Sekitar Perbicaraan Petisyen Perlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru.

20130822_124516

Assalammualaikum dan salam perjuangan,

Perbicaraan Bantahan Awal Petisyen Pilihanraya YB Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ahli Parlimen Bukit Katil dan YB Dr Khalid Kasim, ADUN Bukit Baru.

Kes ditetapkan untuk keputusan bantahan awal pada 5 September 2013.

Kehadiran Peguam Datuk Hafarizam mewakili Dato’ Seri Mohd Ali Rustam telah dibantah memandangkan ianya bertentangan dengan peraturan-peraturan pilihanraya di mana telah dibenarkan oleh YA Hakim Hui.

Di dalam gambar: dari kiri; YB Dr Khalid Kasim (ADUN Bukit Baru), YB Khoo Poay Tiong, (ADUN Ayer Keroh), YB Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Peguam Tuan Haji Yusof Rahmat.

Terima kasih.

— Team Komunikasi & Media Sosial Ahli Parlimen Bukit Katil

Rumah Terbuka Parlimen Bukit Katil Malam Ini

Assalammualaikum dan Salam Perjuangan. Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat Melaka saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menjemput seluruh rakyat Melaka khususnya warga Parlimen Bukit Katil dan Dun Ayerr Keroh ke Rumah Terbuka Eidul Fitri pada 21 Ogos 2013(hari ini) jam 8 malam di Padang Taman Merdeka Jaya (bersebelahan surau Taman Merdeka Jaya).

Inshaa Allah, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan turut hadir bersama pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Saya, YB Khoo Poay Tiong (Adun Ayerr Keroh), YB Lim Jak Wong (Adun Bachang) dan YB Dr Khalid Kasim (Adun Bukit Baru) tentunya amat berbangga dan berbesar hati untuk bertemu muka dan bersua wajah dengan saudara dan saudari sekalian. Kalau ada juadah tambahan silalah bawa untuk kita makan bersama.

Bawalah suami/isteri dan anak-anak bagi memeriahkan lagi majlis ini.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

YB Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Pengerusi MPN Keadilan Melaka
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Saman SPR, Mohon PRU-13 Tidak Sah – Pakatan Rakyat

Pakatan saman SPR, mohon isytihar PRU tak sah

Pakatan Rakyat hari ini memfailkan saman terhadap tujuh orang ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk timbalan dan pengerusinya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu tidak sah.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, saman tersebut juga dilakukan berhubung dakwaan penipuan pelaksanaan dakwat kekal dalam pilihan raya umu yang lalu serta tindakan anggota SPR yang dilihat berat sebelah.

“Kami mahu kes mahkamah yang khusus untuk ketengahkan serta mendedahkan isu ini dan perkara yang paling utama ialah mendapatkan pengisytiharan daripada SPR bahawa mereka gagal untuk melaksanakan dasar perlembagaan, berniat jahat dan tidak jujur berhubung penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

“Jika mahkamah setuju dengan kita, maka kesimpulan yang logik yang akan kita perolehi ialah keputusan (pilihan raya umum) itu akan diketepikan.

“Kita mahu satu pengisytiharan bahawa semua 222 kerusi Parlimen yang diisytiharkan tidak sah,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

–Malaysiakini

Apa Jadi Pada Laporan Polis Berkaitan Dakwat Kekal? – MP Bukit Katil

Dakwat kekal: MP kesal tiada tindakan atas laporan

Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa Peguam Negara mengambil tindakan ke atas laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Shamsul berkata, beliau kesal kerana masih belum mendapat jawapan yang konkrit berhubung tindakan polis dalam kes berkenaan.

Katanya, satu jawapan bertulis yang diperolehinya daripada Kementerian Dalam Negeri menyebut, pasukan polis menerima sebanyak 1,469 laporan berhubung penggunaan dakwat berkenaan sehingga 3 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jawapan yang diberikan tidak dinyatakan apakah tindakan lanjut yang akan dibuat oleh pihak polis berhubung berhubung laporan itu.

“Peguam Negara perlu bertindak dalam perkara ini. Ini adalah satu jumlah laporan yang besar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Polis menerima 1,469 laporan tersebut selepas PKR menggesa orang ramai berbuat demikian atas dalam siri ceramahnya berhubung dakwat.

