini, tentunya kita mesti ada satu komitmen untuk melakukan reformasi bagi memastikan bahawa mekanisme yang dipakai pada waktu ini boleh ditambah baik dengan tujuan untuk memberikan maksud kepada hasrat pengundi-pengundi yang memberikan undi di luar sana. Jangan kita abaikan reformasi yang diambil melalui akta sistem dan kawasan-kawasan pengundian Parlimen tahun 2011 kerana di United Kingdom ada satu akta yang dipanggil Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011 untuk menegakkan prinsip iaitu satu orang, satu undi dan satu nilai. Bukannya satu orang, satu undi but two values.

Jadi dinyatakan di dalam akta tersebut bagaimana caranya untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan yang dihadkan sehingga 13 kilometer persegi dan bilangan pengundi mesti sekurang-kurangnya mencapai 5% daripada purata nasional. Oleh sebab itu saya yakin, jangan kita pejam mata terhadap proses demokrasi yang lebih luas di sana. Kedudukan semua wakil rakyat dan parti politik, ruang media, perhimpunan aman dan sebagainya. Saya yakin Tuan Yang di-Pertua, bahawa saya ingin cadangkan kepada kementerian khususnya Perdana Menteri untuk mengambil satu keberanian moral ataupun moral authority, dengan izin agar reformasi dalam sistem pilihan raya dapat kita laksanakan kerana ini memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak. Pada saya zaman kerajaan menang dua per tiga ini sudah berlalu kerana ia tidak baik untuk negara. Kita mesti ada kekuatan kerajaan dan juga pembangkang dan ini mesti dilakukan bermula daripada reformasi sistem pilihan raya. Kalau tidak, sampai bila pun kita tidak akan ada satu panduan yang baik untuk generasi akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sentuh tentang haluan pembangunan negara. Ini dalam kerangka cabaran untuk golongan muda. Saya punya waktu lagi?

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, ada tiga minit lagi.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Baik. Kita maklum bahawa hutang isi rumah rakyat Malaysia kini telah mencecah angka RM800 bilion atau 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar dan jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Sama ada suka ataupun tidak Tuan Yang di-Pertua, golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan misalnya, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan? 40% isi rumah terendah pada tahun 2009 dengan pendapatan purata hanya sebanyak RM1,400 berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu…

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, kita sebenarnya saya boleh menambahkan 15 minit sahaja. Jadi kita sudah pukul 9.15 malam. Jadi minta sambung esok.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi laluan lebih sikit untuk satu sekolah.

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Khamis, 4 Julai 2013.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, semalam saya telah ulas panjang lebar mengenai kecurangan pilihan raya dan cadangan-cadangan penambahbaikan. Kita maklum, isu yang ingin saya bawa ialah isu berkaitan dengan hutang isi rumah rakyat Malaysia yang media hari ini telah
mendedahkan bahawa telah mencecah angka RM800 bilion ataupun 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar. Jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)
mempengerusikan Mesyuarat]

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, malah nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu kita terdengar ada janji bahawa jumlah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bilangan penerimanya ditambah.

Saya percaya formula politik yang mengukur kejayaan ekonomi negara dengan angka penerima bantuan mesti dialih kepada formula ekonomi yang mengukur kejayaan dasar dengan mengangkat kedudukan penerima bantuan ke status di mana mereka tidak lagi bergantung pada bantuan. Dalam erti kata yang lain, jika apa yang ingin dibuat ialah menambah jumlah bantuan dan bilangan penerima, dasar yang dibuat sebenarnya tidak berkesan bahkan gagal. Saya mahu menekankan bahawa 40% isi rumah terendah ini paling tinggi tahap pendidikannya ialah Sijil Pelajaran Malaysia dan jumlah terbesar mencecah 52.3% tidak mempunyai sijil pelajaran. Separuh daripada mereka ini adalah golongan miskin bandar dan separuh lagi adalah penduduk desa. Jumlah 40% yang mewakili sembilan juta penduduk ini mesti dilihat melangkau angka pasif.