Dakwat berkenaan didapati dapat ditanggalkan dengan mudah setelah disapukan ke jari pengundi pada hari pengundian tersebut.

—Malaysiakini

Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja Oleh MP Bukit Katil

9.08 mlm.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat di Dewan Rakyat yang dihormati. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di kawasan Bukit Katil yang telah memilih wakil rakyat yang baru.

Sudah lama cabar mencabar,
Adat resam dalam berjuang,
Sudah lama mereka bersabar,
Baru kini rakyat berpeluang.

Tuan Yang di-Pertua, minggu lalu sebaik persidangan dibuka saya dimaklumkan bahawa sebuah petisyen telah difailkan untuk mencabar keputusan pilihan raya di Parlimen Bukit Katil. Kita tahu selain daripada kerusi Parlimen ini terdapat lebih 50 petisyen yang telah difailkan oleh calon-calon dan parti-parti yang bertanding. Jumlah ini adalah rekod yang terbanyak petisyen pilihan raya yang difailkan dalam sejarah perjalanan pilihan raya dalam negara kita setakat ini. Berdasarkan fakta ini sahaja sudah cukup untuk kita sedar dan tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang lalu. Izinkan saya jelaskan di sini bahawa pertikaian terhadap perjalanan pilihan raya tidak terhad kepada keputusan pilihan raya semata-mata. Membantah keputusan pilihan raya adalah hak yang dijamin di dalam perlembagaan dan undang-undang pilihan raya terbuka kepada penambahbaikan serta ia mesti dibuat bersesuaian dengan falsafah dan semangat kedaulatan hukum dan demokrasi itu sendiri. Sekiranya mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen dianggap bercanggah dengan pertikaian yang dibuat apakah ertinya puluhan petisyen yang dibuat sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Selain daripada itu, saya ingin mengajak Ahli Dewan untuk menyemak sejauh mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan komitmen terhadap 22 cadangan penambahbaikan pilihan raya. Seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya pada April 2012. Bukan sekadar itu, dalam satu laporan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR sendiri, jelas menunjukkan bahawa PRU ke-13 itu tidak sepenuhnya bebas dan tidak adil. Partially free and not fair. Berdasarkan segala kekalutan dalam hal perjalanan PRU ke-13, saya fikir Ahli-ahli Dewan mesti tegas menggesa anggota-anggota SPR itu berundur dan reformasi menyeluruh dibuat bermula daripada sekarang selaras dengan cadangan yang telah dimajukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya. Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa BN kembali membentuk Kabinet Persekutuan dan sekali gus ini menyebabkan berlakunya hujah iaitu ada dua alasan yang diberikan. Pecahan tumpuan pengundi yang memberikan majoriti besar kepada calon atau parti dan sistem yang diguna pakai dalam pilihan raya di Malaysia iaitu first past the post berasaskan kawasan .

Saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan bahawa terdapat satu cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Pilihan Raya dan kajian mesti dibuat untuk melakukan reformasi berkaitan dengan sistem ini dan ini bukan perkara baru. Di peringkat antarabangsa sebagai contoh, Institute for Public Policy Research (IPPR) di United Kingdom pernah menyediakan satu kertas kajian bertajuk Worst of Both Worlds: Why First Past the Post No Longer Works yang jelas menggariskan kelemahan-kelemahan sistem FPTP di United Kingdom yang juga boleh dilihat dalam kes Pilihan Raya Umum Ketiga Belas.

Pertamanya keputusan yang lebih dipengaruhi oleh kerusi marginal dan yang kedua merosakkan hubungan antara undi dan kerusi yang menyebabkan wakil rakyat tidak sebenarbenarnya diwakili oleh pihak yang lebih dimahukan. Justeru, saya yakin bahawa kalau kita bercakap tentang roh demokrasi dan juga masa depan Malaysia yang saya percaya bahawa kita bergerak daripada landasan demokrasi ini, tentunya kita mesti ada satu komitmen untuk melakukan reformasi bagi memastikan bahawa mekanisme yang dipakai pada waktu ini boleh ditambah baik dengan tujuan untuk memberikan maksud kepada hasrat pengundi-pengundi yang memberikan undi di luar sana. Jangan kita abaikan reformasi yang diambil melalui akta sistem dan kawasan-kawasan pengundian Parlimen tahun 2011 kerana di United Kingdom ada satu akta yang dipanggil Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011 untuk menegakkan prinsip iaitu satu orang, satu undi dan satu nilai. Bukannya satu orang, satu undi but two values.

Jadi dinyatakan di dalam akta tersebut bagaimana caranya untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan yang dihadkan sehingga 13 kilometer persegi dan bilangan pengundi mesti sekurang-kurangnya mencapai 5% daripada purata nasional. Oleh sebab itu saya yakin, jangan kita pejam mata terhadap proses demokrasi yang lebih luas di sana. Kedudukan semua wakil rakyat dan parti politik, ruang media, perhimpunan aman dan sebagainya. Saya yakin Tuan Yang di-Pertua, bahawa saya ingin cadangkan kepada kementerian khususnya Perdana Menteri untuk mengambil satu keberanian moral ataupun moral authority, dengan izin agar reformasi dalam sistem pilihan raya dapat kita laksanakan kerana ini memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak. Pada saya zaman kerajaan menang dua per tiga ini sudah berlalu kerana ia tidak baik untuk negara. Kita mesti ada kekuatan kerajaan dan juga pembangkang dan ini mesti dilakukan bermula daripada reformasi sistem pilihan raya. Kalau tidak, sampai bila pun kita tidak akan ada satu panduan yang baik untuk generasi akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sentuh tentang haluan pembangunan negara. Ini dalam kerangka cabaran untuk golongan muda. Saya punya waktu lagi?

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, ada tiga minit lagi.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Baik. Kita maklum bahawa hutang isi rumah rakyat Malaysia kini telah mencecah angka RM800 bilion atau 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar dan jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Sama ada suka ataupun tidak Tuan Yang di-Pertua, golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan misalnya, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan? 40% isi rumah terendah pada tahun 2009 dengan pendapatan purata hanya sebanyak RM1,400 berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu…

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, kita sebenarnya saya boleh menambahkan 15 minit sahaja. Jadi kita sudah pukul 9.15 malam. Jadi minta sambung esok.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi laluan lebih sikit untuk satu sekolah.

Timbalan Tuan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Khamis, 4 Julai 2013.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, semalam saya telah ulas panjang lebar mengenai kecurangan pilihan raya dan cadangan-cadangan penambahbaikan. Kita maklum, isu yang ingin saya bawa ialah isu berkaitan dengan hutang isi rumah rakyat Malaysia yang media hari ini telah
mendedahkan bahawa telah mencecah angka RM800 bilion ataupun 89.2% Keluaran Dalam Negara Kasar. Jumlah ini terus meningkat daripada sekitar 77% pada tahun 2009. Golongan muda kini berdepan dengan persekitaran hutang yang tidak kecil dan lambat laun bakal menghimpit dan sekali gus membelenggu corak kehidupan masyarakat pada masa akan datang.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)
mempengerusikan Mesyuarat]

Daripada pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, malah nikah kahwin, pemilikan rumah serta pembiayaan anak dan keluarga, petunjuk-petunjuk ekonomi yang dibentangkan belum cukup untuk menjawab persoalan-persoalan sebenar di lapangan. Daripada angka pelaburan, pertumbuhan, peningkatan indeks saham yang dibentangkan, berapa ramaikah rakyat berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan berjaya dikurangkan. Soalan ini wajar ditanya kerana sebelum pilihan raya yang lalu kita terdengar ada janji bahawa jumlah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bilangan penerimanya ditambah.

Saya percaya formula politik yang mengukur kejayaan ekonomi negara dengan angka penerima bantuan mesti dialih kepada formula ekonomi yang mengukur kejayaan dasar dengan mengangkat kedudukan penerima bantuan ke status di mana mereka tidak lagi bergantung pada bantuan. Dalam erti kata yang lain, jika apa yang ingin dibuat ialah menambah jumlah bantuan dan bilangan penerima, dasar yang dibuat sebenarnya tidak berkesan bahkan gagal. Saya mahu menekankan bahawa 40% isi rumah terendah ini paling tinggi tahap pendidikannya ialah Sijil Pelajaran Malaysia dan jumlah terbesar mencecah 52.3% tidak mempunyai sijil pelajaran. Separuh daripada mereka ini adalah golongan miskin bandar dan separuh lagi adalah penduduk desa. Jumlah 40% yang mewakili sembilan juta penduduk ini mesti dilihat melangkau angka pasif.