Misalnya penurunan kemiskinan kepada 1.7% tahun yang lalu. Saya bimbang keselesaan dengan petunjuk angka umum ini boleh mengabaikan realiti sebenar keperitan hidup dengan pendapatan sedemikian pada kadar isu rumah yang ada boleh membinasakan. Saya berharap tumpuan besar akan diberikan kepada sektor pendidikan di mana tidak wajar masih ada sekolah yang tidak lengkap kemudahan infrastruktur asas. Saya mohon Menteri Pendidikan membentangkan data terkini berkaitan kemudahan asas di sekolah-sekolah seluruh negara dan rancangan serta tindakan untuk ditangani.

Selain daripada itu, saya ingin mengambil perhatian Dewan kepada dasar-dasar sosial tentang golongan kurang upaya, warga emas dan pesakit kronik misalnya jantung. Mesti diperkemaskan agar akses bagi kemudahan perubatan dapat diberikan kepada yang paling memerlukannya. Khusus buat golongan orang kelainan upaya ini ataupun OKU. Di kawasan Bukit Katil ini misalnya, ada satu tempat namanya Kampungku Sayang. Di sana ada satu yang dipanggil sebagai Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk golongan kurang upaya. Bila kita teliti fasiliti ataupun tempat ini, amat daif dan malah kebajikan mereka yang menjaga tempat itu pun saya fikir dikesampingkan.

Misalnya, mereka yang berada di situ, yang bertugas di situ kebanyakan dianggap sukarelawan dan tidak tetap dari segi gaji dan sebagainya. Saya ingin mengusulkan kepada kerajaan agar satu blueprint kebajikan dibentuk, mengambil kira aspek aliran dan manfaat subsidi, fungsi zakat dan keselesaan sosial yang memberikan perhatian khusus untuk membantu golongan miskin, OKU, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim piatu.

Tuan Yang di-Pertua, di dalam Dewan ini, baru-baru ini Menteri Dalam Negeri menjawab tentang masalah kematian di dalam tahanan. Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada laporan kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan penahanan sembarangan 2010. United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010 dengan izin, yang melawat penjara dan pusat tahanan Malaysia, melaporkan pada tahun 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa. Saya ingin tegaskan bahawa kematian dalam tahanan tidak harus dilihat dalam perspektif angka. Satu kematian dalam tahanan wajar dianggap terlalu banyak kerana nyawa seorang manusia tidak boleh dikembalikan.

Selain soal kematian dalam tahanan, kita tahu ada sejumlah kes lain bersabit tingkah laku anggota polis yang menjadi perbualan umum. Sehubungan itu saya minta dan mencadangkan agar satu reformasi menyeluruh dapat dilakukan dan ini hanya boleh dilakukan dengan cadangan mewujudkan IPCMC dengan fakta bahawa IPCMC merupakan sebahagian daripada 125 cadangan penambahbaikan pasukan polis yang telah dilakukan melalui Suruhanjaya Diraja.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, sila gulung.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri untuk menganjurkan satu lawatan kerja, membawa Ahli-ahli Parlimen melihat dan menilai bagaimana kedudukan penjara dan juga lokap. Saya ingin cadangkan supaya satu reformasi lokap dapat dijalankan agar prinsip ‘a man is innocent until proven guilty’ dapat dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengulas sedikit tentang apa yang diungkapkan oleh Yang Amat Berhormat Pekan selaku Perdana Menteri mengenai pendamaian nasional. Saya ingin lihat bahawa pendamaian nasional ini wajar dilihat dalam kerangka negara. Justeru, yang perlu dikembangkan ialah selain daripada kita mengakui terdapat kecurangan pilihan raya yang mesti dibersihkan. Akan tetapi dalam masa yang sama kalau kita lihat daripada kerangka nasional, kekuatan negara kita ialah kekuatan budaya. Kekuatan budaya inilah yang menyebabkan bagaimana negara kita sekarang ini dilihat sebagai sebuah tempat pelancongan kerana mereka melihat soal keragaman budaya, bahasa dan juga agama.