Misalnya penurunan kemiskinan kepada 1.7% tahun yang lalu. Saya bimbang keselesaan dengan petunjuk angka umum ini boleh mengabaikan realiti sebenar keperitan hidup dengan pendapatan sedemikian pada kadar isu rumah yang ada boleh membinasakan. Saya berharap tumpuan besar akan diberikan kepada sektor pendidikan di mana tidak wajar masih ada sekolah yang tidak lengkap kemudahan infrastruktur asas. Saya mohon Menteri Pendidikan membentangkan data terkini berkaitan kemudahan asas di sekolah-sekolah seluruh negara dan rancangan serta tindakan untuk ditangani.

Selain daripada itu, saya ingin mengambil perhatian Dewan kepada dasar-dasar sosial tentang golongan kurang upaya, warga emas dan pesakit kronik misalnya jantung. Mesti diperkemaskan agar akses bagi kemudahan perubatan dapat diberikan kepada yang paling memerlukannya. Khusus buat golongan orang kelainan upaya ini ataupun OKU. Di kawasan Bukit Katil ini misalnya, ada satu tempat namanya Kampungku Sayang. Di sana ada satu yang dipanggil sebagai Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk golongan kurang upaya. Bila kita teliti fasiliti ataupun tempat ini, amat daif dan malah kebajikan mereka yang menjaga tempat itu pun saya fikir dikesampingkan.

Misalnya, mereka yang berada di situ, yang bertugas di situ kebanyakan dianggap sukarelawan dan tidak tetap dari segi gaji dan sebagainya. Saya ingin mengusulkan kepada kerajaan agar satu blueprint kebajikan dibentuk, mengambil kira aspek aliran dan manfaat subsidi, fungsi zakat dan keselesaan sosial yang memberikan perhatian khusus untuk membantu golongan miskin, OKU, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim piatu.

Tuan Yang di-Pertua, di dalam Dewan ini, baru-baru ini Menteri Dalam Negeri menjawab tentang masalah kematian di dalam tahanan. Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada laporan kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan penahanan sembarangan 2010. United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010 dengan izin, yang melawat penjara dan pusat tahanan Malaysia, melaporkan pada tahun 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa. Saya ingin tegaskan bahawa kematian dalam tahanan tidak harus dilihat dalam perspektif angka. Satu kematian dalam tahanan wajar dianggap terlalu banyak kerana nyawa seorang manusia tidak boleh dikembalikan.

Selain soal kematian dalam tahanan, kita tahu ada sejumlah kes lain bersabit tingkah laku anggota polis yang menjadi perbualan umum. Sehubungan itu saya minta dan mencadangkan agar satu reformasi menyeluruh dapat dilakukan dan ini hanya boleh dilakukan dengan cadangan mewujudkan IPCMC dengan fakta bahawa IPCMC merupakan sebahagian daripada 125 cadangan penambahbaikan pasukan polis yang telah dilakukan melalui Suruhanjaya Diraja.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil, sila gulung.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri untuk menganjurkan satu lawatan kerja, membawa Ahli-ahli Parlimen melihat dan menilai bagaimana kedudukan penjara dan juga lokap. Saya ingin cadangkan supaya satu reformasi lokap dapat dijalankan agar prinsip ‘a man is innocent until proven guilty’ dapat dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengulas sedikit tentang apa yang diungkapkan oleh Yang Amat Berhormat Pekan selaku Perdana Menteri mengenai pendamaian nasional. Saya ingin lihat bahawa pendamaian nasional ini wajar dilihat dalam kerangka negara. Justeru, yang perlu dikembangkan ialah selain daripada kita mengakui terdapat kecurangan pilihan raya yang mesti dibersihkan. Akan tetapi dalam masa yang sama kalau kita lihat daripada kerangka nasional, kekuatan negara kita ialah kekuatan budaya. Kekuatan budaya inilah yang menyebabkan bagaimana negara kita sekarang ini dilihat sebagai sebuah tempat pelancongan kerana mereka melihat soal keragaman budaya, bahasa dan juga agama.