Cuma masalah yang paling utama ialah saya ingin tanya dan cadangkan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, apakah kebudayaan dan kekuatan budaya di dalam negara kita ini hanya dilihat dalam bentuk program semata-mata? Program melawat, program pelancongan dan tidak tertumpu pada pemahaman tentang budaya sesuatu kaum kerana itulah kekuatan kita. Ini boleh sahaja dilakukan, misalnya di Amerika ada program Full… Collar, di Japan ada program Japan Foundation, malah di UK ada Britsih Council. Di Malaysia ini tidak ada satu brand kita walaupun kita sering diungkapkan dengan brand ‘Malaysia Truly Asia’ yang lebih besar tetapi tidak ada program-program upaya kebudayaan yang boleh dilakukan. Saya cadangkan supaya satu institut, boleh sahaja kita namakan sebagai Tun Perak Institut diwujudkan dan menggunakan kekuatan budaya ini, melakukan diplomasi agar negara kita ini terus berada di persada antarabangsa.

Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tutup bahawa saya berasa sedikit kesal kerana Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang baru terus menerus tidak menganggap dan meletakkan budaya ini pada tahap yang sepatutnya, misalnya Jonker Walk ditutup. Bukan sekadar itu, Jonker Walk ini kalau Ahli-ahli Yang Berhormat pergi, tahu, itu bukan sekadar tempat orang berniaga tetapi adalah tempat kebudayaan. Selain itu yang ditutup juga Bazar Taman Cempaka, ia hanya berlaku pada bulan Ramadhan dan Syawal kerana di situlah segala macam kebudayaan Melayu dapat dibeli ataupun dapat dilihat dan dinikmati oleh rakyat dan sebagainya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang
Berhormat Jasin bangun.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Sila, sila.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Selepas ini gulung, habis masa ya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat Bukit Katil, saya hanya hendak sentuh sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Apabila Yang Berhormat daripada Bukit Katil tadi sebut tentang Jonker Walk. Yang Berhormat, saya terlibat secara langsung, Jonker Walk tidak pernah wujud, yang ada Jonker Street. Jonker Walk ini kita wujudkan kerana satu ketika dulu Jonker Street ini adalah satu kawasan yang tertinggal, yang terbiar. Kawasan ini kotor kerana perumahan tersebut tidak diduduki dan didiami oleh penghuni-penghuninya, rumah tinggal.

Akan tetapi sekarang, tiba-tiba kawasan itu cukup vibrant dan harganya naik empat hingga sepuluh kali ganda kerana usaha daripada kerajaan negeri yang bukan sahaja mencantikkan, mempromosikan, mahu menjadikan tempat itu sebagai ikon pelancongan,
sebagai satu daripada produk pelancongan. Sebenarnya apa yang telah dipolitikkan oleh
sesetengah pihak, tidak ada apa pun. Jonker Walk ini sebenarnya telah dipolitikkan.

Matlamat kerajaan negeri yang telah bertanggungjawab untuk mempromosikan dan melonjakkan nama Jonker Street sebagai Jonker Walk ini yang memberikan keuntungan hanya kepada satu pihak sahaja. Kita sedar tetapi kerana itu produk pelancongan bukan ada niat kita untuk menutup terus. Bahkan apa yang kita buat sekarang, kita hendak buat kajian kerana Jonker Walk ini telah menyumbang kepada kesesakan yang cukup kronik dalam negeri Melaka. Janganlah hendaknya mana-mana pihak mempolitikkan tentang Jonker Walk ini kerana itu semuanya usaha kerajaan negeri…

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: [Bangun]

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: …Yang telah mempromosi, mengayakan satu pihak sahaja. Kita tidak pernah tutup bahkan kita buat kajian.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Okeylah, saya faham lah Yang Berhormat Jasin. Saya fahamlah.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Saya harap ini jangan ditimbulkan lagi lah kerana seolah-olah ada pihak yang menyalahkan kerajaan negeri tidak pernah pun
berterima kasih. Usaha yang telah dibuat oleh kerajaan yang selama ini bukan sahaja
menjadikan negeri Melaka sebagai pusat pelancongan bahkan mengayakan satu pihak. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya, baik. Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Jasin. Memang apa yang dibuat dahulu baik. Cuma sekarang dia tidak jadi Jonker Walk, dia jadi Jonker Drive sebab orang boleh drive thru.  Saya tidak timbulkan soal kecil seperti itu. Apa yang saya hendak bangkitkan ialah apabila kita telah wujudkan pusat-pusat kebudayaan ini, biarlah dikekalkan. Kenapa harus ditukar?
13 tahun yang lalu kerajaan negeri bangunkan Jonker Street kepada Jonker Walk.

Kemudian bangunkan juga pasar Ramadhan sehingga masuk dalam diari pelancongan tetapi kenapa ini harus ditutup? Itu persoalannya. Biarlah kalau hendak kembang, kembangkan supaya kita punya kebudayaan ini jangan tertumpu kepada soal-soal yang kecil. Sasterawan Negara kita ramai, kenapa tidak dikembangkan?

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat, betulkan sedikit.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Jasin, tidak apa Yang Berhormat Jasin. Masa sudah tidak cukup ini.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Kita tidak pernah berniat untuk tutup. Tidak pernah tutup pun.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil boleh berhenti sekarang.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Saya hendak ulas satu lagi. Akhirnya, saya hendak angkatkan …

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ini daripada petang semalam akhirnya ini.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya lah, ini betul-betul akhir Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak tutup dengan marilah kita hayati ayat al-Quran surah al-Hujurat [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Wahai manusia, kita menciptakan kamu lelaki, perempuan dan jadikan berbangsa, berpuak ini untuk kita berkenal-kenalan”. Itu kekuatan yang saya sebut soal budaya tadi. Ini sebenarnya menjadi asas kepada kekuatan kita. Jadi, saya mohon agar Kementerian Pelancongan dapat mengangkat tema budaya ini supaya ia dapat disemarakkan untuk kepentingan rakyat. Terima kasih.

— Unit Komunikasi dan Media Sosial Parlimen Bukit Katil

Undang-undang Sedia Ada Cukup – MP Bukit Katil

Undang-undang sedia ada cukup tangani isu hasutan, jenayah – Shamsul

Post Pic

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan pemansuhan undang-undang yang dianggap lapuk seperti Ordinans Darurat dan kemungkinan juga Akta Hasutan 1948 bukan penyumbang kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara.

Justeru Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ini berkata tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baru dengan tujuan berkenaan tetapi sebaliknya kerangka organisasi pasukan keselamatan perlu disusun semula.

Beliau berkata, undang-undang sedia sudah cukup untuk membanteras masalah jenayah dan mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Undang-undang sedia ada cukup memadai untuk mengekang kemaraan jenayah, apakah saya tidak prihatin terhadap masalah jenayah?

“Saya juga prihatin, jangan anggap kerajaan sahaja prihatin kerana masalah jenayah ini melepasi batas-batas politik,” katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos.

Beliau turut memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mungkin boleh mengatasi masalah peningkatan kadar jenayah.

“Dalam hal ini saya fikir kalau ada keazaman politik di peringkat Kementerian Dalam Negeri saya ingin cadangkan supaya yang pertama supaya ditambah anggota polis sebab saya yakin sekarang jumlah yang ada tidak cukup.

“…dan adalah tidak adil kita menyalahkan pasukan keselamatan terutamanya pihak polis kalau masalah jenayah meningkat dalam keadaan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini membangkitkan isu berhubung pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Mengulas lanjut, wakil rakyat penggal pertama ini berkata, anggota dari Unit Cawangan Khas boleh diperuntukkan untuk mengekang dan membantu menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku.