Cuma masalah yang paling utama ialah saya ingin tanya dan cadangkan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, apakah kebudayaan dan kekuatan budaya di dalam negara kita ini hanya dilihat dalam bentuk program semata-mata? Program melawat, program pelancongan dan tidak tertumpu pada pemahaman tentang budaya sesuatu kaum kerana itulah kekuatan kita. Ini boleh sahaja dilakukan, misalnya di Amerika ada program Full… Collar, di Japan ada program Japan Foundation, malah di UK ada Britsih Council. Di Malaysia ini tidak ada satu brand kita walaupun kita sering diungkapkan dengan brand ‘Malaysia Truly Asia’ yang lebih besar tetapi tidak ada program-program upaya kebudayaan yang boleh dilakukan. Saya cadangkan supaya satu institut, boleh sahaja kita namakan sebagai Tun Perak Institut diwujudkan dan menggunakan kekuatan budaya ini, melakukan diplomasi agar negara kita ini terus berada di persada antarabangsa.

Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tutup bahawa saya berasa sedikit kesal kerana Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang baru terus menerus tidak menganggap dan meletakkan budaya ini pada tahap yang sepatutnya, misalnya Jonker Walk ditutup. Bukan sekadar itu, Jonker Walk ini kalau Ahli-ahli Yang Berhormat pergi, tahu, itu bukan sekadar tempat orang berniaga tetapi adalah tempat kebudayaan. Selain itu yang ditutup juga Bazar Taman Cempaka, ia hanya berlaku pada bulan Ramadhan dan Syawal kerana di situlah segala macam kebudayaan Melayu dapat dibeli ataupun dapat dilihat dan dinikmati oleh rakyat dan sebagainya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang
Berhormat Jasin bangun.
Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Sila, sila.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Selepas ini gulung, habis masa ya.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat Bukit Katil, saya hanya hendak sentuh sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Apabila Yang Berhormat daripada Bukit Katil tadi sebut tentang Jonker Walk. Yang Berhormat, saya terlibat secara langsung, Jonker Walk tidak pernah wujud, yang ada Jonker Street. Jonker Walk ini kita wujudkan kerana satu ketika dulu Jonker Street ini adalah satu kawasan yang tertinggal, yang terbiar. Kawasan ini kotor kerana perumahan tersebut tidak diduduki dan didiami oleh penghuni-penghuninya, rumah tinggal.

Akan tetapi sekarang, tiba-tiba kawasan itu cukup vibrant dan harganya naik empat hingga sepuluh kali ganda kerana usaha daripada kerajaan negeri yang bukan sahaja mencantikkan, mempromosikan, mahu menjadikan tempat itu sebagai ikon pelancongan,
sebagai satu daripada produk pelancongan. Sebenarnya apa yang telah dipolitikkan oleh
sesetengah pihak, tidak ada apa pun. Jonker Walk ini sebenarnya telah dipolitikkan.

Matlamat kerajaan negeri yang telah bertanggungjawab untuk mempromosikan dan melonjakkan nama Jonker Street sebagai Jonker Walk ini yang memberikan keuntungan hanya kepada satu pihak sahaja. Kita sedar tetapi kerana itu produk pelancongan bukan ada niat kita untuk menutup terus. Bahkan apa yang kita buat sekarang, kita hendak buat kajian kerana Jonker Walk ini telah menyumbang kepada kesesakan yang cukup kronik dalam negeri Melaka. Janganlah hendaknya mana-mana pihak mempolitikkan tentang Jonker Walk ini kerana itu semuanya usaha kerajaan negeri…

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: [Bangun]

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: …Yang telah mempromosi, mengayakan satu pihak sahaja. Kita tidak pernah tutup bahkan kita buat kajian.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Okeylah, saya faham lah Yang Berhormat Jasin. Saya fahamlah.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Saya harap ini jangan ditimbulkan lagi lah kerana seolah-olah ada pihak yang menyalahkan kerajaan negeri tidak pernah pun
berterima kasih. Usaha yang telah dibuat oleh kerajaan yang selama ini bukan sahaja
menjadikan negeri Melaka sebagai pusat pelancongan bahkan mengayakan satu pihak. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya, baik. Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Jasin. Memang apa yang dibuat dahulu baik. Cuma sekarang dia tidak jadi Jonker Walk, dia jadi Jonker Drive sebab orang boleh drive thru.  Saya tidak timbulkan soal kecil seperti itu. Apa yang saya hendak bangkitkan ialah apabila kita telah wujudkan pusat-pusat kebudayaan ini, biarlah dikekalkan. Kenapa harus ditukar?
13 tahun yang lalu kerajaan negeri bangunkan Jonker Street kepada Jonker Walk.

Kemudian bangunkan juga pasar Ramadhan sehingga masuk dalam diari pelancongan tetapi kenapa ini harus ditutup? Itu persoalannya. Biarlah kalau hendak kembang, kembangkan supaya kita punya kebudayaan ini jangan tertumpu kepada soal-soal yang kecil. Sasterawan Negara kita ramai, kenapa tidak dikembangkan?

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Yang Berhormat, betulkan sedikit.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Jasin, tidak apa Yang Berhormat Jasin. Masa sudah tidak cukup ini.

Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Kita tidak pernah berniat untuk tutup. Tidak pernah tutup pun.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Bukit Katil boleh berhenti sekarang.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Saya hendak ulas satu lagi. Akhirnya, saya hendak angkatkan …

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ini daripada petang semalam akhirnya ini.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin [Bukit Katil]: Ya lah, ini betul-betul akhir Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak tutup dengan marilah kita hayati ayat al-Quran surah al-Hujurat [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Wahai manusia, kita menciptakan kamu lelaki, perempuan dan jadikan berbangsa, berpuak ini untuk kita berkenal-kenalan”. Itu kekuatan yang saya sebut soal budaya tadi. Ini sebenarnya menjadi asas kepada kekuatan kita. Jadi, saya mohon agar Kementerian Pelancongan dapat mengangkat tema budaya ini supaya ia dapat disemarakkan untuk kepentingan rakyat. Terima kasih.

— Unit Komunikasi dan Media Sosial Parlimen Bukit Katil

Undang-undang Sedia Ada Cukup – MP Bukit Katil

Undang-undang sedia ada cukup tangani isu hasutan, jenayah – Shamsul

Post Pic

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan pemansuhan undang-undang yang dianggap lapuk seperti Ordinans Darurat dan kemungkinan juga Akta Hasutan 1948 bukan penyumbang kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara.

Justeru Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ini berkata tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baru dengan tujuan berkenaan tetapi sebaliknya kerangka organisasi pasukan keselamatan perlu disusun semula.

Beliau berkata, undang-undang sedia sudah cukup untuk membanteras masalah jenayah dan mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Undang-undang sedia ada cukup memadai untuk mengekang kemaraan jenayah, apakah saya tidak prihatin terhadap masalah jenayah?

“Saya juga prihatin, jangan anggap kerajaan sahaja prihatin kerana masalah jenayah ini melepasi batas-batas politik,” katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos.

Beliau turut memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mungkin boleh mengatasi masalah peningkatan kadar jenayah.

“Dalam hal ini saya fikir kalau ada keazaman politik di peringkat Kementerian Dalam Negeri saya ingin cadangkan supaya yang pertama supaya ditambah anggota polis sebab saya yakin sekarang jumlah yang ada tidak cukup.

“…dan adalah tidak adil kita menyalahkan pasukan keselamatan terutamanya pihak polis kalau masalah jenayah meningkat dalam keadaan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini membangkitkan isu berhubung pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Mengulas lanjut, wakil rakyat penggal pertama ini berkata, anggota dari Unit Cawangan Khas boleh diperuntukkan untuk mengekang dan membantu menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku.

“…dan saya minta ketua polis negara menyokong cadangan saya sebab kalau anggota itu kurang bagaimana kita nak tahu keberkesanannya, yang kedua kita ada Unit Cawangan Khas yang tujuannya untuk memantau pergerakan ahli-ahli politik dan saya fikir jumlahnya ramai.

“Apa salahnya kalau sebahagian daripada unit khas ini diperuntukkan untuk mengekang dan membantu menyelesaikan masalah jenayah ini, jadi tidak perlu kepada undang-undang khas untuk mengekang kebebasan seseorang,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya akta itu dimansuh tanpa memikirkan impak negatifnya.

Atas desakan pihak tertentu sebelum ini, katanya, kerajaan memansuh Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menyifatkan pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat menjurus kepada peningkatan kadar jenayah.

Shamsul Iskandar turut menolak dakwaan Ahmad Zahid  yang menyatakan bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut.

“Tentunya tidak sama dengan pendirian di dalam perlembagaan persekutuan yang menjamin kebebasan untuk semua dan saya akui masalah jenayah ini perkara yang serius tapi harus diimbangi agar jangan disalahgunakan seperti mana kita ada Ordinan Darurat dulu.

“Ordinan Darurat dulu cukup sekadar dua orang membuat akuan bersumpah seseorang itu didapati bersalah melakukan sesuatu kesalahan jenayah dan menteri dibenarkan dan diberi kuasa untuk menahan mereka di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

—Antarapos

Pinda Usul Perbahasan Titah Diraja

Pakatan Cadang Pinda Usul Perbahasaan Titah Diraja Dewan Rakyat

parlimen malaysia anwar grafik 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul bagi meminda perbahasan titah Yang Di Pertuan Agong berhubung gesaan baginda supaya semua parti politik menerima keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana gagasan Umno-BN dan Pakatan telah mengemukakan petisyen pilihanraya bagi mencabar keputusan pilihanraya di 51 kerusi.

“Soal petisyen Pilihanraya … dikemukakan maka kita kaji untuk kemukakan usul pindaan kerana tidak wajar titah itu dimasukkan ke soal petisyen.

“Petisyen itu merangkumi kedua-dua pihak iaitu Pakatan dan Umno-BN. Jadi kalau sokong (titah), petisyen itu tidak bermakna,” katanya dalam sidang media, di Bilik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Husam Musa.

Dalam titahnya pada majlis pembukaan sesi pertama Dewan Rakyat ke-13, Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menggesa semua parti politik untuk menerima keputusan PRU-13.

Pakatan dan Umno-BN telah masing-masing memfailkan 34 dan 21 petisyen.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR melahirkan kebimbangan terhadap perlantikan bekas-bekas menteri kabinet ke dalam jawatan-jawatan kerajaan.

“Perlantikan ini begitu terlebih termasuk Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Ng Yen Yen. Ia melibatkan upah yang terlalu besar.

“Kita sudah ada Menteri Pelancongan atau Kebudayaan. Kalau rasa mereka tidak layak gantikan dengan orangg lain. Tidak perlu ada penasihat kementerian.

“Berapa juta ringgit pula terpaksa dibayar? Ini akan membebankan rakyat,” katanya.

Menurut laporan media, Yen Yen dilantik sebagai pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia manakala Rais telah dilantik sebagai presiden presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

—Selangorku

Pinda Dasar Kebudayaan 1971 – MP Bukit Katil

MP Bukit Katil cadang Dasar Kebudayaan 1971 dipinda

(Masdar Wahid)

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan Dasar Kebudayaan 1971 dipinda kerana tidak lagi dijadikan garis panduan dan difahami generasi semasa.

“Saya fikir satu elemen penting dalam kementerian ialah pentingnya pemerkasaan dan keragaman budaya,” katanya yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Dewan Rakyat.

Copy of dasar_kebudayaan_kebangsaan_1971

“Contohnya sewaktu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Kita lihat agensi dan media kerajaan misalnya melakukan serangan, mengaib dan memalukan,” kata Shamsul.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kenyataan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Chang Peng Kee bahawa harian berbahasa Melayu mengambil pendirian pro-BN dan menghentam Pakatan Rakyat.

Dalam analisisnya yang bertajuk ‘Nilai Pelbagai Kaum Dalam Pilihan Raya’, ahli akademik itu menyatakan akhbar berbahasa Cina menjadi media paling adil dan berimbang sepanjang tempoh berkempen dari 20 April hingga 5 Mei.

“Apakah kementerian tidak bercadang menambah baik dasar ini?

“Saya yakin dan percaya jika semua memahami keragaman budaya itu perkara jelik seperti ini tidak akan berlaku,” kata Shamsul.

Ekoran teguran itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak menolak kemungkinnan mengkaji semula dan meminda Dasar Kebudayaan 1971.

Antara objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 ialah memelihara keperibadian, menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan bagi pembinaan bangsa.

—Keadilan Daily

Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Katil

Pusat khidmat rakyat Parlimen Bukit Katil telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bagan, Tuan Lim Guan Eng pada 8 Julai 2013 (Isnin) malam.

KEADILAN Melaka dan pejabat ahli Parlimen Bukit Katil merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kesudian YAB Tuan Lim Guan Eng hadir ke perasmian Pusat Khidmat Rakyat ini.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Katil ini terletak di 49-1, Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka.

970243_10201438226335548_351737460_n

484703_10201438225695532_789623078_n

971847_10201438224415500_2143725453_n

988620_10201438224055491_1080830001_n

1004774_10201438223455476_1112339520_n

-Unit Komunikasi dan Media Sosial Parlimen Bukit Katil

Buka Semula Jonker Street

Pakatan Rakyat gesa buka semula Jonker Street

26 June 2013

KUALA LUMPUR, 26 JUN: DAP hari ini mengulangi desakan terhadap Kerajaan Negeri Melaka supaya segera menarik balik penutupan pasar malam Jonker Street kerananya ia jelas bersifat diskriminasi dan perkauman.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi UMNO perlu segera berhenti dari membuat pelbagai alasan kerana tindakan itu akan membawa kepada pengenepian kaum minoriti.

“Saya melihat strategi utama tindakan ini dibuat adalah untuk menghukum pengundi Cina, jika ianya dibiarkan pastinya akan menjadi permulaan kepada satu siri untuk menindas, menekan, mendiskriminasi dan meminggir serta menghina kaum minoriti yang didakwa telah tidak memberi sokongan kepada mereka.

“Oleh itu, kami menyeru kerajaan Melaka dengan segera menarik balik pengharaman pasar malam Jonker Street, dan berhenti menggunakan alasan ‘mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas’ atau kepada tidak mereka menutup saja semua pasar malam dan pasar tani di seluruh negeri dan negara,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, keputusan Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron adalah ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar.

“Hanya kerana Idris mahu menunjukkan ketidakmatangan politik beliau dengan menghukum masyarakat Cina, beliau sanggup mengorbankan kepentingan rakyat dan ekonomi Melaka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kurang cerdik yang bermotifkan politik dendam itu.

“Jika ia bukan sebab dendam politik, mengapa isu sama ada rakyat menyokong DAP atau MCA ini tiba-tiba dikaitkan dengan masalah kesesakan lalu lintas di sana?,” ujarnya merujuk laporan akhbar Kwong Wah Daily tentang kenyataan Ketua Menteri Melaka tersebut, “kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira.”

Beliau juga menegaskan Idris juga telah berbohong apabila mengatakan pasar malam hanya akan ditutup selama empat minggu sebagai tempoh percubaan.

“Saya ada menyimpan 1 salinan memo yang dikeluarkan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka untuk mengarahkan penutupan secara terang-terangan pasar malam Jonker Street.

“Ia benar-benar tidak menyebut ia menjadi percubaan, atau keperluan untuk kajian trafik rasmi,” tegasnya.

Turut hadir dalam sidang media ialah Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar turut mengecam langkah Idris Haron itu yang akhirnya membawa pada penghapusan tempat bersejarah di Melaka.

“Saya hanya ingin bertanya kepada Idris Haron apakah beliau dalam masa 100 hari menjadi Ketua Menteri mahu melihat Melaka bukan lagi menjadi tempat tumpuan pelancong.

“Bukan saja di Jonker Street malah di Taman Cempaka dimana Bazaar Ramadhan yang pernah dimasukkan dalam Diari Pelancongan Malaysia antara tempat ketiga terkenal sebelum Night Market.

“Oleh kerana Taman Cempaka berada di kawasan Bukit Katil, Exco memutuskan untuk tidak lagi membenarkan peniaga berniaga disitu, apakah mereka menghukum kesemua rakyat yang memberi undi pada PR,” ujarnya.

– Roketkini.com