“…dan saya minta ketua polis negara menyokong cadangan saya sebab kalau anggota itu kurang bagaimana kita nak tahu keberkesanannya, yang kedua kita ada Unit Cawangan Khas yang tujuannya untuk memantau pergerakan ahli-ahli politik dan saya fikir jumlahnya ramai.

“Apa salahnya kalau sebahagian daripada unit khas ini diperuntukkan untuk mengekang dan membantu menyelesaikan masalah jenayah ini, jadi tidak perlu kepada undang-undang khas untuk mengekang kebebasan seseorang,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya akta itu dimansuh tanpa memikirkan impak negatifnya.

Atas desakan pihak tertentu sebelum ini, katanya, kerajaan memansuh Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menyifatkan pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat menjurus kepada peningkatan kadar jenayah.

Shamsul Iskandar turut menolak dakwaan Ahmad Zahid  yang menyatakan bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut.

“Tentunya tidak sama dengan pendirian di dalam perlembagaan persekutuan yang menjamin kebebasan untuk semua dan saya akui masalah jenayah ini perkara yang serius tapi harus diimbangi agar jangan disalahgunakan seperti mana kita ada Ordinan Darurat dulu.

“Ordinan Darurat dulu cukup sekadar dua orang membuat akuan bersumpah seseorang itu didapati bersalah melakukan sesuatu kesalahan jenayah dan menteri dibenarkan dan diberi kuasa untuk menahan mereka di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

—Antarapos

Ali Rustam Biadap! – Ketua AMK


28 Januari 2013

Kenyataan Media Ketua AMK/Pengerusi Keadilan Melaka berkaitan penghinaan Ali Rustam terhadap Lim Kit Siang

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberi respon mengenai kenyataan terbaharu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang menggelar Penasihat DAP sebagai biadap.

Kenyataan Ali tersebut diberi sebagai respon kepada kenyataan ringkas Kit Siang melalui laman social Twitter bahawa negara Malaysia seolah tidak selamat bagi kanak-kanak berikutan pemergian mendiang adik William Yau Zhen Zhong.

Membiadapkan mana-mana individu atas satu kenyataan realiti adalah satu tindakan yang tidak matang, khususnya bagi seorang pemimpin veteran seperti Ali. Di saat pemerintahan Umno-BN bangga dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-19 daripada 153 negara sebagai negara paling selamat di dunia pada tahun 2011, rentetan kes kehilangan kanak-kanak termasuklah penculikan dan pembunuhan kejam masih lagi berlaku secara berleluasa.

Apakah Ali tidak sedar bahawa memang wujud masalah berlarutan seumpama ini sejak bertahun selamanya, malah tidak terhad kepada kanak-kanak, malah turut menglibatkan wanita dan juga kelompok rakyat yang lemah dan tidak berdaya.

Di saat ada kelompok Cawangan Khas yang diarah mengekor jejak langkah pimpinan-pimpinan pembangkang di seluruh Negara, masih ramai penjenayah yang berlegar secara bebas yang mengancam keselamatan Negara tanpa kita sedar di kiri dan kanan kita.

Tambah menjelekkan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri pada Julai 2012 pernah menyebut bahawa kadar jenayah Negara membimbangkan sehingga menggesa kerajaan tidak menyorok keadaan sebenar kepada rakyat.

AMK menyokong kenyataan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa wujud keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutamaan kepada agenda keselamatan terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak. Inilah keutamaan yang harus diletakkan oleh PDRM.

Ali perlu berhenti membiadapkan pimpinan pembangkang yang peduli dengan permasalahan rakyat, sebaliknya Ali yang perlu lebih bersantun dan berlapang dada menerima kelemahan dan kritikan untuk menambah baik kualiti keselamatan masyarakat seluruh Negara.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia